Memaparkan catatan dengan label kes jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kes jenayah. Papar semua catatan

Rabu, September 21, 2022

63,000 kes tipu babit kerugian lebih RM1.3 bilion kurang tiga tahun

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan lebih 63,000 kes bagi lima jenis penipuan yang paling kerap dilaporkan di negara ini dalam tempoh kurang tiga tahun.

Ia membabitkan kes Macau Scam, penipuan e-dagang, pinjaman tidak wujud (PTW), penipuan pelaburan dan love scam.

Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Komputer/ Internet/ Harta Intelek/ Cakera Optik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Superintendan Madhavan Nair Unnikrishnan, berkata sebanyak 63,267 kes penipuan berkenaan direkodkan antara 2020 hingga Ogos 2022.

Katanya, semua kes dalam tempoh berkenaan membabitkan jumlah kerugian melebihi RM1.39 bilion.

"Lima jenayah berkaitan siber paling banyak menyumbang pada jumlah kes dan kehilangan wang dalam tiga tahun ini dengan jumlah tertinggi adalah Macau Scam dengan 17,870 kes membabitkan kerugian RM740 juta.

"Ia disusuli penipuan e-dagang yang meningkat ketara ketika pandemik dengan 21,871 kes dilaporkan, dengan jumlah kerugian RM204 juta.

"Kes PTW pula banyak menjadikan mereka yang terdesak dan amat perlukan wang sebagai mangsa, dengan 12,696 kes dilaporkan membabitkan RM138 juta.

"Kes pelaburan pula antaranya membabitkan tawaran pulangan sehingga 200 peratus dalam 24 jam. Ia tidak masuk akal namun tetap ada yang percaya dengan 7,241 kes dan kerugian RM155 juta, selain love scam yang mencatat 3,589 kes dengan kerugian RM155 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Konvensyen Pegawai Keselamatan ICT Malaysia (ICTSO) 2022 di sini, hari ini.

Madhavan memaklumkan masih ramai individu terperangkap dengan taktik penipuan itu meskipun sudah menyedari mengenai kewujudan jenayah berkenaan, termasuk dalam kalangan golongan profesional yang berpendidikan tinggi.

"Ada satu kes love scam membabitkan seorang doktor dengan kerugian RM1.3 juta. Ketika disiasat, beliau akui tahu bawa ada kes penipuan seumpamanya, namun tidak terfikir mengenainya ketika menjadi mangsa," katanya, memaklumkan PDRM sedang meningkatkan program kesedaran mengenai penipuan.

Madhavan meminta orang ramai untuk tidak terpedaya jika menerima panggilan mendakwa daripada PDRM, bank, pejabat pos atau mana-mana agensi yang meminta maklumat peribadi atau sejumlah wang.

"Agensi seperti polis dan lain-lain hanya akan hubungi jika mahu tetapkan janji temu. Jika anda ragu dengan panggilan bank pula, tamatkan panggilan dan hubungi semula atau pergi terus ke bank berkenaan untuk pengesahan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai isu kehilangan wang dalam akaun, Madhavan menjelaskan kebanyakan kes yang disiasat PDRM mendapati ia berpunca daripada kecuaian pengguna yang mendedahkan maklumat peribadi, sama ada secara sedar atau tidak.

"Daripada pengalaman kami apabila menyiasat mangsa, kes kehilangan wang dalam akaun berlaku kerana kecuaian mangsa yang mendedahkan maklumat peribadi ketika dihubungi penipu atau kaedah lain-lain.

"Dulu ketika ada banyak kes sebegini, PDRM adakan pertemuan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan putuskan supaya bank perkenal fungsi keselamatan yang lebih terperinci dan jumlah kes sebegini menurun.

"Namun, masih ada yang berlaku. Bila disiasat, memang kita dapati mangsa ada dedahkan maklumat peribadi," katanya.

Sumber : Berita Harian

Rabu, November 04, 2020

Tidak puas hati disindir dipercayai punca pembunuhan Siti Nur Surya

 

Polis tidak menolak kemungkinan perasaan tidak puas hati akibat sering disindir, dipercayai menjadi punca pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, 19, di Kampung Lubok Batu, Telemong, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata ia susulan dakwaan suspek ketika tampil di Balai Polis Telemong bersama ibunya bagi membantu siasatan kes terbabit kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Beliau berkata, suspek berusia 19 tahun mendakwa bahawa mangsa sering mengejek kehidupan keluarganya yang miskin kerana ibu hanya bekerja sebagai tukang cuci dan bapa pula bekerja kampung, berbanding kehidupan keluarga mangsa yang agak senang.

"Suspek turut mendakwa mangsa suka mengejek dengan menyatakan dia tidak cantik berbanding dirinya, dan kononnya kekurangan itu menjadi punca suspek masih tiada teman lelaki sehingga dia sering memendam perasaan.

"Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu.

Mohd Adli berkata, selain pergelangan tangan Siti Nur Surya terputus, pemeriksaan juga mendapati ada kesan tusukan pada leher mangsa dan beberapa kecederaan lain.

"Polis juga percaya ada berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek kerana kita menjumpai beberapa helaian rambut dalam genggaman mangsa," katanya. 

Sumber : Berita Harian

Khamis, Oktober 05, 2017

Mahkamah Beri Peluang Ibu Jatuh Hukuman Anak


Mahkamah Majistret Kota Bharu memberi peluang kepada seorang ibu untuk menjatuhkan hukuman terhadap anaknya pada Selasa.

Majistret, Nik Habri Muhamad memberi peluang itu kepada Rahimah Abdul Rahman, 52, sebagai pengajaran kepada anaknya, Adam Abdullah, 28, selepas tertuduh bertindak melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan mengacukan sebilah gunting bermaksud hendak menakutkan mangsa.

Adam dituduh melakukan kesalahan itu di Kampung Terap Banggu di sini, pada pukul 9.30 pagi,19 Jun lepas dan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Nik Habri memberi peluang kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam untuk membuat rayuan terhadap hukuman yang bakal dijatuhkan terhadapnya.

Adam dalam rayuannya memohon maaf kepada ibunya dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan.

Nik Habri kemudian memanggil Rahimah ke sebelah kandang tertuduh bagi memberi penghormatan kepada mangsa untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.

"Saya beri penghormatan kepada mak kamu untuk hukum kamu. Makcik jangan takut kepada anak. Makcik boleh mohon nak hukuman berat atau ringan dan saya akan pertimbangkan," katanya.

Rahimah bagaimanapun memaafkan kesalahan anaknya dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anaknya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun dari tarikh tertuduh ditangkap.

Dalam hujahnya, Nik Habri berkata, kes berkenaan diharap dapat dijadikan pengajaran kepada tertuduh serta orang lain agar menghormati ibu masing-masing.

"Saya serius dengan kes begini. Kamu bernasib baik kerana mak kamu minta hukuman ringan. Ada kes lain saya bagi hukuman penjara maksimum lima tahun.

"Kalau kamu ulangi kesalahan sama saya akan kenakan hukuman berat. Kerana menghargai permintaan mak kamu, saya hukum kamu dengan penjara 12 bulan," katanya.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya Hamidah Mahmood. 

- Bernama

Recent Posts