Kalimah Allah, warga asing dan YDP Melaka

Isu-isu berkaitan kalimah Allah masih terus menjadi topik pilihan penulis blog manakala ada yang menyentuh mengenai ‘kehilangan’ warga asing serta isu pemilihan Yang Dipertua Negeri Melaka.

Mohamad Nabzrol Mat Nayan dalam blog Kamal Zailani (sdrkz.blogspot.com) memberi komentar, penerbit Herald - The Catholic Weekly tentu lebih mengetahui nama-nama Tuhan yang terdapat dalam kitab Bible iaitu Jehovah, Yahweh, Eloh, Eli atau El.

Tulis beliau, secara rasionalnya juga penerbit akhbar tersebut boleh menggunakan nama-nama berkenaan dalam penerbitan mereka kerana orang-orang Kristian lebih terdedah kepada nama-nama Tuhan yang terdapat dalam kitab Bible.

“Adalah lebih realistik bagi penerbit Herald itu menggunakan nama Tuhan seperti yang keluar dari lidah Jesus sendiri.

“Orang-orang Islam tidak menterjemahkan Allah kepada bahasa ibunda masing-masing. Ini kerana kalimah Allah tidak sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain. Begitu juga dengan penganut Kristian, mereka sepatutnya mengikuti Jesus dengan menyebut nama Tuhan dalam bahasa asal iaitu bahasa Aramaic iaitu bahasa ibunda Jesus,” tulis beliau.

Reme Ahmad dalam Oped (remgold.blogspot.com) pula menulis, Malaysia telah dikritik oleh media-media asing baik dari Barat mahupun negara jiran kerana isu kalimah Allah dan serangan ke atas gereja.

Tulis beliau, kerana isu tersebut imej negara kini merosot manakala pelabur tentu merasa bimbang dengan situasi itu manakala nama Islam sememangnya sudah gelap sejak 10 tahun lalu.

Tulisnya, jika tidak maka akan adalah menteri yang membuat kenyataan yang diragukan sama ada ia kenyataan peribadi atau keputusan Kabinet, tetapi jelas ia semakin merumitkan keadaan.

Dalam pada itu, Hamidah Osman (hamidahosman.blogspot.com) menulis tentang kehilangan 40,000 warga asing di negara ini yang disifatkannya sebagai sikap mengambil kesempatan terhadap kebaikan kerajaan.

Tulis beliau, sudah tiba masanya semua agensi terlibat duduk semeja dan membincangkan kaedah mengelak warga asing datang dan menetap di negara ini selepas visa mereka tamat tempoh.

“Jangan biarkan warga asing memonopoli ekonomi kita, jangan biarkan mereka memonopoli taman kita. Kota Raya, Pasar Seni dan KLCC sudah jadi tempat tumpuan warga asing.

“Sudah tiba masanya kekang kemasukan mereka dan perketatkan syarat-syarat kemasukan, sama ada untuk bekerja, belajar atau melancong,” tulis beliau.

Tulisnya, tindakan segera perlu diambil bukan ketika isu tersebut sedang hangat sahaja tetapi apabila ia reda, masing-masing mendiamkan diri.

Sementara itu Hasim Mamat dalam blog Musli Oli (konspirasipolitikmelayu.blogspot. com) menulis, apakah Melaka ketandusan tokoh untuk menduduki kerusi Yang Dipertua Negeri itu?

Tulis beliau, selama ini, orang Melaka cukup beralah dan menerima sahaja sesiapa sahaja yang dicadangkan kerajaan untuk menjadi Ketua Negeri Melaka.

“Tetapi walaupun orang Melaka beralah, tidak semestinya tidak ada yang berkecil hati dan terkilan. Bukan terkilan tak dapat jadi Yang Dipertua Negeri tetapi terkilan melihat orang dari negeri lain pula menjadi Yang Dipertua di negeri kita.

“Setiap kali nak pilih Yang Dipertua Negeri yang baru, orang Melaka hilang suara. Ada saja alasan yang akhirnya membenarkan kerajaan pusat yang dipimpin Perdana Menteri membuat pilihan tanpa mengira sensitiviti negeri Melaka,” tulis beliau.

Tulis beliau, pada hakikatnya Melaka tidak pernah kekeringan pemimpin yang layak menduduki tempat penting itu tetapi mereka diketepikan begitu sahaja. Kalimah Allah, warga asing dan YDP Melaka

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.