Memaparkan catatan dengan label Blog. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Blog. Papar semua catatan

Rabu, Julai 28, 2010

Kod Etika Jadikan Penulis Blog Lebih Dihormati - Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa penulis blog supaya berpegang teguh dengan kod etika untuk menulis perkara yang benar demi kebaikan masyarakat supaya mereka dan blog masing-masing lebih dihormati.

Bekas perdana menteri itu berkata kod etika berkenaan perlu diwujudkan secara sukarela demi kebaikan penulis blog sendiri kerana ia bakal membina reputasi mereka di mata orang ramai.

Dr Mahathir, yang juga seorang penulis blog berkata, masyarakat kini mempunyai akses kepada blog, satu medium yang hampir di luar kawalan mana-mana pihak berkuasa, dan jika mereka mematuhi kod etika untuk menulis perkara yang benar sahaja, lebih ramai orang awam akan membacanya.

"Jika kita bersandarkan kepada kod etika sebegini dalam setiap penulisan kita, saya fikir lama-kelamaan, orang ramai akan menghormati blog. Jika kita tidak menulis perkara yang benar, mereka akan meninggalkannya seperti yang berlaku kepada media biasa ketika ini," katanya dalam ucap tama pada persidangan Blogger Asia dan Media Sosial 2010 di sini, Rabu.

Persidangan dua hari itu dihadiri 400 peserta dari benua Asia.

Dr Mahathir berkata walaupun blog menyediakan ruang bagi kebebasan menulis apa yang dikehendaki secara mutlak, namun penulisnya masih perlu bertanggungjawab terhadap penulisan mereka serta tidak menyalahgunakannya.

"Tidak boleh menyatakan perkara buruk atau memaki hamun orang lain, jangan buat begitu, orang akan marah dan mereka boleh mengambil tindakan terhadap kita. Kita mesti ada bahan sokongan untuk setiap perkara yang kita nyatakan. Walaupun kita tidak sukakan seseorang, kita tidak boleh menulis perkara tidak benar (mengenai mereka)," katanya.

Beliau berkata penulis blog mempunyai kelebihan daripada segi kebebasan namun mereka mesti menggunakannya dengan penuh tanggungjawab bagi membentuk pemikiran ke arah membina masyarakat dunia yang lebih baik demi kebaikan umum.

"Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang atau membetulkan kita, kerana kita yang berkuasa (kerana) kitalah penulis, penyunting dan juga penerbit. Apabila memiliki senjata, jangan gunakannya (untuk menembak) sesuka hati. Penulis blog mesti berupaya menahan diri dan mengelak daripada menyatakan perkara yang tidak benar serta boleh melukakan hati orang lain," katanya. Dr Mahathir berkata sesetengah blog amat bagus namun ada juga yang tidak berguna, justeru beberapa kemahiran diperlukan untuk mengenal pasti sama ada apa yang ditulis dalam blog itu benar atau hanyalah satu propaganda.

- BERNAMA

Jumaat, Jun 18, 2010

Isu Blog - UMNO Selangor dan perceraian Azrinaz

Oleh Lukman Ismail

Isu UMNO Selangor yang dikatakan gagal menggunakan peluang daripada pelbagai isu yang dihadapi oleh kerajaan Selangor mendapat perhatian ramai penulis minggu ini manakala kisah perceraian bekas wartawan TV3, Azrinaz Mazhar Hakim dengan Sultan Brunei turut diberikan perhatian.

Blog Ruang Bicara Faisal (ruangbicarafaisal.blogspot.com) memetik satu e-mel yang dihantar kepada blog itu yang antara lain berkata, UMNO di Selangor kini terlalu lesu sehinggakan mereka di peringkat akar umbi sudah mula bosan dan hilang semangat.

Kata beliau, kumpulan di bawah kini kurang faham apakah strategi sebenar yang ingin dilakukan oleh UMNO Selangor terutama dalam usaha untuk merampas kembali negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

“Agaknya nak tengok pakatan di Selangor bankrap baru nak bertindak. Hello abang-abang di dalam perhubungan UMNO, kalau macam inilah cara nak bertindak bertambah payahlah kalau pakatan di Selangor pulih daripada kecedaraan. Lingkup UMNO di Selangor,” tulis e-mel tersebut yang disiarkan oleh blog berkenaan.

Hamidzun Khairuddin dalam Warisan 2057 (warisan2057.blogspot.com) yang memetik satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima berkata, UMNO Selangor sepatutnya ada skuad berani mati yang boleh menangkis isu daripada pihak pembangkang memandangkan banyak isu yang tidak tertangkis, terutama isu agama.

“Manakala isu yang besar seperti pasir yang sepatutnya boleh jadi bom atom bila dibantu oleh Ahli Parlimen Kapar, (ia) hanya jadi kentut mak nyah. Bolehkah (pada) PRU-13 (nanti), BN menang tanpa perlu serang pembangkang dan jawab isu.

“Tanah, pasir, hutan, air dan hasil bumi ini isu mengurus masa depan anak-cucu kita, isu cukup emosional. Khalid (Menteri Besar Selangor) pun dah kelam-kabut tetapi UMNO Selangor macam mengadap orang mati,” kata SMS tersebut.

Justeru, penulis berkata, sudah masanya pemimpin UMNO baik di peringkat perhubungan negeri mahupun Pusat mendengar rintihan akar-umbi ini dan mereka perlulah berubah dan bukannya perubahan kosmetik, jika mahu mememangi pilihan raya umum akan datang.

Blog Gerakan Anti-PKR (gerakan-anti-pkr.blogspot.com) pula berkata, Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Satim Diman dikhabarkan akan melepaskan jawatannya selepas “diserang” oleh penulis-penulis blog berhubung kelesuan UMNO negeri itu menentang kerajaan pembangkang.

Kata penulis ini, memang UMNO Selangor masih lesu, pemalas dan tiada langsung pergerakan untuk melawan kerajaan pembangkang di negeri itu dan ini disebabkan oleh kegagalan para pemimpin mereka sendiri.

“Percayalah, kami akan terjah kesemua pemimpin UMNO yang pemalas, tak boleh pakai dan tak menguntungkan perjuangan kita dalam mempertahankan Islam dan hak Melayu daripada terus dilacur oleh puak pakatan,” katanya.

Isu perceraian Azrinaz pula disentuh oleh Mohd Soberi Shafii dalam Yang Ku Dengar dan Yang Ku Lihat (newkk.blogspot.com) dengan berkata, itulah putaran dunia yang tidak ada kekal dan perceraian bukan hanya berlaku kepada rakyat biasa dan artis, ia juga berlaku kepada pemimpin dan sultan.

Apa yang menjadi tanda tanya, kata penulis ini, ialah tentang penarikan balik semua bintang kebesaran yang dianugerahkan oleh baginda Sultan Hassanal Bolkiah kepada Azrinaz.

“Apakah tahun ini, tahun penarikan bintang kebesaran dan gelaran kerana terdahulu daripada ini berlaku di negeri Kelantan dan Johor. Itulah putaran dunia tidak ada yang kekal seperti janji Tuhan kepada umatnya...,” katanya.

Blog Mummy Rokiah (mummyrokiah.blogspot.com) pula berkata, bagi golongan miskin kekayaan adalah segala-galanya tetapi bagi golongan bangsawan, kebahagiaan pula adalah segala-galanya.

“Moral ceritanya perceraian berlaku hari-hari dari golongan bangsawan sehingga ke bawah golongan marhaen. Apa nasib zuriat yang akan datang?" katanya.

Merbok Times (merboktimes.blogspot.com) pula memetik My Blog Hub (www.mybloghub.my) mengenai perceraian pasangan diraja itu.

“Perceraian itu diumumkan oleh stesen radio dan televisyen rasmi Brunei petang semalam (16 Jun 2010). Tidak ada sebarang maklumat lanjut diberikan akan mengapa Sultan Brunei bertindak menceraikan Azrinaz namun kisah perpisahan pasangan berkenaan sudah lama tersebar di negara kecil berkenaan.

“Azrinaz merupakan isteri baginda yang ketiga. Kekayaan Sultan Brunei ditafsir sekitar AS$20 bilion,” katanya.

Dua Juta Blogger Malaysia Bukti Media Tempatan Bebas - Rais

Kewujudan dua juta blogger di negara ini membuktikan media massa tempatan bebas menyiarkan pendapat dan kritikan masing-masing, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa dengan perkembangan teknologi maklumat, peluang untuk mana-mana pihak bersuara dan memberikan pandangan masing-masing tidak pernah disekat oleh kerajaan.

"Kita boleh lihat sekarang, media massa terutamanya media alternatif, perkembangannya semakin rancak dengan adanya perkhidmatan jalur lebar.

"Dilaporkan terdapat kira-kira dua juta blogger di negara ini yang bebas melaporkan pandangan mereka dan ini mencerminkan kebebasan media di negara ini," katanya.

Beliau menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) yang ingin tahu sama ada kebebasan media massa di negara ini masih terhad seperti yang dilaporkan oleh kajian Freedom House dari Amerika Syarikat yang mendakwa media di Malaysia belum bebas.

Rais berkata, Malaysia kini mempunyai 76 akhbar harian termasuk milik pembangkang, 151 saluran televisyen satelit, sembilan saluran televisyen tidak berbayar (milik kerajaan dan swasta) dan 53 saluran radio.

"Ini tidak termasuk IPTV (eng: Internet Protocol Television) yang sedikit masa lagi akan menjadi lumrah di kalangan rakyat dengan adanya perkhidmatan jalur lebar," katanya.

Perkembangan itu jelas menunjukkan media massa di negara ini tidak terhad seperti yang didakwa Freedom House dan ia hanyalah satu "laporan kerusi selesa", kata Rais.

Bagaimanapun, katanya, pengamal media masih lagi perlu memastikan setiap kandungan yang ingin disiarkan mematuhi undang-undang dan etika yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Ini kerana kebebasan media massa berbeza-beza mengikut negara dan bergantung kepada undang-undang serta etika yang telah ditetapkan.

"Media sebagai alat sebaran am sama ada elektronik dan media cetak tidak mempunyai kebebasan mutlak sebaliknya tertakluk kepada etika, peraturan dan undang-undang negara sedia ada.

"Semua badan penyiar sama ada milik kerajaan atau yang swasta perlu memainkan peranan dalam memastikan kandungan laporan mematuhi undang-undang dalam membantu mewujudkan masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab," kata Rais.

- BERNAMA

Jumaat, Jun 04, 2010

Isu Blog - Kekejaman Israel dan nasib Kampung Baru

Isu serangan tentera komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang membawa aktivis dan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza menjadi topik utama penulis blog minggu ini. Tidak kurang hangat adalah isu pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Dr. Mahathir Mohamad dalam blog chedet.co.cc berkata, dakwaan Israel bahawa aktivis terbabit menyerang terlebih dahulu pasukan komandonya adalah tidak masuk akal memandangkan mereka hanya orang awam, sementara tentera Israel adalah terlatih dan lengkap bersenjata.

Bagaimanapun kata beliau, adalah tidak mustahil jika tentera Israel bertindak menembak aktivis terbabit dengan peluru hidup kerana tindakan sedemikian sering dilakukan ke atas rakyat Palestin.

“Laporan rakyat Malaysia yang telah dibebaskan dan kini berada di Jordan berkata kayu dan penyembur air dari pili bomba digunakan oleh aktivis. Cerita ini lebih dipercayai.

“Tetapi sudah diketahui Israel akan terus berbohong tentang tindakan jenayah yang mereka lakukan atau terus berdolak-dalik,” kata beliau.

Katanya, adalah tidak mengejutkan jika komando Israel membunuh orang awam tidak bersenjata kerana itulah tahap keangkuhan mereka yang lebih teruk daripada Nazi.

