Memaparkan catatan dengan label penyakit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penyakit. Papar semua catatan

Isnin, September 05, 2022

Bisul pecah, bakteria masuk ke salur darah

 


Bagi kebanyakan orang, bisul suatu penyakit biasa dan berupaya sembuh dengan sendirinya. Malah, ada mengatakan bisul terjadi disebabkan melanggar pantang larang, misalnya disebabkan mereka duduk di atas bantal.

Biar apapun mitos itu, bisul adalah benjolan pada bahagian kulit dan di dalamnya mengandungi nanah. Ini bermakna, ia boleh terjadi pada mana-mana bahagian badan, tetapi lebih kerap dikesan pada muka, punggung, paha atau tempat yang mempunyai bulu atau rambut.

Menurut Pakar Bedah Am Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Azem Fathi Mohammad Azmi, bisul adalah jangkitan kuman pada akar rambut dan bulu (folikel) disebabkan bakteria yang dipanggil Stafilokokus aureus atau ringkasnya S aureus.

"Ia adalah flora biasa dan sesiapa saja boleh dijangkiti bisul terutama mereka yang kurang menitikberatkan penjagaan kebersihan.

"Bagaimanapun, bisul agak lazim kepada seseorang yang mempunyai sistem imuniti badan lemah, menghidap kencing manis, HIV, hepatitis serta pesakit kurang zat makanan dan seumpamanya," katanya kepada BH.

Katanya, secara umumnya bisul tiada batas umur tertentu berikutan keupayaannya boleh tumbuh di celahan kerana bahagian itu mudah bergesel, sementara muka pula yang lebih dikenali jerawat kerana bahagian terbabit selalunya berminyak.

"Jadi ia jelas tiada umur spesifik, bisul itu boleh terjadi kerana apa yang menyebabkannya adalah berlaku iritasi dan lazimnya ia boleh sembuh dengan sendiri," katanya.

Boleh menyebabkan jangkitan kuman

Mengulas lanjut, Dr Mohd Azem Fathi, berkata kebiasaannya bisul bermula dengan saiz kecil, namun apabila satu-satunya folikel itu menjangkiti kepada yang lain, saiz bisul itu akan menjadi besar.

"Selepas jangkitan itu membesar, ia akan merebak kepada beberapa kelompok yang dipanggil 'carbuncles'.

"Apabila keadaan ini berlaku ia amat membimbangkan terutama apabila seseorang itu turut menyebabkan bisul itu akan merebak kepada sekeliling bahagian lain," katanya.

Katanya, kemudian bisul itu mungkin pecah, mula mengeluarkan nanah dan jika jangkitan merebak lebih besar, ia berisiko mengakibatkan jangkitan kuman kepada tisu yang lebih dalam, sekali gus menyebabkan kuman serta bakteria masuk ke dalam salur darah.

"Ini akan menyebabkan pesakit mengalami sepsis (keadaan diakibatkan oleh bakteria memudaratkan dalam darah dan tisu) yang lebih memberikan risiko tinggi," katanya.

Dilarang picit bisul

Disebabkan itu katanya, orang ramai tidak digalakkan memicit bisul kerana dikhuatiri kuman di dalamnya berisiko meresap ke bahagian yang lebih dalam lagi.

Ditanya kemungkinan bisul boleh dikaitkan dengan penyakit lain. Contohnya serangan demam atau penyakit lain hingga berkemungkinan kuman yang terdapat bisul sudah memasuki salur darah dan mengakibatkan jangkitan bakteria.

"Bagi pesakit kencing manis pula, mereka ini sangat cenderung kepada sepsis serta berlaku komplikasi teruk termasuk paras gula menjadi sangat tinggi, berasid, hingga menjadikan pesakit tidak stabil.

"Dengan komplikasi sebegini, pesakit perlu dirujuk ke hospital dengan kadar segera untuk rawatan seterusnya," katanya.

Langkah pencegahan

Sementara itu, langkah terbaik mencegah bisul, Dr Mohd Azem Fathi mengesyorkan, langkah pencegahan perlu diambil dahulu, kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

"Langkah asas jika kita berisiko mendapat bisul, kurang zat, kita disarankan supaya memastikan kulit sentiasa bersih, menjaga kebersihan pakaian, tidak berkongsi tuala, dan jika ada kencing manis, kawal paras gula dengan baik.

"Seandainya seseorang itu dijangkiti bisul kecil, jangan terlalu bimbang kerana ia boleh sembuh sendiri, selain boleh dituam serta mendapatkan rawatan di klinik atau mengambil ubat penahan sakit.

"Jika ingin membersihkan kawasan bisul, adalah digalakkan menggunakan cucian antiseptik bagi mencuci kawasan bisul yang pecah.

"Seterusnya doktor biasanya memberikan ubat antibiotik dan bisul itu tidak pecah, serta membabitkan kedalaman tisu yang dalam, ia mungkin memerlukan pembedahan kecil," katanya.

Beliau berkata, bisul juga boleh berulang dan pada individu biasa ia tidak membahayakan dan adalah digalakkan mengamalkan penjagaan kebersihan diri, tetapi mereka yang berisiko perlu berjumpa doktor untuk dipantau keadaannya.

Info

Mengenai bisul

* Bisul ada nanah terkumpul dalam satu rongga

* Ditumbuhi di bahagian tertentu tubuh seperti leher, punggung dan ketiak.

Punca bisul

* Disebabkan bakteria pada rambut folikal dan sekeliling kulit, mulanya muncul sebagai jerawat.

* Bakteria membentuk bisul dipanggil Staphylococcus aureus.

Siapakah berisiko dapat bisul

* Kurang jaga kebersihan diri

* Kawasan penempatan sesak

* Atopy (alahan)

* Sistem imuniti badan yang lemah

* Kurang zat makanan.

* Pesakit diabetes.

Apakah tanda dan gejala bisul

* Nanah di bahagian tengah bisul

* Keputihan, lelehan mengandungi darah daripada bisul

* Kemerahan di sekeliling kulit dijangkiti

* Sakit apabila disentuh

Cara cegah bisul

* Jaga kebersihan diri

* Pastikan kulit sentiasa bersih

* Basuh tangan sebelum menyentuh muka

* Jangan kongsi tuala mandi atau pakaian

Sumber : Berita Harian

Sabtu, Julai 23, 2022

Influenza: Ibu bapa jangan terlalu risau

 


Ibu bapa diminta tidak terlalu risau atau panik dengan penularan jangkitan Influenza Like-Illness (ILI) susulan beberapa kluster dikesan membabitkan pelajar di sekolah berasrama.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kluster influenza berkenaan adalah situasi normal bagi penyakit berjangkit yang wujud dari semasa ke semasa dan bermusim.

"Terdapat beberapa kluster membabitkan sekolah asrama dan ia dalam perhatian Kementerian Kesiahatan (KKM).

"Kluster influenza ini adalah perkara biasa yang akan timbul dari semasa ke semasa dan buat masa ini dalam kes kluster terbabit semuanya terkawal dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan," katanya pada sidang media.

Khairy terdahulu hadir ke Program Outreach Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau.

Beliau berkata, kes penyakit berjangkit akan bertambah dari semasa ke semasa terutama apabila langkah kesihatan awam seperti penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka mula dilonggarkan.

"Kes infuenza ini akan bertambah dari semasa ke semasa terutama apabila kita dah tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kita mula mengurangkan langkah kesihatan awam seperti penjarakan fizikal, tak perlu pakai pelitup muka ketika berada di luar dan sebagainya.

"Ini sudah pasti akan meningkatkan (kes) penyakit berjangkit sebab mungkin selama dua tahun lepas penyakit berjangkit influenza menurun sebab itu kita sama ada terpaksa duduk di rumah atau mengambil langkah kesihatan awam tertentu yang kita ikuti.

"Jadi memang kalau lihat dari segi influenza serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) ia akan meningkat," katanya.

Khairy berkata, pihaknya menyerahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk membuat penilaian mengenai kluster yang wujud di sekolah berasrama dan sekiranya mencapai tahap merisaukan maka langkah yang sepatutnya akan dilaksanakan.

"Saya harap ibu bapa tidak terlalu risau lebih-lebih lagi kes ini kes yang terkawal dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Isnin, Mei 23, 2022

HFMD serang otak dan paru-paru

 


Jika anak mempunyai simptom demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah, jangan ambil mudah.

Mereka perlu dikuarantin antara tujuh sehingga 10 hari atau sehingga pulih sepenuhnya bagi mengelak menghidapi penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD), selain mengekang penularan bertambah parah.

Walaupun HFMD adalah penyakit yang dikategorikan sebagai tidak serius, tetapi ia berisiko jangkitan menyebabkan jangkitan pada otak, jantung dan paru-paru, namun peratusannya amat rendah.

Pakar Perunding Intensif Pediatrik, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Prof Madya Dr Anis Siham Zainal Abidin, virus boleh menyerang masuk ke dalam selaput otak, jantung dan paru paru melalui darah.

Katanya, kurang lima peratus pesakit berisiko mendapat serangan hingga ke organ lain dan boleh membawa maut, namun kira-kira 95 peratus adalah pada tahap ringan.

"Oleh itu, jika ibu bapa mendapati ada simptom HFMD pada anak mereka terutama yang dihantar di Taska, Tadika atau pusat asuhan, perlu mula pantau seterusnya mendapatkan rawatan.

"Ketika ini, kes HFMD berada pada tahap membimbangkan terutama di Kuala Lumpur dan Selangor, iaitu kebanyakan kes dipercayai berpunca dari Taska, Tadika dan pusat asuhan.

"HFMD adalah penyakit berjangkit yang melanda kanak-kanak berusia 10 tahun dan ke bawah yang berkait rapat dengan amalan kebersihan serta persekitaran yang berpunca berpunca daripada Coxsakie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

"Dalam keadaan yang hampir normal berbanding ketika pandemik COVID-19, kebanyakan ibu bapa sudah masuk ke pejabat dan tiada pilihan mereka ada yang terpaksa menghantar anak ke pusat berkenaan," katanya.

Katanya, simptom penyakit itu bermula dengan demam sehari atau dua hari kemudian diikuti oleh kemunculan ruam dan lepuh (blister) di tapak tangan dan kaki serta ulser.

"Keadaan itu akan menyebabkan kanak-kanak menjadi tidak lalu makan dan minum kerana ulser di dalam mulut, lemah serta tidak aktif seperti biasa disebabkan tiada tenaga di dalam badan," katanya.

Dr Anis Siham berkata, keadaan lepuh yang naik pula adalah seakan-akan sakit akibat deman campak, namun lebih kecil dan tidak menyeluruh di seluruh badan.

Katanya, air yang terdapat di dalam lepuh itu adalah berbisa dan ia yang akan menyebabkan penyakit itu lebih mudah merebak.

"Apabila lepuh sama ada di bahagian tapak tangan atau tapak kaki pecah dan mengeluarkan air serta terkena pada objek atau sesuatu permukaan yang kemudiannya dipegang oleh kanak-kanak lain, ia menjadi penyebab penyakit itu merebak.

"Kanak-kanak yang pernah dijangkiti HFMD sebelum ini juga masih berisiko mendapat penyakit itu namun simptom yang ditunjukkan tidak seteruk kali pertama dialami mereka berikutan sudah ada antibodi di dalam badan.

"Begitu juga golongan dewasa, mereka masih boleh dijangkiti HFMD dan pada masa sama menyebarkan kepada kanak-kanak lain jika tidak menjaga kebersihan," katanya.

Tingkatkan amalan kebersihan

Mengulas lanjut, beliau berkata virus berkenaan yang sentiasa berada di kawasan persekitaran, juga boleh berada di dalam usus apabila ia masuk ke dalam tubuh seseorang.

Katanya, bagi kanak-kanak yang masih memakai lampin atau lampin pakai buang dan membuang air besar, mereka boleh menyebarkan virus itu menerusi najis.

"Virus itu boleh merebak apabila ada orang dewasa yang menukar lampin kanak-kanak berkenaan kemudiannya tidak membasuh tangan dengan betul dan terus memegang objek atau persekitaran lain tanpa sedar tangan mereka sudah terkena virus.

"Justeru, mereka yang menukar lampin kanak-kanak perlu mengamalkan kebersihan dengan terus mencuci tangan dengan sabun bagi mencegah penyebaran penyakit," katanya.

Berkenaan rawatan, Dr Anis Siham berkata, jika keadaan kanak-kanak itu demam biasa diikuti ulser, ruam dan lepuh, mereka boleh makan ubat deman dan kuarantin di rumah sehingga pulih sepenuhnya.

Jika kanak-kanak berkenaan tidak mahu minum dan menyebabkan kurang membuang air kecil, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik.

"Ibu bapa yang mendapati anak mula demam dan merengek atau menangis diikuti air liur mula meleleh, perlu membuat pemeriksaan segera pada mulut anak mereka kerana mungkin disebabkan oleh ulser di dalam mulut.

"Jika keadaan ulser teruk, mereka perlu mendapatkan segera rawatan ubat penyembur bagi mengurangkan kesakitan seterusnya memberikan air menggunakan straw bagi mengelak terus dehidrasi," katanya.

Jelasnya, bagi demam yang berterusan sehingga tiga hari berturut-turut walaupun sudah makan ubat demam, diikuti nafas laju, dada berombak, penat keterlaluan, sawan dan nadi laju, ibu bapa perlu segera membawa anak ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Kekang penularan HFDM

Justeru, Dr Anis Siham berkata, ibu bapa perlu memastikan jika anak mereka mempunyai simptom HFMD, mereka perlu dikuarantin sehingga penyakit pulih sepenuhnya.

Katanya, dengan berbuat demikian, ia dapat mengekang penularan penyakit terutama terhadap kanak-kanak lain.

"Jika anak bergejala jangan bawa mereka keluar langsung terutama ke pusat beli-belah, restoran atau menghantar ke pusat jagaan terbabit.

"Ajar anak-anak untuk menjaga kesihatan, iaitu dengan kerap mencuci tangan dengan sabun, tidak berkongsi pinggan, cawan, sudu, garpu atau tuala dengan sesiapa," katanya.

Akuinya, peningkatan kes ketika ini juga dipercayai kerana masih ramai ibu bapa yang belum peka dengan penyakit berkenaan dan mungkin beranggapan ia tidak serius.

Justeru katanya, mereka perlu terus diberi kesedaran termasuk juga terhadap pihak pengurusan Taska, Tadika atau pusat asuhan.

"Pihak pengurusan perlu tingkatkan lagi tahap kebersihan termasuk kerap membuat pembersihan bagi mengurangkan penularan penyakit HFMD," katanya.

Info:

Mengenai Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD)

* Berlaku kepada kanak-kanak berumur bawah 10 tahun

* Merebak dengan cepat iaitu hampir 100 %

* Jangkitan melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis mereka yang berpenyakit.

* Tempoh inkubasi antara 3 - 5 hari.

Tanda-tanda dan gejala

* Demam yang ringan

* Rasa tidak sihat (letih dan lesu)

* Sakit tekak

Sumber : Berita Harian

Ahad, Disember 26, 2021

Awas penyakit bawaan air

 

Banjir akan menyebabkan sampah-sarap, lumpur takungan najis keluar bersama-sama limpahan air yang tercemar hingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit. Lantas, meningkatkan tahap kebersihan diri serta memastikan makanan dan minuman tidak tercemar ketika musim banjir perlu diutamakan untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit bawaan air dan makanan.

Penyakit bawaan air dan makanan atau 'food and water-borne disease' adalah penyakit berpunca daripada jangkitan kuman yang terdapat dalam makanan dan minuman sudah tercemar.

