Kisah Bung Moktar, kekalahan BN

Kisah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin yang dijatuhkan hukuman penjara sebulan kerana bersalah berpoligami dan berkahwin dengan pelakon Zizie Izette tanpa kebenaran mahkamah heboh diperkatakan termasuk di kalangan penulis blog. Manakala isu kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu juga masih dibicarakan.

Khairul Rizal Osman dalam Cucu Tok Selampit (khairulryezal.blogspot.com) berkata, beliau tidak faham kenapa Bung Moktar didesak meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen hanya kerana beliau berpoligami tanpa kebenaran, sedang ramai lagi penggubal undang-undang yang melakukan kesalahan yang lebih besar, tetapi tidak pula sehingga menerima desakan sedemikian.

Beliau berkata, berpoligami adalah perkara yang harus dalam Islam dan ia dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran manakala berpoligami juga menjauhkan seseorang daripada maksiat dan zina serta mengelakkan fitnah.

“Cuma pendapat saya, tidak salah sekiranya Bung secara “gentleman” memberitahu dan meminta keizinan isteri pertamanya untuk berkahwin lain. Bukankah isteri pertamanya yang bertungkus-lumus susah senang hidup bersamanya?

“Bukankah isteri pertamanya juga yang membesarkan zuriatnya dengan jerih perih menjadi manusia berguna? Sudah lupakah Bung? Satu lagi nasihat saya, tak perlulah mengusung Zizie Izzete ke majlis-majlis hiburan seperti seorang selebriti, kerana sudah pasti ada hati yang terluka,” katanya.

Mohd. Soberi Shafii dalam Yang Ku Dengar dan Ku Lihat (newkk.blogspot.com) pula berkata, hukuman yang dikenakan ke atas Bung Moktar itu akan menyebabkan isteri pertama dan anak-anaknya bersedih walaupun hati sudah terluka dengan kehadiran Zizie di dalam keluarga mereka.

Katanya, lebih menyedihkan lagi apabila Zizie menunjukkan reaksi gembira di luar mahkamah sedangkan suaminya itu bakal menjalani kehidupan di dalam penjara sekiranya hukuman tersebut kekal.

“Peristiwa ini adalah sebagai satu pengajaran kepada pembuat undang-undang apabila berdepan dengan hakim yang bernama Wan Mahyuddin Wan Muhammad dan juga menjadi satu pengajaran kepada sesiapa yang mahu beristeri muda jangan sekali-kali berkahwin tanpa mengikut undang-undang syariah nikah kahwin.

“Seperti juga kesalahan trafik, boleh lari laju tapi apabila terkena perangkap denda mesti bayar, tak menjadi salah kalau tidak ditangkap walaupun undang-undang mengatakan salah,” kata beliau.

Penulis berkata, banyak lagi kes berkahwin tidak mengikuti undang-undang berlaku terutama oleh orang-orang besar dan berpengaruh tetapi mereka terlepas dan bebas sebaliknya malang menimpa Bung Moktar.

Mengenai pilihan raya Sibu, Siddiq Azani dalam Written By Him (writtenbyhim.wordpress.com) berkata, kekalahan BN di Sibu dan beberapa kawasan lain pada pilihan raya kecil adalah kerana golongan muda semakin menolak parti kerajaan.

Katanya, BN perlu ingat bahawa sebanyak 6 juta pengundi baru bakal mengundi pada pilihan raya ke-13 akan datang, justeru peranan golongan muda tidak harus diketepikan.

“Bapa saya pernah bertanya kepada saya apa punca utama golongan belia menolak BN. Saya jawab mudah, mereka sudah bosan, sejak mereka lahir hingga mereka besar, takda muka lain, asyik muka yang sama.

“Yang paling menyedihkan, tiada apa yang ‘outstanding’ daripada muka-muka lama ini. Bila orang muda mahu masuk politik, kami diperlekeh dan dicantas oleh mereka yang sudah lama bertapak. Bagaimana anda ingat golongan muda mahu menyokong BN?,” katanya.

Kata Siddiq, pihak pembangkang banyak membariskan pemimpin muda dan mereka menjadi pilihan pengundi muda walaupun mereka tahu calon tersebut bukanlah bagus tetapi kerana tidak senang hati dengan BN yang asyik muka yang sama.

“BN harus sedar, ini bukan lagi tahun 1960-an atau 1970-an. Yang dah lama tu terima hakikat sekarang bukan masa anda lagi. Berehatlah. Harta terkumpul pun dah melimpah ruah. Apa nak lagi.

“Tapi golongan muda pun kena pilih juga, bukan main semberono sahaja. Nanti dijualnya negara ni kepada Singapura, susah,” katanya.

Ustaz Said dalam Pandangan Ustaz Said (ustazsaid.blogspot.com) pula berkata, BN wajar menganalisis faktor pertambahan undi untuk DAP manakala BN pula berkurangan dan alasan peratusan keluar mengundi yang rendah bukanlah jawapan terbaik.

“Mungkin benar, seekor ayam berkokok bukan tanda hari sudah siang. Namun, jika tidak berjaga-jaga dan mengambil tindakan drastik, masih lena diulit mimpi, bagai tiada apa-apa yang berlaku, dibimbangi nanti bila hari sudah siang, semuanya sudah terlambat untuk berbuat sesuatu.

“Sewajarnya mana-mana faktor kekalahan ini ditangani segera. Jika perlu ditukar YB yang tidak relevan lagi, tukar saja dengan orang lain. Jangan kerana seekor monyet yang makan nangka, habis semuanya terpalit,” katanya.

Penulis berkata, langkah awal dalam tindakan segera untuk mengelakkan nanah menjadi barah, mungkin dengan pengumuman pelan peralihan kuasa oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Mohd. Taib Mahmud agar rakyat nampak siapa pengganti yang boleh diharapkan.

- UTUSAN Kisah Bung Moktar, kekalahan BN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.