Sanusi Junid dalam sanusijunid.blogspot.com pula berkata, sejak 30 tahun lalu umat Islam seluruh dunia sentiasa berdoa agar Allah selamatkan rakyat Palestin daripada kezaliman Yahudi, tetapi kenapa doa umat Islam tersebut tidak berjawab sedangkan Allah berjanji akan memakbulkan doa terutama bagi umat yang teraniaya.

Kata beliau, ini bererti jika sekadar membuat resolusi dan berdoa, nasib umat Islam tidak akan berubah kecuali jika melakukan sesuatu yang lebih tepat.

“Kini kita lihat Israel sudah berasa bimbang dan takut. Belum lagi umat Islam menyekat bekalan minyak kepada negara yang membantu kezaliman Israel, belum lagi negara-negara Islam berpakat untuk mendirikan Barisan Sukarelawan OIC, dan belum lagi hartawan-hartawan dan negara-negara Islam mendirikan Bank 1-Islam untuk mengumpulkan dana bagi membebaskan Palestin.

“Baru dengan mengirim kapal bantuan kemanusiaan untuk Gaza, kita dapati Israel sudah gementar sehingga bertindak kejam. Israel perlu diberitahu bahawa ini hanya the tip of the ice-berg,” kata beliau.

Beliau berkata, peristiwa yang berlaku itu diharap dapat melonjakkan semangat umat Islam seluruh dunia untuk bangun bersatu dan bertindak dengan betul diiringi doa yang sudah pasti dimakbulkan Allah.

Bagi Dr. Ismail Ibrahim dalam profismail.blogspot.com berkata, tujuan Israel menjadikan Gaza sebagai penjara besar bagi orang Palestin sudah berjaya dengan sempadan beberapa jiran seperti Mesir, Jordan dan Syria tertutup rapat, manakala laluan laut dan udara pula dikuasai negara rejim Zionis itu.

Katanya, negara-negara Islam yang bersempadan dengan Palestin telah diikat oleh Amerika Syarikat untuk turut sama-sama melindungi Israel atau telah menjadi kroni kuasa besar itu.

“Selagi kerajaan negara-negara Islam membawa haluan dan matlamat sendiri kerana kepentingan individu atau negara sendiri, maka selama itulah Israel boleh melakukan apa saja yang mereka mahu, termasuk membunuh sesiapa saja yang ingin membantu rakyat Palestin, terutamanya rakyat Gaza yang telah mereka penjarakan dalam penjara yang besar itu,” katanya.

Sementara itu, A. Kadir Jasin dalam blognya www.akadirjasin.com pula berkata, cadangan untuk membenarkan bukan Melayu memiliki 40 peratus hartanah dalam pelan pembangunan Kampung Baru merupakan satu langkah yang akan memburukkan lagi imej UMNO dan menambah keresahan orang Melayu.

Kata beliau, kerajaan akan dilihat lebih adil jika pada masa yang sama turut membangunkan semula kawasan Jalan Petaling dan Brickfields dengan menawarkan 40 hingga 60 peratus pemilikan kepada Bumiputera.

Kata beliau, Kampung Baru sebaik-baiknya dikekalkan sebagai kampung Melayu tradisional dan dinaikkan taraf sebagai kawasan pelancongan kelas dunia seperti yang dilakukan dengan perkampungan Portugis di Melaka.

Dengan cara ini, adalah lebih mudah membuat pembangunan fizikal dan menaikkan nilai ekonomi Kampung Baru tanpa menjejaskan pemilikan oleh orang Melayu, katanya.

Bagi Ahiruddin Attan (rockybru.com.my) pula memetik kenyataan pemilik tanah di Kampung Baru, Baki Husin, yang menyatakan menolak cadangan membuka 40 peratus kawasan itu kepada bukan Melayu dan akan berjuang mempertahankan tanah mereka.

Kata penulis ini, untuk berlaku adil kepada kerajaan, cadangan 60:40 untuk pembangunan kampung tersebut hanyalah satu idea dan ia bergantung kepada maklum balas yang diterima.

“Jadi, berdasarkan maklum balas setakat ini, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu sedar sekarang bahawa tidak semudah berjalan di taman. Pentadbiran sebelum ini pun sudah mencubanya.

“Saya rasa jalan terbaik yang diterima semua ialah mengekalkan pemilikan Melayu di kawasan Kampung Baru sepenuhnya. Jangan cuba memecahkannya,” katanya.

- UTUSAN

Jumaat, Mei 21, 2010

Kisah Bung Moktar, kekalahan BN

Kisah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin yang dijatuhkan hukuman penjara sebulan kerana bersalah berpoligami dan berkahwin dengan pelakon Zizie Izette tanpa kebenaran mahkamah heboh diperkatakan termasuk di kalangan penulis blog. Manakala isu kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu juga masih dibicarakan.

Khairul Rizal Osman dalam Cucu Tok Selampit (khairulryezal.blogspot.com) berkata, beliau tidak faham kenapa Bung Moktar didesak meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen hanya kerana beliau berpoligami tanpa kebenaran, sedang ramai lagi penggubal undang-undang yang melakukan kesalahan yang lebih besar, tetapi tidak pula sehingga menerima desakan sedemikian.

Beliau berkata, berpoligami adalah perkara yang harus dalam Islam dan ia dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran manakala berpoligami juga menjauhkan seseorang daripada maksiat dan zina serta mengelakkan fitnah.

“Cuma pendapat saya, tidak salah sekiranya Bung secara “gentleman” memberitahu dan meminta keizinan isteri pertamanya untuk berkahwin lain. Bukankah isteri pertamanya yang bertungkus-lumus susah senang hidup bersamanya?

“Bukankah isteri pertamanya juga yang membesarkan zuriatnya dengan jerih perih menjadi manusia berguna? Sudah lupakah Bung? Satu lagi nasihat saya, tak perlulah mengusung Zizie Izzete ke majlis-majlis hiburan seperti seorang selebriti, kerana sudah pasti ada hati yang terluka,” katanya.

Mohd. Soberi Shafii dalam Yang Ku Dengar dan Ku Lihat (newkk.blogspot.com) pula berkata, hukuman yang dikenakan ke atas Bung Moktar itu akan menyebabkan isteri pertama dan anak-anaknya bersedih walaupun hati sudah terluka dengan kehadiran Zizie di dalam keluarga mereka.

Katanya, lebih menyedihkan lagi apabila Zizie menunjukkan reaksi gembira di luar mahkamah sedangkan suaminya itu bakal menjalani kehidupan di dalam penjara sekiranya hukuman tersebut kekal.

“Peristiwa ini adalah sebagai satu pengajaran kepada pembuat undang-undang apabila berdepan dengan hakim yang bernama Wan Mahyuddin Wan Muhammad dan juga menjadi satu pengajaran kepada sesiapa yang mahu beristeri muda jangan sekali-kali berkahwin tanpa mengikut undang-undang syariah nikah kahwin.

“Seperti juga kesalahan trafik, boleh lari laju tapi apabila terkena perangkap denda mesti bayar, tak menjadi salah kalau tidak ditangkap walaupun undang-undang mengatakan salah,” kata beliau.

Penulis berkata, banyak lagi kes berkahwin tidak mengikuti undang-undang berlaku terutama oleh orang-orang besar dan berpengaruh tetapi mereka terlepas dan bebas sebaliknya malang menimpa Bung Moktar.

Mengenai pilihan raya Sibu, Siddiq Azani dalam Written By Him (writtenbyhim.wordpress.com) berkata, kekalahan BN di Sibu dan beberapa kawasan lain pada pilihan raya kecil adalah kerana golongan muda semakin menolak parti kerajaan.

Katanya, BN perlu ingat bahawa sebanyak 6 juta pengundi baru bakal mengundi pada pilihan raya ke-13 akan datang, justeru peranan golongan muda tidak harus diketepikan.

“Bapa saya pernah bertanya kepada saya apa punca utama golongan belia menolak BN. Saya jawab mudah, mereka sudah bosan, sejak mereka lahir hingga mereka besar, takda muka lain, asyik muka yang sama.

“Yang paling menyedihkan, tiada apa yang ‘outstanding’ daripada muka-muka lama ini. Bila orang muda mahu masuk politik, kami diperlekeh dan dicantas oleh mereka yang sudah lama bertapak. Bagaimana anda ingat golongan muda mahu menyokong BN?,” katanya.

Kata Siddiq, pihak pembangkang banyak membariskan pemimpin muda dan mereka menjadi pilihan pengundi muda walaupun mereka tahu calon tersebut bukanlah bagus tetapi kerana tidak senang hati dengan BN yang asyik muka yang sama.

“BN harus sedar, ini bukan lagi tahun 1960-an atau 1970-an. Yang dah lama tu terima hakikat sekarang bukan masa anda lagi. Berehatlah. Harta terkumpul pun dah melimpah ruah. Apa nak lagi.

“Tapi golongan muda pun kena pilih juga, bukan main semberono sahaja. Nanti dijualnya negara ni kepada Singapura, susah,” katanya.

Ustaz Said dalam Pandangan Ustaz Said (ustazsaid.blogspot.com) pula berkata, BN wajar menganalisis faktor pertambahan undi untuk DAP manakala BN pula berkurangan dan alasan peratusan keluar mengundi yang rendah bukanlah jawapan terbaik.

“Mungkin benar, seekor ayam berkokok bukan tanda hari sudah siang. Namun, jika tidak berjaga-jaga dan mengambil tindakan drastik, masih lena diulit mimpi, bagai tiada apa-apa yang berlaku, dibimbangi nanti bila hari sudah siang, semuanya sudah terlambat untuk berbuat sesuatu.

“Sewajarnya mana-mana faktor kekalahan ini ditangani segera. Jika perlu ditukar YB yang tidak relevan lagi, tukar saja dengan orang lain. Jangan kerana seekor monyet yang makan nangka, habis semuanya terpalit,” katanya.

Penulis berkata, langkah awal dalam tindakan segera untuk mengelakkan nanah menjadi barah, mungkin dengan pengumuman pelan peralihan kuasa oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Mohd. Taib Mahmud agar rakyat nampak siapa pengganti yang boleh diharapkan.

- UTUSAN

Jumaat, Mei 07, 2010

Petronas, titah Sultan Selangor dan Zaid Ibrahim

Isu pelantikan profesional bukan Melayu ke jawatan tertinggi Petronas dikupas panjang lebar oleh Big Dog. Manakala kenyataan Datuk Zaid Ibrahim berhubung titah Sultan Selangor mengenai larangan berpolitik di masjid dan surau negeri itu mendapat maklum balas beberapa penulis blog.

Mohd. Zakhir Mohamed dalam Big Dog (bigdogdotcom.wordpress.com) berkata, Petronas yang selama ini diterajui oleh profesional Melayu sehingga meletakkan syarikat petroleum negara tersenarai dalam Fortune 500 itu kini membuka pintu kepada profesional bukan Melayu memegang jawatan tertinggi di syarikat itu.

Katanya, antara jawatan yang diambil alih oleh profesional bukan Melayu itu termasuk jawatan yang sebelum ini dilaksanakan dengan jayanya oleh profesional Melayu.

"Ini berlaku dengan proses naik pangkat dan tambahan kepada jawatan eksekutif paling kanan di peringkat Naib Presiden dan Pengurus Besar Kanan yang diperuntukkan kepada profesional Melayu," katanya.

Katanya, malah ada profesional bukan Melayu terbabit merupakan personaliti anti-kerajaan BN dan bekas pemimpin parti pembangkang, di samping personaliti dari luar.

"Apakah tidak wujud lagi profesional Melayu peringkat separa tertinggi dan menengah dalam Petronas yang layak dan mempunyai kemampuan, produktiviti, pengalaman dan daya maju untuk dipertimbangkan ke jawatan tertinggi seperti Pengurus Besar Kanan dan Naib Presiden sehingga diberikan kepada bukan Melayu?

"Penyusunan dan penstrukturan dalaman semula Petronas dalam minggu ini mungkin akan memberikan 'produktif songsang' (counter productive), sekiranya moral majoriti profesional di kalangan orang Melayu dalam syarikat milik penuh kerajaan ini dicalari," katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan memandang perkembangan itu dengan serius agar profesional Melayu yang berkelayakan tidak diketepikan semata-mata untuk memberi laluan kepada profesional bukan Melayu.

