Berkongsi ilmu menerusi blog


Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Jika dirujuk kepada Kamus Dewan, globalisasi membawa makna proses yang membolehkan sesuatu aktiviti disebarkan atau diperluaskan ke peringkat antarabangsa atau ke seluruh dunia.

Secara umumnya globalisasi memberi gambaran dunia tanpa sempadan, di mana kita boleh berkomunikasi, bersosial dan berniaga dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia tanpa ada halangan.

Perkembangan Internet yang merupakan medium komunikasi baru pada penghujung abad ke-20 turut menjadikan dunia semakin 'sempit' selain maklumat boleh dikongsi dengan sesiapa sahaja walau di mana berada.

Tidak ada sempadan negara yang boleh menghalang aliran teknologi maklumat (IT) ini.

Masyarakat di seluruh dunia pula tidak boleh dihalang atau di sekat daripada mengakses kepada setiap maklumat yang ada.

Sebab itu Internet kini merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia.

Jika dahulu setiap pengalaman penemuan dicatatkan dalam buku atau jurnal, kini semuanya dimuatkan dalam Internet.

Sebab itu, selaras dengan perkembangan Internet dan teknologi IT, lahirlah pelbagai media alternatif untuk dijadikan bacaan dan rujukan kita.

Portal berita, blog dan laman web sosial seperti Facebook, Twitter dan Myspace kini merupakan sebahagian daripada kehidupan.

Blog umpamanya penuh dengan pelbagai maklumat. Setiap blog akan memaparkan minat dan kebolehan pemiliknya untuk dikongsi bersama dengan pengunjung Internet yang lain.

Rasanya semua orang sudah sedia maklum akan penggunaan blog ini.

Ada blog yang mampu menjadikan pemiliknya kaya. Ada juga yang sekadar untuk berkongsi ilmu dan maklumat.

Jika ia menarik, bersifat interaktif, kreatif dan sering dikemaskini jumlah pengunjungnya atau istilah yang sering digunakan ialah trafik tentu tinggi.

Kebanyakan penulis menjadikan blog sebagai ruang untuk meluahkan idea, mencatat diari atau kisah harian tanpa memikirkan soal keuntungan.

Ia dapat dilihat pada gaya penulisan tidak formal sebaliknya lebih santai, sensasi dan kreatif.

Gaya itu merupakan tarikan dan keistimewaan pada sesuatu blog itu. Ia juga merupakan identiti yang menyebabkan ia digilai dan mempunyai pengikut setia.

Dalam banyak-banyak blog yang boleh dilayari di Internet hari ini, ada dua blog yang berjaya menarik minat penulis untuk terus melekap di hadapan skrin komputer.

Selain isi kandungan yang menarik, dua blog ini menampilkan apa yang dilakukan setiap hari termasuk tip-tip yang berguna untuk dikongsi bersama.

Blog yang pertama berkisarkan kepada pengubahsuaian rumah.

Blog yang boleh dilayari di alamat http://epoi8787.blogspot.com pastinya membuatkan anda akan kembali bertandang berkali-kali.

Laman sesawang peribadi milik Saiful Anuar Abdul Rani, 34, ini sememangnya satu blog yang harus dikunjungi. Ia bukan sahaja menampilkan tip-tip bagi mereka yang ingin mengubahsuai rumah malah memberikan beberapa maklumat yang berkaitan pengubahsuaian rumah.

Dengan menampilkan kerja-kerja pengubahsuaian yang pernah dilakukan, blog Saiful Anuar yang lebih dikenali sebagai DJ Epoi ini sentiasa dikunjungi pembaca, Ini dibuktikan melalui jumlah pelayar yang singgah ke blog ini. Setiap hari jumlahnya meningkat termasuk sehingga kini ia mempunyai 223 pengikut tetap.

Selain isi kandungan yang sarat dengan pelbagai maklumat yang berguna, blog DJ Epoi juga memiliki kriteria-kriteria sebua blog yang menarik. Antaranya aliran trafiknya yang tinggi, isi kandungan penulisan menarik, interaktif, kreatif dan penggunaan bahasa yang mudah.

Jadi tidak hairanlah sekiranya blog DJ Epoi menjadi pilihan pelayar-pelayar Internet untuk mendapatkan petua pengubahsuaian rumah atau khidmat beliau sebagai sebagai seorang kontraktor.

Ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini, DJ Epoi ternyata seorang yang ceria selain tidak lokek untuk berkongsi ilmu atau apa sahaja maklumat untuk kebaikan bersama.

Pada masa yang sama, DJ Epoi menjelaskan bahawa blognya yang dibina dua tahun lalu itu berlandaskan minat selain ingin mengiklankan perniagaan keluarga.

''Sebenarnya saya memang meminati seni halus dan seni muzik sejak dari kecil lagi.

''Bagi merealisasikan minat tersebut saya mengolahkan seni muzik dan seni halus mengikut kreativiti sendiri dan akhirnya inilah (blog) hasilnya.

''Tetapi hakikatnya sudah tujuh tahun saya mengusahakan perniagaan pengubahsuaian ini bersama ahli keluarga yang lain,'' ujar bapa kepada tiga orang cahaya mata ini.

Selain itu, DJ Epoi juga tidak lokek berkongsi ilmu-ilmu lain yang diperoleh.

Ini termasuk pengalaman membawa anak bongsunya menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

Anaknya, Afiq Safwan, lapan bulan, yang menderita penyakit jantung berlubang kini masih lagi mendapatkan rawatan sementara menunggu masa yang sesuai untuk menjalani pembedahan.

''Blog saya yang menampilkan baby Afiq sememangnya blog yang memuatkan semua kisah Afiq.

''Sekiranya semasa mendapatkan rawatan Afiq saya memperoleh ilmu baru, saya akan turut berkongsi dengan rakan-rakan pelayar Internet. Ia agar mereka yang mempunyai masalah yang sama dengan Afiq tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya menghadapi masalah,'' kata DJ Epoi yang sering mengemaskini blognya selepas Subuh.

Berlainan pula dengan blog http://durratulain.blogspot.com yang memberi tumpuan kepada dunai fesyen Ini kerana pemiliknya, Durratul Ain Mohamad, 30, melalui blognya, menurunkan pelbagai panduan dan berita terkini mengenai fesyen dan jahitan untuk tatapan pengunjung.

Bakat yang ada pada Durratul Ain tidak disimpan untuk diri sendiri sahaja. Tetapi kebolehan menjahit yang dimilikinya turut dikongsi dengan pengunjung alam siber.

Malah pemilik Ijazah dalam bidang Juru Ukur Bahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini turut mendapat sokongan padu daripada suami, keluarga dan rakan-rakan untuk terus menulis dan berkongsi ilmu di dalam blog.

''Blog yang saya buat sendiri ini sebenarnya baru lagi, lebih kurang enam bulan.

''Melalui blog ini saya bukan sahaja berkongsi cara-cara menjahit corak-corak yang menarik malah saya turut berkongsi fesyen-fesyen terkini untuk digayakan oleh anak-anak.

''Sebenarnya blog saya ini lebih kepada jahitan pakaian serta fesyen untuk kanak-kanak,'' ujar Penolong Pengurus Bahagian Perolehan di Pos Malaysia ini.

Durratul Ain turut berkongsi beberapa petua atau cara-cara untuk membuat corak-corak serta kraftangan yang menarik untuk dijadikan hiasan rumah.

Blog yang dimiliki oleh Durratul Ain dan DJ Epoi ini merupakan antara yang sarat dengan ilmu dan pengalaman.

Ia merupakan budaya baru di kalangan masyarakat kita terutama yang celik IT untuk berkongsi dan mencari ilmu di Internet.

Ini secara tidak langsung menjadikan blog-blog ini sebagai pencorak kehidupan masyarakat kita.

Ia bukan sahaja dijadikan sumber inspirasi tetapi sering dimanfaatkan untuk memenuhi masa yang terluang.

- UTUSAN

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.