Sabtu, Jun 05, 2021

Remaja lelaki 17 tahun jutawan BSN SSP

 

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun melakar sejarah apabila menjadi jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) setelah dipilih sebagai pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP Bulan April 2021 dan membawa pulang sijil itu yang bernilai RM1 juta.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, berkata remaja berasal dari Teluk Kumbar, Pulau Pinang itu mula menyimpan dalam BSN SSP dengan bantuan ibu bapanya yang memulakan simpanan itu sebagai saluran untuk beliau menyimpan wang.

"BSN sentiasa komited untuk menggalakkan tabiat menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama golongan muda. Usaha berterusan telah kami laksanakan dan ditambah baik dari semasa ke semasa seperti produk terunggul kami iaitu BSN SSP," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tahun ini BSN menawarkan hadiah bernilai lebih RM30 juta untuk lebih 19,000 pemenang dengan majlis cabutan yang diadakan mematuhi SOP ketat serta disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi Facebook BSN Malaysia.

Khas untuk Jun dan Disember sahaja, dua pemenang bakal diumumkan sebagai jutawan berbanding hanya seorang pemenang pada bulan lain.

Menurut kenyataan itu, pelanggan sedia ada yang ingin menambah simpanan BSN SSP boleh berbuat demikian di kaunter Cawangan BSN, Mesin Teler Automatik (ATM), Mesin Deposit Tunai (CDM), perbankan Internet myBSN atau menerusi saluran Ejen Bank BSN (EB BSN) manakala pelanggan baharu boleh membeli SSP di kaunter Cawangan BSN di seluruh negara. 

Senarai pemenang boleh disemak melalui laman sesawang BSN www.bsn.com.my atau laman Facebook BSN Malaysia.

 

 

 

Keputusan SPM 2020 diumumkan 10 Jun 2021

 

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 akan diumumkan 10 Jun 2021 ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan pengumuman keputusan itu akan dibuat bermula jam 10 pagi, manakala calon sekolah dan persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui beberapa kaedah.

Katanya, ia merangkumi semakan secara dalam talian talian di pautan http://myresult1.moe.gov.my/ atau http://myresult2.moe.gov.my/ untuk mendapatkan keputusan penuh.

"Calon juga boleh buat semakan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 dengan menaip SPM[jarak]NoKP[jarak]AngkaGiliran dan hantar ke 68886. 

"Perkhidmatan ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada Khamis depan sehingga jam 6 petang, 17 Jun ini.

"Bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan mengenal pasti calon berkenaan dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan," katanya dalam kenyataan.

Seramai 401,105 calon sekolah yang menduduki SPM 2020, mulai 22 Februari lalu, melakar sejarah tersendiri apabila peperiksaan itu diadakan dalam keadaan norma baharu, berikutan penularan jangkitan COVID-19.

Kumpulan pelajar Tingkatan Lima dilihat mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang, iaitu hampir 14 bulan, namun pembelajaran bersemuka paling singkat, iaitu sekitar empat bulan, ekoran penularan pandemik COVID-19 yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype.

Bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet, KPM berkata, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti individu berkenaan dan memaklumkan kaedah sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.

"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Jumaat, Jun 04, 2021

LHDN longgar bayaran cukai, penalti bagi pembayar terjejas

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberikan kelonggaran pembayaran cukai dan penalti kepada individu yang pendapatan mereka terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

LHDN dalam kenyataan hari ini, berkata ia bagi meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai.

Katanya, kelonggaran ditawarkan kepada pembayar cukai itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa kriteria.

"Pertama, penangguhan pembayaran penalti berkaitan dengan kewajipan cukai mereka ke tahun 2022 dengan syarat pembayar cukai terus mematuhi pembayaran amaun prinsipal cukai yang kena dibayar. 

"Penalti yang termaktub dalam tawaran ini ialah penalti dikenakan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949.

"Kedua, pertimbangan permohonan penjadualan semula bayaran cukai bagi pembayar cukai yang kehilangan punca pendapatan atau menghadapi isu menyelesaikan cukai yang tertunggak akibat pelaksanaan PKP," katanya.

Selain itu, LHDN turut mempertimbangkan penyemakan semula penalti dikenakan jika pembayar cukai mempunyai alasan kukuh.

Katanya, pembayar cukai perlu membuat rayuan ke atas penalti dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan dengan melihat setiap asas kes.