Mengenai kenyataan Zaid, Dr. Mohamad Khir Toyo (www.drkhir.com) berkata, tindakan Zaid yang menganggap titah Sultan Selangor itu sebagai pandangan peribadi dan bukannya arahan merupakan satu penghinaan terhadap kesultanan negeri itu.

Katanya, walau apa pun prosedur yang dipertikaikan oleh bekas peguam itu, Undang-undang Tubuh Negeri Selangor secara jelas menyatakan sultan ialah Ketua Agama Islam Negeri yang berhak membuat sebarang titah (arahan) yang wajar dipatuhi.

"Walau apa pun hujahan undang-undang, tindakan mempertikaikan titah Tuanku secara terbuka merupakan satu tindakan biadap. Mungkin perkataan yang lebih tepat ialah kurang ajar kerana Zaid bukan pun anak negeri Selangor.

"Sebagai rakyat Malaysia yang bukan anak negeri Selangor, Zaid sepatutnya lebih menghormati Sultan Selangor, negeri yang beliau duduki hari ini. Inilah negeri tempat beliau mendapat kemewahan dan juga hampir diberi peluang menjadi wakil rakyat dalam pilihan raya kecil lalu. Apakah madu yang diberi oleh Selangor, tuba yang dibalas Zaid?" katanya.

Jelas beliau, dalam hal ehwal agama Islam, titah Sultan Selangor merupakan satu arahan yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan agensi itu hanya bertanggungjawab menasihati dan menjalankan titah sultan.

"Memang benar kita bukan hidup di zaman feudal. Tapi kita ada adab dan budaya yang kalau tidak mahu dijunjung atau dikelek pun, janganlah dipijak.

"Selebihnya saya merasa khuatir jika Zaid sekadar menjadi alat kepada agenda pihak tertentu dalam Pakatan untuk menjadikan negara ini negara republik," katanya.

Syed Ali Alhabshee dalam UMNO Bahagian Cheras (umnobahagiancheras.blogspot.com) pula berkata, gelaran Datuk yang dianugerahkan kepada Zaid patut dilucutkan kerana begitu biadab menghina dan mencerca secara terbuka titah Sultan Selangor.

Katanya, kenyataan Zaid yang mempertikaikan titah Sultan Selangor secara umum turut memberi keaiban kepada kedudukan institusi Raja-Raja Melayu di negara ini.

"Walaupun Zaid seorang Melayu liberal tetapi dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seolah-olah menggambarkan Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai seorang Sultan yang tidak berpelajaran.

"Ini penghinaan yang amat keterlaluan, seolah-olah beliau ingin memberitahu seluruh dunia bahawa Raja-Raja Melayu hari ini adalah warisan sistem feudal yang tidak cerdik serta tidak berpelajaran," katanya.

Khairul Rizal Osman dalam Cucu Tok Selampit (khairulryezal.blogspot.com) berkata, Zaid begitu licik menafsirkan undang-undang mengikut hawa nafsu.

Katanya, memang benar kita bukan lagi berada di zaman feudal seperti zaman Kerajaan Melayu Melaka tetapi apakah beliau lupa bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berteraskan Raja Berperlembagaan.

- UTUSAN

Isnin, Mac 29, 2010

Tinjauan Blog - Calon di Hulu Selangor dan Haron Din

Kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor ekoran kematian wakilnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad mendapat banyak maklum balas daripada penulis blog terutama berhubung calon yang akan ditandingi pada pilihan raya kecil itu nanti, baik penulis prokerajaan mahupun pembangkang.

Tidak kurang hebat adalah kemelut dalam Pas berhubung kedudukan Haron Din yang masih kekal dalam Ahli Majlis Syura sehingga tidak disenangi kalangan penulis pro-Pas.

Dr. Novandri Hassan Basri dalam Minda Intelek Melayu (novandri.blogspot.com) berkata, pilihan raya kecil Hulu Selangor akan menjadi kayu pengukur sebenar Samy Vellu dan MIC setelah dimalukan pada pilihan raya umum lalu.

Tulis beliau, Samy boleh menjadikan Hulu Selangor sebagai gelanggang bagi menebus maruah beliau yang sudah tercalar teruk.

"Selain meletakkan jawatan, Samy sudah tiada cara lain untuk menaikkan imej beliau dan MIC dalam masa terdekat ini kecuali beliau sendiri menjadi calon BN (Barisan Nasional), mengetuai jentera pilihan raya MIC di Hulu Selangor dan menang pilihan raya tersebut!

"Apakah Samy berani dan cukup jantan untuk menyahut cabaran ini?" tulis beliau.

Nada serupa disuarakan oleh Norizan Shariff dalam Bicara Nobisha (nobisha.com) yang berkata, Samy hanya menginginkan Datuk G. Palanivel menjadi calon di Hulu Selangor.

Sedangkan, katanya, BN mahu mengekalkan momentum kemenangan di Bagan Pinang ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu membuktikan penghijrahan ramai wakil rakyat mereka menjadi Bebas tidak memberi kesan kepada parti.

"Memang dari segi pengagihan, kerusi ini milik MIC. Saya difahamkan itulah persefahaman dalam BN. Namun, saya fikir adalah agak kurang matang untuk Samy mengumumkan nama calon yang akan dicadangkan oleh parti itu melalui media.

"Inilah politik lebih sudu dari mangkuk dalam MIC yang menyebabkan rakyat menolak parti itu," katanya.

Norizan berkata, BN harus keluar dari pemikiran lama yang mengekalkan agihan kerusi seperti sebelumnya dan perlu mengambil pendekatan pemasaran politik berdasarkan kehendak pasaran.

"Sekiranya Samy bersungguh-sungguh ingin tunjuk hebat di Hulu Selangor, apa kata dia sendiri bertanding di situ? Lagipun, 'Singa Vellu' telah kecundang di Sungai Siput!," katanya.

Hambali Abd. Latiff dalam Rakyat Malaysia (hambali1.blogspot.com) pula berkata, melihat kedudukan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen Hulu Selangor yang kesemuanya dimenangi oleh BN pada pilihan raya umum lalu, adalah wajar UMNO meletakkan calonnya kali ini.

"Palanivel pernah menang empat penggal. Kenapa untuk menjadi wakil rakyat penggal kelima beliau ditolak? Apa sentimen rakyat di Hulu Selangor?," katanya.

Sementara itu, penulis Tulang Besi dalam Malaysia Waves (www.malaysiawaves.com) begitu hairan apabila Datuk Haron Din yang telah didapati melanggar keputusan rasmi Pas berhubung isu 'kalimah Allah' masih dikekalkan sebagai Ahli Majlis Syura.

Katanya, Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang yang patuh dengan keputusan parti serta tidak pernah melanggar disiplin parti, sebaliknya telah dipecat daripada menganggotai majlis tersebut.

"Ini bermakna, keputusan parti tidak penting untuk ahli Pas mengikutinya. Sesiapa sahaja boleh melanggarnya kerana tetap akan diberikan jawatan.

"Sesiapa yang mengikut dan menjadi penyokong 'Geng Perpaduang' (kumpulan perpaduan) akan terlepas dari apa-apa tindakan disiplin," katanya.

Penulis ini berkata, Presiden Pas jelas tiada maruah apabila keputusan parti yang dibuat atas nama beliau sendiri telah tidak dihormati oleh Harun manakala penggantungan Khalid Samad adalah salah satu tindakan membersihkan mereka yang menentang agenda perpaduan dalam Pas.

"Kalau TGNA (Nik Abdul Aziz Nik Mat) tidak dilantik sebagai Mursyidul Am, usaha membawa Pas kepada UMNO akan lebih rancak lagi selepas ini," katanya.

- UTUSAN

Isnin, Februari 01, 2010

Zahrain, pernyataan bangsa dan kampus

Isu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang melabelkan Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai diktator, chauvinis dan berotak komunis; pemansuhan pernyataan bangsa di bawah Pelan Transformasi Kerajaan dan pilihan raya kampus antara topik-topik menarik hujung minggu ini.

Zulkifli Noordin (zul4kulim.blogspot. com) menulis, beliau terkejut dengan kenyataan yang dibuat Zahrain ke atas Lim Guan Eng yang dianggap lebih kasar berbanding kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh beliau sendiri.

"Kalau saya yang buat kenyataan macam ini mesti dah melenting habis firaun-firaun kecil. Jadi, saya nak tengok apa pula tindakan mereka terhadap Zahrain.

"Apakah mereka akan mengadakan Jawatankuasa Disiplin terhadap beliau, apakah mereka akan minta beliau disepak daripada PKR. Kita tengok apa tindakan yang akan diambil," tulis beliau.

Al-Azharri Siddiq dalam Jentayuabaka (www.jentayuabaka.com) menulis, Guan Eng yang berjanji menggunakan sistem tender yang telus dalam pemberian projek tetapi sebaliknya menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi Lembaga Pemilihan Tender.

"Ada sesiapa di Pulau Pinang boleh senaraikan sejak Mac 2008 berapa tender diberikan kepada orang Melayu, Cina dan India dan kaum-kaum lain secara adil, sama rata dan saksama.

"Ada sesiapa boleh berikan statistik apa projek dan berapa nilai projek yang diberikan kepada orang Melayu, Cina dan India dan kaum-kaum lain?" tulis beliau.

Tulisnya, semua itu perlu didedahkan bagi membuktikan sejauh mana kerakusan dan diktator Guan Eng sehingga menimbulkan kemarahan Zahrain.

Sementara itu, A. Kadir Jasin (www.akadirjasin.com) menulis, beliau akan tetap mempertahankan identiti Melayu dalam Kad Pengenalan dan dokumen-dokumen rasmi lain sekali gus bagi mengesahkan beliau sebagai seorang Muslim dan Bumiputera.

"Oleh sebab itu saya tidak setuju sama sekali dengan cadangan kerajaan supaya pernyataan bangsa dalam borang kerajaan dihapuskan kecuali untuk tujuan bancian dan perangkaan.

"Sesungguhnya saya cukup sedih dan gusar apabila satu demi satu, sedikit demi sedikit apa sahaja yang mengaitkan orang Melayu dengan bangsa, negara dan hak asasinya semakin hari semakin dihakis," tulis beliau.

Tulisnya, membuang pengenalan bangsa dalam borang dan dokumen rasmi merupakan satu lagi contoh ke arah penghapusan identiti Melayu sebagai bangsa majoriti di Malaysia.

Azrinizam Ibrahim dalam Angin Perubahan (anginperubahan.blogspot.com) pula menulis, kebanyakan pelajar universiti kini semakin menolak pimpinan Pro Mahasiswa sehinggakan kumpulan Pro Aspirasi secara majoriti menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Akibatnya, pelajar kumpulan pro-pembangkang itu mula bertindak melampau kerana tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka di beberapa universiti.

Tulis beliau, tahun lalu apabila mereka menang dan menguasai MPP, tiada sebarang impak positif ke arah pembangunan akademik dan menjaga kebajikan pelajar secara terfokus diadakan oleh Pro Mahasiswa.

"Aktiviti mereka hanyalah berdemonstrasi, berkonflik dengan Hal Ehwal Pelajar dan menjemput beberapa tokoh pembangkang masuk ke dalam universiti.

"Apakah mereka ini yang meracuni fikiran pelajar sehingga menjadi melampau sebegitu rupa? Adakah sesiapa yang membantu gerakan mereka?" tulis beliau.

Beliau menulis, universiti adalah tempat untuk belajar dan hormatilah hak majoriti pelajar lain yang telah bersuara melalui undi.

- UTUSAN

Jumaat, Januari 22, 2010

Middle Malaysia, saman dan harga rokok RM50

Oleh LUKMAN ISMAIL

Pendekatan Middle Malaysia yang diperkenalkan oleh DAP ketika konvensyen parti itu baru-baru ini mendapat ulasan di kalangan penulis blog pertengahan minggu ini. Selain isu tragedi perahu naga serta cadangan menaikkan harga rokok sehingga RM50 sekotak, isu itu juga mendapat perhatian penulis.

Mohamad Zakhir Mohamed dalam Big Dog (bigdogdotcom.wordpress.com) menulis, pendekatan Middle Malaysia tersebut mempunyai agenda tersirat yang rasis kerana jika diterjemahkan dalam bahasa Mandarin, ia membawa maksud 'Malaysia untuk kaum Cina.'

Tulis beliau, pendekatan tersebut merupakan agenda parti itu meraih sokongan padu kaum Cina untuk secara rasis menggerakkan agenda agar suatu hari nanti mereka menjadi 'kuasa' dan menubuhkan pemerintahan di Malaysia.

"Agenda Middle Malaysia ini perlu dijayakan dengan kerjasama Pas dan PKR, sebagai 'topeng' untuk meraih sokongan Melayu iaitu komposisi pengundi majoriti setiap kali proses demokrasi berlaku.

"Pemimpin Melayu parti komponen pakatan pembangkang memperkudakan emosi orang Melayu sepenuhnya untuk merealisasikan agenda tersirat yang sebenarnya rasis ini," tulis beliau.

Hamidah Osman (hamidahosman.blogspot.com) pula hairan dengan tindakan pakatan pembangkang yang cepat menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat tragedi jambatan runtuh di Perak tetapi hanya berdiam diri apabila tragedi perahu naga karam di Pulau Pinang.

Malah tiga keluarga mangsa jambatan runtuh mengambil tindakan menyaman kerajaan sebanyak RM105 juta dengan bantuan peguam yang juga orang kanan DAP.

"Kejadian tragedi bot naga terbalik di Pulau Pinang yang mengorbankan enam nyawa amat menyedihkan. Bapa kepada seorang mangsa lemas tragedi perahu naga terbalik itu, bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Sekolah Tinggi Chung Ling, kerana mendakwa mereka mengabaikan keselamatan anaknya dalam latihan mendayung di perairan pantai Macallum.

"Dalam keadaan ini, bapa mangsa bertindak sendirian tanpa bantuan DAP seperti tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang. Tiada pasukan jawatankuasa penyiasat bagi menyiasat tragedi malang itu," tulis beliau.

Beliau menulis, apakah kerana kejadian perahu naga karam berlaku di negeri dikuasai pembangkang maka mereka tidak perlu menubuhkan pasukan penyiasat, sedangkan tragedi jambatan runtuh berlaku di Perak, maka mereka begitu pantas bertindak semata-mata mahu menunjukkan mereka lebih sempurna berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Muhamad Zaini Ibrahim dalam Pakcik.net (pakcik-orangkampung.blogspot.com) menulis, cadangan menaikkan harga rokok sehingga RM50 sekotak dibuat dalam keadaan terlalu emosional dan tidak memikirkan hal-hal lain berkaitan dengannya.

Tulis beliau, cadangan itu amat bernas agar orang ramai tidak mampu membeli rokok tetapi sedar atau tidak, semakin ramai perokok yang lebih cenderung untuk mendapatkan rokok-rokok seludup berbanding rokok yang dijual di pasaran.

"Rokok 'halal' yang dijual dengan harga RM9.30 sudah tidak berapa diminati oleh orang ramai. Mereka sudah berevolusi kepada rokok murah yang rasanya seakan-akan rokok mahal tersebut. Malahan, rokok 'haram' itu pun mudah diperoleh.

"Ia boleh dibeli dengan kuantiti yang banyak. Sekali beli satu karton. Lagi jimat katanya berbanding rokok 'halal' yang mahal itu," tulis beliau.

Beliau menulis, andai kerajaan mahu menaikkan harga rokok ia sepatutnya mengikut pertimbangan yang wajar dan adalah lebih baik andai kerajaan menutup sahaja kilang-kilang rokok dan menjaga pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan rokok seludup.

Blog Mesin Taip Buruk (mesintaipburuk.blogspot.com) pula menulis, cadangan menaikkan harga rokok sehingga RM50 bagi 20 batang adalah melampau dan ia tidak membantu mengurangkan jumlah perokok di negara ini.

Malahan ia boleh mengundang peningkatan jumlah pencuri dan perompak terutama di kalangan remaja yang sanggup berbuat sedemikian semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membeli rokok.

"Cara paling berkesan untuk mengurangkan perokok adalah dengan 'menyusahkan hidup' perokok. Maksudnya, mereka susah nak cari kawasan merokok. Dengan kata lain, kerajaan kena wartakan lebih banyak kawasan larangan merokok.

"Di negara kita, walaupun ada larangan merokok misalnya di restoran, sekolah, hospital, lobi hotel, taman permainan atau di masjid, tetapi tiada siapa peduli. Perokok tetap merokok di kawasan larangan. Tak boleh hisap depan-depan, mereka merokok di tangga kecemasan atau kawasan tersembunyi. Dan mereka yang merokok secara terbuka pula tidak dikenakan sebarang tindakan. Malah tiada siapa berani menegur. Akhirnya peraturan tinggal peraturan dan kebebasan merokok di Malaysia terus dinikmati oleh perokok," tulis blog tersebut.

Blog itu menulis, jika mahu menaikkan harga rokok, beberapa pertimbangan perlu diambil kira dan jangan sampai nanti harga rokok jauh lebih mahal berbanding dengan ganja yang akhirnya menyebabkan jumlah perokok berkurang, sebaliknya jumlah penagih dadah pula bertambah.

Selasa, Januari 19, 2010

Berkongsi ilmu menerusi blog


Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Jika dirujuk kepada Kamus Dewan, globalisasi membawa makna proses yang membolehkan sesuatu aktiviti disebarkan atau diperluaskan ke peringkat antarabangsa atau ke seluruh dunia.

Secara umumnya globalisasi memberi gambaran dunia tanpa sempadan, di mana kita boleh berkomunikasi, bersosial dan berniaga dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia tanpa ada halangan.

Perkembangan Internet yang merupakan medium komunikasi baru pada penghujung abad ke-20 turut menjadikan dunia semakin 'sempit' selain maklumat boleh dikongsi dengan sesiapa sahaja walau di mana berada.

Tidak ada sempadan negara yang boleh menghalang aliran teknologi maklumat (IT) ini.

Masyarakat di seluruh dunia pula tidak boleh dihalang atau di sekat daripada mengakses kepada setiap maklumat yang ada.

Sebab itu Internet kini merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia.

Jika dahulu setiap pengalaman penemuan dicatatkan dalam buku atau jurnal, kini semuanya dimuatkan dalam Internet.

Sebab itu, selaras dengan perkembangan Internet dan teknologi IT, lahirlah pelbagai media alternatif untuk dijadikan bacaan dan rujukan kita.

Portal berita, blog dan laman web sosial seperti Facebook, Twitter dan Myspace kini merupakan sebahagian daripada kehidupan.

Blog umpamanya penuh dengan pelbagai maklumat. Setiap blog akan memaparkan minat dan kebolehan pemiliknya untuk dikongsi bersama dengan pengunjung Internet yang lain.

Rasanya semua orang sudah sedia maklum akan penggunaan blog ini.

Ada blog yang mampu menjadikan pemiliknya kaya. Ada juga yang sekadar untuk berkongsi ilmu dan maklumat.

Jika ia menarik, bersifat interaktif, kreatif dan sering dikemaskini jumlah pengunjungnya atau istilah yang sering digunakan ialah trafik tentu tinggi.

Kebanyakan penulis menjadikan blog sebagai ruang untuk meluahkan idea, mencatat diari atau kisah harian tanpa memikirkan soal keuntungan.

Ia dapat dilihat pada gaya penulisan tidak formal sebaliknya lebih santai, sensasi dan kreatif.

Gaya itu merupakan tarikan dan keistimewaan pada sesuatu blog itu. Ia juga merupakan identiti yang menyebabkan ia digilai dan mempunyai pengikut setia.

Dalam banyak-banyak blog yang boleh dilayari di Internet hari ini, ada dua blog yang berjaya menarik minat penulis untuk terus melekap di hadapan skrin komputer.

Selain isi kandungan yang menarik, dua blog ini menampilkan apa yang dilakukan setiap hari termasuk tip-tip yang berguna untuk dikongsi bersama.

Blog yang pertama berkisarkan kepada pengubahsuaian rumah.

Blog yang boleh dilayari di alamat http://epoi8787.blogspot.com pastinya membuatkan anda akan kembali bertandang berkali-kali.

Laman sesawang peribadi milik Saiful Anuar Abdul Rani, 34, ini sememangnya satu blog yang harus dikunjungi. Ia bukan sahaja menampilkan tip-tip bagi mereka yang ingin mengubahsuai rumah malah memberikan beberapa maklumat yang berkaitan pengubahsuaian rumah.

Dengan menampilkan kerja-kerja pengubahsuaian yang pernah dilakukan, blog Saiful Anuar yang lebih dikenali sebagai DJ Epoi ini sentiasa dikunjungi pembaca, Ini dibuktikan melalui jumlah pelayar yang singgah ke blog ini. Setiap hari jumlahnya meningkat termasuk sehingga kini ia mempunyai 223 pengikut tetap.

Selain isi kandungan yang sarat dengan pelbagai maklumat yang berguna, blog DJ Epoi juga memiliki kriteria-kriteria sebua blog yang menarik. Antaranya aliran trafiknya yang tinggi, isi kandungan penulisan menarik, interaktif, kreatif dan penggunaan bahasa yang mudah.

Jadi tidak hairanlah sekiranya blog DJ Epoi menjadi pilihan pelayar-pelayar Internet untuk mendapatkan petua pengubahsuaian rumah atau khidmat beliau sebagai sebagai seorang kontraktor.

Ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini, DJ Epoi ternyata seorang yang ceria selain tidak lokek untuk berkongsi ilmu atau apa sahaja maklumat untuk kebaikan bersama.

Pada masa yang sama, DJ Epoi menjelaskan bahawa blognya yang dibina dua tahun lalu itu berlandaskan minat selain ingin mengiklankan perniagaan keluarga.

''Sebenarnya saya memang meminati seni halus dan seni muzik sejak dari kecil lagi.

''Bagi merealisasikan minat tersebut saya mengolahkan seni muzik dan seni halus mengikut kreativiti sendiri dan akhirnya inilah (blog) hasilnya.

''Tetapi hakikatnya sudah tujuh tahun saya mengusahakan perniagaan pengubahsuaian ini bersama ahli keluarga yang lain,'' ujar bapa kepada tiga orang cahaya mata ini.

Selain itu, DJ Epoi juga tidak lokek berkongsi ilmu-ilmu lain yang diperoleh.

Ini termasuk pengalaman membawa anak bongsunya menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

Anaknya, Afiq Safwan, lapan bulan, yang menderita penyakit jantung berlubang kini masih lagi mendapatkan rawatan sementara menunggu masa yang sesuai untuk menjalani pembedahan.

''Blog saya yang menampilkan baby Afiq sememangnya blog yang memuatkan semua kisah Afiq.

''Sekiranya semasa mendapatkan rawatan Afiq saya memperoleh ilmu baru, saya akan turut berkongsi dengan rakan-rakan pelayar Internet. Ia agar mereka yang mempunyai masalah yang sama dengan Afiq tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya menghadapi masalah,'' kata DJ Epoi yang sering mengemaskini blognya selepas Subuh.

Berlainan pula dengan blog http://durratulain.blogspot.com yang memberi tumpuan kepada dunai fesyen Ini kerana pemiliknya, Durratul Ain Mohamad, 30, melalui blognya, menurunkan pelbagai panduan dan berita terkini mengenai fesyen dan jahitan untuk tatapan pengunjung.

Bakat yang ada pada Durratul Ain tidak disimpan untuk diri sendiri sahaja. Tetapi kebolehan menjahit yang dimilikinya turut dikongsi dengan pengunjung alam siber.

Malah pemilik Ijazah dalam bidang Juru Ukur Bahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini turut mendapat sokongan padu daripada suami, keluarga dan rakan-rakan untuk terus menulis dan berkongsi ilmu di dalam blog.

''Blog yang saya buat sendiri ini sebenarnya baru lagi, lebih kurang enam bulan.

''Melalui blog ini saya bukan sahaja berkongsi cara-cara menjahit corak-corak yang menarik malah saya turut berkongsi fesyen-fesyen terkini untuk digayakan oleh anak-anak.

''Sebenarnya blog saya ini lebih kepada jahitan pakaian serta fesyen untuk kanak-kanak,'' ujar Penolong Pengurus Bahagian Perolehan di Pos Malaysia ini.

Durratul Ain turut berkongsi beberapa petua atau cara-cara untuk membuat corak-corak serta kraftangan yang menarik untuk dijadikan hiasan rumah.

Blog yang dimiliki oleh Durratul Ain dan DJ Epoi ini merupakan antara yang sarat dengan ilmu dan pengalaman.

Ia merupakan budaya baru di kalangan masyarakat kita terutama yang celik IT untuk berkongsi dan mencari ilmu di Internet.

Ini secara tidak langsung menjadikan blog-blog ini sebagai pencorak kehidupan masyarakat kita.

Ia bukan sahaja dijadikan sumber inspirasi tetapi sering dimanfaatkan untuk memenuhi masa yang terluang.

- UTUSAN

Isnin, Januari 18, 2010

Kalimah Allah, warga asing dan YDP Melaka

Isu-isu berkaitan kalimah Allah masih terus menjadi topik pilihan penulis blog manakala ada yang menyentuh mengenai ‘kehilangan’ warga asing serta isu pemilihan Yang Dipertua Negeri Melaka.

Mohamad Nabzrol Mat Nayan dalam blog Kamal Zailani (sdrkz.blogspot.com) memberi komentar, penerbit Herald - The Catholic Weekly tentu lebih mengetahui nama-nama Tuhan yang terdapat dalam kitab Bible iaitu Jehovah, Yahweh, Eloh, Eli atau El.

Tulis beliau, secara rasionalnya juga penerbit akhbar tersebut boleh menggunakan nama-nama berkenaan dalam penerbitan mereka kerana orang-orang Kristian lebih terdedah kepada nama-nama Tuhan yang terdapat dalam kitab Bible.

“Adalah lebih realistik bagi penerbit Herald itu menggunakan nama Tuhan seperti yang keluar dari lidah Jesus sendiri.

“Orang-orang Islam tidak menterjemahkan Allah kepada bahasa ibunda masing-masing. Ini kerana kalimah Allah tidak sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain. Begitu juga dengan penganut Kristian, mereka sepatutnya mengikuti Jesus dengan menyebut nama Tuhan dalam bahasa asal iaitu bahasa Aramaic iaitu bahasa ibunda Jesus,” tulis beliau.

Reme Ahmad dalam Oped (remgold.blogspot.com) pula menulis, Malaysia telah dikritik oleh media-media asing baik dari Barat mahupun negara jiran kerana isu kalimah Allah dan serangan ke atas gereja.

Tulis beliau, kerana isu tersebut imej negara kini merosot manakala pelabur tentu merasa bimbang dengan situasi itu manakala nama Islam sememangnya sudah gelap sejak 10 tahun lalu.

Tulisnya, jika tidak maka akan adalah menteri yang membuat kenyataan yang diragukan sama ada ia kenyataan peribadi atau keputusan Kabinet, tetapi jelas ia semakin merumitkan keadaan.

Dalam pada itu, Hamidah Osman (hamidahosman.blogspot.com) menulis tentang kehilangan 40,000 warga asing di negara ini yang disifatkannya sebagai sikap mengambil kesempatan terhadap kebaikan kerajaan.

Tulis beliau, sudah tiba masanya semua agensi terlibat duduk semeja dan membincangkan kaedah mengelak warga asing datang dan menetap di negara ini selepas visa mereka tamat tempoh.

“Jangan biarkan warga asing memonopoli ekonomi kita, jangan biarkan mereka memonopoli taman kita. Kota Raya, Pasar Seni dan KLCC sudah jadi tempat tumpuan warga asing.

“Sudah tiba masanya kekang kemasukan mereka dan perketatkan syarat-syarat kemasukan, sama ada untuk bekerja, belajar atau melancong,” tulis beliau.

Tulisnya, tindakan segera perlu diambil bukan ketika isu tersebut sedang hangat sahaja tetapi apabila ia reda, masing-masing mendiamkan diri.

Sementara itu Hasim Mamat dalam blog Musli Oli (konspirasipolitikmelayu.blogspot. com) menulis, apakah Melaka ketandusan tokoh untuk menduduki kerusi Yang Dipertua Negeri itu?

Tulis beliau, selama ini, orang Melaka cukup beralah dan menerima sahaja sesiapa sahaja yang dicadangkan kerajaan untuk menjadi Ketua Negeri Melaka.

“Tetapi walaupun orang Melaka beralah, tidak semestinya tidak ada yang berkecil hati dan terkilan. Bukan terkilan tak dapat jadi Yang Dipertua Negeri tetapi terkilan melihat orang dari negeri lain pula menjadi Yang Dipertua di negeri kita.

“Setiap kali nak pilih Yang Dipertua Negeri yang baru, orang Melaka hilang suara. Ada saja alasan yang akhirnya membenarkan kerajaan pusat yang dipimpin Perdana Menteri membuat pilihan tanpa mengira sensitiviti negeri Melaka,” tulis beliau.

Tulis beliau, pada hakikatnya Melaka tidak pernah kekeringan pemimpin yang layak menduduki tempat penting itu tetapi mereka diketepikan begitu sahaja.

Sabtu, Januari 09, 2010

Hanis Zalikha - Terkenal kerana blog


Hanis Zalikha miliki ribuan pengikut setia. Taip www.inibelogsaya.blogspot.com, hayati bait demi bait dan ayat demi ayat yang dikarang. Selepas sekali bertandang tanpa jemputan, pasti anda akan ketagih untuk berkunjung lagi ke laman sesawang peribadi milik model sambilan, pelakon dan pelajar, Hanis Zalikha Zainal.

Bukan sekadar mengisi masa lapang membaca kisah hidupnya, tetapi melalui blognya juga, pengunjung berpeluang mendapat manfaat melalui panduan dan juga berita terkini mengenai peraduan menerusi online dengan tawaran hadiah lumayan.

Baru-baru ini, blog gadis jelita berusia 19 tahun itu dicalonkan untuk kategori Best Celebrity Blog di Nuffnang Asia Pasific Blog Award yang berlangsung di Singapura.

Tidak pernah terduga mampu berada di dalam senarai ‘Top 5’, beliau sendiri tidak pernah meletakkan dirinya sebagai orang yang layak meraih gelaran itu disebabkan tidak bergiat aktif di dalam bidang peragaan atau lakonan.

Namun, Hanis yang pernah membintangi filem Momok the Movie bersama juara Raja Lawak, Nabil, Faizal AF dan Mama Rina akur dengan kenyataan daripada penganjur yang meletakkan syarat kelayakan bertanding jika ada deretan peminat setia yang mengikuti setiap post terbaru berkaitan kerjaya atau kisah peribadinya.

“Malam gala diadakan pada 23 Oktober lalu, selang lima hari sebelum peperiksaan akhir, tetapi saya beruntung kerana keluarga tidak pernah membantah atau meletakkan syarat jika ingin menghadiri sebarang acara.

“Pada mereka, saya sudah cukup matang untuk memikirkan baik dan buruk dalam setiap perkara. Lagipun saya sudah memperuntukkan waktu tertentu untuk fokus kepada pelajaran sebelum memikirkan aktiviti sampingan seperti bidang peragaan, lakonan atau aktif berblog,” kata pelajar tahun dua jurusan Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Segamat itu.

Bertuah menjadi Hanis Zalikha kerana bukan hanya cantik, malah santun gadis Melayu masih terserlah di dalam dirinya. Tidak hanya itu, Hanis juga adalah pelajar bijak tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Baru-baru ini, Hanis turut membanggakan keluarga apabila memperoleh keputusan cemerlang dengan nilai CGPA 3.94 pada peperiksaan akhirnya.

Melalui entri berjudul Tips Belajar Bersama Hamis, beliau turut berkongsi beberapa petua yang diamalkan untuk cemerlang di dalam pelajaran. Antaranya, Hanis sendiri mengamalkan diet ikan seminggu sebelum peperiksaan berdasarkan fakta diperolehnya menerusi iklan memberitahu, pengambilan ikan akan memberi Omega kepada otak.

“Bagaimanapun, saya percaya pada doa sendiri, ibu dan ayah, doa guru juga rakan. Jangan lalai untuk selalu doakan kejayaan orang sebab bila kita doa untuk orang, kita mendoakan untuk diri kita sendiri,” katanya.

Sehingga artikel ini ditulis, blog milik Hanis mempunyai seramai 6,204 peminat dan 3,780 pengikut yang sentiasa tertunggu-tunggu entri terbaru daripadanya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan wajah jelita dimilikinya menjadi penyumbang kepada pertambahan bilangan pengunjung ke blog ini, manakala konsep blog yang lebih terarah kepada gaya hidup membuatkan pengunjung tertarik untuk menjadi pengikut setia.

Kata Hanis, beliau mula membina laman blog sendiri sejak dua tahun dulu kerana minatnya dalam bidang penulisan.

“Ketika di bangku sekolah pun saya sudah punyai blog sendiri, tapi ia tidak dipamerkan kepada umum kerana blog itu saya bina hanya sebagai medium untuk meluahkan perasaan yang bergolak dalam jiwa seorang remaja,” katanya sambil tersenyum manis.

Kali ini, Hanis cuba menzahirkan budaya baru di kalangan penduduk negara ini iaitu blogging sebagai satu kaedah meluahkan rasa hati dan juga agenda terbesarnya, meningkatkan jati diri.

“Bila dapat e-mel daripada pengunjung yang berpendapat cerita atau panduan dikongsi melalui blog boleh dijadikan sumber inspirasi kepada mereka, ia secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan untuk saya terus berusaha menjadi lebih baik,” katanya.

Selain itu, Hanis juga tidak lokek berkongsi ilmu yang diperolehnya sepanjang berkecimpung di dalam bidang peragaan misalnya ketika disolek jurusolek berpengalaman.

“Sambil disolek, saya akan tanya cara solekan yang betul atau petua tertentu diamalkan mereka. Seronok sebab masing-masing ada pengalaman dan kaedah solekan tersendiri dan bagi mereka yang berani mencuba, saya kongsi semuanya di blog,” kata Hanis yang memperuntukkan tiga atau dua jam sehari untuk menulis di blog.

Melalui agensi perhubungan awam yang menguruskan kerjayanya, Hanis turut berpeluang menerima jemputan untuk membuat liputan acara berkaitan fesyen, pelancaran produk kecantikan dan peraduan ditawarkan dalam talian.

“Secara tidak langsung, saya berpeluang mendapat ramai kawan selain merasai keseronokan mencuba produk kecantikan sebelum dikongsi bersama rakan di blog.

Memang seronok kerana bidang kecantikan antara cabang minat yang saya suka,” katanya sambil melabel diri sebagai ‘tikus putih’.

Bercita-cita untuk bergelar ahli perniagaan berjaya, Hanis mengakui minatnya sedikit sebanyak dipengaruhi bapanya, Zainal Rashid, 58, yang memiliki syarikat perunding perniagaan sendiri.

Katanya aktiviti blogging juga jika dimanfaatkan dengan betul dapat membantu menambah ‘wang saku’ terutama melalui iklan Nuffnang dan juga pendapatan hasil ulasan produk.

“Pendidikan saya dibiayai oleh wang pendapatan daripada blog dan saya gembira walaupun baru dua tahun aktif blogging, ‘inibelogsaya’ mampu menjana pendapatan daripada iklan sekitar RM3,000 sebulan,” katanya sambil memberitahu pengunjung blog boleh mengikuti perkembangan terkini dirinya menerusi Twitter (www.twitter.com/haniszalikha).

Sekeluarga ada blog


Ibu Hanis, Nani turut memiliki blog yang digunakan untuk biskut dan kek.

Selain Hanis, ibu dan adik beradiknya juga masing-masing memiliki blog sendiri. Kata Hanis, ada juga lelaki yang mengambil peluang mendekati ahli keluarganya melalui blog termasuk memikat hati ibunya sebelum ‘masuk jarum’ untuk bertanyakan kisah peribadi Hanis.

Ini diakui ibunya, Nani Rostam, 43, suri rumah yang mengendalikan laman sesawang peribadi untuk memasarkan kek dan biskut tart nenas sesuai untuk dibuat hantaran pertunangan atau perkahwinan.

“Walaupun bergelar suri rumah, kesuntukan masa menghalang saya untuk bebas melayari Internet setiap hari,” katanya yang biasanya memperuntukkan waktu senggang pada tengah malam untuk menghantar entri baru.

Menggunakan tajuk blog Model 80-an, kebiasaannya Nani akan memasukkan entri berupa puisi atau sajak berkisarkan mengenai kehidupan yang dikarangnya secara spontan.

“Seronok juga melihat ada pengunjung yang mengambil berat bertanyakan keadaan apabila ada puisi yang dihantar seperti menggambarkan kesedihan hati sedangkan ia tiada kaitan dengan diri,” katanya tersenyum.

Sesuai dengan genre blog, Nani menyimpan impian untuk berkongsi resipi masakan seperti yang pernah dilakukan dulu, tetapi kesibukan menjadi penghalang selain sering terlupa mengambil gambar masakan kerana anak-anak terlebih dulu menyerbu untuk menikmati hasil air tangannya.

Tambah wanita kelahiran Pontian, Johor itu lagi, walaupun blog sering dianggap perantara yang sering menjadi pilihan anak muda mengekspresi diri, baginya aktiviti blog mempunyai kelebihan tersendiri terutama sebagai medium pengiklanan.

“Di sini saya iklankan mengenai jualan kek dan biskut tart nenas dihasilkan sendiri, juga perkhidmatan solekan pengantin dan iklan sampingan sebagai usaha menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Sementara tiga adik Hanis, Ahmad Imran, 12, Hafiizhullah Ariif, 11, dan Nur Sarah Alisya, 9, mengendalikan satu blog yang dikongsi bersama iaitu Monster Jambu, tempat mereka berkongsi aktiviti harian bersama keluarga dan juga rakan.

Kata Ahmad Imran atau lebih mesra disapa Im, masing-masing diperuntukkan waktu untuk menghantar entri mengikut giliran dan syarat ditetapkan oleh kakaknya itu harus dipatuhi.

“Kak Hanis memberi cadangan supaya kami berkongsi hanya satu blog dan kami akur kerana kadang-kadang kami kehausan bahan. Jadi jika tiga orang yang uruskan, sekurang-kurangnya setiap orang mempunyai masa untuk memikirkan apa isi seterusnya,” katanya yang memperoleh keputusan cemerlang 5A di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.

Menurut Hafiz, memiliki blog memang menyeronokkan dan beliau sendiri tidak menyangka ramai rakan sebaya mereka turut membina blog.

“Tapi paling seronok apabila ada juga guru di sekolah yang menegur mengikuti blog saya dan lebih seronok, mereka memuji Kak Hanis dan mama cantik,” katanya ringkas.

Alisya pula menjadikan Hanis sebagai sumber inspirasi dan dia mengimpikan untuk menjadi blogger terkenal seperti kakaknya, malah mampu memperoleh pendapatan menerusi blog.

“Selain blog, kami semua juga ada Facebook, tapi jenuh juga hendak yakinkan Kak Hanis yang ‘budak kecil’ seperti kami juga layak memiliki akaun Facebook,” katanya.

Kata Hanis, selain tiga adiknya itu, kakak sulungnya, Liana Ezzana turut membina laman sesawang peribadi sendiri menyemai konsep diari kehidupan. Bagaimanapun, Liana Ezzana yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bangunan tidak aktif sepertinya kerana sibuk bekerja.



Profil

Hanis Zalikha Zainal

Profesyen: Model dan pelakon sambilan, pelajar

Usia: 19 tahun

Tempat lahir: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Ketinggian: 168 sentimeter

Berat: 50 kilogram

Adik-beradik: Anak kedua daripada enam beradik.



Info

Panduan menjadi penulis blog berjaya oleh Hanis Zalikha

# Alamat blog senang diingat dan difahami, tetapi unik.

# Tajuk blog mestilah hebat.

# Tajuk entri menarik.

# Isi entri setimpal dan bagus.

# Elakkan mengeja perkataan dengan ejaan pasar.

# Kosa kata yang luas atau dalam kata lain search engine (SEO).

# Letakkan gambar yang menarik.

# Pelbagaikan topik dibincangkan di blog.

# Tema yang menarik , 'Simple but nice, cliche but true'.

- BERITA HARIAN

Jumaat, Januari 08, 2010

Tinjauan Blog - Kalimah Allah, harga minyak, istana Kelantan

Isu-isu yang dipaparkan oleh blog-blog pada pertengahan minggu ini masih lagi mengenai isu kalimah Allah, selain harga minyak dan kehangatan istana Kelantan turut disentuh oleh beberapa penulis.

Hilbert Montell dalam Anak Merdeka (hilbertmontell-anakmerdeka.blogspot.com) menulis, pihak gereja Katholik di seluruh negara harus tahu bahawa kalimah Allah yang digunakan dalam apa juga ibadat orang Kristian di negara ini adalah diambil daripada kitab Injil yang diterbitkan dalam bahasa Indonesia.

Tulis beliau, kalimah Allah di dalam agama itu hanya terdapat dalam kitab Injil berbahasa Indonesia yang digunakan secara meluas oleh kaum Bumiputera di Sarawak dan Sabah sejak dahulu lagi.

“Dalam kitab Injil berbahasa Inggeris atau Bible atau di lain-lain negara, perkataan Allah memang langsung tiada didapati. Dalam perkara ini, penganut Kristian di Sarawak termasuk saya sangat keliru berkenaan perkembangan ini.

“Orang Kristian harus jujur mengakui bahawa kalimah Allah adalah hak mutlak orang Islam dan apa juga usaha untuk mempertahankan perkataan itu adalah milik bersama orang Kristian dan Islam adalah satu kesilapan,” tulis beliau.

Beliau menulis, pihak gereja perlu mencari jalan perdamaian yang sejajar dengan tuntutan agama itu agar kesilapan yang berlarutan ini dapat diperbetulkan.

Mohd. Sayuti Omar dalam Merah Tinta (msomelayu.blogspot.com) mendedahkan surat Persatuan Gereja Seluruh Sabah (PGSS) berhubung sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap penggunaan perkataan Allah oleh agama lain, sehingga dianggap layak menjadi Perdana Menteri kerana pemimpin tersebut seorang yang bersikap terbuka dan liberal.

“Saya cuba mendapat pengesahan daripada pihak tertentu berhubung kesahihan surat berkenaan dan apakah tujuan ia disebarkan. Apakah ia benar dikeluarkan oleh pihak PGSS atau sebaliknya,” tulis Mohd. Sayuti. Beliau mempersoalkan kenapa surat itu disebarkan ketika isu penggunaan kalimah Allah sedang menyemarak?

Sementara itu, Dr. Mohamad Khir Toyo (www.drkhir.com) pula menulis tentang cadangan pengenalan harga petrol dua peringkat iaitu satu yang lebih rendah daripada harga pasaran, manakala yang kedua di tahap harga pasaran. Tulis beliau, walaupun dalam sesetengah hal, subsidi perlu dikurangkan, namun ia tidak seharusnya melalui proses yang begitu kompleks dan akhirnya menyusahkan rakyat.

“Sistem ini akan menimbulkan pelbagai isu seperti kegagalan membeli petrol akibat kerosakan cip Mykad. Perbezaan nama dalam pendaftaran kereta dengan pemandu, sehinggalah percubaan untuk menipu sistem dan sebagainya.

“Saya khuatir akhirnya nanti sistem yang dirancang untuk mengurangkan subsidi dan menambah pendapatan negara dimanipulasi dan lebih merugikan negara,” tulis beliau.

Mohd Soberi Shafii dalam Yang Ku Dengar dan Ku Lihat (newkk.blogspot.com) menulis, laporan media yang menunjukkan wujud kemelut dalam istana Kelantan sedikit sebanyak menjejaskan institusi keluarga diraja negeri itu.

Tulis beliau, di mana letaknya Majlis Penasihat Raja yang berfungsi menasihati keluarga diraja dalam menyelesaikan sebarang masalah sehingga tercetusnya berita itu.

“Dan bagaimana peranan kerajaan negeri sehingga boleh membiarkan perkara yang tidak sepatutnya berlaku telah berlaku. Bagaimana seorang Menteri Besar tidak endah kepada titah Tuanku untuk menghadap dan dengar khabar, Timbalan Menteri Besar pergi menghadap Tuanku pada pukul 3 pagi. Mengapa perkara ini boleh terjadi?”

- UTUSAN

Jumaat, Disember 25, 2009

Tinjauan Blog - Media, rasis dan republik Malaysia

Rasis oleh media bukan berbahasa Melayu serta usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik adalah antara yang dikupas oleh para penulis blog beberapa hari ini.

Raja Petra Kamarudin dalam Go Malaysian (gomalaysian.blogspot.com) menulis, negara memerlukan sekurang-kurangnya satu atau dua generasi lagi sebelum orang Melayu berasa selesa untuk berbincang tentang penghapusan sistem beraja dan mengubah Malaysia menjadi sebuah republik. Katanya, ini pasti akan berlaku kerana sistem beraja termasuk raja berperlembagaan adalah sistem yang sudah ketinggalan zaman.

“Jadi, menjelang 2100, kemungkinannya adalah besar bahawa kerajaan yang berasaskan monarki tidak lagi wujud. Kita kini berbicara tentang raja-raja Melayu. Maka kita perlu memberikan waktu bagi orang Melayu bersiap sedia untuk menyingkirkan raja-raja mereka,” tulisnya.

Dr. Siddiq dalam Written By Him (writtenbyhim.wordpress.com) yang mengulas tulisan Raja Petra itu berkata, beliau terkejut dengan gesaan Malaysia Today yang mahukan rakyat menghapuskan sistem beraja dan membentuk republik.

Katanya, Raja Petra perlu bertanggungjawab dan bukannya melempar batu kemudian bersembunyi di sebalik tembok apartmen di London.

“Inilah lelaki yang menyokong liberalisasi dalam pakatan pembangkang. Lelaki ini yang tidak habis-habis dengan propagandanya. Saya tertanya-tanya apakah reaksi Melayu dalam pakatan pembangkang tentang tulisan ini. Mahukah mereka menjilat punggung RPK?” tulisnya.

Blog Maharaja Blogger (maharajablogger.blogspot.com) menyentuh sikap kecinaan akhbar-akhbar berbahasa Cina yang masih memperjuangkan kebudayaan dan identiti ibunda mereka.

Tulisnya, hal ini berbeza dengan Singapura yang menutup semua institusi kebudayaan Cina termasuk sekolah dan universiti sejurus mencapai kemerdekaan.

“Memang benar orang Cina di Barat seperti Amerika dan Kanada mendapat layanan yang baik. Sebab utamanya ialah kerana mereka tidak membuat tuntutan berbentuk perkauman seperti menuntut bahasa Cina diberikan pengiktirafan dalam pelajaran dan persekolahan seperti di Malaysia,” katanya.

Tulisnya, bagaimanapun kaum Cina di Singapura tidak dapat menikmati kehidupan mewah dengan berumah banglo, berkereta mewah melainkan benar-benar berjaya dalam perniagaan berbanding di Malaysia walaupun mereka hanya penjual sayur atau penjaja.

“Malaysia ketika ini didatangi orang Cina dari China yang mahu mencari pekerjaan dan cuba menetap di sini. Mereka sanggup menghadapi risiko masuk secara haram.Percayalah jika dibuka pintu untuk orang Singapura menjadi rakyat Malaysia, maka ramai yang akan meninggalkan negara itu,” tulis beliau.

Cucu Tok Wan dalam Depa Kata (depa-kata.blogspot,com) menulis, ramai yang terlepas pandang terhadap akhbar berbahasa Cina yang menghasut dan rasis.

Tulisnya, pemimpin pembangkang sering menguar-uarkan Utusan Malaysia sebagai rasis sedangkan mereka tidak pernah menyebut sekali pun tentang akhbar-akhbar Cina.

Tertanya-tanya kita tentang fungsi sebenar Kementerian Dalam Negeri (KDN) terutama yang membabitkan unit penerbitan, akhbar dan majalah.

“Kalau yang berbahasa Melayu, bukan main pantas lagi bertindak. Tak cukup permit penerbitan digantung, pemiliknya dipanggil menghadap bahkan dikenakan ancaman penjara dan denda kerana melanggar peraturan permit.

“Namun apabila membabitkan Cina atau Tamil, KDN seolah-olah buta mata dan hilang keberanian. Boleh jadi, tak ada penterjemah atau mereka yang boleh membaca tulisan Cina dan Tamil di KDN,” katanya

- UTUSAN

Jumaat, Disember 18, 2009

Tinjauan Blog - ‘Ponteng’ sidang Parlimen dan mogok menulis Zaini

Ketidakhadiran ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ketika meluluskan usul Bajet 2010 yang hampir menumbangkan kerajaan serta mogok menulis oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Zaini Hassan antara isu yang dikupas oleh para penulis blog pertengahan minggu ini.

Norizan Shariff dalam Nobisha (nobisha.blogspot.com) menulis, penyokong BN boleh menyalahkan pembangkang atau memberikan pelbagai alasan tentang insiden majoriti tipis ketika meluluskan usul bajet tersebut tetapi yang jelas wakil rakyat BN tidak mengambil berat tugas mereka.

Tulis beliau, hal yang serupa berlaku di Dewan Undangan Negeri sehingga menyebabkan ADUN Kota Seputeh digantung dan kerusi kawasan itu telah diisytiharkan kosong oleh mahkamah kerana wakil rakyat terbabit tidak menghadiri sidang DUN dua kali berturut-turut.

“Sikap acuh tak acuh inilah yang menyukarkan BN untuk kembali memenangi hati rakyat yang kecewa dalam pilihan raya umum ke-12 dulu. Untuk berubah, BN usah menyapu masalah ini di bawah permaidani,” tulis beliau.

Tulis beliau, apa yang berlaku malam tersebut tidak boleh diterima, walau apa pun alasan yang diberikan kerana sewaktu dewan bersidang anggota legislatif adalah di Parlimen dan bukannya di pejabat, luar negara atau di majlis keramaian.

Blog UMNO Johor (umnojohor.blogspot.com) menulis, sewajarnya ahli-ahli Parlimen yang tidak mempunyai jawatan dalam Kabinet perlu menumpukan masa mereka di Parlimen.

Tulis beliau, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN perlu meminta surat tunjuk sebab dari ahli-ahli Parlimen BN yang tidak hadir sidang dewan dua kali berturut-turut manakala ketua whip BN pula diberi peluang menggunakan kuasa sepenuhnya untuk mendisiplinkan mereka.

“Ahli Parlimen BN perlu berhenti daripada mimpi-mimpi indah seperti menukar kereta mewah, berkahwin dengan artis, menuntut jawatan menteri dan bermacam lagi sedangkan gara-gara sikap tidak bertanggungjawab andalah yang meletakkan kerajaan BN hampir ditumbangkan.

“Ini bukannya zaman dahulu kala. Kini rakyat memerhati sama ada ahli Parlimen yang dipilih menjalankan tanggungjawab mewakili mereka di Parlimen atau asyik menghilangkan diri.

“Jika tidak mampu, undurlah dan beri peluang kepada mereka yang lebih bertanggungjawab!,” tulis blog tersebut.

Hambali Ab. Latiff dalam Rakyat Malaysia (hambali1.blogspot.com) menulis, BN tidak sepatutnya menuding jari kepada pihak pembangkang kerana cuba menggagalkan Bajet 2010 daripada diluluskan Parlimen kerana itu adalah tugas mereka untuk memalukan BN.

Tulisnya, tindakan pemimpin BN yang marahkan pembangkang dan beranggapan mereka mengamalkan politik samseng kerana menggunakan Bajet 2010 untuk menggulingkan kerajaan merupakan kenyataan yang tidak berdasarkan realiti politik semasa.

“Juga nampak sangat ahli Parlimen BN masih tidak mengendahkan pentingnya undi di Dewan Rakyat, khususnya perkara membabitkan bajet.

“Bukan sekadar longgar tetapi memalukan apabila kita menuding orang lain tetapi tidak melihat diri sendiri. Cerminlah apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen BN sendiri,” tulis beliau.

Sementara itu, Ahmad A. Talib dalam Pahit Manis (ahmadatalib.blogspot.com) menulis, tulisan Zaini Hassan yang juga Penolong Ketua Pengarang, Kumpulan Utusan bertajuk “India di India, India di Malaysia” rupa-rupanya menjadi hangat dan ditentang sebahagian pembaca keturunan India di negara ini.

Tulis beliau, tentangan seperti itu adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh para penulis tanah air kerana sikap masyarakat kita yang tidak senang dengan buah fikiran orang lain.

“Saya harap Zaini jangan pedulikan sangat pandangan mereka ini dan terus menulis. Jika Zaini tidak menulis, maka bergembiralah mereka yang berusaha melenyapkan suara seorang lagi penulis kita.

“Soalan saya pada Zaini, mengapa biarkan mereka lenyapkan suara mu yang lantang beb?” tulis beliau.

Penulis blog Mummy Rokiah (mummyrokiah.blogspot.com) pula menulis, beliau percaya ramai lagi editor lain yang menghadiri forum tersebut lebih celupar berbanding Zaini dan mereka boleh menulis perkara yang lebih teruk dari itu.

Bagaimanapun, tulis beliau, tindakan mogok menulis yang dilakukan oleh Zaini adalah satu tindakan yang terburu-buru.

“Zaini nampaknya terperangkap dalam ‘gempaq kelin’ yang dilakukan oleh mereka yang tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka selalu bikin kecoh, kecoh, kecoh dalam negara ini.

“Zaini seharusnya terus menulis dan tidak melancarkan mogok kerana ini adalah perangkap “gempaq kelin”,” tulisnya.

- UTUSAN

Isnin, Disember 14, 2009

Presiden PAS rasmi Konvensyen Blogger 20 Dis 2009

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dijangka akan merasmikan Konvensyen Blogger PAS anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat pada 20 Disember di Dewan Datuk Fadhil Noor, Markaz Tarbiyyah PAS Taman Melewar.

Turut akan dilancarkan pada konvensyen tersebut adalah Kelab Blogger PAS sebagai pengiktirafan parti itu kepada penulis blog yang selama ini menyokong perjuangan PAS.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu, program tersebut juga kini dibuka bukan sahaja kepada ahli PAS malah kepada penyokong biasa.

Ianya ekoran terlalu banyak permintaan yang mahu penyertaan ke program tersebut dibuka lebih luas.

"Berikutan begitu banyak permintaan kalangan Blogger yang menyokong PAS bagi menyertai Konvensyen Blogger PAS 2009, maka Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan ini membuka penyertaan yang sebelum ini dihadkan kepada Blogger kalangan ahli PAS sahaja kepada semua blogger-blogger pro-PAS yang berminat." katanya.

Kepada mereka yang berminat tetapi masih belum mendaftar, bolehlah berbuat demikian dengan nmenghantar maklumat seperti nama sebenar, nombor kad pengenalan, alamat blog, email dan nombor telefon bimbit ke alamat email : penerangan.paspusat@yahoo.com

Tarik tutup pendaftaran pula adalah pada 18 Disember ini.

"Manakala Ketua dan Setiausaha Penerangan PAS disemua peringkat yang bukan blogger diwajibkan hadir bagi mendapatkan informasi terkini perkembangan dunia siber bagi membantu gerak kerja parti dimasa akan datang," katanya.

- HARAKAH DAILY

Jumaat, Disember 11, 2009

PM saran kod etika blog

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau sentiasa mengatakan media baru atau Internet memainkan peranan penting kepada masa depan politik dan sivil rakyat negara ini.

Perdana menteri berkata medium itu penting bagi kebenaran didedahkan melalui laporan yang bertanggungjawab.

"Oleh sebab itu saya amat berminat bila mendapati ada satu Kod Etika Penulis Blog yang mungkin boleh diterima pakai oleh para penerbit," kata beliau dalam blognya www.1malaysia.com.my semalam.

Disiarkan dalam laman berita internet, garis panduan untuk penulis blog itu didasarkan kepada kod etika Persatuan Wartawan Profesional yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Berikut adalah beberapa petikan bahawa penulis blog hendaklah:

- Jujur dan adil dalam mendapatkan, melapor dan menginterpretasi maklumat,
- Jangan sekali-sekali menciplak,
- Mengenal pasti dan membuat pautan pada sumber apabila sesuai dan boleh dilaksanakan,
- Jangan sekali-kali menyiarkan maklumat yang diketahui tidak tepat dan jika menyiarkan maklumat yang boleh dipersoalkan, pastikan dijelaskan akan keraguan tentang maklumat tersebut,
- Bezakan antara sokongan, komentar dan maklumat berdasarkan fakta,
- Mengakui akan kesilapan dan membetulkannya dengan segera,
- Perlihatkan cita rasa yang baik. Elakkan daripada memenuhi kehendak rasa ingin tahu yang mengerikan atau sensasi,
- Jelaskan setiap misi blog dan alu-alukan dialog dengan khalayak ramai tentang kandungan dan cara pengendaliannya oleh penulis blog,
- Mendedahkan pertentangan kepentingan, penggabungan, aktiviti dan agenda peribadi,
- Mematuhi piawaian yang tinggi yang sama seperti mana yang mereka harapkan daripada pihak lain.

Najib berkata beliau mendapati piawaian seperti itu amat penting ke arah membina satu dialog yang dihormati serta produktif dan akan berusaha untuk patuh kepada piawaian itu sedapat mungkin.

- BERNAMA

Tinjauan Blog - Ketuanan Melayu dan politik UMNO

Oleh LUKMAN

Isu ketuanan Melayu yang kembali dibangkitkan oleh bekas Presiden Gerakan, Tun Dr. Lim Keng Yaik menjadi topik pilihan dalam kalangan penulis blog, pertengahan minggu ini.

Redzuan Mohd. Junid dalam Demi Agama, Bangsa & Negara (rmf7.wordpress.com) menulis, amat jelas dalam BN sendiri wujud perselisihan pendapat berhubung ketuanan Melayu dan ia memerlukan tindakan segera Perdana Menteri.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil ke atas mana-mana pihak yang mengapi-apikan isu ketuanan Melayu bagi mengelak berlaku perkara lebih buruk khususnya melibatkan hubungan antara kaum di negara ini.

“Artikel 153 Perlembagaan Malaysia dengan jelas memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Malaysia.

“(Tetapi) Apa yang kita lihat sekarang terlalu banyak isu perlembagaan yang dipertikaikan tanpa diambil tindakan oleh pihak kerajaan. Pengajaran harus dilakukan kepada individu ini.

“Ini bukan menghalang untuk kebebasan bersuara akan tetapi ini menunjukkan betapa mereka tidak menghormati apa yang telah termaktub didalam Perlembagaan Malaysia,” tulis beliau.

Menurutnya, mereka yang terbabit juga jelas tidak memperjuangkan sesuatu untuk negara tetapi berjuang untuk bangsa masing-masing dan seboleh-bolehnya untuk menguasai sepenuhnya negara ini.

Syed Imran dalam Kuda Ranggi (kudaranggi.blogspot.com) pula menulis, pemimpin veteran itu telah mencabar ketuanan Melayu dengan meminta semua wakil rakyat parti itu membangkitkan isu tersebut tanpa ragu-ragu dan khuatir tentang padahnya.

“Saya tidak mahu ulas lanjut kerana selama ini pun ramai pemimpin Melayu, sama ada dari kalangan pemimpin UMNO mahupun NGO Melayu, yang begitu lantang, bersemangat dan beria-ia nak pertahankan ketuanan itu.

“Di mana mereka sekarang menjadi tanda tanya. Adakah keberanian mereka tidak lebih daripada hangat-hangat tahi ayam demi kepentingan politik. Mungkin ada kebenarannya,” tegas beliau.

Che Wan dalam Pusaka Ayahnda (pusakaayahnda.blogspot.com) menulis, beliau hairan dengan pemimpin kaum lain yang begitu takut dengan istilah ketuanan Melayu sedangkan sejak merdeka hingga kini, mereka telah diberikan ruang seluas-luasnya untuk mencari rezeki di tanah Melayu.

Tulis beliau, kaum bukan Melayu telah memonopoli ekonomi negara dan menguasai hampir kebanyakan syarikat besar manakala dalam bidang pendidikan, sekolah-sekolah jenis kebangsaan diberi ruang bertapak sementara amalan ritual agama mereka juga tidak pernah dihalang.

“Jadi, apa lagi yang masih belum cukup? Selama ini orang melayu tidak pernah berebut hak dengan bangsa-bangsa lain di negara ini.

“Orang Melayu sanggup berkongsi tanah kampung dan juga kawasan dengan bangsa-bangsa lain tanpa prejudis. Malah, pemimpin Melayu juga sanggup berkongsi kuasa pemerintahan. Apakah ini belum cukup baik bagi kaum bukan Melayu?” tulis beliau.

Beliau berkata, ketuanan Melayu adalah warisan turun-temurun bangsa Melayu dan telah termaktub dalam perlembagaan tentang hak-hak keistimewaan Melayu.

“Ketuanan Melayu tetap akan dipertahankan oleh generasi Melayu kini biar setinggi manapun harganya!” tegas beliau.

Ibrahim Yahya dalam Dunia Tiger (duniatiger.blogspot.com) menulis, usaha pemimpin politik tertentu yang mula mempermainkan isu sensitif yang bertentangan dengan Perlembagaan hanyalah sematamata mahu menunjukkan bahawa merekalah wira terbaru yang perlu disanjung.

“Sebenarnya, mereka inilah yang akan menghancurkan negara jika semangat atau isu yang dibawa benar-benar menyinggung perasaan orang lain. Boleh membuat individu memberontak.

“Ketika itu, segala yang hancur menjadi debu tidak boleh digunakan untuk membina tembok kejayaan selama ini. Tembok debu yang lemah. Tembok debu yang berjaya dibina itupun akan runtuh pada bila-bila masa saja. Apatah lagi ada usaha berterusan untuk meruntuhkannya secara sistematik dengan bantuan pihak yang berkepentingan,” tulis beliau.

Sementara itu, Abd. Bashid Harun dalam Panduan Guru-guru Malaysia (gurubashid.com) pula menulis, dalam politik bukan semua perkara yang diketahui perlu dimaklumkan, sebaliknya sebahagiannya perlu disimpan demi kebaikan parti.

Dalam politik tidak cukup sekadar berbuat baik tetapi perlu ada kebijaksanaan dan ia hanya dizahirkan pada masa masa dan situasi yang diperlukan.

“Anda patut tahu yang mana patut diluahkan dan yang mana patut disimpan sahaja. Ada kalanya anda boleh menyebutnya sahaja tanpa mengulas panjang tentangnya.

“Ada sesuatu yang anda rasa baik pada diri anda tetapi sebenarnya tidak baik untuk parti. Ini Malaysia dengan segala realitinya, bukan sebuah dunia impian,” tulis beliau lagi.

Menurutnya, sejak UMNO diasaskan, parti itu membesar dan berkembang bukan melalui polemik dan debat tetapi dengan bekerja.

“Itu ‘trade mark UMNO, bukan berpolemik dan berdebat. Ahli UMNO patut tahu itu. Apatah lagi pemimpinnya,” tulis beliau.

Isnin, Disember 07, 2009

Tinjauan Blog - Bukan Islam bertakbir dan Chin Peng

Oleh LUKMAN ISMAIL

Isu seorang wakil rakyat bukan Islam dari parti pembangkang menyertai majlis takbir Hari Raya telah mengundang maklum balas daripada beberapa penulis, selain isu Chin Peng yang masih diperkatakan.

Zainol Abideen dalam Mahaguru (mahaguru58.blogspot.com) menulis, jika wakil rakyat tersebut menyertai takbir itu kerana benar-benar menghayati Islam, ia masih boleh diterima tetapi jika niatnya hanya untuk mengambil hati orang Islam untuk menyokong beliau, ia adalah tindakan tidak wajar.

Tulisnya, beliau hairan bagaimana tuan rumah membenarkan seorang yang belum Islam turut bertakbir membesarkan nama Allah sedangkan beliau masih lagi belum memeluk Islam.

"Saya alu-alukan Chan Ming Kai supaya belajar tentang agama Islam dan mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi seorang Muslim dalam erti kata sebenarnya!

"Jika YB olok-olok sahaja, bertakbir bersama umat Islam, maka sedarlah bahawa bermuka-muka itu adalah satu perkara terkutuk dan perbuatan sebegitu adalah tanda-tanda hipokrit!" katanya.

Beliau meminta Ming Chai menerangkan kepada umum maksud perbuatan itu manakala mereka yang menghadiri majlis itu juga perlu tampil memberikan penjelasan.

Berhubung isu yang sama, Mohd. Khairul Hairi Yunus dalam Suara Generasi Muda Malaysia (www.suaragenerasimuda.com) menulis, memang tidak salah Ming Chai bertakbir memuji Allah tetapi ia dianggap menghina jika berbuat demikian sedangkan beliau masih belum memeluk Islam.

Bagaimanapun, tulis beliau, ia bergantung kepada niat wakil rakyat terbabit. Jika ia sekadar ingin memperluaskan pengaruh politik, maka perbuatan beliau itu adalah memperalatkan Islam untuk kepentingan politik dan ia seumpama mempersendakan kesucian Islam.

"Mungkin kita tidak boleh mempersalahkan wakil rakyat itu 100 peratus kerana mungkin dia sudah terbiasa untuk memperalatkan agama demi kepentingan politiknya.

"Ia sama seperti yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin dan penceramah Pas (beragama Islam)," tulis beliau.

Sementara itu, Maharaja Blogger (maharajablogger.blogspot.com) menulis, menteri berkaitan gagal mencium pihak yang berada di belakang usaha menghidupkan isu untuk membenarkan bekas ketua pengganas komunis, Chin Peng kembali ke Malaysia.

Tulis beliau, amat jelas media yang didukung oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri yang telah melontarkan isu tersebut selepas Mahkamah Tinggi mengharamkan kepulangan Chin Peng ke tanah air dengan menemu bual pemimpin tersebut bagi meraih simpati rakyat.

"Siapakah yang menjadi anasir subversif yang mengapi-apikan isu ini sebagai isu perkauman sehingga menimbulkan perpecahan antara rakyat?" soalnya.

Tulisnya lagi, apa yang dilakukan oleh media tersebut adalah memetakan jalan strategi untuk secara bijak melemahkan BN. Dalam pada itu Hamidah Osman (hamidahosman.blogspot.com) pula menulis tentang sikap DAP yang bersikap biadap apabila mencampuri urusan hal ehwal Islam yang merupakan agama rasmi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

"Apakah hak parti politik ekstremis ini campur tangan dalam undang-undang syariah negeri dan hal-ehwal Islam?

"Tidakkah mereka sedar bahawa Malaysia telah diisytihar sebagai sebuah negara Islam walaupun ditentang hebat oleh mereka sebelum ini?" tulis beliau.

Beliau menulis, kebongkakan pemimpin DAP telah sampai ke tahap di mana mereka tidak boleh menerima perbezaan pendapat sama sekali iaitu yang tidak senada dengan mereka akan dimusuhi dan diserang dengan tuduhan liar.

"DAP juga harus difahamkan akan maksud agama dan kepercayaan budaya, dua perkara ini merupakan intiti yang berbeza.

"Agama merupakan pengangan umat Islam dan hanya diamalkan oleh penganut beragama Islam. Budaya merupakan amalan kaum-kaum tertentu dan boleh dipraktikal oleh kaum lain," tulis beliau.

Khamis, Disember 03, 2009

Menteri Besar Kelantan terus jadi 'serangan' penulis blog

Belum pun reda isu berkaitan doa memusnahkan masa depan Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kini terus menjadi sasaran penulis blog.

Kali ini 'serangan' dihalakan pula terhadap imej Nik Abdul Aziz yang selama ini dibanggakan oleh Pas sebagai pemimpin yang teramat bersederhana seperti mana yang dibentuk pemimpin parti itu selama ini.

Ini termasuk berhubung gambar kediaman beliau di Kampung Pulau Melaka yang selama ini sering dijadikan modal politik Pas pada masa kempen pilihan raya bagi menonjolkan sifat kesederhanaan parti itu.

Antara yang menjadi sasaran penulis blog bagi menunjukkan imej tersebut tidaklah 100 peratus tepat ialah berhubung dakwaan pemilikan beberapa harta dan syarikat oleh keluarga Nik Abdul Aziz.

Di laman http://theunspinners.blogspot.com misalnya menunjukkan dakwaan beberapa keping gambar pemilikan aset tersebut yang pada penulis blog itu sebagai sesuatu yang bertentangan dengan imej sederhana yang dibentuk pimpinan Pas selama ini terhadap Nik Abdul Aziz.

Bagaimanapun, tiada bukti kukuh disertakan bagi mengesahkan dakwaan berkenaan kecuali beberapa keping gambar dan keterangan gambar berkaitan.

Selain itu, laman blog berkenaan turut menjadikan soal pentadbiran sebuah sekolah agama di kediaman Nik Abdul Aziz sebagai sasaran mengaitkan Menteri Besar Kelantan itu dengan amalan kronisme.

Ini berikutan sekolah tersebut yang dahulunya di bawah pentadbiran sebuah agensi kerajaan negeri didakwa telah 'ditukarkan' sebagai sekolah agama swasta milik keluarga Nik Abdul Aziz.

Blog itu turut mendakwa yang salah seorang anak Mursyidul Am Pas itu kini mengetuai pentadbiran sekolah tersebut.

Selain itu, isu Nik Abdul Aziz dan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Abdul Rahman juga masih menjadi sasaran penulis blog.

Ia berikutan kenyataan terbaru Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang mengakui isu tersebut timbul kerana Nik Abdul Aziz tidak mendapat nasihat politik dan perundangan yang betul.

Bagi penulis blog, mereka tidak melihat soal nasihat sebagai isu utama kerana segala keputusan mengenai pelantikan peneraju Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) adalah pada Nik Abdul Aziz.

Hal berkaitan pemilikan harta oleh keluarga Nik Abdul Aziz dan isu sekolah agama kendalian keluarga beliau turut pernah disentuh di http://kickdefella.wordpress.com/ pada 26 November lalu.

Menurut penulisnya yang dipecat Abdul Ariffahmi sebagai pegawai di PMBK: ''Lambat laun maklumat terperinci berhubung Sekolah Darul Anuar, Tanah Wakaf Pulau Melaka dan stesen minyak berdekatan akan turut hangat diperkatakan.''

Recent Posts