Khamis, Mei 27, 2021

Populasi Malaysia 32.75 juta pada suku pertama 2021

 

Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.75 juta pada suku pertama 2021, meningkat 0.4 peratus daripada 32.62 juta bagi tempoh sama setahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berdasarkan laporan Perangkaan Demografi bagi suku pertama 2021, jumlah itu merangkumi 29.91 juta atau 91.3 peratus warganegara dan baki 2.84 juta orang atau 8.7 peratus lagi adalah bukan warganegara.

Penduduk lelaki mengatasi wanita, masing-masing berjumlah 16.83 juta dan 15.92 juta, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, komposisi penduduk berusia 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 2.26 juta orang kepada 2.37 juta bagi tempoh sama.

"Trend ini seiring dengan negara-negara membangun lain yang menuju ke arah populasi menua," katanya.

Bagi tempoh itu juga, populasi berusia 0 hingga 14 tahun menyusut kepada 7.56 juta berbanding 7.61 juta pada suku pertama 2020. 

Pada suku pertama tahun ini, jumlah kelahiran hidup yang dicatatkan menurun 10.8 peratus kepada 102,969 kelahiran berbanding 115,439 kelahiran setahun lalu.

"Tidak ada 'baby boom' (kelahiran besar-besaran) pada suku pertama 2021 seperti dijangkakan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan penularan pandemik COVID-19," katanya.

Sebanyak 43,545 kematian dicatatkan bagi suku pertama tahun ini, peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding 43,226 kematian yang dilaporkan pada tempoh sama tahun lalu. 

Sumber : BERNAMA

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts