Ahad, Mei 30, 2021

Mufti Perak Tan Sri Harussani meninggal dunia

 

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, 82, yang sebelum ini dilaporkan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini selepas disahkan positif COVID-19, meninggal dunia hari ini.

Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) dalam satu kiriman di Facebook memaklumkan Allahyarham meninggal dunia jam 3 petang tadi di HRPB.

Perkara itu turut disahkan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim ketika dihubungi melalui WhatsApp. Menerusi mesej itu, beliau turut menyertakan gambar tertera ucapan takziah atas pemergian Allahyarham.

Laporan sebelum itu menyebut Harussani dan isterinya, Puan Seri Ainon Abdul Ghani mendapatkan rawatan di HRPB berikutan jangkitan COVID-19.

Namun, isteri Allahyaham sudah beransur pulih dan dibenarkan keluar hospital pada 21 Mei lalu.

Jenazah Allahyarham kini masih berada di hospital dan difahamkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat.

Allahyarham dilahirkan di Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar dan meninggalkan isteri serta empat orang anak.

Allahyarham dilantik menjadi Mufti Perak sejak 1985 dan pernah mendapat anugerah Tokoh Maal Hijrah 2008 selain Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Islam yang membawa gelaran Doktor pada 2010. 

Sumber : Berita Harian

 

 

Khamis, Mei 27, 2021

Populasi Malaysia 32.75 juta pada suku pertama 2021

 

Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.75 juta pada suku pertama 2021, meningkat 0.4 peratus daripada 32.62 juta bagi tempoh sama setahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berdasarkan laporan Perangkaan Demografi bagi suku pertama 2021, jumlah itu merangkumi 29.91 juta atau 91.3 peratus warganegara dan baki 2.84 juta orang atau 8.7 peratus lagi adalah bukan warganegara.

Penduduk lelaki mengatasi wanita, masing-masing berjumlah 16.83 juta dan 15.92 juta, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, komposisi penduduk berusia 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 2.26 juta orang kepada 2.37 juta bagi tempoh sama.

"Trend ini seiring dengan negara-negara membangun lain yang menuju ke arah populasi menua," katanya.

Bagi tempoh itu juga, populasi berusia 0 hingga 14 tahun menyusut kepada 7.56 juta berbanding 7.61 juta pada suku pertama 2020. 

Pada suku pertama tahun ini, jumlah kelahiran hidup yang dicatatkan menurun 10.8 peratus kepada 102,969 kelahiran berbanding 115,439 kelahiran setahun lalu.

"Tidak ada 'baby boom' (kelahiran besar-besaran) pada suku pertama 2021 seperti dijangkakan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan penularan pandemik COVID-19," katanya.

Sebanyak 43,545 kematian dicatatkan bagi suku pertama tahun ini, peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding 43,226 kematian yang dilaporkan pada tempoh sama tahun lalu. 

Sumber : BERNAMA

 

TH perkenal buka akaun secara maya

 

Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan platform terbaharu iaitu Pembukaan Akaun secara Maya (VAO) menerusi pautan dan aplikasi THiJARI untuk memudahkan orang ramai membuka akaun secara dalam talian.

Ia juga sebahagian daripada inisiatif transformasi digital TH ke arah memperluaskan akses perkhidmatan, menjimatkan masa, mesra alam, selamat dan cekap.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad, berkata VAO bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk membuka akaun TH dengan lebih mudah di mana sahaja mereka berada melalui THiJARI.

"Bakal pendeposit hanya perlu melayari laman web www.thijari.com.my (dan klik - Tiada Akaun TH? BUKA SEKARANG), kemudian isi butiran lengkap secara dalam talian dan seterusnya hadir di mana-mana cawangan TH bagi membuat pengesahan biometrik dan dokumen pengenalan.

"Inisiatif ini sekali gus memudahkan urusan pembukaan akaun baharu dan masa untuk membuka akaun disingkatkan dari 15 minit ke satu minit serta pendeposit akan diberi keutamaan di cawangan TH kerana sudah melengkapkan permohonan terlebih dahulu.

"Bakal pendeposit perlu memenuhi syarat pembukaan akaun dan hanya perlu membawa MyKad dan amaun deposit permulaan. Selain itu, pendeposit yang mempunyai anak kandung bawah umur 18 tahun juga boleh membuka akaun kanak-kanak menerusi THiJARI," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pendeposit boleh meningkatkan penggunaan perkhidmatan dalam talian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan interaksi bersemuka di kaunter cawangan TH seluruh negara berikutan penularan COVID-19 yang amat membimbangkan pada masa ini.

"TH terus komited untuk menambah baik mutu dan capaian perkhidmatan kami bagi keselesaan pendeposit serta mewujudkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh, mudah dan fleksibel.

"Kami juga sentiasa peka terhadap keperluan semasa seiring perkembangan digital dan yang paling penting ialah memastikan keselamatan pendeposit terjaga walaupun dalam suasana pandemik COVID-19 sekarang," katanya.

Sejak THiJARI diperkenalkan pada Februari 2020, platform itu berjaya menarik lebih 800,000 pengguna THiJARI Web dan 400,000 pengguna THiJARI App.

 

 

 

PENGAMBILAN PEGAWAI TADBIR DIPLOMATIK - PTD 2022

 




JABATAN PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA
 
IJAZAH (PENGURUSAN DAN PROFESIONAL)
 
JAWATAN : PENGAMBILAN KADET PEGAWAI TADBIR DAN DIPLOMATIK BAGI MENGIKUTI KURSUS DIPLOMA PASCA SISWAZAH PENGURUSAN AWAM SESI 2022 
 
KEKOSONGAN : 400
SIMPANAN : 50
 
Maklumat syarat lantikan/ gaji/ tugas-tugas jawatan di pautan berikut :
 
Tarikh tutup permohonan : 07 Jun 2021 (Isnin), jam 11.59 malam.
 
Untuk memohon, sila klik pautan Borang SPA9 di bawah :
 
 

Lebih 1,000 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19

 

Kementerian kesihatan (KKM) mengesan 870 petugas kesihatan yang mendapat jangkitan COVID-19 selepas mendapat dos vaksin menerusi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula akhir Februari lalu hingga April.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ketika ini, pihaknya mendapati seramai 1,369 petugas kesihatan dijangkiti wabak itu sejak setahun lalu.

"Seramai 219 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 selepas mendapat satu dos vaksin atau 16 peratus daripada keseluruhan petugas yang dijangkiti," katanya pada sidang media secara maya, tengah hari tadi.

Dr Adham berkata, bagi petugas yang sudah mendapat dua dos vaksin, seramai 651 dikesan dijangkiti COVID-19 manakala 499 lagi dijangkiti sebelum mereka mendapatkan pelalian.

Bagaimanapun, pihaknya tidak mempunyai data berapa ramai individu sudah mengambil vaksin sama ada satu atau lengkap dua dos, yang dijangkiti COVID-19.

Dr Adham berkata, tiga negeri melaporkan jangkitan COVID-19 paling ramai dalam kalangan petugas kesihatan iaitu Selangor, Kelantan dan Kedah.

"Kebanyakan mereka mempunyai simptom tetapi tidak teruk berbanding yang belum mendapat vaksinasi," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Ujian mudah ibu jari kesan risiko masalah jantung

 


Sekumpulan doktor Fakulti Perubatan Universiti Yale mendedahkan individu boleh membuat pemeriksaan sendiri bagi mengetahui risiko masalah jantung dengan menggunakan ujian ibu jari, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Bagi menjalankan ujian mudah tersebut, individu hanya perlu menggunakan sebelah tangan dan membuka tapak tangan dalam keadaan rata.

Seterusnya, letakkan ibu jari di sepanjang tapak tangan sejauh yang mungkin.

Jika ibu jari mereka boleh melepasi hingga ke luar kawasan tapak tangan, ini bermaksud individu tersebut berisiko menghidap aneurisme (arteri tersumbat) tersembunyi.

Hal ini kerana kemampuan seseorang untuk menggerakkan ibu jarinya melepasi kawasan tapak tangan adalah petunjuk terdapat masalah pada sambungan sendi tubuhnya.

Keadaan itu merupakan antara tanda penyakit tisu yang menghubungkan sendi di seluruh badan termasuk aorta, iaitu arteri terbesar dalam badan yang mengalir dari jantung ke perut.

Penyelidik telah menjalankan ujian tersebut ke atas 305 individu dan menerbitkan hasil kajian mereka dalam Jurnal Kardiologi Amerika Syarikat.

“Kajian ini menunjukkan bahawa majoriti pesakit aneurisme tidak memberikan keputusan positif dalam ujian ibu jari-tapak tangan.

“Namun, pesakit yang positif ujian tersebut berkemungkinan tinggi mengalami aneurisme,” ujar penulis kanan jurnal tersebut, Dr. John A. Elefteriades. 

Sumber : AGENSI

 

Codys bina kerjaya, ubah taraf hidup wanita

 


Coway Ladies atau lebih dikenali sebagai Codys yang diperkenalkan oleh Coway Malaysia (Coway) kini memberi peluang kepada golongan wa­nita membina kerjaya, menjana pendapatan stabil dan juga menyusun masa fleksibel untuk memenuhi tuntutan kerja serta keluarga.

