Memaparkan catatan dengan label graduan perubatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label graduan perubatan. Papar semua catatan

Rabu, Jun 23, 2021

Pengambilan graduan perubatan untuk latihan siswazah diteruskan

 

Kementerian Kesihatan (KKM) tetap meneruskan seperti biasa pengambilan graduan perubatan untuk mengikuti latihan siswazah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pengambilan graduan perubatan terus dilaksanakan membabitkan graduan yang diluluskan pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi memberi peluang kepada mereka mendapat pendedahan pengalaman bekerja seperti obligasi yang ditetapkan mengikut Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Justeru, beliau menafikan dakwaan bahawa KKM menghentikan pengambilan itu.

Sejak Disember 2016, katanya, pengambilan graduan perubatan dibuat secara kontrak berikutan kekangan perjawatan tetap dan membolehkan pengambilan dibuat tanpa bergantung kepada kekosongan tetap yang terhad.

"Kontrak ditawarkan sehingga tiga tahun bagi membolehkan graduan perubatan menjalani latihan siswazah sebelum disambung untuk tempoh dua tahun lagi bagi membolehkan mereka melengkapkan khidmat wajib.

"Bagi tempoh Disember 2016 hingga 31 Mei 2021, seramai 23,077 Pegawai Perubatan UD41 dilantik secara kontrak untuk menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib.

"Daripada jumlah itu, seramai 789 daripada 2,544 pegawai Kohort Lantikan 1 Tahun 2016, Kohort Lantikan 1 Tahun 2017 dan sebahagian Kohort Lantikan 2 Tahun 2017 yang layak diperakukan pelantikan tetap sudah ditawarkan pelantikan tetap oleh SPA.

"Perkhidmatan kohort lantikan lain yang masih dalam latihan dan belum dipertimbangkan pelantikan tetap masih disambung sehingga 2022," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Adham berkata, pelantikan secara tetap ditawarkan kepada pegawai yang melepasi kriteria pelantikan tetap seperti digariskan melalui surat pekeliling ditetapkan.

Beliau berkata, pelantikan tetap juga dilaksanakan berdasarkan kekosongan jawatan tetap dari semasa ke semasa selaras peraturan berkaitan perjawatan dan kewangan yang berkuat kuasa manakala pelantikan tetap yang melebihi perjawatan tetap keseluruhan sedia ada tidak dibenarkan dan boleh mengundang teguran audit.

Katanya, bagi memastikan penilaian lebih adil dan saksama, proses penilaian semasa latihan siswazah dibuat pada setiap penempatan dan kriteria penilaian pelantikan tetap juga dimaklumkan kepada setiap pegawai.

Dr Adham berkata, KKM juga menubuhkan tiga peringkat Jawatankuasa Penilaian iaitu Jawatankuasa Teknikal Pelantikan Tetap di peringkat Program Perubatan, Jawatankuasa Pemilihan Pelantikan Tetap yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) dan perakuan pelantikan tetap kepada Pengurusan Tertinggi Kementerian iaitu Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Setiausaha Kementerian bagi memelihara ketelusan dan integriti dalam proses memperakukan pelantikan secara tetap.

Beliau berkata, seperti kementerian lain, KKM juga tertakluk dengan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa dengan permohonan perjawatan masih dikemukakan kepada Agensi Pusat, mengambil kira keperluan perjawatan sebenar di fasiliti sedia ada dan fasiliti baharu.

Selain itu, katanya, kerajaan mengambil maklum mengenai pandangan yang dikemukakan Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia supaya penelitian semula dibuat terhadap pengambilan dan penempatan lantikan baharu graduan perubatan untuk berkhidmat di kementerian itu.

Beliau berkata, penelitian itu dicadangkan bagi memastikan graduan perubatan khususnya dalam kalangan Bumiputera dapat berkhidmat secara tetap dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran bidang profesional di negara ini.

Sumber : Berita Harian

 

 

Selasa, Oktober 03, 2017

Program persediaan untuk graduan perubatan



Graduan dalam bidang perubatan diberi peluang mengikuti program pemerhati (tagging) yang akan diperkenalkan tahun depan sementara menunggu penempatan latihan perubatan (houseman).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, dalam program itu, graduan akan mengikuti doktor perubatan dan memerhati atau melihat sendiri tugas yang dilakukan.

"Kebiasaannya, graduan perubatan perlu menunggu antara enam bulan hingga setahun sebelum mendapat penempatan houseman yang dijalankan selama dua tahun, jadi tidak salah jika mereka mengikuti program tagging ini sebagai persiapan diri dan menambah pengalaman.

"Selain itu, bagi yang mengikuti program berkenaan, saya yakin mereka akan mengetahui segala perjalanan dalam bidang perubatan dengan lebih jelas serta membantu mereka untuk lebih cekap dalam kerja," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Latihan Penjagaan Kesihatan Bersepadu (IHICD) di Kolej Tun Syed Nasir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kuala Lumpur.

Program sehari itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar perubatan berkenaan industri penjagaan kesihatan.

Dr Hilmi berkata, pihaknya kini masih menyediakan garis panduan dalam program tagging sebelum ia dilaksanakan.

"Program ini juga sebagai langkah mengatasi masalah yang berlaku ketika houseman, di mana 30 peratus tidak lulus atau sangkut dalam latihan.

"Keadaan yang berlaku turut memberi masalah kepada graduan baru yang mahu mengikuti houseman apabila tempat latihan khususnya di hospital awam sudah penuh dengan mereka yang perlu menambah jangka masa houseman," katanya.

Menurutnya, program tagging itu dapat dijalankan di hospital atau klinik kesihatan yang tidak menyediakan houseman.

"Namun, program ini bukanlah wajib diikuti dan mereka juga tidak dibayar sebarang gaji.

"Ia lebih kepada program persediaan supaya graduan tidak membuang masa begitu saja sebelum mendapat tempat houseman," katanya.

- Harian Metro

Recent Posts