Memaparkan catatan dengan label belasungkawa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label belasungkawa. Papar semua catatan

Rabu, Oktober 04, 2017

'Iron Lady' Meninggal Dunia



Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd, Datuk Dr Maznah Hamid meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada petang Rabu.

Perkara itu disahkan oleh anak sulung Allahyarhamah Maznah, Datin Nur Sharmila Shaheen.
"Allahyarhamah telah kembali ke rahmatullah pada pukul 6 petang tadi di IJN.

"Jenazah Allahyarhamah akan dibawa pulang ke kediaman di Ukay Heights, Ampang pada pukul 10 malam ini," katanya Nur Shamila dalam satu kenyataan pada petang Rabu.

Menurut Nur Shamila, solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar pada Khamis di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak (TAR), Ampang.

Beliau menambah, jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Raudhatul Sakinah, (Karak 2), Taman Selasih di Kuala Lumpur selepas solat Asar.

"Besar harapan kami sekeluarga supaya kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah dan doa kepada ibunda kami dan minta diampunkan dosa-dosa Almarhumah.

"Jika ibunda kami ada berhutang dengan sesiapa, mohon berjumpa dengan ahli keluarga secepat mungkin," ujar Nur Shamila.

Terdahulu Maznah, 62, yang juga Exco Wanita Umno dan lebih dikenali sebagai ‘Iron Lady' dilaporkan kritikal berikutan berlaku komplikasi pendarahan dalaman selepas menjalani pembedahan jantung pada minggu lalu.

Beliau dimasukkan ke IJN untuk menjalani rawatan sejak 18 September lalu. 

Khamis lalu, beliau dilaporkan menjalani pembedahan jantung terbuka yang pertama pada pukul 9 pagi selepas dua saluran pada injap jantungnya tersumbat.

Maznah dipindahkan ke ICU selepas pembedahan tamat pada pukul 2 petang sebelum pihak IJN terpaksa menjadikan ICU tersebut sebagai bilik bedah untuk menjalankan pembedahan jantung terbuka yang kedua, selepas beliau mengalami pendarahan dalaman yang teruk.


Selasa, September 12, 2017

Belasungkawa Sultan Kedah


Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, mangkat semalam pada usia 89 tahun, setelah memerintah Kedah selama 59 tahun.

Sultan berjiwa rakyat ini menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.30 petang, di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Almarhum baginda begitu disenangi oleh semua, kerana cukup dikenali dengan perwatakan baik, pertuturan lembut dan merendah diri yang menjadikan baginda kesayangan rakyat Kedah. 

Almarhum baginda yang kembali menaungi negeri setelah bersemayam di takhta pemerintahan negara selama lima tahun pada 12 Dis 2016, melakar sejarah tersendiri apabila ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, Ketua Negara Malaysia, sebanyak dua kali.     

Pelantikan pertama ialah sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun hingga 20 Sept 1975. Tiga puluh enam tahun kemudian, Almarhum baginda dilantik pula sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 mulai 13 Dis 2011 hingga 12 Dis 2016.

Pemilihan Almarhum Sultan Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dianggap istimewa kerana kitaran masa bagi seseorang Raja naik takhta sebagai Ketua Negara melalui sistem penggiliran Majlis Raja-Raja yang unik di dunia, mengambil masa panjang. 

Diputerakan pada 28 Nov 1927, di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Almarhum baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titian Gajah sebelum menyambung pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.

Almarhum baginda melanjutkan pengajian di Wadham College, Oxford, London pada 1952 dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam sebelum kembali ke tanah air setelah menamatkan pengajian pada 1955.

Almarhum Sultan Abdul Halim  dilantik sebagai Raja Muda Kedah sewaktu di United Kingdom pada 6 Ogos 1949 dan menaiki takhta pada 14 Julai 1958 berikutan kemangkatan ayahanda Almarhum baginda, Almarhum Sultan Badlishah dan ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah pada 20 Feb 1959.

Almarhum baginda berkahwin dengan Almarhum Tuanku Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan kemudian menikahi Sultanah Haminah Hamidun.

Perkahwinan Almarhum baginda dengan Tuanku Bahiyah dikurniakan tiga puteri, Tengku Soraya (1961) Almarhum Tengku Sarina (diputerikan pada 1961 dan mangkat pada 1991) dan Tengku Intan Safinaz (1967).

Berikutan kemangkatan Tuanku Bahiyah pada 27 Ogos 2003, Sultanah Haminah dimasyhurkan sebagai Sultanah Kedah pada 9 Jan 2004.

Almarhum Sultan Abdul Halim yang merupakan pencinta alam semula jadi, mempunyai sebuah zoo mini yang menempatkan pelbagai jenis burung dan binatang, termasuk kuda, kijang, landak, anak buaya tembaga, monyet dan arnab.

Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan pemerintahan, Almarhum baginda masih ada masa untuk aktif dalam sukan kegemarannya — golf, selain turut meminati sukan bola sepak dan memberi perhatian serius terhadap perkembangan pasukan negeri Kedah dan pasukan negara.

Kemangkatan Sultan Abdul Halim pastinya amat dirasai dan jasa Almarhum baginda selama memayungi negeri Kedah tetap dikenang dan disanjung tinggi oleh seluruh lapisan rakyat jelata.

Alfatihah.

— Bernama

Recent Posts