Zahrain, pernyataan bangsa dan kampus

Isu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang melabelkan Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai diktator, chauvinis dan berotak komunis; pemansuhan pernyataan bangsa di bawah Pelan Transformasi Kerajaan dan pilihan raya kampus antara topik-topik menarik hujung minggu ini.

Zulkifli Noordin (zul4kulim.blogspot. com) menulis, beliau terkejut dengan kenyataan yang dibuat Zahrain ke atas Lim Guan Eng yang dianggap lebih kasar berbanding kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh beliau sendiri.

"Kalau saya yang buat kenyataan macam ini mesti dah melenting habis firaun-firaun kecil. Jadi, saya nak tengok apa pula tindakan mereka terhadap Zahrain.

"Apakah mereka akan mengadakan Jawatankuasa Disiplin terhadap beliau, apakah mereka akan minta beliau disepak daripada PKR. Kita tengok apa tindakan yang akan diambil," tulis beliau.

Al-Azharri Siddiq dalam Jentayuabaka (www.jentayuabaka.com) menulis, Guan Eng yang berjanji menggunakan sistem tender yang telus dalam pemberian projek tetapi sebaliknya menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi Lembaga Pemilihan Tender.

"Ada sesiapa di Pulau Pinang boleh senaraikan sejak Mac 2008 berapa tender diberikan kepada orang Melayu, Cina dan India dan kaum-kaum lain secara adil, sama rata dan saksama.

"Ada sesiapa boleh berikan statistik apa projek dan berapa nilai projek yang diberikan kepada orang Melayu, Cina dan India dan kaum-kaum lain?" tulis beliau.

Tulisnya, semua itu perlu didedahkan bagi membuktikan sejauh mana kerakusan dan diktator Guan Eng sehingga menimbulkan kemarahan Zahrain.

Sementara itu, A. Kadir Jasin (www.akadirjasin.com) menulis, beliau akan tetap mempertahankan identiti Melayu dalam Kad Pengenalan dan dokumen-dokumen rasmi lain sekali gus bagi mengesahkan beliau sebagai seorang Muslim dan Bumiputera.

"Oleh sebab itu saya tidak setuju sama sekali dengan cadangan kerajaan supaya pernyataan bangsa dalam borang kerajaan dihapuskan kecuali untuk tujuan bancian dan perangkaan.

"Sesungguhnya saya cukup sedih dan gusar apabila satu demi satu, sedikit demi sedikit apa sahaja yang mengaitkan orang Melayu dengan bangsa, negara dan hak asasinya semakin hari semakin dihakis," tulis beliau.

Tulisnya, membuang pengenalan bangsa dalam borang dan dokumen rasmi merupakan satu lagi contoh ke arah penghapusan identiti Melayu sebagai bangsa majoriti di Malaysia.

Azrinizam Ibrahim dalam Angin Perubahan (anginperubahan.blogspot.com) pula menulis, kebanyakan pelajar universiti kini semakin menolak pimpinan Pro Mahasiswa sehinggakan kumpulan Pro Aspirasi secara majoriti menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Akibatnya, pelajar kumpulan pro-pembangkang itu mula bertindak melampau kerana tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka di beberapa universiti.

Tulis beliau, tahun lalu apabila mereka menang dan menguasai MPP, tiada sebarang impak positif ke arah pembangunan akademik dan menjaga kebajikan pelajar secara terfokus diadakan oleh Pro Mahasiswa.

"Aktiviti mereka hanyalah berdemonstrasi, berkonflik dengan Hal Ehwal Pelajar dan menjemput beberapa tokoh pembangkang masuk ke dalam universiti.

"Apakah mereka ini yang meracuni fikiran pelajar sehingga menjadi melampau sebegitu rupa? Adakah sesiapa yang membantu gerakan mereka?" tulis beliau.

Beliau menulis, universiti adalah tempat untuk belajar dan hormatilah hak majoriti pelajar lain yang telah bersuara melalui undi.

- UTUSAN Zahrain, pernyataan bangsa dan kampus

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.