Ahad, Mei 30, 2021

Mufti Perak Tan Sri Harussani meninggal dunia

 

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, 82, yang sebelum ini dilaporkan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini selepas disahkan positif COVID-19, meninggal dunia hari ini.

Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) dalam satu kiriman di Facebook memaklumkan Allahyarham meninggal dunia jam 3 petang tadi di HRPB.

Perkara itu turut disahkan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim ketika dihubungi melalui WhatsApp. Menerusi mesej itu, beliau turut menyertakan gambar tertera ucapan takziah atas pemergian Allahyarham.

Laporan sebelum itu menyebut Harussani dan isterinya, Puan Seri Ainon Abdul Ghani mendapatkan rawatan di HRPB berikutan jangkitan COVID-19.

Namun, isteri Allahyaham sudah beransur pulih dan dibenarkan keluar hospital pada 21 Mei lalu.

Jenazah Allahyarham kini masih berada di hospital dan difahamkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat.

Allahyarham dilahirkan di Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar dan meninggalkan isteri serta empat orang anak.

Allahyarham dilantik menjadi Mufti Perak sejak 1985 dan pernah mendapat anugerah Tokoh Maal Hijrah 2008 selain Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Islam yang membawa gelaran Doktor pada 2010. 

Sumber : Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts