Tinjauan Blog - Ketuanan Melayu dan politik UMNO

Oleh LUKMAN

Isu ketuanan Melayu yang kembali dibangkitkan oleh bekas Presiden Gerakan, Tun Dr. Lim Keng Yaik menjadi topik pilihan dalam kalangan penulis blog, pertengahan minggu ini.

Redzuan Mohd. Junid dalam Demi Agama, Bangsa & Negara (rmf7.wordpress.com) menulis, amat jelas dalam BN sendiri wujud perselisihan pendapat berhubung ketuanan Melayu dan ia memerlukan tindakan segera Perdana Menteri.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil ke atas mana-mana pihak yang mengapi-apikan isu ketuanan Melayu bagi mengelak berlaku perkara lebih buruk khususnya melibatkan hubungan antara kaum di negara ini.

“Artikel 153 Perlembagaan Malaysia dengan jelas memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Malaysia.

“(Tetapi) Apa yang kita lihat sekarang terlalu banyak isu perlembagaan yang dipertikaikan tanpa diambil tindakan oleh pihak kerajaan. Pengajaran harus dilakukan kepada individu ini.

“Ini bukan menghalang untuk kebebasan bersuara akan tetapi ini menunjukkan betapa mereka tidak menghormati apa yang telah termaktub didalam Perlembagaan Malaysia,” tulis beliau.

Menurutnya, mereka yang terbabit juga jelas tidak memperjuangkan sesuatu untuk negara tetapi berjuang untuk bangsa masing-masing dan seboleh-bolehnya untuk menguasai sepenuhnya negara ini.

Syed Imran dalam Kuda Ranggi (kudaranggi.blogspot.com) pula menulis, pemimpin veteran itu telah mencabar ketuanan Melayu dengan meminta semua wakil rakyat parti itu membangkitkan isu tersebut tanpa ragu-ragu dan khuatir tentang padahnya.

“Saya tidak mahu ulas lanjut kerana selama ini pun ramai pemimpin Melayu, sama ada dari kalangan pemimpin UMNO mahupun NGO Melayu, yang begitu lantang, bersemangat dan beria-ia nak pertahankan ketuanan itu.

“Di mana mereka sekarang menjadi tanda tanya. Adakah keberanian mereka tidak lebih daripada hangat-hangat tahi ayam demi kepentingan politik. Mungkin ada kebenarannya,” tegas beliau.

Che Wan dalam Pusaka Ayahnda (pusakaayahnda.blogspot.com) menulis, beliau hairan dengan pemimpin kaum lain yang begitu takut dengan istilah ketuanan Melayu sedangkan sejak merdeka hingga kini, mereka telah diberikan ruang seluas-luasnya untuk mencari rezeki di tanah Melayu.

Tulis beliau, kaum bukan Melayu telah memonopoli ekonomi negara dan menguasai hampir kebanyakan syarikat besar manakala dalam bidang pendidikan, sekolah-sekolah jenis kebangsaan diberi ruang bertapak sementara amalan ritual agama mereka juga tidak pernah dihalang.

“Jadi, apa lagi yang masih belum cukup? Selama ini orang melayu tidak pernah berebut hak dengan bangsa-bangsa lain di negara ini.

“Orang Melayu sanggup berkongsi tanah kampung dan juga kawasan dengan bangsa-bangsa lain tanpa prejudis. Malah, pemimpin Melayu juga sanggup berkongsi kuasa pemerintahan. Apakah ini belum cukup baik bagi kaum bukan Melayu?” tulis beliau.

Beliau berkata, ketuanan Melayu adalah warisan turun-temurun bangsa Melayu dan telah termaktub dalam perlembagaan tentang hak-hak keistimewaan Melayu.

“Ketuanan Melayu tetap akan dipertahankan oleh generasi Melayu kini biar setinggi manapun harganya!” tegas beliau.

Ibrahim Yahya dalam Dunia Tiger (duniatiger.blogspot.com) menulis, usaha pemimpin politik tertentu yang mula mempermainkan isu sensitif yang bertentangan dengan Perlembagaan hanyalah sematamata mahu menunjukkan bahawa merekalah wira terbaru yang perlu disanjung.

“Sebenarnya, mereka inilah yang akan menghancurkan negara jika semangat atau isu yang dibawa benar-benar menyinggung perasaan orang lain. Boleh membuat individu memberontak.

“Ketika itu, segala yang hancur menjadi debu tidak boleh digunakan untuk membina tembok kejayaan selama ini. Tembok debu yang lemah. Tembok debu yang berjaya dibina itupun akan runtuh pada bila-bila masa saja. Apatah lagi ada usaha berterusan untuk meruntuhkannya secara sistematik dengan bantuan pihak yang berkepentingan,” tulis beliau.

Sementara itu, Abd. Bashid Harun dalam Panduan Guru-guru Malaysia (gurubashid.com) pula menulis, dalam politik bukan semua perkara yang diketahui perlu dimaklumkan, sebaliknya sebahagiannya perlu disimpan demi kebaikan parti.

Dalam politik tidak cukup sekadar berbuat baik tetapi perlu ada kebijaksanaan dan ia hanya dizahirkan pada masa masa dan situasi yang diperlukan.

“Anda patut tahu yang mana patut diluahkan dan yang mana patut disimpan sahaja. Ada kalanya anda boleh menyebutnya sahaja tanpa mengulas panjang tentangnya.

“Ada sesuatu yang anda rasa baik pada diri anda tetapi sebenarnya tidak baik untuk parti. Ini Malaysia dengan segala realitinya, bukan sebuah dunia impian,” tulis beliau lagi.

Menurutnya, sejak UMNO diasaskan, parti itu membesar dan berkembang bukan melalui polemik dan debat tetapi dengan bekerja.

“Itu ‘trade mark UMNO, bukan berpolemik dan berdebat. Ahli UMNO patut tahu itu. Apatah lagi pemimpinnya,” tulis beliau. Tinjauan Blog - Ketuanan Melayu dan politik UMNO

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.