Khamis, Oktober 26, 2017

Isu Komen Ejen Insurans Mengenai Rawatan HKL




Seorang ejen insurans berang dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang didakwa melayan anak pelanggannya yang melecur akibat terkena air rebusan ketupat 'lebih teruk dari binatang'.

Ejen berkenaan yang mendakwa anak pelanggannya itu melecur 75 peratus dan dihantar ke HKL turut mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah unit rawatan kebakaran hospital itu yang disifatkan masih ditakuk lama.

“Dressing scrap kulit untuk bagi kulit baru tumbuh dibuat hidup-hidup tanpa bius. Kau sanggup dengar anak kau menjerit meraung sementara kau tidak dibenarkan masuk (bilik rawatan). 

“Layanan mereka lebih teruk dari binatang. Kerana banyak binatang dilayan dengan begitu baik dan penuh kasih sayang,” katanya menerusi beberapa ‘posting’ di laman sosial baru-baru ini sehingga ia tular.

Dia turut mendakwa bahawa doktor mendapati terdapat jangkitan terhadap pesakit kanak-kanak itu yang telah dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Subang Jaya dan terpaksa melalui prosedur baharu termasuk pelbagai proses lain yang dibuat selepas dibius.

Menjadikan kisah pelanggannya sebagai modal, ejen dari sebuah syarikat insurans terkenal itu telah meminta orang ramai membuat persediaan dari segi insurans perubatan untuk anak-anak.

“Kemanusiaan hari ini semua datang dengan duit. Persiapkan anak anda dengan insurans perubatan kalau anda faham segalanya boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Kalau tak sanggup serah anak kat tangan-tangan kasar... bayar insurans sikit, antara RM150 dan RM200 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain menjelaskan bahawa pesakit yang dimaksudkan adalah kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang hanya melecur 10 peratus dan bukan seperti yang didakwa ejen tersebut, dalam satu kejadian pada 21 September lalu.

Katanya, pesakit diberikan rawatan segera di bawah Unit Rawatan Kebakaran Institut Pediatrik, dan turut dirujuk kepada disiplin-disiplin yang lain kerana rawatan kebakaran memerlukan pendekatan secara holistik dan multidisiplin untuk mengoptimumkan perawatan.

“Pesakit telah diberikan rawatan sewajarnya iaitu cucian luka di wad mengikut rutin yang telah ditetapkan oleh pakar yang merawat termasuk pembersihan luka yang dijalankan di bilik pembedahan dengan pembiusan.

“Selain itu, pesakit diberikan ubat tahan sakit secara berkala dengan ubat-ubatan yang bersesuaian di wad bagi memastikan pesakit selesa. Antibiotik juga diberikan untuk menghindarkan dan merawat jangkitan kuman,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Walaupun mustahil untuk pesakit tidak berasa sakit mahupun trauma, Dr Zaininah memberitahu rawatan dan ubat tahan sakit mampu mengurangkan kesakitan tersebut.

Katanya, satu tarikh ditetapkan untuk pesakit menjalani ‘superficial skin grafting’, tetap waris memilih untuk discaj sebelum prosedur bagi pesakit mendapatkan rawatan susulan di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya kerana mahukan keselesaan terutama dari segi waktu lawatan. 

Mengikut protokol HKL, hanya ibu bapa atau penjaga dibenarkan melawat dan hanya ibu atau penjaga wanita sahaja yang dibenarkan menjaga pesakit di wad, malah ibu bapa juga tidak dibenarkan berada di bilik rawatan semasa prosedur dijalankan. 

“Protokol ini perlu mereka patuhi bagi memastikan persekitaran wad sentiasa bersih untuk mengurangkan jangkitan kuman kepada pesakit lain yang juga menerima rawatan kebakaran dan kelecuran di unit tersebut,” katanya.

Dr Zaininah turut menegaskan bahawa pesakit yang dikeluarkan dari hospital pada 12 Oktober lalu mengalami luka yang bersih dan bertambah pulih sebelum menyambung rawatan di pusat perubatan lain.