"Pembayar cukai yang berhasrat memohon kelonggaran ini disyorkan untuk menghubungi Pejabat Cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka.

"Bagaimanapun, pembayar cukai yang tidak terjejas perlu meneruskan pembayaran cukai seperti dikehendaki undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

LHDN turut menyediakan soalan lazim berkaitan urusan percukaian dalam tempoh PKP 3.0 berkaitan perkara ini, selain menyentuh isu penghantaran borang nyata cukai pendapatan dan pembayaran cukai pendapatan.

FAQ itu boleh dicapai melalui pautanhttp://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_1.pdf bagi versi bahasa Melayu, manakala untuk Bahasa Inggeris menerusi http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_2.pdf.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara) atau HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my

 

 

Rabu, Jun 02, 2021

TNB kongsi tip jimat tenaga sepanjang PKP 3.0

 

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan pengguna memantau dan mengurus penggunaan elektrik di rumah bagi mengelak pembaziran tenaga terutamanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, kadar penggunaan elektrik domestik dijangka meningkat dalam tempoh tersebut kerana lebih banyak masa dihabiskan rakyat di tempat kediaman masing-masing.

“Namun pelanggan mempunyai pilihan berhubung perkara ini termasuk menutup suis peralatan apabila tidak digunakan dan mengamalkan tip cekap tenaga apabila menggunakan peralatan yang menggunakan banyak tenaga seperti alat pemanas air, penyaman udara, mesin basuh dan lampu.

“Manakala untuk lebih 1.2 juta pengguna TNB yang mempunyai meter pintar, mereka boleh memanfaatkan maklumat harian mengenai penggunaan elektrik yang tersedia di aplikasi myTNB bagi memantau penggunaan elektrik di kediaman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah penggunaan tenaga yang cekap turut boleh diamalkan antaranya mematikan komputer selepas digunakan dan berhenti mengecas komputer riba selepas bateri dicas penuh selain menutup suis selepas penggunaan aksesori seperti pembesar suara, mesin pencetak dan pengimbas.

Pengguna juga perlu memastikan semua pintu, tingkap dan laluan udara ditutup sepenuhnya semasa menggunakan alat pendingin hawa di samping menggunakan kipas untuk membantu menyejukkan bilik supaya termostat penyaman udara boleh dilaraskan lebih tinggi antara 24 hingga 26 darjah Celsius.

Selain itu, tetapkan pemasa untuk mematikan alat pendingin hawa sebelum tidur dengan menetapkannya ditutup selepas penggunaan dan bersihkan penapis pendingin hawa kerana habuk pada penapis mengurangkan peredaran udara dan menjejaskan kecekapan peralatan tersebut.

TNB turut mengingatkan, penggunaan air panas semasa mencuci pakaian dengan muatan penuh menggunakan lebih banyak tenaga kerana ia mengambil masa untuk air dipanaskan selain pengguna dinasihati memanfaatkan cahaya semula jadi untuk mengurangkan penggunaan lampu elektrik.

Dalam pada itu, TNB berkata, masa mandian yang panjang dengan alat pemanas air turut menggunakan lebih banyak tenaga untuk memanaskan air secara berterusan.

“Apabila menggunakan ketuhar elektrik tindakan membuka dan menutup pintu ketuhar dengan kerap tidak akan mempercepatkan tempoh hidangan dimasak sebaliknya ia akan menyebabkan penggunaan elektrik yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu ketuhar.

“Pengguna juga perlu mematikan suis dan menanggalkan plag peralatan elektrik apabila tidak digunakan kerana televisyen, kotak dekoder dan modem yang tidak dimatikan boleh meningkatkan penggunaan elektrik dalam jangka masa yang panjang,” jelasnya.

Maklumat lanjut berkaitan cara penggunaan elektrik yang berhemah boleh didapati di portal myTNB melalui www.mytnb.com.my dan pengguna boleh memantau penggunaan alat elektrik di kediaman mereka dengan melayari www.maevi.my.

Pelanggan turut boleh menghubungi TNB CareLine pada talian 1300-88-5454 bagi pertanyaan bil atau kunjungi Facebook TNB CareLine dan laman Twitter @Tenaga_Nasional. 

Sumber : Berita Harian

ECRL: Penembusan Terowong Dungun siap 6 bulan lebih awal

 

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatatkan satu lagi pencapaian dengan penembusan Terowong Dungun sepanjang 871 meter di Terengganu, enam bulan lebih awal daripada jadual asal.

Kejayaan itu juga dilakar kurang dua bulan selepas penembusan terowong ECRL yang pertama di negeri itu, Terowong Paka sepanjang 1.1 kilometer (km) pada 9 April lalu.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata dengan penembusan itu kerja keseluruhan infrastruktur untuk Terowong Dungun dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun depan.

"Kerja keras warga ECRL, termasuk jurutera, perancang dan pekerja pembinaan di Terowong Dungun harus dipuji kerana kerja terowong yang sudah digali sedalam 98,111 meter padu tanah dan batuan itu berjaya dilakukan secara selamat dengan pergerakan tanah yang minimum," katanya.

Letupan terakhir di Terowong Dungun pada 29 Mei lalu menembusi halangan yang terletak 12 meter dari pintu masuk terowong selepas kira-kira 641,520 jam masa kerja membabitkan 100 kakitangan ECRL, menggunakan kaedah gerudi dan letupan menembusi batu luluhawa sederhana.

Kerja penggalian bagi Terowong Dungun mencapai tahap kemajuan 97.4 peratus, sebelum aktiviti penembusan dilakukan sementara lapisan kekal terowong mencapai kemajuan memberangsangkan iaitu 702 meter panjang.

Dengan ketinggian 11.8 meter dan lebar 12.9 meter, Terowong Dungun dibina bagi mengelak penebangan terbuka dan memelihara hutan simpan apabila melintasi kawasan Kuala Dungun.

Mohd Zuki berkata, projek ECRL mempunyai 58 terowong di sepanjang seksyen jajaran ECRL yang merangkumi jarak 665 km.

Katanya, kerjasama padu dan perkongsian pengetahuan antara MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) akan melancarkan kerja penggalian terowong sekali gus memastikan prestasi kejuruteraan seperti yang dijadualkan atau lebih awal daripada jadual.

"Kami berasa bangga kerana projek ECRL masih mencapai tahap kemajuan lebih awal daripada jadual iaitu 22.62 peratus pada bulan Mei 2021 walaupun pandemik COVID-19 mengurangkan waktu bekerja dan tenaga kerja di tapak pembinaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan yang juga kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan projek (EPCC) yakin kakitangan ECRL dapat melakukan kerja dengan baik walaupun di bawah pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Kakitangan kami memberikan usaha berterusan terhadap kontraktor tempatan dan rakan kongsi projek Bumiputera bagi memastikan ketersediaan tenaga kerja, bahan dan jentera binaan apabila diperlukan.

"Kami berterima kasih terhadap sokongan dan kerjasama diberikan subkontraktor serta kakitangan seksyen empat terhadap dua pencapaian yang amat membanggakan dalam tempoh dua bulan ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

Kelulusan automatik moratorium bagi peminjam terkesan

 


Kementerian Kewangan memberi jaminan kelulusan diberikan secara automatik bagi moratorium kepada peminjam yang layak yang mana terkesan oleh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menjelaskan peminjam yang terkesan boleh memilih pakej bantuan sama ada moratorium selama tiga bulan atau pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan dengan menghubungi bank masing-masing.

Beliau berkata, peminjam yang layak ialah mereka yang kehilangan pekerjaan sama ada daripada kumpulan B40, M40 dan T20, penerima Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor yang tidak dibenarkan beroperasi berikutan sekatan pergerakan penuh.

Katanya, peminjam M40 dan T20 yang berdepan pengurangan pendapatan juga boleh memohon untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman mereka sejajar dengan pengurangan pendapatan mereka.

"Peminjam yang terkesan boleh menghubungi bank mereka untuk memilih apa yang mereka mahukan dan kelulusan akan diberikan secara automatik.

"Saya ingin menekankan bahawa bantuan bukan saja dalam bentuk moratorium saja, institusi perbankan juga telah menyediakan pakej khusus untuk peminjam yang terjejas. Institusi perbankan komited untuk memproses pakej ini dengan cara mudah dan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya mengulas lanjut mengenai pemberian moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman hari ini.

Dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai RM40 bilion, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan.

Inisiatif itu akan dilaksanakan segera pada Jun 2021 dan dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.

Tengku Zafrul menjelaskan, pengumuman moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam terkesan itu adalah hasil perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank.

Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan moratorium yang boleh disediakan oleh bank atau bagaimana ia dilaksanakan.

 

Selasa, Jun 01, 2021

Geran Khas Prihatin PKS dinaikkan kepada RM1,500

 

Hampir sejuta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro akan mendapat manfaat melalui Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM1,500 yang akan dibayar sebanyak dua kali mulai Jun.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan menambah kadar GKP daripada RM500 sebelum ini kepada RM1,500 bagi memastikan kelangsungan perniagaan khususnya buat PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka.

"Hampir sejuta PKS dan perusahaan mikro akan menerima RM1,000 pada pertengahan bulan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada Julai," katanya ketika mengumumkan inisiatif Program Strategik Memperkasakan Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan) malam ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pembiayaan mikro kredit sebanyak RM1.5 bilion juga disediakan sepanjang tahun kepada peniaga kecil, penjaja jalanan termasuk perusahaan mikro oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), MARA, SME Corp dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dengan kadar pembiayaan serendah tiga peratus. 

ni kerana katanya, kerajaan masih membenarkan operasi jual beli peniaga kecil, penjaja jalanan melalui prosedur operasi standard (SOP) terbaharu.

Beliau berkata, sebanyak RM7 bilion dana pinjaman masih tersedia untuk PKS melalui pelbagai fasiliti pinjaman mudah perusahaan itu di bawah pembiayaan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu aliran tunai syarikat.

Katanya, ia termasuklah RM2 bilion melalui penambahan fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS terjejas bagi menyokong lagi perusahaan berkenaan.

"Institusi perbankan akan terus menawarkan kemudahan pembiayaan dan pinjaman. Dana institusi perbankan dimantapkan lagi melalui pelbagai fasiliti pinjaman mudah PKS pembiayaan yang masih berbaki RM5 bilion.

"Untuk menyokong lagi PKS, BNM akan menambah fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS terjejas sebanyak RM2 bilion.

"Dengan itu, jumlah dana pinjaman untuk PKS dengan kadar pinjaman serendah 3.5 peratus yang masih tersedia adalah sebanyak RM7 bilion," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

800,000 penjawat awam sumbang ke Akaun Amanah Bencana

 

Sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana dalam tempoh tiga bulan.

Sumbangan membabitkan lebih 800,000 penjawat awam itu bagaimanapun tidak termasuk petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 yang dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

Dalam satu kenyataan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata sebanyak 50 peratus elaun ITK bagi penjawat awam JUSA A ke atas akan disumbangkan ke dalam tabung berkenaan manakala JUSA B sebanyak 20 peratus serta JUSA C sebanyak 10 peratus.

Bagi gred 44 hingga 56, sebanyak lima peratus dari elaun berkenaan akan disumbangkan.

Selain itu, bagi gred 29 hingga 41, RM10 dari elaun ITKA akan disumbangkan ke dalam tabung itu.

Menurutnya, surat edaran dan perincian pelaksanaan ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Kita memahami penjawat awam khususnya sentiasa menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha mengimbangi nyawa dan kehidupan.

"Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik COVID-19 di negara kita.

"Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan ahli keluarga kita," katanya hari ini.

Beliau turut menyeru penjawat awam supaya meneruskan ikhtiar dan meningkatkan komitmen dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara serta membantu memastikan kejayaan mengharungi tempoh yang mencabar ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan sebagai tanda sokongan, barisan jemaah Menteri bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

Perkara itu diumumkan ketika pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

Sumber : Berita Harian

 

Ukiran haiwan prasejarah pertama kali ditemukan di Scotland

 

Buat julung kalinya, ukiran haiwan prasejarah ditemukan di Scotland, lapor Agensi Berita Xinhua memetik pejabat budaya tempatan semalam.

Historic Environment Scotland (HES) melaporkan ukiran haiwan prasejarah, dianggarkan berusia 4,000-5,000 tahun itu ditemui di Dunchraigaig Cairn di Kilmartin Glen, Argyll, barat Glasgow.

Ukiran menunjukkan gambaran dua rusa merah jantan yang dianggap spesies rusa terbesar di Scotland dipercayai berasal dari Zaman Neolitik.

"Ini adalah ukiran haiwan paling awal diketahui di Scotland, dan contoh pertama yang jelas mengenai ukiran rusa dari Zaman Neolitik hingga ke Zaman Gangsa di seluruh United Kingdom," kata jurucakap HES.

Ukiran itu ditemui secara kebetulan oleh ahli arkeologi Hamish Fenton semasa melawat Kilmartin Glen.

Ia terletak pada sebuah batu nisan di dalam Dunchraigaig Cairn perkuburan Zaman Gangsa.

"Ini adalah kali pertama ukiran haiwan pada tarikh ini ditemui di kawasan yang mempunyai tanda terbabit di UK," katanya.

Agensi budaya itu berkata, terdapat lebih 3,000 batu berukir prasejarah di Scotland. 

Sumber : BERNAMA

 

16 pesawat China masuk Zon Maritim Malaysia

 


Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional semalam.

Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, berkata penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

Pesawat bekenaan dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.

"Formasi panjang itu juga terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. 

"Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ackbal berkata, pesawat itu dikesan terbang pada ketinggian antara 23,000 kaki hingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara. 

"Pihak TUDM meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

"Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat itu di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR," katanya.

Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM melancarkan pesawat pemintas pada jam 1.33 tengah hari untuk melakukan identifikasi visual.

"Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM mengenal pasti pesawat itu adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20.

"Pesawat jenis ini adalah pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi," katanya.

Menurut Ackbal, insiden ini adalah perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan (Airways) di dalam KK FIR.

"Insiden ini dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).

"Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

18 sektor pembuatan dan MRS dibenar beroperasi - MITI

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan 18 sektor pembuatan dan perkhidmatannya yang berkaitan (MRS) yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan perjalanan penuh di seluruh negara mulai Selasa hingga 14 Jun ini.

MITI dalam kenyaaan hari ini, berkata sektor yang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus pekerja adalah aeroangkasa (komponen serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih - MRO); makanan dan minuman; bahan pembungkusan dan percetakan serta barang-barang penjagaan diri dan bahan pencuci.

Turut tersenarai ialah bagi keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet; peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran; komponen bagi peranti perubatan; elektrikal dan elektronik serta minyak dan gas termasuk petrokimia dan produk petrokimia juga mendapat kebenaran yang sama.

Turut dibenarkan adalah produk kimia; mesin dan peralatan; tekstil untuk pengeluaran PPE sahaja; serta pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir, manakala lima lagi sektor dibenarkan beroperasi di bawah siap siaga dengan 10 peratus pekerja iaitu automotif (kenderaan dan komponen); besi dan keluli, simen; gelas serta seramik. 

MITI berkata, sektor berkenaan dibenarkan beroperasi dengan syarat mendapat surat kelulusan MITI yang boleh dimuat turun daripada portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Syarikat pembuatan yang sedia ada berdaftar dengan CIMS 3.0 boleh memuat turun surat kelulusan MITI yang baharu dan mengemas kini senarai pekerja mereka sekiranya perlu, berkuat kuasa 8 malam ini.

Syarikat pembuatan yang masih belum mendaftar, boleh berbuat demikian bermula 1 tengah hari pada Isnin, 31 Mei.

"Sektor pembuatan dan MRS yang dibenarkan beroperasi akan memastikan gangguan minima kepada rantaian bekalan komponen dan produk siap kritikal. Ini adalah penting bagi menjamin kelangsungan operasi infrastruktur kritikal seperti keselamatan, kesihatan awam dan sistem informasi dan telekomunikasi serta memastikan bekalan keperluan asas mencukupi untuk rakyat," kata MITI dalam kenyataa itu.

Selain itu, pekerja dalam sektor pembuatan dan MRS memerlukan surat kelulusan kementerian itu, surat pengesahan lantikan daripada majikan atau kad pekerja untuk pergerakan ke tempat kerja.

"Mereka yang dibenarkan beroperasi wajib memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MITI. Kegagalan mematuhi SOP adalah satu kesalahan dan boleh mengakibatkan kompaun dan/atau penutupan premis," katanya.

Bagi memastikan pematuhan SOP yang berkesan, langkah penguatkuasaan yang komprehensif dan ketat akan dilakukan oleh agensi penguatkuasaan persekutuan dan negeri.

Sementara itu, bagi sektor selain pembuatan dan MRS, syarikat diminta merujuk kepada kementerian yang mengawal selia sektor masing-masing atau MKN.

"Perlu ditegaskan bahawa MITI hanya boleh memberi kelulusan beroperasi kepada sektor perkilangan dan MRS," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts