Memaparkan catatan dengan label wabak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wabak. Papar semua catatan

Isnin, Mei 23, 2022

HFMD serang otak dan paru-paru

 


Jika anak mempunyai simptom demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah, jangan ambil mudah.

Mereka perlu dikuarantin antara tujuh sehingga 10 hari atau sehingga pulih sepenuhnya bagi mengelak menghidapi penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD), selain mengekang penularan bertambah parah.

Walaupun HFMD adalah penyakit yang dikategorikan sebagai tidak serius, tetapi ia berisiko jangkitan menyebabkan jangkitan pada otak, jantung dan paru-paru, namun peratusannya amat rendah.

Pakar Perunding Intensif Pediatrik, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Prof Madya Dr Anis Siham Zainal Abidin, virus boleh menyerang masuk ke dalam selaput otak, jantung dan paru paru melalui darah.

Katanya, kurang lima peratus pesakit berisiko mendapat serangan hingga ke organ lain dan boleh membawa maut, namun kira-kira 95 peratus adalah pada tahap ringan.

"Oleh itu, jika ibu bapa mendapati ada simptom HFMD pada anak mereka terutama yang dihantar di Taska, Tadika atau pusat asuhan, perlu mula pantau seterusnya mendapatkan rawatan.

"Ketika ini, kes HFMD berada pada tahap membimbangkan terutama di Kuala Lumpur dan Selangor, iaitu kebanyakan kes dipercayai berpunca dari Taska, Tadika dan pusat asuhan.

"HFMD adalah penyakit berjangkit yang melanda kanak-kanak berusia 10 tahun dan ke bawah yang berkait rapat dengan amalan kebersihan serta persekitaran yang berpunca berpunca daripada Coxsakie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

"Dalam keadaan yang hampir normal berbanding ketika pandemik COVID-19, kebanyakan ibu bapa sudah masuk ke pejabat dan tiada pilihan mereka ada yang terpaksa menghantar anak ke pusat berkenaan," katanya.

Katanya, simptom penyakit itu bermula dengan demam sehari atau dua hari kemudian diikuti oleh kemunculan ruam dan lepuh (blister) di tapak tangan dan kaki serta ulser.

"Keadaan itu akan menyebabkan kanak-kanak menjadi tidak lalu makan dan minum kerana ulser di dalam mulut, lemah serta tidak aktif seperti biasa disebabkan tiada tenaga di dalam badan," katanya.

Dr Anis Siham berkata, keadaan lepuh yang naik pula adalah seakan-akan sakit akibat deman campak, namun lebih kecil dan tidak menyeluruh di seluruh badan.

Katanya, air yang terdapat di dalam lepuh itu adalah berbisa dan ia yang akan menyebabkan penyakit itu lebih mudah merebak.

"Apabila lepuh sama ada di bahagian tapak tangan atau tapak kaki pecah dan mengeluarkan air serta terkena pada objek atau sesuatu permukaan yang kemudiannya dipegang oleh kanak-kanak lain, ia menjadi penyebab penyakit itu merebak.

"Kanak-kanak yang pernah dijangkiti HFMD sebelum ini juga masih berisiko mendapat penyakit itu namun simptom yang ditunjukkan tidak seteruk kali pertama dialami mereka berikutan sudah ada antibodi di dalam badan.

"Begitu juga golongan dewasa, mereka masih boleh dijangkiti HFMD dan pada masa sama menyebarkan kepada kanak-kanak lain jika tidak menjaga kebersihan," katanya.

Tingkatkan amalan kebersihan

Mengulas lanjut, beliau berkata virus berkenaan yang sentiasa berada di kawasan persekitaran, juga boleh berada di dalam usus apabila ia masuk ke dalam tubuh seseorang.

Katanya, bagi kanak-kanak yang masih memakai lampin atau lampin pakai buang dan membuang air besar, mereka boleh menyebarkan virus itu menerusi najis.

"Virus itu boleh merebak apabila ada orang dewasa yang menukar lampin kanak-kanak berkenaan kemudiannya tidak membasuh tangan dengan betul dan terus memegang objek atau persekitaran lain tanpa sedar tangan mereka sudah terkena virus.

"Justeru, mereka yang menukar lampin kanak-kanak perlu mengamalkan kebersihan dengan terus mencuci tangan dengan sabun bagi mencegah penyebaran penyakit," katanya.

Berkenaan rawatan, Dr Anis Siham berkata, jika keadaan kanak-kanak itu demam biasa diikuti ulser, ruam dan lepuh, mereka boleh makan ubat deman dan kuarantin di rumah sehingga pulih sepenuhnya.

Jika kanak-kanak berkenaan tidak mahu minum dan menyebabkan kurang membuang air kecil, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik.

"Ibu bapa yang mendapati anak mula demam dan merengek atau menangis diikuti air liur mula meleleh, perlu membuat pemeriksaan segera pada mulut anak mereka kerana mungkin disebabkan oleh ulser di dalam mulut.

"Jika keadaan ulser teruk, mereka perlu mendapatkan segera rawatan ubat penyembur bagi mengurangkan kesakitan seterusnya memberikan air menggunakan straw bagi mengelak terus dehidrasi," katanya.

Jelasnya, bagi demam yang berterusan sehingga tiga hari berturut-turut walaupun sudah makan ubat demam, diikuti nafas laju, dada berombak, penat keterlaluan, sawan dan nadi laju, ibu bapa perlu segera membawa anak ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Kekang penularan HFDM

Justeru, Dr Anis Siham berkata, ibu bapa perlu memastikan jika anak mereka mempunyai simptom HFMD, mereka perlu dikuarantin sehingga penyakit pulih sepenuhnya.

Katanya, dengan berbuat demikian, ia dapat mengekang penularan penyakit terutama terhadap kanak-kanak lain.

"Jika anak bergejala jangan bawa mereka keluar langsung terutama ke pusat beli-belah, restoran atau menghantar ke pusat jagaan terbabit.

"Ajar anak-anak untuk menjaga kesihatan, iaitu dengan kerap mencuci tangan dengan sabun, tidak berkongsi pinggan, cawan, sudu, garpu atau tuala dengan sesiapa," katanya.

Akuinya, peningkatan kes ketika ini juga dipercayai kerana masih ramai ibu bapa yang belum peka dengan penyakit berkenaan dan mungkin beranggapan ia tidak serius.

Justeru katanya, mereka perlu terus diberi kesedaran termasuk juga terhadap pihak pengurusan Taska, Tadika atau pusat asuhan.

"Pihak pengurusan perlu tingkatkan lagi tahap kebersihan termasuk kerap membuat pembersihan bagi mengurangkan penularan penyakit HFMD," katanya.

Info:

Mengenai Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD)

* Berlaku kepada kanak-kanak berumur bawah 10 tahun

* Merebak dengan cepat iaitu hampir 100 %

* Jangkitan melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis mereka yang berpenyakit.

* Tempoh inkubasi antara 3 - 5 hari.

Tanda-tanda dan gejala

* Demam yang ringan

* Rasa tidak sihat (letih dan lesu)

* Sakit tekak

Sumber : Berita Harian

Isnin, Januari 17, 2022

Kuarantin tujuh hari saja

 

Kementerian Kesihatan (KKM) menilai semula dan menetapkan tempoh baharu pengasingan kes positif COVID-19 serta kontak rapat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata bagi tempoh pengasingan kes positif COVID-19 bagi semua jenis varian yang membabitkan individu sudah lengkap divaksinasi serta tidak bergejala ialah tujuh hari, berbanding 10 hari sebelum ini.

"Bagi individu positif yang tidak lengkap vaksin atau bergejala, tempoh pengasingan selama 10 hari.

"Penilaian kesihatan akan dibuat sebelum pelepasan boleh diberikan," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Khairy berkata, bagi tempoh pengasingan kontak rapat pula, individu yang sudah menerima dos penggalak perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

"Tujuh hari ke atas individu yang lengkap vaksinasi, yang belum lengkap atau tiada vaksinasi. 