Sehubungan itu, beliau menafikan semua tuduhan pemilik laman Facebook berkenaan sehingga ia tular di media sosial.

“Kenyataan yang dilemparkan adalah tuduhan palsu dan telah mencemarkan imej Hospital Kuala Lumpur,” kata Dr Zaininah.

Sehingga berita ini ditulis, mStar Online sedang menunggu maklum balas daripada syarikat insurans yang dikaitkan dengan dakwaan ejen tersebut.

Prudential Balas Isu Layanan HKL 'Lebih Teruk Dari Binatang'

Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap ejen insurans syarikat itu yang mendakwa layanan Hospital Kuala Lumpur (HKL) 'lebih teruk dari binatang'.

Menerusi kenyataan kepada mStar Online, PAMB kesal dengan dakwaan yang dibuat seorang ejen di bawah agensinya sambil memberi jaminan kepada HKL dan orang ramai bahawa kenyataan yang dibuat itu tidak mencerminkan nilai dan kualiti dalam penyampaian perkhidmatan syarikat terbabit.

“Kita telah memulakan siasatan dan akan memastikan proses yang sepatutnya diikuti sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

PAMB mengulas mengenai dakwaan seorang ejen insurans berang dengan HKL di atas layanan terhadap pelanggannya yang melecur akibat terkena air rebusan ketupat 'lebih teruk dari binatang', yang kini tular di media sosial.

Menurut PAMB, pihaknya telah menghantar surat kepada HKL bagi membuat permohonan maaf berhubung perkara yang berlaku dan telah mengambil tindakan segera untuk memadamkan ‘posting’ yang dibuat oleh ejen berkenaan.

Menerusi beberapa ‘posting’ di laman sosial pada 21 Oktober lalu, ejen insurans yang mendakwa dirinya dari PAMB mendakwa anak pelanggannya melecur 75 peratus dan mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah unit rawatan kebakaran HKL yang disifatkan masih ditakuk lama.

Ejen tersebut turut mendakwa bahawa doktor mendapati terdapat jangkitan terhadap pesakit selepas dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Subang Jaya dan pesakit terpaksa melalui prosedur baharu termasuk pelbagai proses lain dibuat selepas dibius.

“Dressing scrap kulit untuk bagi kulit baru tumbuh dibuat hidup-hidup tanpa bius. Kau sanggup dengar anak kau menjerit meraung sementara kau tidak dibenarkan masuk (bilik rawatan). 

“Layanan mereka lebih teruk dari binatang. Kerana banyak binatang dilayan dengan begitu baik dan penuh kasih sayang,” dakwanya sambil menjadikan kisah pelanggannya sebagai modal meminta orang ramai mendapatkan insurans perubatan.

- mSTAR

Hospital Awam Tak Guna Semula Alat Perubatan Pakai Buang



Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menafikan laporan yang mendakwa hospital kerajaan menggunakan semula alat perubatan pakai buang kononnya kerana kekurangan dana.

Sebaliknya beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa mementingkan aspek keselamatan pesakit dan standard perkhidmatan jagaan kesihatan.

“Kesemua barang guna habis dan peranti perubatan kegunaan tunggal yang digunakan bagi pesakit dengan penyakit bawaan Darah akan dibuang setelah digunakan mengikut tatacara yang ditetapkan.

“KKM memandang serius dakwaan ini yang kemungkinan telah disiarkan dengan niat untuk mensensasikan perkara ini atas sebab-sebab  tertentu. Didapati laporan ini telah memetik sumber yang tidak  dinamakan dan melaporkan seolah-olah KKM tidak mempedulikan aspek keselamatan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat beberapa peranti perubatan kegunaan tunggal yang digunakan lebih daripada sekali, namun peranti tersebut perlu menjalani proses semula melalui kaedah pembersihan dan pensterilan sebelum ia boleh digunakan semula untuk beberapa kali.

Dr Noor Hisham berkata KKM telah menerbitkan garis panduan Polisi dan Prosedur Kawalan Jangkitan berkaitan perkara itu dan ia perlu diguna pakai oleh pengamal kesihatan dalam amalan klinikal mereka termasuk sebahagian besar barang guna habis dan peranti perubatan kegunaan tunggal yang digunakan bagi pesakit kategori lain.

