Sabtu, Ogos 14, 2021

Emma Akma tunggu dibedah

 

Genap seminggu berkongsi kegusaran mencari RM50,000 bagi menampung pembedahan membuang ketulan kanser perut sebesar bola sepak, dramatis Emma Akma menarik nafas lega hari ini apabila jumlah sumbangan mencapai kos diperlukan.

Katanya, hanya terima kasih dan kesyukuran mampu diluahkan kepada setiap dermawan dan orang ramai yang mendoakan dirinya kuat melawan sel kanser agresif tersebut, sekali gus dapat menjalani pembedahan dengan kadar segera.

“Dalam situasi semasa pandemik Covid-19 ini, saya tahu ramai berhadapan kesempitan hidup akibat pelbagai faktor, namun dikalangan mereka tetap menghulurkan sumbangan sebaik maklum mengenai keadaan kesihatan saya.

“Walaupun tidak mengenali saya, mereka tetap prihatin dan tidak kurang juga yang tidak putus-putus bagi semangat di laman sosial selain doakan saya. Itu sahaja pun sudah cukup buat saya bangkit semula.

“Tak terbalas budi baik dan doa anda semua. Walau sumbang RM1 atau doa saja pun saya hargai sangat. Ketika saya saat saya hampir rebah, banyak tangan datang menghulurkan sokongan.

“Jumaat lalu, sumbangan yang saya terima sudah mencukupi untuk anggaran kos pembedahan RM50,000. Alhamdulillah,” katanya.

Terdahulu, pemilik nama Noorakma Yunus, 52, itu mendedahkan menderita ketumbuhan dalam perut yang membesar dengan cepat, sekali gus membahayakan nyawa jika tidak segera dibuang dengan kos pembedahan sekitar RM50,000.

Dalam keadaan diri yang tidak berdaya manakala suami yang juga bekas kru penggambaran baharu ditamatkan kerja di sebuah hub kurier, kos sebesar sebanyak itu mustahil dapat disediakan dengan segera.

Menurutnya, wang simpanan yang ada hanya cukup untuk membayar sewa bulanan rumah serta perbelanjaan harian lain sejak mereka kehilangan punca pendapatan.

Bukan enggan menjalani pembedahan di hospital kerajaan, katanya dalam situasi pandemik semasa pembedahan untuk kes lain perlu menunggu giliran yang sudah tentu mengambil masa panjang.

Mengenai progres dirinya, Emma turut bersyukur kesnya kini turut dipantau Institut Kanser Negara (IKN) yang akan membuat beberapa siri pemeriksaan sebelum penetapan tarikh pembedahan.

“Alhamdulillah, pemeriksaan pertama sudah diakukann pada Khamis, manakala temu janji kedua pula dijadualkan pada 19 Ogos ini.

“Doktor maklumkan saya perlu ikuti beberapa prosedur sebelum boleh masuk ke dewan bedah demi memastikan tiada isu lain yang timbul nanti. Saya akur pada apa saja nasihat pakar.

“Kalau buat pembedahan di situ mungkin kosnya dapat dikurangkan dan baki sumbangan boleh digunakan untuk rawatan susulan. Apa pun doakan semoga semuanya berjalan lancar,” kongsi pelakon Gerak Khas: The Finale.

Mengenai tahap kesihatannya pula, dia masih menghadapi kesukaran untuk bergerak disebabkan saiz perutnya yang semakin membusung.

Seperti wanita sarat hamil sembilan bulan, pelakon yang berkecimpung dalam arena seni sejak akhir 1990-an itu turut menghadapi masalah sakit belakang dan beberapa masalah sampingan lain.

Sumber : Kosmo!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.