"Tempoh yang dinyatakan ini berkuat kuasa esok dan turut terpakai ke atas mereka yang sedang menjalani pengasingan dan kuarantin.

"Bagaimanapun prosedur sedia ada bagi pengurusan pengembara yang baru tiba ke Malaysia masih terpakai," katanya.

Khairy berkata, penilaian semula itu dibuat berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kes positif COVID-19 dan kontak rapat kepada kes positif.

Sebelum ini, individu yang disahkan positif COVID-19 perlu menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari dan tidak perlu melakukan ujian ulangan.

Bagi kontak rapat yang sudah mendapatkan pelalian COVID-19 yang lengkap, mereka perlu menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari dan menjalani ujian pada hari kelima.

Sekiranya kontak rapat berkenaan masih belum mendapatkan pelalian lengkap atau tiada vaksin, mereka perlulah menjalankan kuarantin selama 10 hari dan ulangi ujian pada hari kelapan.

Sementara itu, Khairy berkata, bagi tempoh pengasingan kontak rapat pula, individu yang sudah menerima dos penggalak perlu menjalani kuarantin selama lima hari.

"Tujuh hari ke atas individu yang lengkap vaksinasi, yang belum lengkap atau tiada vaksinasi," katanya.

Beliau berkata, sekiranya individu berkenaan menunjukkan gejala, mereka haruslah melakukan ujian pengesanan jangkitan COVID-19 menggunakan RTK-Ag, sama ada kendiri atau ke fasiliti kesihatan, bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Keputusan ujian kendiri hendaklah dimasukkan ke dalam Mysejahtera, jalani ujian RTK-Ag sama ada di fasiliti kerajaan atau swasta pada hari ke-5 (untuk kuarantin 5 hari) dan hari ke-7 (untuk kuarantin 7 hari).

"Pelepasan kuarantin akan diberikan pada hari yang sama ujian pengesanan RTK-Ag dijalankan, sekiranya keputusan negatif dan tidak bergejala," katanya.

Khairy berkata, pihaknya sudah meningkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapai kemungkinan peningkatan kes susulan pelaporan kes jangkitan varian Omicron dalam negara.

"Oleh itu, KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum serta mengelakkan gejala jangkitan COVID-19 yang teruk serta komplikasinya," katanya. 

Sumber dari Berita Harian

 

 

 

Jumaat, Ogos 06, 2021

Kes melambung angkara kelonggaran PKP

 

Peningkatan kes COVID-19 sehingga mencecah paras 20,000 berpunca daripada kesan terkumpul untuk tempoh sebulan lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, berkata kesan kumulatif itu antara lain merangkumi keputusan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.

Selain itu, katanya, sambutan perayaan dan pergerakan segelintir masyarakat merentas daerah serta negeri dikenal pasti antara penyumbang kepada peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

"Memang ramai yang bimbang dengan peningkatan kes. Tapi ini daripada kesan kumulatif sebulan lalu, selepas tempoh dua hingga empat minggu daripada kelonggaran ketika PKP 3.0, majlis sambutan perayaan, pembukaan ekonomi dan pergerakan masyarakat.

"Sekarang kita lihat peningkatan kes. Malah, keadaan ini berpunca daripada varian Delta yang lebih dominan di Malaysia," katanya pada sidang media, di Putrajaya, hari ini.

Ekoran kebimbangan peningkatan kes yang berpusat di Selangor dan Kuala Lumpur, Dr Chee Kheong berkata, Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) ditubuhkan, bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan tidak terus terbeban.

Beliau yang juga Komander Pusat Arahan GKV STF berkata, Lembah Klang pada awalnya dikenal pasti menjadi penyumbang di antara 60 hingga 70 peratus daripada kes yang dicatatkan di seluruh negara.

"Bagaimanapun, sekarang kes di Lembah Klang menyusut sedikit apabila menyumbang sekitar 50 hingga 60 peratus daripada kes di seluruh negara.

"Peningkatan kes sekarang bukan hanya berlaku di Lembah Klang, iaitu Selangor dan Kuala Lumpur, tetapi di seluruh negara," katanya.

Berhubung angka kematian, Dr Chee Kheong berkata, taburan kes 'brought in dead' (BID) atau meninggal ketika tiba di hospital dijangka mencatatkan jumlah terkumpul yang tinggi bagi minggu ini.

Katanya, BID mewakili kira-kira 80 hingga 100 kes seminggu sejak kebelakangan ini daripada 800 hingga 1,000 kes kematian yang dicatatkan pada setiap minggu.

"Kes BID juga dilihat merekodkan peningkatan secara konsisten sejak minggu lalu, dengan 80 peratus daripadanya tiada sejarah diagnosis (pengesahan saringan) mengenai COVID-19.

"Ini mungkin bermaksud sama ada mereka tidak tampil untuk buat saringan, tiada akses berbuat demikian atau mempunyai sebab-sebab tertentu.

"Kementerian juga mendapati 20 peratus daripada mereka yang dijangkiti COVID-19 tetapi lambat mendapat rawatan di kemudahan kesihatan," katanya.

Bagi mengatasi isu sedemikian, Dr Chee Kheong berkata, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) maya ditubuhkan, dengan individu yang disahkan positif tetapi tidak mengalami gejala atau hanya menghidapi gejala ringan diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

Setakat ini, katanya, 60 peratus daripada individu positif tiada gejala, selebihnya iaitu 30 peratus mengalami gejala ringan dan dikehendaki mengisi borang penilaian, selain dipantau secara maya menggunakan interaksi MySejahtera.

"Menerusi borang penilaian dan pemantauan, kira-kira lima hingga 10 peratus daripada mereka yang mengalami gejala ringan diminta hadir ke CAC untuk menjalani pemeriksaan secara bersemuka. Ini tumpuan kita sekarang.

"Sehingga kini, kita dapati separuh atau 50 peratus daripada individu yang dikehendaki menjalani kuarantin di rumah tidak mengisi borang penilaian. Robo call (robot pusat panggilan) akan menghubungi mereka dan pendekatan ini merekodkan pencapaian positif," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Jumaat, Januari 29, 2021

Calitan tekak dan hidung lebih berkesan, tak perlu calitan dubur

 


Ujian calitan tekak dan nasopharyngeal melalui saluran hidung sudah memadai untuk melakukan pengesanan COVID-19.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata ia berdasarkan data yang menunjukkan kadar atau peratusan pengecaman virus SARS-CoV-2 dengan menggunakan dua kaedah calitan itu lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau berpendapat tidak perlu ujian pengesanan COVID-19 terhadap najis, dubur atau rektum yang cuma mengundang ketidakselesaan dan kesan negatif dalam kalangan masyarakat.

Mengikut data, kadar pengecaman virus SARS-CoV-2 menerusi calitan nasopharyngeal dan calitan tekak adalah 88 peratus. Calitan najis, dubur atau rektum adalah 70 peratus. Calitan konjunktiva iaitu di selaput lutsinar yang meliputi mata putih dan bahagian dalam kelopak mata pula satu peratus. Pengecaman melalui air kencing dan calitan vagina masing-masing kosong peratus. 

Berdasarkan kepada kadar (peratus) pengecaman, ujian calitan nasopharyngeal dan tekak sudah memadai untuk tujuan penyaringan COVID-19. Prosedur yang digunakan juga tidak terlalu membebankan. Ujian calitan najis, dubur, rektum boleh digunakan untuk tujuan saringan COVID-19. Bagaimanapun, prosedur yang perlu digunakan itu akan mengundang ketidakselesaan.

"Ini akan memberikan impak negatif kepada masyarakat dalam usaha menggalakkan masyarakat menjalani ujian saringan. Saya berpendapat kita tidak perlu ujian saringan membabitkan calitan najis, dubur atau rektum," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas ujian calitan dubur di China sebagai kaedah lain mengesan individu dijangkiti COVID-19.