Penyakit ini biasanya dikategorikan sebagai keracunan makanan, taun, demam kepialu (tifoid), disenteri dan Hepatitis A. 

Pensyarah dan Pakar Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Prof Madya Dr Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad, berkata terdapat pelbagai jenis kuman seperti bakteria, virus dan parasit yang boleh menyebabkan penyakit bawaan air dan makanan.

Ia boleh tersebar apabila individu terdedah secara langsung atau termakan dan terminum daripada sumber makanan dan minuman sudah tercemar dengan najis manusia dan haiwan dijangkiti serta persekitaran kotor (seperti kehadiran lalat, lipas dan tikus).

"Terdapat keadaan pengendali makanan mempunyai penyakit ini sama ada simptom atau tidak, juga boleh menyebabkan penyakit itu tersebar ketika mereka menyediakan makanan sekiranya tidak menjaga kebersihan diri dengan baik seperti tidak membasuh tangan dengan sabun sebelum menyediakan makanan".

"Selain itu, faktor persekitaran boleh menyebabkan penularan terutama ketika banjir apabila air sudah tercemar dengan kuman akibat sistem kumbahan yang rosak dan amalan sanitasi tidak baik seperti penggunaan tandas tidak sempurna semasa bencana banjir," katanya.

Dr Wan Mohd Zahiruddin berkata, simptom utama penyakit ini adalah cirit-birit, muntah, sakit perut, demam, najis berdarah dan sekiranya teruk, pesakit boleh mendapat gejala dehidrasi seperti keletihan, tekanan darah rendah dan pengsan.

Katanya, jangka masa seseorang mula mengalami simptom bergantung kepada jenis kuman yang dijangkiti (berdasarkan konsep tempoh pengeraman atau inkubasi selepas selepas terdedah kepada sumber tercemar) serta juga faktor umur, imuniti dan jumlah dos pencemaran.

"Bagi penyakit dikategorikan kumpulan keracunan makanan, individu boleh mula mengalami simptom seawal beberapa jam sehingga satu hingga dua sehari. Manakala, penyakit taun pula sehingga empat hingga lima hari dan demam kepialu (tifoid) pula lewat sehingga seminggu hingga dua minggu," katanya.

Rawatan penyakit

Katanya, rawatan utama adalah dengan melihat tahap hidrasi pesakit dan kebiasaannya, ramai pesakit cirit-birit yang ringan, cuma perlu dirawat dengan larutan rehidrasi oral (ORS), manakala jika teruk sehingga ada gejala dan tanda tekanan darah menjadi rendah, pesakit perlu dimasukkan ke wad untuk rawatan hidrasi (perlu dimasukkan air).

"Rawatan lain menerusi ubat antibiotik dan rawatan simptomatik yang boleh sembuh dalam tempoh beberapa hari bergantung kepada jenis kuman yang disyaki atau disahkan dan juga keadaan pesakit," katanya.

Komplikasi penyakit bawaan air dan makanan dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah dan warga emas perlu diberi perhatian. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kanak-kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah adalah kumpulan yang berisiko tinggi bagi kematian akibat penyakit ini.

Katanya, ini kerana sistem imunisasi kanak-kanak pada usia berkenaan masih rendah berbanding golongan dewasa yang sudah banyak terdedah kepada pelbagai kuman sebelum ini. Di tambah amalan kebersihan diri dan sanitasi rendah dan kesedaran penyakit yang terhad dalam kalangan kanak-kanak menjadikan mereka berisiko tinggi mendapat jangkitan penyakit ini.

"Begitu juga warga emas terutama yang ada pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis atau penyakit buah pinggang berisiko tinggi jika terkena penyakit bawaan air dan makanan ini.

"Justeru, jika melihat mereka mempunyai simptom seperti cirit-birit dan muntah, dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital kerana jika gagal mendapatkan rawatan segera boleh menyebabkan kematian," katanya. 

Amalan pencegahan di PPS

Katanya, seperti ramai sedia maklum bencana banjir dan hujan lebat mungkin akan menyebabkan bekalan elektrik dan air terputus serta tandas rosak.

"Jadi apabila tiada sumber air bersih terutama untuk menyediakan makanan dan minuman, risiko akan bertambah ditambah pula tandas yang tidak dapat digunakan kerana rosak.

Situasi sama bagi yang enggan berada di PPS, bagi mengurangkan risiko dijangkiti kuman penyakit bawaan air, mereka perlu meningkat amalan kebersihan diri, pengambilan serta penyediaan makanan dan minuman yang selamat serta amalan penggunaan tandas serta sanitasi yang baik.

Dr Wan Mohd Zahiruddin berkata, adalah lebih baik jika memilih tinggal sementara di PPS, di mana pelbagai kemudahan lengkap terutama bekalan air, elektrik dan tandas disediakan termasuk pemantauan oleh petugas kesihatan.

Justeru katanya, mereka yang berisiko tinggi terutama keluarga ada anak masih kecil dan ibu bapa sudah berusia serta mempunyai pelbagai penyakit, dinasihatkan untuk tinggal sementara di PPS untuk keselamatan dan kesihatan yang terjaga.

Dengan itu, mereka mampu mengurangkan risiko mendapat penyakit bawaan air terutama semasa bencana banjir ini.

Info: Jenis penyakit bawaan air dan makanan

Langkah pencegahan penyakit bawaan air

  • Keracunan makanan (contoh jangkitan kuman E-coli, salmonella)
  • Taun
  • Demam kepialu (tifoid)
  • Disentri
  • Hepatitis A
  • -Pastikan sumber air bersih
  • -Basuh tangan guna air bersih
  • -Minum air dimasak
  • -Basuh buah, sayur sebelum makan
  • -Jauhi makanan masih mentah
  • -Kupas kulit buah sebelum makan
  • -Basuh perkakasan seperti pinggan, cawan, sudu dengan air bersih 
  • Panduan lain:

  • Cuci tangan dengan sabun sebelum makan dan selepas keluar tandas
  • Cuci tangan dengan sabun sebelum menyediakan makanan
  • Pastikan kuku tangan pendek semasa menyediakan makanan
  • Memakai penutup mulut dan sarung tangan semasa menyedia, menghidang makanan
  • Pastikan pinggan dan mangkuk digunakan bersih
  • Gunakan penyepit untuk mengambil dan menghidang makanan

  • Elakkan memakan makanan rosak.
  • Amalkan sikap lihat, bau dan rasa sebelum makan
  • Dapatkan sumber air bersih di pusat pemindahan seperti air mineral

  • Tutup makanan terdedah
  • Buang sisa makanan ke dalam tong sampah tertutup elak pembiakan lalat, lipas dan tikus di PPS.
  •  Sumber dari Berita Harian

    Sabtu, Ogos 14, 2021

    Emma Akma tunggu dibedah

     

    Genap seminggu berkongsi kegusaran mencari RM50,000 bagi menampung pembedahan membuang ketulan kanser perut sebesar bola sepak, dramatis Emma Akma menarik nafas lega hari ini apabila jumlah sumbangan mencapai kos diperlukan.

    Katanya, hanya terima kasih dan kesyukuran mampu diluahkan kepada setiap dermawan dan orang ramai yang mendoakan dirinya kuat melawan sel kanser agresif tersebut, sekali gus dapat menjalani pembedahan dengan kadar segera.

    “Dalam situasi semasa pandemik Covid-19 ini, saya tahu ramai berhadapan kesempitan hidup akibat pelbagai faktor, namun dikalangan mereka tetap menghulurkan sumbangan sebaik maklum mengenai keadaan kesihatan saya.

    “Walaupun tidak mengenali saya, mereka tetap prihatin dan tidak kurang juga yang tidak putus-putus bagi semangat di laman sosial selain doakan saya. Itu sahaja pun sudah cukup buat saya bangkit semula.

    “Tak terbalas budi baik dan doa anda semua. Walau sumbang RM1 atau doa saja pun saya hargai sangat. Ketika saya saat saya hampir rebah, banyak tangan datang menghulurkan sokongan.

    “Jumaat lalu, sumbangan yang saya terima sudah mencukupi untuk anggaran kos pembedahan RM50,000. Alhamdulillah,” katanya.

    Terdahulu, pemilik nama Noorakma Yunus, 52, itu mendedahkan menderita ketumbuhan dalam perut yang membesar dengan cepat, sekali gus membahayakan nyawa jika tidak segera dibuang dengan kos pembedahan sekitar RM50,000.

    Dalam keadaan diri yang tidak berdaya manakala suami yang juga bekas kru penggambaran baharu ditamatkan kerja di sebuah hub kurier, kos sebesar sebanyak itu mustahil dapat disediakan dengan segera.

    Menurutnya, wang simpanan yang ada hanya cukup untuk membayar sewa bulanan rumah serta perbelanjaan harian lain sejak mereka kehilangan punca pendapatan.

    Bukan enggan menjalani pembedahan di hospital kerajaan, katanya dalam situasi pandemik semasa pembedahan untuk kes lain perlu menunggu giliran yang sudah tentu mengambil masa panjang.

    Mengenai progres dirinya, Emma turut bersyukur kesnya kini turut dipantau Institut Kanser Negara (IKN) yang akan membuat beberapa siri pemeriksaan sebelum penetapan tarikh pembedahan.

    “Alhamdulillah, pemeriksaan pertama sudah diakukann pada Khamis, manakala temu janji kedua pula dijadualkan pada 19 Ogos ini.

    “Doktor maklumkan saya perlu ikuti beberapa prosedur sebelum boleh masuk ke dewan bedah demi memastikan tiada isu lain yang timbul nanti. Saya akur pada apa saja nasihat pakar.

    “Kalau buat pembedahan di situ mungkin kosnya dapat dikurangkan dan baki sumbangan boleh digunakan untuk rawatan susulan. Apa pun doakan semoga semuanya berjalan lancar,” kongsi pelakon Gerak Khas: The Finale.

    Mengenai tahap kesihatannya pula, dia masih menghadapi kesukaran untuk bergerak disebabkan saiz perutnya yang semakin membusung.

    Seperti wanita sarat hamil sembilan bulan, pelakon yang berkecimpung dalam arena seni sejak akhir 1990-an itu turut menghadapi masalah sakit belakang dan beberapa masalah sampingan lain.

    Sumber : Kosmo!

    Rabu, Jun 23, 2021

    Kadar jangkitan kulat hitam meningkat di India

     

    Kes-kes jangkitan mucormycosis atau kulat hitam meningkat dalam kalangan pesakit Covid-19 di India dengan kadar jangkitan melebihi 30,000 dalam tempoh tiga minggu dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 2,100 kematian, lapor akhbar New York Post semalam.

    Para doktor di India percaya kesesakan yang berlaku di hospital-hospital dan kekurangan tangki oksigen telah menyebabkan pesakit mudah terdedah kepada jangkitan tersebut.

    Menurut seorang doktor, penggunaan steroid yang berlebihan bagi merawat keradangan pada pesakit Covid-19 untuk membolehkan mereka bernafas dengan lebih mudah telah meningkatkan kadar gula dalam darah, sekali gus menyebabkan pesakit diabetes terdedah dengan risiko jangkitan.

    Seorang penyelidik dan pakar mikrobiologi, Dr. Arunaloke Chakrabarti berkata, ramai doktor tidak mempunyai masa untuk bertanyakan pesakit mengenai keadaan kesihatan mereka sebelum memberikan steroid kepada mereka.

    “Para doktor tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan prosedur pengurusan pesakit.

    “Mereka hanya memberi fokus kepada bagaimana untuk menjaga saluran pernafasan pesakit,” ujarnya.

    Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), jangkitan kulat hitam tersebut yang disebabkan oleh sekumpulan spora yang digelar mucormycetes kebiasaannya tidak menjangkiti individu yang sihat.

    Bagaimanapun, bagi yang mempunyai masalah kesihatan atau mengambil ubat-ubatan yang melemahkan kebolehan badan untuk melawan kuman dan penyakit, spora tersebut boleh menjangkiti sinus atau paru-paru ketika menghirup udara.

    Individu yang mempunyai penyakit-penyakit termasuk diabetes, kanser, pemindahan organ, pemindahan sel stem, sel darah putih yang rendah, kecederaan kulit dan kelahiran pramatang adalah berisiko untuk dijangkiti kulat hitam tersebut.

    Sumber : AGENSI 

     

     

    Sabtu, Oktober 24, 2020

    Teknologi terkini rawat sakit diabetes

     

    Diabetis ataupun kencing manis bukanlah satu masalah baru yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat di negara ini.

    Dianggarkan seorang daripada lima orang dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang yang berusia lebih 18 tahun di Malaysia telah disahkan menghidapi diabetes.

    Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi, kadar kelaziman diabetes dalam kalangan orang dewasa yang berusia 18 tahun dan ke atas telah meningkat kepada 18.3 pe­ratus pada 2019 berbanding ha­nya 13.4 peratus pada 2015.

    Pola peningkatan ini hakikatnya sesuatu yang membimbangkan dan antara faktor pe­nyumbang kepada peningkatan ini ialah kebanyakan orang di Malaysia mempunyai berat badan yang berlebihan ataupun obesiti.

    Gaya hidup kurang sihat se­perti diet kurang baik, kurang cergas dan tidak mengambil langkah pencegahan adalah antara punca utama pesakit menghidap diabetes.

    Tambahan lagi, diabetes juga boleh menimbulkan pelbagai kerumitan kritikal yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan penghidap.

    Kerumitan ini antara lain termasuk strok, buta, kegagalan buah pinggang, amputasi iaitu pemotongan anggota badan dan penyakit kardiovaskular.

    Pakar Runding Kardiologi Institut Jantung Negara, Datuk Seri Dr. Azahari Rosman, menjelaskan, mereka yang menghidap diabetes berkemungkinan lebih tinggi mengalami penyakit kardiovaskular awal jika tidak diuruskan dengan sewajarnya.

    “Pesakit perlu mendapatkan bantuan kerana statistik mendapati bahawa penyakit kardiovaskular merupakan punca kematian mereka yang menghidap diabetes di Malaysia.

    “Masalah ini kian serius kerana semakin ramai pesakit muda disahkan menghidap diabetes dan penyakit kardiovaskular juga pada usia yang lebih muda,” katanya.

    Jika pesakit tidak mengurus penyakit mereka, paras gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan plak terkumpul akan menyekat dan merosakkan saluran yang membawa darah ke dan dari jantung.

    Ini menyebabkan kekurangan oksigen dan nutrien, yang boleh menyebabkan serangan jantung dan kematian.

    Pencegahan ialah satu aspek penting untuk mengurangkan beban penyakit dan kerumitan berkaitan diabetes ini boleh dicegah dengan pengurusan yang sewajarnya seperti pengawalan tahap glukosa, tekanan darah dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat, bersenam dengan kerap, memantau paras glukosa darah serta mengambil ubat preskripsi sekiranya perlu.

    Dalam pada itu, Pakar Run­ding Endokrinologi, Dr. Chan Siew Pheng menjelaskan, pe­ngurusan diabetes telah berkembang maju pada masa ini.

    “Untuk menangani beban pe­nyakit yang semakin me­ningkat dan rawatan diabetes juga te­rus bertambah baik, pesakit hanya perlu membuat rawatan sekali seminggu berbanding beberapa kali dalam sehari.

    “Terdapat juga inovasi rawatan baharu yang disediakan di pasaran seperti kelas ubat suntikan GLP-1 RA yang bukan sahaja boleh mengurangkan paras glukosa darah tetapi juga membantu menguruskan kerumitan lain berkaitan diabetes seperti penyakit kardiovaskular dan ke­gemukan. Teknologi berjaya bantu pesakit diabetes,” jelasnya.

    Sumber : Utusan

    Selasa, September 15, 2020

    Saintis negara cipta kit ujian pantas COVID-19

     

     

    Sekumpulan saintis tempatan berjaya menghasilkan kit ujian pantas atau 'rapid test kit' pertama di dunia yang mempunyai ketepatan bacaan sama dengan ujian dilakukan di makmal.

    Inovasi dihasilkan kumpulan saintis diketuai Prof Madya Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim, iaitu rakyat Malaysia pertama yang melancarkan alat sensor deria agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) bagi mengukur dan memantau organisma satu sel di angkasa.

    Kumpulan saintis berkenaan turut tersenarai sebagai antara 15 finalis bagi Anugerah Komuniti anjuran universiti berprestij Amerika Syarikat (AS), Massachusetts Institute of Technology (MIT) - MIT Solve Challenge.

    MIT Solve Challenge adalah platform pemasaran bagi inovasi impak sosial dari seluruh dunia serta peluang bagi usahawan teknologi mengembangkan potensi mereka.

    Wan Wardatul Amani menjelaskan, kit ujian pantas dihasilkannya itu mampu mengesan COVID-19 menggunakan air liur berbanding teknologi sedia ada.

    Anak kelahiran Pulau Pinang itu turut menjelaskan, inovasi dihasilkannya mampu mengesan COVID-19, walaupun air liur individu terbabit tidak mengandungi banyak virus lain pada kadar lebih murah dan cepat.

    Katanya, projek itu asalnya adalah cubaan untuk membangunkan alat bacaan glukos lebih baik yang mampu mengesan kandungan gula melalui air liur.

    "Inovasi ini bermula apabila saya dengan usaha sama Malaysian Relief Agency (MRA) membangunkan sensor untuk mengesan bakteria berbahaya yang digunakan ketika kejadian banjir di Kuala Krai, Kelantan, pada 2014.

    "Bagaimanapun, kumpulan saya mula memikirkan idea untuk bantu memerangi COVID-19, ketika wabak itu melanda seluruh negara. Daripada situ kita cuba kembangkan teknologi digunakan bagi saringan COVID-19," katanya ketika dihubungi BH, malam ini.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif nanoSkunkWorkX Sdn Bhd, Iqbal Shamsul, berkata pihaknya sedang mencari dana untuk memasarkan alat berkenaan, selain mensasarkan Malaysia sebagai hab inovasi terbabit.

    Selain itu, beliau turut berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi membentangkan hasil inovasi berkenaan.

    "Kita masih menunggu maklum balas daripada National Technology & Innovation Sandbox (NTIS), selain mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang menolak permohonan kami.

    "Kita berharap Malaysia mampu menjadi hab penghasilan alat ini kerana ia adalah hasil inovasi anak tempatan, selain sensor strip bagi alat ini boleh dijual pada harga kurang RM4, jika ia dipasarkan secara meluas nanti," katanya.

    Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di Facebooknya menjelaskan, pihaknya bangga dengan pencapaian kumpulan saintis tempatan berkenaan.

    "Dr Wan Wardatul Amani dan pasukannya kini menerajui sebuah penyelesaian dengan menghasilkan Hybrid Rapid Test Kit dengan elemen teknologi nano bagi melakukan ujian saringan COVID-19 di mana saja dengan mudah dan berkesan.

    "Sehingga hantaran ini ditulis, Dr Wan Wardatul Amani mendahului pasukan lain bagi memenangi anugerah ini. Bagaimanapun, mereka masih memerlukan undian anda semua bagi memastikan kejayaannya dengan baki beberapa hari lagi sebelum undian ditutup," katanya.

    Undian boleh dibuat dengan mendaftar masuk di https://solve.mit.edu/challenges/health-security-pandemics/solutions.


    Sabtu, Januari 21, 2017

    Sawan lebih dua minit perlu rawatan segera

     

    Adam Zakri (bukan nama sebenar), dua tahun, adalah anak sulung kepada Jamila (bukan nama sebenar), sentiasa aktif dan sihat.

    Bulan lalu, Adam mengalami sakit tekak, muntah-muntah dan demam panas melebihi 39 darjah Celsius.

    Ketika ibunya memberikannya minuman, badan Adam secara tiba-tiba menjadi kejang dan matanya menjuling ke atas.

    'Adam Adam!' Jamila menjerit ketakutan tetapi Adam seperti tidak sedar dan tidak memberi sebarang tindak balas. 

    Jamila cemas, lantas membuka baju Adam dan mengelap badannya dengan air sehingga suhu badan turun semula.

    Selepas beberapa minit, Adam mula merengek dan kembali sedar seperti biasa. 

    Pensyarah Perubatan (Neurologi), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Wan Aliaa Wan Sulaiman, berkata kes yang berlaku ke atas Adam ini adalah contoh serangan sawan demam (febrile fits) atau dikenali dengan sawan tarik.

    "Serangan ini adalah sejenis penyakit sawan yang berpunca akibat demam panas dalam kalangan kanak-kanak yang berusia tiga bulan hingga enam tahun.

    "Sawan demam bukan disebabkan masalah lain seperti jangkitan kuman otak (meningitis) atau ketidakseimbangan garam galian di dalam badan," katanya.

    Suhu badan terlalu panas

    Beliau berkata, sawan demam berlaku apabila suhu badan menjadi terlalu panas, aktiviti sel otak terganggu yang menyebabkan pesakit hilang kesedaran, badan, tangan dan kaki menjadi kejang, pergerakan mata hitam ke atas, air liur meleleh dan terkencing atau termuntah.

    Kadangkala katanya, episod kekejangan badan akan disusuli dengan pergerakan tangan dan kaki yang berulang-ulang. Bagaimanapun, tempoh sawan selalunya singkat dan tidak melebihi lima minit.

    Jika sawan berlarutan melebihi dua minit, panggil ambulans atau bawa anak segera ke unit kecemasan hospital. Dalam tempoh itu juga, jika anak anda kembali normal pemeriksaan doktor di hospital masih diperlukan untuk memastikan anak tidak mempunyai masalah lain yang lebih serius.

    "Situasi begini semestinya mencemaskan untuk setiap ibu bapa tetapi anda dinasihatkan bertenang supaya dapat membantu anak dengan memastikan mereka berada di tempat selamat dan tiada sebarang bahaya di sekelilingnya.

    "Kenal pasti waktu bermula sawan dan letakkan mereka dalam posisi mengiring ke sebelah kiri," katanya.

    "Jangan cuba memasukkan sebarang objek seperti sudu atau jari anda ke dalam mulut walaupun anak mengancing gigi," katanya.

    Longgarkan pakaian anak

    Berdepan situasi itu, Dr Wan Aliaa berkata, ibu bapa digalak melonggarkan pakaian anak mereka terutama di sekitar leher dan lap badannya dengan air bersuhu bilik bagi menghilangkan haba panas badan ke udara melalui proses penyejatan.

    Kanak-kanak yang hanya mengalami sawan demam saja kata beliau, lazimnya tidak ada masalah atau komplikasi dan berupaya membesar secara normal tanpa sebarang kesan negatif jangka panjang akibat sawan.

    Ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang kerana penyakit ini secara umumnya tidak bahaya dan tidak akan mendatangkan kesan jangka masa panjang kronik kepada pesakit.

    Tambahan lagi, kebanyakan kanak-kanak yang mengalami masalah sawan demam tidak lagi akan mengalami masalah ini selepas usia mencecah enam tahun.

    Jejas sistem otak

    Namun, ibu bapa perlu mengetahui langkah yang perlu dilakukan ketika serangan sawan demam sebagai langkah awal menanganinya.

    Setiap kanak-kanak yang mengalami sawan demam di rumah hendaklah dibawa ke hospital dengan segera bagi pemeriksaan lanjut oleh doktor.

    Bagaimanapun, bagi sesetengah kes yang lebih teruk dengan masa melebihi 15 minit, sel otak mungkin akan terganggu dan pesakit berisiko mendapat sawan epilepsi pada masa akan datang.

    Sawan yang berlaku bukan susulan daripada demam adalah bukan sawan demam sebaliknya berkemungkinan akibat masalah lain.

    INFO

    *Setiap 100 kanak-kanak, lima akan mengalami sawan demam.

    *Punca

    -Demam dengan suhu mencecah 39 darjah selsius.

    -Keturunan- selalunya ibu, ayah atau keluarga terdekat juga mempunyai sejarah sawan demam ketika kanak-kanak.

    *Adakah sawan demam berulang?

    -Terdapat kebarangkalian berulang selepas serangan pertama tetapi selepas usia enam tahun serangan tidak akan berulang.

    *Suhu normal:

    -Bayi : 36.1 - 37.7 darjah Celsius.

    -Dewasa : 36.5 - 37.5 darjah Celsius.

    Langkah tambahan menangani sawan

    * Sapukan sebarang muntah atau air liur yang keluar.

    * Elakkan daripada merendam anak di dalam air kerana selain daripada faktor keselamatan, ia juga kurang berkesan bagi penurunan suhu.

    * Rutin pemeriksaan kanak-kanak sawan demam di hospital?

    -Pemeriksaan klinikal.

    -Ujian darah atau sinar x (mengenal pasti punca demam dan garam galian cukup dalam badan)

    -Sekiranya demam akibat bakteria, rawatan antibiotik diperlukan.

    Sekiranya jangkitan virus yang biasa selalunya tidak memerlukan antibiotik.

    -Bagi gejala sawan, doktor perlu memastikan yang sawan bukan berpunca dari jangkitan otak.

    Bagaimana cara penjagaan anak yang demam di rumah?

    -Paracetamol boleh diberi secara berkala tetapi ia tidak akan membendung dari sawan demam.

    -Pastikan anak minum air secukupnya.

    - Sediakan alat penyukat suhu badan atau termometer dirumah.

    -Sekiranya terlalu tinggi melebihi 39 selsius, kaedah terbaik adalah tuam atau lapkan dengan air bersuhu bilik atau suam kuku.

    -Ubat punggung (suppository) boleh menurunkan suhu badan dengan cepat.

    Apakah kesan jangka masa panjang sawan demam?

    -Tiada sebarang kesan negatif jangka panjang akibat sawan.

    -Sesetengah kes lebih teruk dengan jangkamasa melebihi 15 minit, sel otak mungkin akan terganggu dan pesakit berisiko untuk mendapat sawan epilepsi pada masa akan datang.

    Sumber : Berita Harian

     

     

     

     

     

     

    Recent Posts