Memaparkan catatan dengan label jumlah penduduk. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jumlah penduduk. Papar semua catatan

Sabtu, Februari 17, 2024

Penduduk Malaysia cecah 33.7 juta pada suku tahun keempat 2023


 Penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 33.7 juta pada suku keempat tahun lepas, meningkat dua peratus berbanding 33 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata daripada jumlah itu 30.5 juta ialah warganegara, manakala selebihnya bukan warganegara.

"Penduduk lelaki meningkat kepada 17.7 juta daripada 17.2 juta dan perempuan meningkat kepada 16 juta daripada 15.8 juta.

"Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan," katanya 

Mohd Uzir berkata, penduduk berumur 0 hingga 14 tahun kekal tidak berubah pada 7.6 juta, sementara penduduk berumur 15 hingga 64 tahun meningkat kepada 23.6 juta daripada 23.1 juta, manakala penduduk berumur 65 tahun dan lebih meningkat kepada 2.5 juta daripada 2.4 juta.

Selain itu beliau berkata, jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 1.1 peratus iaitu 112,767 kelahiran berbanding 114,067 kelahiran pada suku tahun keempat 2022.

Sumber : Bernama

Khamis, Mei 27, 2021

Populasi Malaysia 32.75 juta pada suku pertama 2021

 

Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.75 juta pada suku pertama 2021, meningkat 0.4 peratus daripada 32.62 juta bagi tempoh sama setahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berdasarkan laporan Perangkaan Demografi bagi suku pertama 2021, jumlah itu merangkumi 29.91 juta atau 91.3 peratus warganegara dan baki 2.84 juta orang atau 8.7 peratus lagi adalah bukan warganegara.

Penduduk lelaki mengatasi wanita, masing-masing berjumlah 16.83 juta dan 15.92 juta, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, komposisi penduduk berusia 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 2.26 juta orang kepada 2.37 juta bagi tempoh sama.

"Trend ini seiring dengan negara-negara membangun lain yang menuju ke arah populasi menua," katanya.

Bagi tempoh itu juga, populasi berusia 0 hingga 14 tahun menyusut kepada 7.56 juta berbanding 7.61 juta pada suku pertama 2020. 

Pada suku pertama tahun ini, jumlah kelahiran hidup yang dicatatkan menurun 10.8 peratus kepada 102,969 kelahiran berbanding 115,439 kelahiran setahun lalu.

"Tidak ada 'baby boom' (kelahiran besar-besaran) pada suku pertama 2021 seperti dijangkakan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan penularan pandemik COVID-19," katanya.

Sebanyak 43,545 kematian dicatatkan bagi suku pertama tahun ini, peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding 43,226 kematian yang dilaporkan pada tempoh sama tahun lalu. 

Sumber : BERNAMA

 

Rabu, November 08, 2017

Jumlah penduduk Malaysia kini cecah 32.2 juta



Jumlah penduduk Malaysia kini cecah 32.2 juta

Jumlah penduduk Malaysia mencecah 32.2 juta orang pada suku ketiga (Q3) iaitu pada Julai hingga September tahun ini, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan statistik demografi bagi Q3 tahun ini, jumlah penduduk itu mencatatkan peningkatan 1.3 peratus berbanding 31.7 juta pada Q3 2016.

"Berdasarkan laporan itu, 129,500 kelahiran hidup dilaporkan pada Q3 tahun ini, berkurangan 0.3 peratus berbanding 129,900 pada Q3 2016.

"Secara purata, jumlah kelahiran hidup pada Q3 tahun ini adalah 43,200 sebulan," katanya dalam kenyataan berhubung statistik demografi bagi suku ketiga 2017 yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Uzir berkata sejumlah 40,700 kematian direkodkan pada Q3 tahun ini berbanding 40,900 yang direkodkan pada Q3 tahun lepas.

Secara purata, katanya, jumlah kematian pada Q3 tahun ini adalah 13, 600 sebulan," katanya. 

- Bernama




Recent Posts