Isu Blog - Kekejaman Israel dan nasib Kampung Baru

Isu serangan tentera komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang membawa aktivis dan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza menjadi topik utama penulis blog minggu ini. Tidak kurang hangat adalah isu pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Dr. Mahathir Mohamad dalam blog chedet.co.cc berkata, dakwaan Israel bahawa aktivis terbabit menyerang terlebih dahulu pasukan komandonya adalah tidak masuk akal memandangkan mereka hanya orang awam, sementara tentera Israel adalah terlatih dan lengkap bersenjata.

Bagaimanapun kata beliau, adalah tidak mustahil jika tentera Israel bertindak menembak aktivis terbabit dengan peluru hidup kerana tindakan sedemikian sering dilakukan ke atas rakyat Palestin.

“Laporan rakyat Malaysia yang telah dibebaskan dan kini berada di Jordan berkata kayu dan penyembur air dari pili bomba digunakan oleh aktivis. Cerita ini lebih dipercayai.

“Tetapi sudah diketahui Israel akan terus berbohong tentang tindakan jenayah yang mereka lakukan atau terus berdolak-dalik,” kata beliau.

Katanya, adalah tidak mengejutkan jika komando Israel membunuh orang awam tidak bersenjata kerana itulah tahap keangkuhan mereka yang lebih teruk daripada Nazi.

Sanusi Junid dalam sanusijunid.blogspot.com pula berkata, sejak 30 tahun lalu umat Islam seluruh dunia sentiasa berdoa agar Allah selamatkan rakyat Palestin daripada kezaliman Yahudi, tetapi kenapa doa umat Islam tersebut tidak berjawab sedangkan Allah berjanji akan memakbulkan doa terutama bagi umat yang teraniaya.

Kata beliau, ini bererti jika sekadar membuat resolusi dan berdoa, nasib umat Islam tidak akan berubah kecuali jika melakukan sesuatu yang lebih tepat.

“Kini kita lihat Israel sudah berasa bimbang dan takut. Belum lagi umat Islam menyekat bekalan minyak kepada negara yang membantu kezaliman Israel, belum lagi negara-negara Islam berpakat untuk mendirikan Barisan Sukarelawan OIC, dan belum lagi hartawan-hartawan dan negara-negara Islam mendirikan Bank 1-Islam untuk mengumpulkan dana bagi membebaskan Palestin.

“Baru dengan mengirim kapal bantuan kemanusiaan untuk Gaza, kita dapati Israel sudah gementar sehingga bertindak kejam. Israel perlu diberitahu bahawa ini hanya the tip of the ice-berg,” kata beliau.

Beliau berkata, peristiwa yang berlaku itu diharap dapat melonjakkan semangat umat Islam seluruh dunia untuk bangun bersatu dan bertindak dengan betul diiringi doa yang sudah pasti dimakbulkan Allah.

Bagi Dr. Ismail Ibrahim dalam profismail.blogspot.com berkata, tujuan Israel menjadikan Gaza sebagai penjara besar bagi orang Palestin sudah berjaya dengan sempadan beberapa jiran seperti Mesir, Jordan dan Syria tertutup rapat, manakala laluan laut dan udara pula dikuasai negara rejim Zionis itu.

Katanya, negara-negara Islam yang bersempadan dengan Palestin telah diikat oleh Amerika Syarikat untuk turut sama-sama melindungi Israel atau telah menjadi kroni kuasa besar itu.

“Selagi kerajaan negara-negara Islam membawa haluan dan matlamat sendiri kerana kepentingan individu atau negara sendiri, maka selama itulah Israel boleh melakukan apa saja yang mereka mahu, termasuk membunuh sesiapa saja yang ingin membantu rakyat Palestin, terutamanya rakyat Gaza yang telah mereka penjarakan dalam penjara yang besar itu,” katanya.

Sementara itu, A. Kadir Jasin dalam blognya www.akadirjasin.com pula berkata, cadangan untuk membenarkan bukan Melayu memiliki 40 peratus hartanah dalam pelan pembangunan Kampung Baru merupakan satu langkah yang akan memburukkan lagi imej UMNO dan menambah keresahan orang Melayu.

Kata beliau, kerajaan akan dilihat lebih adil jika pada masa yang sama turut membangunkan semula kawasan Jalan Petaling dan Brickfields dengan menawarkan 40 hingga 60 peratus pemilikan kepada Bumiputera.

Kata beliau, Kampung Baru sebaik-baiknya dikekalkan sebagai kampung Melayu tradisional dan dinaikkan taraf sebagai kawasan pelancongan kelas dunia seperti yang dilakukan dengan perkampungan Portugis di Melaka.

Dengan cara ini, adalah lebih mudah membuat pembangunan fizikal dan menaikkan nilai ekonomi Kampung Baru tanpa menjejaskan pemilikan oleh orang Melayu, katanya.

Bagi Ahiruddin Attan (rockybru.com.my) pula memetik kenyataan pemilik tanah di Kampung Baru, Baki Husin, yang menyatakan menolak cadangan membuka 40 peratus kawasan itu kepada bukan Melayu dan akan berjuang mempertahankan tanah mereka.

Kata penulis ini, untuk berlaku adil kepada kerajaan, cadangan 60:40 untuk pembangunan kampung tersebut hanyalah satu idea dan ia bergantung kepada maklum balas yang diterima.

“Jadi, berdasarkan maklum balas setakat ini, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu sedar sekarang bahawa tidak semudah berjalan di taman. Pentadbiran sebelum ini pun sudah mencubanya.

“Saya rasa jalan terbaik yang diterima semua ialah mengekalkan pemilikan Melayu di kawasan Kampung Baru sepenuhnya. Jangan cuba memecahkannya,” katanya.

- UTUSAN Isu Blog - Kekejaman Israel dan nasib Kampung Baru

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.