Tugas khusus wanita Codys adalah menyelenggara produk Coway di rumah pelanggan.

Rata-rata wanita yang telah menyertai kerjaya tersebut melihat ia sebagai ‘lubuk emas’ buat mereka untuk menambah pendapatan sekali gus mengubah nasib keluarga.

Mereka berpendapat, tiada sijil pendidikan tinggi diperlukan untuk menjawat jawatan tersebut tetapi hendaklah bersemangat tinggi, komited dan rajin berusaha mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.

Salah seorang yang berjaya dalam bidang tersebut dan kini menjawat jawatan Pengurus Kanan Codys, Nurulasmaa Kamarulzaman berkata, beliau memulakan kerjaya tersebut tersebut sejak tahun 2012.

Wanita yang bertugas di cawangan Alor Setar, Kedah itu kini mampu membeli rumah dan kereta baharu bagi keselesaan ahli keluarga hasil usaha gigihnya bagi mencapai ke tahap sekarang.

“Skema kerja Coway yang menarik dan tawaran insentif yang tinggi mendorong saya untuk untuk terus berkhidmat kepada pelanggan.

“Saya pernah mendapat hasil sebanyak antara RM10,000 hingga RM15,000 apabila mencapai sasaran jualan dan perkhidmatan bulanan,” katanya.

Seorang lagi rakan Codys, Nadiyah Abdullah juga berasa berbangga ketika menyarung pakaian seragam biru Coway untuk keluar bekerja.

“Dengan memakai seragam tersebut, orang juga mengenali saya di mana sahaja saya pergi. Apabila duduk di kafe, ada saja orang yang datang untuk bertanya tentang produk Coway,” jelasnya.

Graduan dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) itu mula menyertai Coway pada Februari 2015,

“Wanita Codys mestilah tabah dan kuat kerana kami sentiasa bergerak ke sana sini,” katanya.

Beliau menambah, syarikat akan sentiasa memastikan Codys dilindungi kerana tugas ini memerlukan mereka mengunjungi rumah pelanggan.

Jika mereka tidak rasa selamat untuk memasuki premis tertentu, seorang juruteknik servis atau Service Technician (ST) lelaki akan dihantar sebagai ganti.

Sumber : Kosmo!

 

 

UPM nafi PhD tak diiktiraf di luar negara

 

Universiti Putra Malaysia (UPM) menafikan dakwaan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang dikeluarkannya tidak diiktiraf di luar negara.

UPM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan sudah mendapat penganugerahan status swaakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 2010.

Katanya, universiti berkenaan sudah diberi status autonomi untuk melaksanakan proses akreditasi ke atas semua program akademik yang ditawarkan di peringkat pra dan pasca siswazah.

"Malah, pihak universiti juga sudah menjalankan proses akreditasi bagi semua program pasca siswazah Master Sains dan PhD serta mendapatkan kelulusan Akreditasi Penuh oleh Senat UPM pada 12 Disember 2013 untuk semua bidang pengajian.

"Bagi semua bidang pengajian itu, UPM sudah mendaftarkan program Master of Science dengan kod MQA/SWA/0400 dan Doctor of Philosophy dengan kod MQA/SWA/0399 di dalam Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) yang diselia MQA.

"Kaedah penamaan satu program untuk semua bidang pengajian ini adalah mengikut praktis di peringkat antarabangsa dan dimaklumkan kepada pelajar semasa minggu orientasi," katanya.

UPM menjawab dakwaan bekas graduannya, Saed Jnaidi dari Palestin yang mendakwa PhD yang diterima dari universiti awam itu tidak diiktiraf di luar negara.

PhD program Komunikasi Massa itu diperolehnya selepas menamatkan pengajian di UPM pada 2019, namun didakwa belum diakreditasi Kerajaan Malaysia ketika dia memohon visa untuk membolehkannya mendapat tahap orientasi satu tahun di Belanda.

UPM turut menegaskan skrol yang diterima graduan itu tertulis sebagai Doctor of Philosophy saja seperti yang bertarikh 9 April 2020 iaitu bukan PhD Komunikasi Massa seperti yang didakwa.

"Program Doctor of Philosophy adalah program yang sudah mendapat akreditasi penuh dengan kod MQA/SWA/0399," katanya.

Mengulas dakwaan Pusat Jaminan Kualiti (CQA) UPM belum menghantar senarai program ke MQA untuk pendaftaran, UPM menjelaskan senarai program yang akan dihantar itu untuk pendaftaran bidang baru Sarjana PhD mengikut National Education Code (NEC).