Beliau menambah amalan itu telah lama dipraktikkan di Malaysia dan ia tiada kaitan dengan aspek kewangan dan peruntukan bajet.

“Malahan amalan pemprosesan semula adalah juga menjadi satu kebiasaan di fasiliti kesihatan swasta di Malaysia dan di negara maju misalnya Amerika Syarikat, negara Eropah dan negara OECD (Organisasi untuk Kerja Sama dan Pembangunan Ekonomi,” katanya.

Beliau menjelaskan hasil kajian tinjauan yang dijalankan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan mendapati 37 peratus daripada 40 hospital swasta di Malaysia turut melaksanakan penggunaan semula atau pemprosesan peranti perubatan kegunaan tunggal iaitu sama seperti diamalkan di hospital kerajaan.

Tegas beliau perkara utama yang harus dititikberatkan dalam amalan itu adalah aspek kawalan jangkitan dan keselamatan pesakit di mana perkara berkenaan tidak boleh dikompromi. 

- BERNAMA


Tempayan Misteri Berisi Tengkorak Manusia Ditemui Di Perak



Empat tempayan misteri berisi empat tengkorak manusia ditemui di atas bukit di sebuah kawasan peninggalan lombong bijih timah di Kampung Baru Nalla, Tronoh, Batu Gajah, Perak.

Kejadian sekitar pukul 1.30 petang itu disedari seorang kontraktor rintis Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melakukan kerja penyelenggaraan pencawang di lokasi berhampiran.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati, tempayan berkenaan tersusun rapat dengan tiga daripadanya dalam keadaan tertutup.

"Kita dapati, tulang-tulang yang berada dalam tempayan itu bercampur, ada empat tengkorak dan beberapa tulang lagi bertaburan atas tanah.

"Semua tulang ini tidak diusik dan akan dirujuk ke pakar patologi esok bagi pengesahan sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak," katanya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan penemuan tengkorak itu ada kaitan dengan aktiviti pemindahan tulang nenek moyang kaum Cina yang telah meninggal dunia.

Katanya, berdasarkan temubual orang kampung, dahulu terdapat aktiviti pemindahan tulang nenek moyang dan saudara yang telah lama meninggal dunia untuk ditempatkan di tempat yang mempunyai fengshui yang baik.

"Siasatan awal terhadap penduduk kampung juga tidak dapat mengaitkan dengan sebarang aktiviti pemujaan atau jenayah."Siasatan akan diteruskan dari pelbagai sudut, buat masa ini siasatan dijalankan di bawah Kertas Enkuari Polis (KEP)," katanya.

Tinjauan ke lokasi mendapati, lokasi penemuan terletak lebih tiga kilometer dari pekan Tronoh dan dalam jarak 10 kilometer terdapat jirat Cina.

Penduduk kampung memaklumkan, lombong lama itu sudah lebih 17 tahun tidak beroperasi dan jarang dikunjungi orang kecuali jika ada projek pengambilan pasir.

Seorang penduduk dikenali Sulaiman, 35, berkata, sekitar tahun 90 an, kawasan itu memang terkenal sebagai lokasi penempatan tempayan menyimpan tulang nenek moyang masyarakat Cina yang meninggal dunia.

Bagaimanapun menurutnya, setelah projek pengambilan pasir dan kelapa sawit bermula,  tempayan berkenaan dibawa keluar.

"Aktiviti itu sudah lama dan kita tak pernah dengar lagi ada tempayan diletakkan di situ sehinggalah hari ini," katanya. 

- Sinar Online

Isnin, Oktober 23, 2017

2017 - PEPERIKSAAN ONLINE MEMASUKI PERKHIDMATAN PEGAWAI TADBIR DAN DIPLOMATIK GRED M41


PEPERIKSAAN ONLINE MEMASUKI PERKHIDMATAN PEGAWAI TADBIR DAN DIPLOMATIK GRED M41

Tarikh Peperiksaan : 3 November 2017 (Jumaat)
Masa : 8:00 MLM - 8:40 MLM

Sila layari laman web untuk semakan:
http://e-semakanntt.spa.gov.my

PERHATIAN:

Calon yang hamil dan mempunyai masalah kesihatan kronik TIDAK DIBENARKAN untuk menduduki Peperiksaan Online Memasuki Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M41. Ini adalah kerana calon-calon yang lulus peperiksaan online sahaja akan dipanggil menduduki Ujian Kecergasan dan Jasmani Kebangsaan (UKJK) yang dijangka bermula pada Januari 2018.

Program UKJK ini mengandungi aktiviti lasak yang tidak bersesuaian dan boleh mendatangkan risiko yang besar kepada calon-calon tersebut.

Segala pemakluman terkini mengenai peperiksaan yang berlangsung akan dipaparkan di Portal SPA dan Laman Facebook SPA di www.facebook.com/Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia SPA semasa peperiksaan dijalankan.

Kedua-dua pautan ini boleh diakses walaupun tanpa akaun yang aktif. Pastikan anda tidak ketinggalan dengan maklumat mutakhir pihak SPA!

* Semua calon akan menduduki peperiksaan pada sesi dan masa yang sama, bermula pada jam 8:00 malam hingga 9:40 malam.

Khamis, Oktober 05, 2017

Gerai Nasi Kerabu Perkenal Bayaran Guna Bitcoin



Sebuah gerai nasi kerabu di Kota Bharu antara yang terkini memperkenalkan kaedah bayaran menggunakan mata wang maya Bitcoin.

Gerai Jijah NK di Kampung Pauh, Badang yang terletak kira-kira 25 kilometer (km) dari bandar ini berada dalam peta para pedagang yang menerima mata wang krypto digital itu.

Pesara tentera, Safihin Mohammed,65, memperkenalkan sistem pembayaran digital itu di gerai isterinya Azizah Derahman baru-baru ini.

Safihin berkata, Bitcoin akan menjadi alat petukaran nilai mata wang digital pada masa akan datang.
Menurutnya, Bitcoin belum diterima oleh pelanggan di gerainya, dia hanya menerima lapan transaksi dalam masa tempoh dua bulan.

"Nilai Bitcoins naik mendadak" katanya sambil menambah bahawa satu unit Bitcoins berjumlah RM18,701 berbanding 23 tahun dahulu.

"Walaupun, pelanggan hanya perlu membayar 0.00025 dalam Bitcoin untuk membeli sebungkus nasi kerabu yang bernilai RM5, mereka lebih gemar membayar secara tunai" kata Safihin.

Selain itu,pengguna Bitcoin tidak perlu bimbang risiko menjadi mangsa ragut atau perompak.

Pengguna Bitcoin tidak perlu bawa wang tunai, mereka hanya pengimbas QR kod melalui peranti mudah alih untuk membuat bayaran.

Peniaga tersebut mempelajari tentang Bitcoin melalui Google.

"Jika kita tidak mengikut perkembangan semasa, kita akan ketinggalan," tambah Safihin.

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa, Christine Lagarde berkata, bahawa mata wang digital berpotensi menggantikan mata wang tunai lama tidak lama lagi.

Sumber : mSTAR

Generasi Baru Lemah Komunikasi - Aznil



Pengacara Datuk Aznil Nawawi  berhasrat mengelilingi sekolah-sekolah di Malaysia bagi memperkasakan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar. 

Aznil berkata, menerusi pemerhatiannya generasi muda pada hari ini kekurangan kemahiran itu yang turut menyebabkan mereka tidak mempunyai suara dalam melontarkan pandangan dan pendapat dengan cara yang betul. 

“Saya sudah mempunyai idea ini sejak sekian lama dan sedang bekerja rapat dengan agensi kerajaan bagi merialisasikan impian itu. 

“Apa yang saya lihat sekarang ramai generasi baru terutamanya lepasan universiti tiada kemahiran komunikasi dan fikiran kritikal ketika ditanya soalan semasa proses temuduga membuatkan mereka gagal mendapat pekerjaan. 

“Sebab itu saya ingin keliling Malaysia, pergi ke sekolah-sekolah, mula dari pelajar sekolah rendah untuk dedahkan kepada mereka mengenai kepentingan komunikasi dan interaksi dalam melontarkan pertanyaan, jawapan malah pendapat,” ujarnya. 

Aznil ditemui pada majlis pengumuman pemenang pertandingan cipta kawan Cheek-e yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sri Tasek, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, Aznil berkata, dia bimbang dengan perkembangan komunikasi generasi baharu pada hari ini yang dilihat mula ke arah kebaratan sehingga mampu menggunakan perkataan tidak sesuai di laman sosial. 

Katanya, tidak salah bagi seseorang menyatakan suara malah ia salah satu modul yang ingin diketengahkan dalam projeknya itu namun ia perlu dilakukan dengan penuh adab dan sopan. 

“Jika kita lihat senario sekarang banyak anak kita yang bukan sahaja sanggup memaki hamun pemimpin tetapi tanpa rasa bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ahli agama dan ibu bapa. Ada pula yang sanggup memukul ibu sendiri! 

“Sampai bila kita hendak biarkan keadaan ini berlaku? Takkan hendak tunggu mereka berani hina nabi ke? 

“Sebab itu saya ingin adakan kempen ini dalam mengasah kebolehan berkomunikasi dan melontarkan pendapat, menyuarakan pandangan mereka tetapi dengan adab dan cara yang betul,” katanya. 
Sementara itu, Aznil berkata, projek berkenaan diharap dapat dilaksanakan secepat mungkin dan mengharapkan ia mendapat sokongan semua pihak. 

Malah kata Aznil menjadi hasratnya jika ada mana-mana pengacara tidak kira di televisyen, radio mahupun di pasar raya yang mahu menjayakan projek itu dialu-alukan.

Sumber : mSTAR

Mahkamah Beri Peluang Ibu Jatuh Hukuman Anak


Mahkamah Majistret Kota Bharu memberi peluang kepada seorang ibu untuk menjatuhkan hukuman terhadap anaknya pada Selasa.

Majistret, Nik Habri Muhamad memberi peluang itu kepada Rahimah Abdul Rahman, 52, sebagai pengajaran kepada anaknya, Adam Abdullah, 28, selepas tertuduh bertindak melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan mengacukan sebilah gunting bermaksud hendak menakutkan mangsa.

Adam dituduh melakukan kesalahan itu di Kampung Terap Banggu di sini, pada pukul 9.30 pagi,19 Jun lepas dan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Nik Habri memberi peluang kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam untuk membuat rayuan terhadap hukuman yang bakal dijatuhkan terhadapnya.

Adam dalam rayuannya memohon maaf kepada ibunya dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan.

Nik Habri kemudian memanggil Rahimah ke sebelah kandang tertuduh bagi memberi penghormatan kepada mangsa untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.

"Saya beri penghormatan kepada mak kamu untuk hukum kamu. Makcik jangan takut kepada anak. Makcik boleh mohon nak hukuman berat atau ringan dan saya akan pertimbangkan," katanya.

Rahimah bagaimanapun memaafkan kesalahan anaknya dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anaknya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun dari tarikh tertuduh ditangkap.

Dalam hujahnya, Nik Habri berkata, kes berkenaan diharap dapat dijadikan pengajaran kepada tertuduh serta orang lain agar menghormati ibu masing-masing.

"Saya serius dengan kes begini. Kamu bernasib baik kerana mak kamu minta hukuman ringan. Ada kes lain saya bagi hukuman penjara maksimum lima tahun.

"Kalau kamu ulangi kesalahan sama saya akan kenakan hukuman berat. Kerana menghargai permintaan mak kamu, saya hukum kamu dengan penjara 12 bulan," katanya.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya Hamidah Mahmood. 

- Bernama

Rabu, Oktober 04, 2017

'Iron Lady' Meninggal Dunia



Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd, Datuk Dr Maznah Hamid meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada petang Rabu.

Perkara itu disahkan oleh anak sulung Allahyarhamah Maznah, Datin Nur Sharmila Shaheen.
"Allahyarhamah telah kembali ke rahmatullah pada pukul 6 petang tadi di IJN.

"Jenazah Allahyarhamah akan dibawa pulang ke kediaman di Ukay Heights, Ampang pada pukul 10 malam ini," katanya Nur Shamila dalam satu kenyataan pada petang Rabu.

Menurut Nur Shamila, solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar pada Khamis di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak (TAR), Ampang.

Beliau menambah, jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Raudhatul Sakinah, (Karak 2), Taman Selasih di Kuala Lumpur selepas solat Asar.

"Besar harapan kami sekeluarga supaya kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah dan doa kepada ibunda kami dan minta diampunkan dosa-dosa Almarhumah.

"Jika ibunda kami ada berhutang dengan sesiapa, mohon berjumpa dengan ahli keluarga secepat mungkin," ujar Nur Shamila.

Terdahulu Maznah, 62, yang juga Exco Wanita Umno dan lebih dikenali sebagai ‘Iron Lady' dilaporkan kritikal berikutan berlaku komplikasi pendarahan dalaman selepas menjalani pembedahan jantung pada minggu lalu.

Beliau dimasukkan ke IJN untuk menjalani rawatan sejak 18 September lalu. 

Khamis lalu, beliau dilaporkan menjalani pembedahan jantung terbuka yang pertama pada pukul 9 pagi selepas dua saluran pada injap jantungnya tersumbat.

Maznah dipindahkan ke ICU selepas pembedahan tamat pada pukul 2 petang sebelum pihak IJN terpaksa menjadikan ICU tersebut sebagai bilik bedah untuk menjalankan pembedahan jantung terbuka yang kedua, selepas beliau mengalami pendarahan dalaman yang teruk.


Nissan Panggil Semula 1.2 Juta Kenderaan



YOKOHAMA, JEPUN: Nissan Motor akan memanggil semula kira-kira 1.2 juta kenderaan keluaran syarikat itu yang dijual dalam tempoh tiga tahun lepas (Oktober 2014-September 2017), susulan pendedahan kenderaan berkenaan melalui proses pemeriksaan akhir oleh juruteknik tidak berkelayakan.

Presiden Nissan Motor Co Hiroto Saikawa berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan Jepun pada minggu ini, lapor agensi berita Jepun Jiji Press.

"Sejujurnya saya memohon maaf di atas kesilapan yang berlaku," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat syarikat di Yokohama, Tokyo pada Isnin.

Nissan pada Jumaat mendedahkan beberapa pemeriksaan kenderaan yang telah siap di semua kilang tempatannya dijalankan pekerja tidak bertauliah.

Menurut sumber, terdapat keraguan kemungkinan syarikat berkenaan memalsukan dokumen yang dilihat seolah-olah pemeriksaan akhir dijalankan juruteknik bertauliah.

Beliau berkata, Nissan akan menjalankan siasatan yang mungkin memakan masa selama sebulan untuk mengetahui sejak bila amalan seperti itu dilakukan.

Katanya, syarikat juga akan menyusun langkah untuk memastikan pemeriksaan kenderaan akhir hanya dijalankan pekerja berkelayakan.

Mengulas mengenai tanggungjawab dan tindakan kepada pihak terlibat, Saikawa merangkap pengerusi Persatuan Pengilang Automobil Jepun berkata, perkara itu akan dipertimbangkan selepas siasatan mencapai tahap memuaskan.

Pemeriksaan kenderaan oleh juruteknik tidak bertauliah mula menjadi isu apabila Kementerian Pengangkutan mengadakan lawatan mengejut ke kilang pengeluaran kereta Nissan.

Hasil tinjauan mendapati juruteknik tidak bertauliah didapati melakukan pemeriksaan akhir pada 21 model kenderaan Nissan yang dikeluarkan pada 18 Sept atau sebelum.

Langkah memangil semula kenderaan itu membabitkan kos lebih 25 bilion yen.

Di bawah arahan Kementerian Pengangkutan, pembuat kenderaan dikehendaki memastikan pemeriksaan akhir hanya dijalankan pekerja yang layak di bawah peraturan dalaman masing-masing.

