Memaparkan catatan dengan label tabung haji. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tabung haji. Papar semua catatan

Jumaat, April 22, 2022

Kuota haji Malaysia 14,306 tahun 2022

 



Kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Dalam pengumuman secara langsung menerusi Facebook hari ini, Idris berkata, peratusan sama (45 peratus) terpakai kepada semua negara.

Arab Saudi menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022 yang mana 85 peratus daripadanya untuk jemaah luar. Jumlah sejuta jemaah itu adalah 45 peratus daripada 2.5 juta orang pada 2019.

Idris berkata, kuota sebanyak 14,306 jemaah itu ialah penurunan daripada seramai 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, pada 2019.

"Ini (kuota jemaah bagi musim haji 2022) sudah tentunya berikutan penilaian dan langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan semua jemaah haji dari seluruh dunia.

"Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota diberikan kepada jemaah haji Malaysia," katanya.

Sebelum ini, Idris dilaporkan berkata, kerajaan berharap kuota jemaah haji Malaysia ditambah jika Arab Saudi membenarkan negara luar menunaikan Rukun Islam kelima itu, tahun ini.

Beliau juga dilaporkan berkata, persediaan jemaah haji Malaysia untuk menunaikan ibadah itu pada tahun ini, termasuk logistik, penginapan hotel dan kemudahan lain sudah sedia, selain hanya menunggu pengumuman kuota haji oleh Kerajaan Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Idris berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci selepas dua tahun tertangguh kerana pandemik COVID-19.

Beliau juga sudah mengarahkan TH untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia, selain memohon semua bakal jemaah membuat persediaan sewajarnya daripada segi ilmu, kesihatan, rohani, jasmani dan kewangan.

TH juga akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat dengan bakal jemaah terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera.

"Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya bersedia dengan dokumen berkaitan, terutama pasport. Semua jemaah haji Malaysia perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin COVID-19 apabila dipanggil Kementerian Kesihatan supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa ditetapkan," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bantuan pembayaran haji kepada bakal jemaah pada tahun ini akan diteruskan, selain pengumuman mengenai ketetapan bayaran baharu akan dibuat pengurusan TH, esok.

"Sebagai pengumuman awal, bantuan pembayaran Haji tetap akan diteruskan oleh pihak TH bagi bakal jemaah Haji pada tahun ini. Jika tiada aral melintang, insya-Allah pihak pengurusan TH akan mengumumkan ketetapan bayaran baharu jemaah haji esok, pada waktu yang akan diumumkan kelak.

"Sempena Ramadan Mubarak ini juga, saya memohon agar semua umat Islam di negara ini berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan kemudahan bagi TH menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik," katanya.

Sumber dari Berita Harian

Khamis, Mei 27, 2021

TH perkenal buka akaun secara maya

 

Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan platform terbaharu iaitu Pembukaan Akaun secara Maya (VAO) menerusi pautan dan aplikasi THiJARI untuk memudahkan orang ramai membuka akaun secara dalam talian.

Ia juga sebahagian daripada inisiatif transformasi digital TH ke arah memperluaskan akses perkhidmatan, menjimatkan masa, mesra alam, selamat dan cekap.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad, berkata VAO bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk membuka akaun TH dengan lebih mudah di mana sahaja mereka berada melalui THiJARI.

"Bakal pendeposit hanya perlu melayari laman web www.thijari.com.my (dan klik - Tiada Akaun TH? BUKA SEKARANG), kemudian isi butiran lengkap secara dalam talian dan seterusnya hadir di mana-mana cawangan TH bagi membuat pengesahan biometrik dan dokumen pengenalan.

"Inisiatif ini sekali gus memudahkan urusan pembukaan akaun baharu dan masa untuk membuka akaun disingkatkan dari 15 minit ke satu minit serta pendeposit akan diberi keutamaan di cawangan TH kerana sudah melengkapkan permohonan terlebih dahulu.

"Bakal pendeposit perlu memenuhi syarat pembukaan akaun dan hanya perlu membawa MyKad dan amaun deposit permulaan. Selain itu, pendeposit yang mempunyai anak kandung bawah umur 18 tahun juga boleh membuka akaun kanak-kanak menerusi THiJARI," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pendeposit boleh meningkatkan penggunaan perkhidmatan dalam talian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan interaksi bersemuka di kaunter cawangan TH seluruh negara berikutan penularan COVID-19 yang amat membimbangkan pada masa ini.

"TH terus komited untuk menambah baik mutu dan capaian perkhidmatan kami bagi keselesaan pendeposit serta mewujudkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh, mudah dan fleksibel.

"Kami juga sentiasa peka terhadap keperluan semasa seiring perkembangan digital dan yang paling penting ialah memastikan keselamatan pendeposit terjaga walaupun dalam suasana pandemik COVID-19 sekarang," katanya.

Sejak THiJARI diperkenalkan pada Februari 2020, platform itu berjaya menarik lebih 800,000 pengguna THiJARI Web dan 400,000 pengguna THiJARI App.

 

 

 

Isnin, Mei 24, 2021

Tabung Haji saran pendeposit guna perkhidmatan dalam talian

 

Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan pendepositnya untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian, THiJARI sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan interaksi bersemuka di kaunter cawangan TH di seluruh negara.

Pengarah Eksekutif Operasinya, Mustakim Mohamad, berkata THiJARI adalah perkhidmatan dalam talian yang dilancarkan pada awal tahun lepas bagi memudahkan pendeposit melakukan transaksi dan menerima perkhidmatan TH secara dalam talian seperti menyemak akaun, mencetak penyata, pindahan wang dan perkhidmatan berkaitan haji.

"Pendeposit juga boleh melakukan transaksi di mesin pengeluaran tunai, mesin deposit tunai dan perbankan Internet empat rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Bank," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pada masa sama, pengguna kini boleh melakukan pindahan simpanan dari mana-mana bank ke dalam akaun TH melalui FPX secara dalam talian dan masa nyata tanpa perlu hadir ke cawangan TH melalui THiJARI. 

Katanya, pendeposit juga boleh membuat arahan pindahan simpanan tetap secara bulanan melalui e-Mandate FPX dengan melayari laman sesawang www.thijari.com.my atau aplikasi THiJARI untuk menggunakan perkhidmatan baharu itu secara percuma.

Pendeposit boleh menghubungi Talian Khidmat Pelanggan TH di talian 03-6207 1919 untuk sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH.


 

Selasa, Februari 16, 2021

TH perkenal kemudahan JomPay

 

Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan kemudahan pemindahan dana dalam talian, JomPAY sebagai sebahagian daripada usaha ke arah digitalisasi.

Dengan pengenalan tersebut, TH menyediakan lebih banyak ‘touchpoints’ untuk kemudahan para pendepositnya.

Dalam satu kenyataan media, Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata melalui JomPay, para pendeposit boleh membuat urusan pemindahan dana secara dalam talian ke dalam akaun simpanan TH pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

“Sebanyak 28 buah bank di Malaysia menyediakan kemudahan ini menerusi platform perbankan internet masing-masing. TH sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan digital kepada para pendepositnya.

“Dengan pengenalan kemudahan JomPAY, urusan para pendeposit dapat dijalankan dengan lebih mudah. Para pendeposit dapat memindahkan dana daripada akaun simpanan atau semasa bank mereka ke akaun simpanan TH melalui platform perbankan internet yang sedia ada,” katanya.

Untuk makluman orang ramai, JomPay Biller Code atau kod bil JomPay bagi simpanan TH adalah 60228 dengan 15-digit nombor Akaun Simpanan TH perlu dimasukkan sebagai Ref-1.

Tambah Mustakim, perkhidmatan baru yang ditawarkan itu tidak dikenakan sebarang kos dan tiada pendaftaran diperlukan.

“Tambahan pula, para pendeposit tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menggunakan kemudahan ini dan ia adalah percuma. Dengan kemudahan tambahan ini akan memudahkan lagi para pendeposit untuk berurusan dengan TH.

“Jumlah transaksi pendeposit yang menggunakan kemudahan perbankan internet dan pelbagai saluran dalam talian telah meningkat kepada hampir 80 peratus berbanding transaksi yang dilakukan di kaunter,”katanya. 

Sumber: UTUSAN

Khamis, Oktober 22, 2020

Aplikasi THiJARI mudahkan urusan pendeposit TH

 

Menjadi satu kemestian untuk umat Islam di Malaysia untuk menyimpan dan mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) sekiranya ingin menunaikan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji.

Ditubuhkan pada tahun 1969, TH menjadi satu badan yang menguruskan permohonan serta perjalanan untuk masyarakat negara ini melaksanakan ibadah tersebut.

TH juga menjadi institusi kewangan Islam untuk umat Islam menabung dan mengumpulkan wang bagi membiayai kos perbelanjaan menunaikan ibadah haji.

Sebelum ini, sebarang urusan sama transaksi atau sebagainya, pendeposit perlu ke pejabat TH berdekatan untuk menyelesaikannya.

Namun seiring transformasi dalam bidang teknologi, TH bergerak ke hadapan dengan mengambil pendekatan membangunkan dan memperkenalkan aplikasi THiJARI.

Melalui aplikasi tersebut, pelbagai transaksi boleh dilakukan dengan menggunakan hujung jari.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff menegaskan, aplikasi THiJARI dibangunkan sebagai usaha untuk memudahkan capaian para pendeposit TH kepada sistem perkhidmatan dalam talian selari dengan kehendak dan kepesatan teknologi semasa.

“Pelancaran aplikasi THiJARI ini adalah seiring dengan kecenderungan penggunaan teknologi pada era moden hari ini.

“Sejak pengenalan portal THiJARI pada Februari lalu, sebanyak 300,000 pendeposit TH telah mendaftar di platform ini. Namun menerusi pelancaran aplikasi mudah alih ini, kami menjangkakan jumlah tersebut akan bertambah kepada 500,000 orang menjelang akhir tahun ini,” katanya.

THijari boleh dilayari di:


Rabu, November 08, 2017

Bayaran haji 2018 kekal RM9,980 - Tabung Haji



Bayaran haji RM9,980 bagi musim haji 2018M/1439H dikekalkan walaupun kos sebenar haji meningkat 15 peratus kepada RM22,450 berbanding RM19,550 pada musim haji yang lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah berkata, subsidi haji yang akan diberi kepada seorang jemaah haji muassasah kali pertama ialah RM12,470 iaitu 56 peratus daripada kos haji.

'’Jemaah haji hanya perlu membayar RM9,980 iaitu 44 peratus daripada kos haji," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, TH dijangka menanggung subsidi haji hampir RM400 juta yang merupakan tanggungjawab sosial korporat terbesar TH bagi mendukung aspirasi kerajaan untuk mengimbangi keunggulan duniawi dan ukhrawi.

TH menarik perhatian bahawa bayaran haji itu merupakan kadar paling rendah di Asia Tenggara dengan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan secara percuma oleh TH semasa jemaah menunaikan ibadah haji. 

- Bernama




Sabtu, November 04, 2017

Tabung Haji nafi hubungi pendeposit bagi sebarang transaksi pemindahan wang



Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan tidak pernah menghubungi mana-mana pendeposit bagi sebarang tujuan transaksi pemindahan wang.

Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Lembaga TH dalam satu kenyataan berkata peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon.

"TH telah menerima aduan daripada pendeposit, terdapat sindiket yang menyamar sebagai kakitangan TH telah menghubungi mereka dan memaklumkan berlaku transaksi pindahan wang dari akaun TH kepada pihak ketiga melalui sebuah bank komersial tempatan.

Untuk melakukan pengesahan transaksi tersebut, pemanggil memaklumkan akan mengalih panggilan tersebut ke Balai Polis Kota Kinabalu, di mana pegawai balai akan mendapatkan maklumat akaun pendeposit," kata kenyataan itu hari ini.

Justeru, TH menasihatkan para pendeposit agar tidak mudah percaya sekiranya menerima panggilan telefon yang mendakwa sebagai kakitangan TH berhubung transaksi pemindahan wang.

Para pendeposit juga dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak menuruti arahan pemanggil atau mendedahkan maklumat akaun mereka kepada orang tidak dikenali.

Pendeposit boleh menghubungi talian 03-62071919 untuk sebarang pertanyaan.

- BERNAMA

Recent Posts