Memaparkan catatan dengan label petugas kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label petugas kesihatan. Papar semua catatan

Ahad, Jun 27, 2021

Majoriti petugas kesihatan alami 'burnout'

 

Kajian yang dijalankan terhadap 893 petugas kesihatan di Malaysia mendapati 53.8 peratus daripadanya mengalami tekanan melampau (burnout) disebabkan hal peribadi, dengan paling tinggi direkodkan dalam kalangan pegawai farmasi dan petugas kesihatan peringkat daerah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, kajian itu dijalankan oleh Roslan N.S. et. al. (2021) terhadap Prevalen dan Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Burnout dalam Kalangan Petugas Barisan Hadapan di Malaysia Semasa Pandemik COVID-19.

Sebanyak 39.1 peratus pula mengalami tekanan melampau disebabkan pekerjaan yang membabitkan Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) dan petugas makmal.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata 17.4 peratus lagi membabitkan tekanan melampau berkaitan pesakit iaitu dalam kalangan paramedik dan petugas kesihatan di hospital swasta. 

"Kebanyakan merasakan bahawa mereka tidak dapat sokongan psikososial yang mencukupi di tempat kerja dan antara faktor yang mencetuskan hal ini dalam kalangan petugas kesihatan adalah disebabkan bebanan tugas yang tinggi dan ketidakpastian tempoh pandemik yang panjang.

"Turut menyebabkan tekanan melampau ini juga adalah pertukaran serta proses adaptasi terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang pelbagai; rancangan kerjaya terganggu serta kesulitan mengimbangkan keluarga dan kerjaya," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dr Noor Hisham berkaa, isu tekanan melampau dihadapi dalam kalangan petugas kesihatan berlaku apabila mereka perlu bekerja dengan komitmen melebihi 100 peratus bagi suatu tempoh yang lama.

Situasi ini telah mengakibatkan keletihan fizikal dan mental yang boleh mengganggu konsentrasi serta produktiviti petugas barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Menyedari situasi berkenaan, Dr Noor Hisham berkata, beberapa inisiatif sudah diwujudkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani isu tekanan melampau khusus untuk kakitangan kesihatan dan petugas barisan hadapan dalam tempoh pandemik.

"Saringan kesihatan mental sentiasa dilaksanakan bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai tanda awal tekanan, keresahan atau kemurungan dan Psychological First Aid (PFA) diberikan kepada mereka yang bermasalah dan dirujuk kepada kaunselor atau pakar psikiatri mengikut keperluan," katanya.

Bagi mengelakan tekanan melampau berkenaan, Dr Noor Hisham berkata, petugas kesihatan yang terbabit dalam pengendalian wabak COVID-19 turut diberikan cuti tanpa rekod dengan persetujuan Ketua Jabatan.

Dr Noor Hisham berkata turut menyarankan petugas barisan hadapan mengambil langkah mengelakkan tekanan antaranya mengamalkan senaman dan teknik kawalan pernafasan bagi mengurangkan tekanan dan mendapatkan rehat secukupnya serta mengamalkan pemakanan seimbang.

"KKM menggesa semua petugas barisan hadapan untuk sentiasa mengambil berat aspek kesihatan mental di samping memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi dalam memberi perkhidmatan dan rawatan kepada pesakit khususnya dalam tempoh melawan pandemik ini," katanya.

Dalam pada itu, mengenai kes harian COVID-19, Dr Noor Hisham berkata ia masih dalam julat lebih 5,000 untuk lima hari berturut-turut apabila sebanyak 5,586 kes dilaporkan setakat tengah hari tadi dengan 60 kes kematian dilaporkan.

Kes harian hari ini bagaimanapun turun sedikit daripada jumlah jangkitan yang dilaporkan semalam sebanyak 5,803 kes.

Katanya, pertambahan kes hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kini meningkat kepada 734,048 kes.

Selangor kekal menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes baharu dengan 2,212 kes. Ini diikuti Kuala Lumpur sebanyak 628 kes; Sarawak (513); Negeri Sembilan (501); Melaka (380); Johor (312); Perak (229); Sabah (190) dan Pulau Pinang (138).

"Turut melaporkan pertambahan kes hari ini adalah Kelantan dengan 133 kes baharu, Kedah (129) dan Pahang (118). Selain itu dua negeri lagi mencatatkan pertambahan dua digit iaitu Labuan dengan 83 kes serta Terengganu, 16 kes. Putrajaya mencatatkan empat kes baharu manakala tiada kes dilaporkan di Perlis," katanya.

Hingga kini sebanyak 61,395 kes aktif dilaporkan manakala 888 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 446 kes daripadanya masih memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Mengenai kes kematian pula, Dr Noor Hisham berkata 60 kes dicatat membabitkan 52 warganegara dan lapan warga asing yang semuanya berusia antara 20 hingga 88 tahun.

Sumber : Berita Harian

 

 

Khamis, Mei 27, 2021

Lebih 1,000 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19

 

Kementerian kesihatan (KKM) mengesan 870 petugas kesihatan yang mendapat jangkitan COVID-19 selepas mendapat dos vaksin menerusi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula akhir Februari lalu hingga April.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ketika ini, pihaknya mendapati seramai 1,369 petugas kesihatan dijangkiti wabak itu sejak setahun lalu.

"Seramai 219 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 selepas mendapat satu dos vaksin atau 16 peratus daripada keseluruhan petugas yang dijangkiti," katanya pada sidang media secara maya, tengah hari tadi.

Dr Adham berkata, bagi petugas yang sudah mendapat dua dos vaksin, seramai 651 dikesan dijangkiti COVID-19 manakala 499 lagi dijangkiti sebelum mereka mendapatkan pelalian.

Bagaimanapun, pihaknya tidak mempunyai data berapa ramai individu sudah mengambil vaksin sama ada satu atau lengkap dua dos, yang dijangkiti COVID-19.

Dr Adham berkata, tiga negeri melaporkan jangkitan COVID-19 paling ramai dalam kalangan petugas kesihatan iaitu Selangor, Kelantan dan Kedah.

"Kebanyakan mereka mempunyai simptom tetapi tidak teruk berbanding yang belum mendapat vaksinasi," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts