Middle Malaysia, saman dan harga rokok RM50

Oleh LUKMAN ISMAIL

Pendekatan Middle Malaysia yang diperkenalkan oleh DAP ketika konvensyen parti itu baru-baru ini mendapat ulasan di kalangan penulis blog pertengahan minggu ini. Selain isu tragedi perahu naga serta cadangan menaikkan harga rokok sehingga RM50 sekotak, isu itu juga mendapat perhatian penulis.

Mohamad Zakhir Mohamed dalam Big Dog (bigdogdotcom.wordpress.com) menulis, pendekatan Middle Malaysia tersebut mempunyai agenda tersirat yang rasis kerana jika diterjemahkan dalam bahasa Mandarin, ia membawa maksud 'Malaysia untuk kaum Cina.'

Tulis beliau, pendekatan tersebut merupakan agenda parti itu meraih sokongan padu kaum Cina untuk secara rasis menggerakkan agenda agar suatu hari nanti mereka menjadi 'kuasa' dan menubuhkan pemerintahan di Malaysia.

"Agenda Middle Malaysia ini perlu dijayakan dengan kerjasama Pas dan PKR, sebagai 'topeng' untuk meraih sokongan Melayu iaitu komposisi pengundi majoriti setiap kali proses demokrasi berlaku.

"Pemimpin Melayu parti komponen pakatan pembangkang memperkudakan emosi orang Melayu sepenuhnya untuk merealisasikan agenda tersirat yang sebenarnya rasis ini," tulis beliau.

Hamidah Osman (hamidahosman.blogspot.com) pula hairan dengan tindakan pakatan pembangkang yang cepat menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat tragedi jambatan runtuh di Perak tetapi hanya berdiam diri apabila tragedi perahu naga karam di Pulau Pinang.

Malah tiga keluarga mangsa jambatan runtuh mengambil tindakan menyaman kerajaan sebanyak RM105 juta dengan bantuan peguam yang juga orang kanan DAP.

"Kejadian tragedi bot naga terbalik di Pulau Pinang yang mengorbankan enam nyawa amat menyedihkan. Bapa kepada seorang mangsa lemas tragedi perahu naga terbalik itu, bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Sekolah Tinggi Chung Ling, kerana mendakwa mereka mengabaikan keselamatan anaknya dalam latihan mendayung di perairan pantai Macallum.

"Dalam keadaan ini, bapa mangsa bertindak sendirian tanpa bantuan DAP seperti tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang. Tiada pasukan jawatankuasa penyiasat bagi menyiasat tragedi malang itu," tulis beliau.

Beliau menulis, apakah kerana kejadian perahu naga karam berlaku di negeri dikuasai pembangkang maka mereka tidak perlu menubuhkan pasukan penyiasat, sedangkan tragedi jambatan runtuh berlaku di Perak, maka mereka begitu pantas bertindak semata-mata mahu menunjukkan mereka lebih sempurna berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Muhamad Zaini Ibrahim dalam Pakcik.net (pakcik-orangkampung.blogspot.com) menulis, cadangan menaikkan harga rokok sehingga RM50 sekotak dibuat dalam keadaan terlalu emosional dan tidak memikirkan hal-hal lain berkaitan dengannya.

Tulis beliau, cadangan itu amat bernas agar orang ramai tidak mampu membeli rokok tetapi sedar atau tidak, semakin ramai perokok yang lebih cenderung untuk mendapatkan rokok-rokok seludup berbanding rokok yang dijual di pasaran.

"Rokok 'halal' yang dijual dengan harga RM9.30 sudah tidak berapa diminati oleh orang ramai. Mereka sudah berevolusi kepada rokok murah yang rasanya seakan-akan rokok mahal tersebut. Malahan, rokok 'haram' itu pun mudah diperoleh.

"Ia boleh dibeli dengan kuantiti yang banyak. Sekali beli satu karton. Lagi jimat katanya berbanding rokok 'halal' yang mahal itu," tulis beliau.

Beliau menulis, andai kerajaan mahu menaikkan harga rokok ia sepatutnya mengikut pertimbangan yang wajar dan adalah lebih baik andai kerajaan menutup sahaja kilang-kilang rokok dan menjaga pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan rokok seludup.

Blog Mesin Taip Buruk (mesintaipburuk.blogspot.com) pula menulis, cadangan menaikkan harga rokok sehingga RM50 bagi 20 batang adalah melampau dan ia tidak membantu mengurangkan jumlah perokok di negara ini.

Malahan ia boleh mengundang peningkatan jumlah pencuri dan perompak terutama di kalangan remaja yang sanggup berbuat sedemikian semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membeli rokok.

"Cara paling berkesan untuk mengurangkan perokok adalah dengan 'menyusahkan hidup' perokok. Maksudnya, mereka susah nak cari kawasan merokok. Dengan kata lain, kerajaan kena wartakan lebih banyak kawasan larangan merokok.

"Di negara kita, walaupun ada larangan merokok misalnya di restoran, sekolah, hospital, lobi hotel, taman permainan atau di masjid, tetapi tiada siapa peduli. Perokok tetap merokok di kawasan larangan. Tak boleh hisap depan-depan, mereka merokok di tangga kecemasan atau kawasan tersembunyi. Dan mereka yang merokok secara terbuka pula tidak dikenakan sebarang tindakan. Malah tiada siapa berani menegur. Akhirnya peraturan tinggal peraturan dan kebebasan merokok di Malaysia terus dinikmati oleh perokok," tulis blog tersebut.

Blog itu menulis, jika mahu menaikkan harga rokok, beberapa pertimbangan perlu diambil kira dan jangan sampai nanti harga rokok jauh lebih mahal berbanding dengan ganja yang akhirnya menyebabkan jumlah perokok berkurang, sebaliknya jumlah penagih dadah pula bertambah. Middle Malaysia, saman dan harga rokok RM50

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.