Memetik laporan media, Li Tongzeng, seorang doktor kanan di Hospital You'an Beijing dipetik sebagai kepada CCTV, teknik calitan di dubur boleh meningkatkan kadar pengesanan dalam kalangan mereka yang dijangkiti kerana virus berkenaan bertahan lebih lama di bahagian itu berbanding saluran pernafasan.

Mengulas hal itu, Dr Yahya menegaskan pertama sekali orang ramai perlu membezakan antara 'infectivity' (jangkitan) dengan 'positivity' (positif).

Jelasnya, seseorang yang melalui pengalaman COVID-19 berkemungkinan masih boleh memberikan keputusan positif tetapi tidak berjangkit.

"Yang perlu diberi perhatian adalah keadaan 'infectiousness period' (tempoh berjangkit) yang merujuk kepada 'viral load' (beban virus) yang tinggi dan virus aktif bereplikasi atau dalam erti kata lain mengakibatkan kuantiti virus yang tinggi. Dalam keadaan ini, kebolehjangkitan adalah sangat tinggi.

"Apabila seseorang sudah pulih, masih terdapat kemungkinan saki baki virus yang telah mengalami degridasi atau bermaksud tidak lagi infectious (berjangkit) dalam badan. Ini akan masih memberikan keputusan positif apabila saringan dibuat tetapi kebolehjangkitan adalah hampir tiada," katanya.

Pakar epidemiologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berkata keputusan positif untuk sampel dari sistem pencernaan sudah lama diketahui.

Kajian berkaitan perkara itu sudah setahun dijalankan dan mendapati sampel yang positif dari najis boleh didapati positif lebih lama berbanding sampel daripada sistem pernafasan.

"Misalnya, sampel dari najis boleh positif hingga berpuluh-puluh hari. Bagaimanapun persoalannya, adakah pesakit yang positif calitan dubur masih boleh menjangkiti orang lain? Yang itu perlu jawapan dahulu kerana setakat ini kita tidak mempunyai pengetahuan lengkap mengenai hal ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Khamis, Disember 10, 2020

KKM cari alternatif jika kebolehjangkitan COVID-19 meningkat

 

Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencari serta melaksanakan strategi lain jika kadar kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini meningkat dalam tempoh dua minggu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketika ini, KKM akan memantau keadaan kes harian.

"Jika perkembangan kes harian lebih kurang sebagaimana yang kita jangkakan, kita boleh hidupkan kembali ekonomi kita.

"Namun, jika kes itu bertambah, kita kena fikirkan atau menggunakan strategi lain," katanya pada sidang media harian COVID-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ketika ini, kadar kebolehjangkitan adalah pada 0.96 dan KKM menjangkakan ia antara 0.95 hingga 1.05 menjelang 23 Disember ini.

Beliau berkata, jika kadar kebolehjangkitan itu pada angka berkenaan, KKM menjangkakan jumlah kes harian antara 845 hingga 1,700.

Katanya, ketika ini ada kelonggaran apabila ada kawasan yang kembali kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak Isnin, namun orang ramai perlu memastikan mereka tidak terdedah kes positif selain mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan kerajaan sebelum ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika mengulas kelonggaran terhadap penduduk untuk merentas sempadan biarpun mereka tinggal di kawasan yang masih dilaksanakan PKPB.

Beliau menegaskan, pelaksanaan PKPB sebelum ini adalah untuk mengimbangi antara keselamatan nyawa rakyat dengan kehidupan mereka, berikutan sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi manakala kebanyakan sektor sosial ditutup.

Katanya, pelaksanaan PKPB sejak 14 Oktober di Sabah dan Selangor, diikuti beberapa negeri kira-kira dua minggu selepas itu, membantu menghalang peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang pesat.

"Pun begitu, kadar kebolehjangkitan perlu dikurangkan. Jika ia boleh dilaksanakan, kita boleh melandaikan lengkuk jangkitan.

"Justeru, kita perlu meningkatkan usaha dan KKM memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada orang ramai," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts