Kenderaan sedan dari pengeluar terkemuka Jepun, Nissan Almera mula diperkenalkan secara rasmi di negara ini pada tahun 2012.
Sejak mula diperkenalkan, model yang berada dalam segmen B itu
menerima banyak kritikan sama ada rekaan pada bahagian luaran mahupun
dalaman kerana dikatakan kurang menarik.
Model generasi pertama di Malaysia itu menggunakan kod N17 yang mana
banyak menggunakan elemen bulat di bahagian dalaman termasuklah panel
tengah pada bahagian papan pemuka.
Walaupun rupa kenderaan itu seperti kurang digemari pengguna di
Malaysia, namun hakikatnya model tersebut mendapat sambutan yang agak
baik. Ini terbukti apabila pada masa ini Almera antara kenderaan yang
banyak berada di atas jalan raya di negara ini.
Untuk rekod, Almera yang menggunakan enjin 1.5 liter dan transmisi CVTC berjaya dijual lebih 50,000 unit setakat tahun 2015.
Pada tahun itu juga, kereta ini menerima perubahan yang membuatkan rekaannya sedikit agresif walaupun menggunakan badan asal.
Pada tahun ini, pengedar rasmi jenama Nissan di sini, Edaran Tan
Chong Motor (ETCM) membuat kejutan apabila dengan beraninya membawa
masuk generasi terbaharu dengan enjin turbo bagi pasaran Malaysia.
Malah, spesifikasi yang diguna pakai untuk kenderaan itu untuk jualan
di negara ini antara yang tertinggi berbanding negara Asia Tenggara
lain.
Sebelum diperkenalkan kepada umum pada 4 September lalu, peminat
automotif tertanya-tanya berkenaan varian enjin apa yang akan dibawa
oleh Nissan untuk model itu kerana di pasaran global beberapa varian
enjin diuar-uarkan.
Adakah ia menggunakan enjin 1.5 liter atau 1.0 liter turbo? Tanda
tanya itu terjawab apabila ETCM pada minggu lalu mengumumkan model 1.0
liter turbo menjadi pilihan untuk pasaran di Malaysia dalam prebiu
eksklusif.
Pada prebiu itu, tiga seleksi ditawarkan bagi model itu iaitu VL
(asas), VLP (pertengahan) dan VLT (paling hebat). Semua varian itu
menggunakan enjin sama cuma mempunyai perbezaan sedikit dari aspek
spesifikasi atau tambahan fungsi.
Antara yang menarik perhatian penulis, model enjin 1.0 liter turbo
itu hadir dengan Teknologi Saduran Gerek Cermin (Mirror Bore Coating
Technology) yang diadaptasi daripada Nissan GT-R.
Teknologi itu diperkenalkan bagi membantu mengurangkan geseran antara
gelang omboh dan bahagian dalam silinder. Ini sekali gus meningkatkan
ketahanan, di samping mengurangkan masalah kehausan dan pengurusan haba
selain menjadikan pemanduan setiap hari lebih jimat serta mesra alam.
Enjin baharu itu dilengkapi beberapa inovasi teknikal seperti pemandu
akan dapat merasai pecutan serta-merta sebaik sahaja waste gate
elektronik yang menambah baik mampatan turbo membuka dan menutup injap
secara lebih efisien.
Selain itu, enjin tersebut dipadankan dengan transmisi Xtronic CVT,
D-Step Logic System dan mod Sport. Gabungan itu mampu menawarkan kuasa
tork sehingga 152Nm pada bacaan seawal 2,400 hingga 4,000 pusingan per
minit (rpm).
Di samping itu, Nissan Almera baharu itu hanya memerlukan 1 liter
petrol untuk bergerak sejauh 18.4 kilometer (km). Tangki penuhnya
berkapasiti 35 liter dan secara rumusannya kereta ini mampu bergerak
sejauh 650km.
Reka bentuk
Pada masa sekarang, sesuatu model itu dianggap ketinggalan zaman jika
tidak dilengkapi sistem keselamatan dengan teknologi terkini. Justeru,
kereta ini hadir dengan teknologi Nissan Intelligent Mobility dan sistem
keselamatan Nissan Safety Shield 360 untuk meningkatkan keyakinan
ketika memandu.
Ciri-ciri seperti Intelligent Forward Collision Warning (Amaran Awal
Risiko Perlanggaran) dan Intelligent Emergency Braking (Pemantau
Persekitaran Brek Kecemasan) ada pada tiga seleksi yang ditawarkan.
Tambahan pada varian paling hebatnya VLT, ia dilengkapi sistem Amaran
Titik Buta (Blind Spot Warning), Rear Cross Traffic Alert, Intelligent
Around View Monitor dan Moving Object Detection.
Dari aspek rupa pula, jika dibandingkan dengan model sebelum ini,
Almera Turbo lebih panjang iaitu 70 milimeter (mm) dengan lebar (45mm).
Reka bentuk hadapan dengan menggunakan gril signatur V-motion, lampu
utama LED boomerang dan garisan bumbung yang timbul kelihatan lebih
‘segak’ berbanding generasi pertama.
Bahagian dalam berekaan moden seperti panel instrumen sentuhan krom,
kemasan warna hitam dan tekstur corak gentian karbon menampilkan imej
sporty dan mewah.
Papan pemuka yang dibalut dengan kulit lembut dan paparan skrin bersaiz lapan inci melengkapkan lagi pakej itu.
Pada bahagian pemandu, stereng yang rata pada sebelah bawah kelihatan
sporty ditambah dengan meter separa digital bersaiz tujuh inci.
Kereta ini menawarkan kapasiti ruang kargo seluas 482 liter yang mampu memuatkan empat beg golf.
Model untuk pasaran Malaysia juga menawarkan tempat duduk belakang
boleh lipat dengan konfigurasi 60:40 sekiranya anda mahu membawa barang
yang panjang atau ruang lebih luas.
ETCM dijangka melancarkan model yang turut dikenali sebagai Versa di
negara lain itu pada bulan depan dengan anggaran harga bermula RM80,000,
namun tidak mencecah RM100,000.
Ia ditawarkan dalam warna merah, jingga, kelabu, hitam, putih dan perak.
Sumber : Kosmo!