Di Nissan, didapati terdapat pembantu juruteknik yang tidak layak turut mengambil bahagian dalam beberapa pemeriksaan.

- Bernama


Selasa, Oktober 03, 2017

Shopee Malaysia Lancar Shopee Mall


Shopee, pasaran mudah alih di Asia Tenggara dan Taiwan, melancarkan Shopee Mall serba baharu yang mempunyai lebih 100,000 produk untuk memenuhi permintaan pembeli Malaysia.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Malaysia, Ian Ho berkata Shopee membentuk platform yang membolehkan rakyat Malaysia membeli-belah produk dan jenama kegemaran mereka, dalam talian, secara langsung daripada pemilik jenama itu sendiri.

“Kami turut menawarkan jaminan ketulenan dan pulangan percuma buat kali pertama,” katanya selepas melancarkan Shopee Mall.

Ho berkata Shopee Mall menawarkan peluang kepada jenama untuk memperluaskan capaian mereka selain pengguna tradisional dengan memanfaatkan asas pengguna sedia ada kira-kira empat juta muat turun di negara ini.

Beliau berkata Shopee Mall akan menyediakan akses langsung kepada lebih 300 jenama terkenal dan peruncit besar bagi pengalaman membeli-belah dalam talian premium.

Antara jenama yang terdapat di Shopee Mall termasuklah Nestle, Petronas, Watsons, Senheng, Digi, Coca-Cola, Huawei, L'Oreal dan Xixili, katanya.

Ho berkata pembeli boleh menikmati beberapa faedah termasuk jaminan 100 peratus, 15 hari dasar pemulangan, percuma penghantaran di seluruh negara dan jaminan harga terendah Shopee.

Sempena dengan pelancaran tersebut, Shopee Mall mengadakan jualan pembukaan sehingga 90 peratus diskaun, termasuk baucar diskaun dan pemberian hadiah mulai hari ini hingga 8 Oktober, 2017.

- Bernama 

Program persediaan untuk graduan perubatan



Graduan dalam bidang perubatan diberi peluang mengikuti program pemerhati (tagging) yang akan diperkenalkan tahun depan sementara menunggu penempatan latihan perubatan (houseman).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, dalam program itu, graduan akan mengikuti doktor perubatan dan memerhati atau melihat sendiri tugas yang dilakukan.

"Kebiasaannya, graduan perubatan perlu menunggu antara enam bulan hingga setahun sebelum mendapat penempatan houseman yang dijalankan selama dua tahun, jadi tidak salah jika mereka mengikuti program tagging ini sebagai persiapan diri dan menambah pengalaman.

"Selain itu, bagi yang mengikuti program berkenaan, saya yakin mereka akan mengetahui segala perjalanan dalam bidang perubatan dengan lebih jelas serta membantu mereka untuk lebih cekap dalam kerja," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Latihan Penjagaan Kesihatan Bersepadu (IHICD) di Kolej Tun Syed Nasir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kuala Lumpur.

Program sehari itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar perubatan berkenaan industri penjagaan kesihatan.

Dr Hilmi berkata, pihaknya kini masih menyediakan garis panduan dalam program tagging sebelum ia dilaksanakan.

"Program ini juga sebagai langkah mengatasi masalah yang berlaku ketika houseman, di mana 30 peratus tidak lulus atau sangkut dalam latihan.

"Keadaan yang berlaku turut memberi masalah kepada graduan baru yang mahu mengikuti houseman apabila tempat latihan khususnya di hospital awam sudah penuh dengan mereka yang perlu menambah jangka masa houseman," katanya.

Menurutnya, program tagging itu dapat dijalankan di hospital atau klinik kesihatan yang tidak menyediakan houseman.

"Namun, program ini bukanlah wajib diikuti dan mereka juga tidak dibayar sebarang gaji.

"Ia lebih kepada program persediaan supaya graduan tidak membuang masa begitu saja sebelum mendapat tempat houseman," katanya.

- Harian Metro

Recent Posts