"Namun, untuk pelajar berkenaan sekali lagi ditekankan pendaftaran program beliau adalah program yang sudah mendapat akreditasi penuh dengan kod MQA/SWA/0399.

"Pihak universiti sentiasa membuat penambahbaikan berterusan bagi semua program pra dan pasca siswazah yang ditawarkan mengambil kira perkembangan semasa serta maklum balas pelbagai pihak berkepentingan termasuk pelajar," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Lelaki pakai alat pernafasan buatan sendiri tarik perhatian ramai

 

Seorang lelaki warga asing yang mengenakan alat pernafasan buatan sendiri yang kelihatan pelik di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini, menarik perhatian ramai.

Gambar lelaki bersama peralatan 'pelik' itu yang dipercayai dirakamkan seorang pengunjung yang turut berada di PPV berkenaan dua hari lalu tular di media sosial sejak petang tadi.

Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mansor Ismail ketika dihubungi mengesahkan kehadiran lelaki yang mengenakan peralatan itu di PPV terbabit untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

"Ya, benar lelaki warga asing itu hadir untuk menerima suntikan vaksin di PPV Kompleks Sukan LADA dua hari lalu.

"Difahamkan, dia dapat panggilan untuk menerima suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera," katanya.

Dr Mansor berkata, ketika tiba di kaunter pendaftaran dan menerima suntikan, lelaki itu berpakaian biasa dan lengkap dengan pelitup muka.

"Bagaimanapun, ketika berada di sesi pemantauan lelaki itu dipercayai mengeluarkan peralatan berkenaan dari beg yang dibawa sebelum mengenakan pada muka dan kepalanya.

"Malah berdasarkan pengakuan yang diberikan kepada petugas kesihatan di situ, lelaki terbabit tidak mengalami sebarang penyakit berkaitan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak pasti tujuan lelaki itu berbuat demikian sehingga menarik perhatian ramai.

Sumber : Berita Harian

 

 

Lapan juta dos vaksin tiba Jun, Julai 2021

 

Bekalan vaksin COVID-19 negara bakal menyaksikan lonjakan ketara apabila Malaysia dijadualkan menerima kira-kira lapan juta dos vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, pada bulan depan dan Julai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, yakin penambahan bekalan itu bakal mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan melonjakkan kapasiti pemberian vaksin kepada 150,000 dos sehari bermula bulan depan.

Beliau berkata, kerajaan menambah pembelian vaksin Pfizer sebanyak 12.8 juta dos, menjadikan jumlah dos vaksin Pfizer yang ditempah Malaysia meningkat kepada 44.8 juta yang mencukupi untuk 70 peratus jumlah penduduk Malaysia.

Katanya, perjanjian penambahan dos vaksin itu ditandatangani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pada 21 Mei lalu.

"Dengan penambahan ini, Malaysia akan menerima penghantaran lebih 25.68 juta dos vaksin Pfizer pada suku ketiga tahun ini.

"Pada bulan depan, Malaysia akan menerima sejumlah 2.22 juta dos vaksin Pfizer, dengan 444,600 dos akan dihantar setiap minggu bagi tempoh lima minggu berturut-turut.

"Sehubungan itu, jumlah keseluruhan vaksin Pfizer yang telah dan akan diterima Malaysia sehingga akhir Jun adalah sebanyak lebih 4.97 juta dos," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Bagi vaksin Sinovac, Khairy memaklumkan, rundingan terkini di antara kerajaan dengan Sinovac dan Pharmaniaga, memutuskan Malaysia akan menerima semua baki daripada 12 juta dos yang ditempah pada Jun dan dan Julai.

"Ia merangkumi lebih 5.09 dos vaksin Sinovac 'fill and finish' daripada kilang Pharmaniaga di Malaysia serta lebih 6.91 juta dos vaksin produk siap guna daripada kilang Sinovac di Beijing, China," katanya.

Ahad lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata Malaysia dijangka menerima lima juta dos vaksin Sinovac bulan depan, iaitu dua juta dos daripada Pharmaniaga dan tiga juga dos dari China.

Mengulas mengenai bekalan vaksin AstraZeneca, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu memaklumkan, Malaysia dijangka menerima 1.02 juta dos pada Jun dan Julai.

"Kita dijangka terima 610,000 dos pada Jun dan 410,000 pada Julai, tertakluk pada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi pengeluaran vaksin AstraZeneca dari kilang di Thailand.

"Dengan semua penghantaran ini, saya meletakkan sasaran pemberian suntikan 150,000 sehari pada Jun, yang turut membabitkan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara," katanya.

Sumber : Berita Harian