Memaparkan catatan dengan label diabetes. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label diabetes. Papar semua catatan

Ahad, November 08, 2020

Diabetes jenis dua

 

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendedahkan, seorang daripada lima individu atau 3.9 juta orang berusia 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap kencing manis jenis dua (T2DM).

Prevalen ini meningkat kepada 18.3 peratus berbanding 13.4 peratus pada 2015 dan separuh daripada mereka yang menghidap T2DM tidak didiagnosis.

Statistik ini mendapati, seorang dalam 20 (5.9 peratus) golongan muda berusia 18 hingga 29 tahun, seorang dalam 10 (11.7 peratus) golongan berusia 30 hingga 39 tahun dan lebih 70 peratus pesakit tidak mengetahui mereka menghidap kencing manis.

Pakar Perunding Endokrinologi SMCV Dr Lim Kim Piow berkata, kebanyakan pesakit mempunyai gejala yang ringan atau tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal penyakit.

Disebabkan itu, ramai mengabaikannya dan pesakit kencing manis tidak didiagnosis.

"Selain kencing manis, pesakit berisiko mengalami penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, 'dyslipidemia' (kadar lipid dalam aliran darah terlalu tinggi atau rendah) dan obesiti.

"Ia akan mempercepat komplikasi kencing manis seperti penyakit jantung, angin ahmar serta masalah buah pinggang.

"Senario ini agak membimbangkan kerana penyakit itu bukan sahaja agresif, malah pesakit muda berisiko mengalami komplikasi lebih teruk berbanding kencing manis jenis satu dan pesakit dewasa T2DM," katanya.

Beliau berkata, hampir separuh atau 41.9 peratus rakyat Malaysia hidup dengan paras gula tidak normal (dysglycemia).

"Ini kerana 18.3 peratus daripada mereka menghidap penyakit T2DM dan peringkat awal kencing manis (23.6 peratus).

"Sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada 14 November ini, saya menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat untuk mencegah dan menguruskan penyakit itu dengan baik," katanya.

Dr Lim berkata, pilihan makanan seimbang, melakukan aktiviti fizikal dan mengurangkan berat badan boleh membantu mencegah T2DM, meskipun ada sejarah keluarga menghidap penyakit berkenaan.

"Jika didiagnosis menghidap penyakit kencing manis, gaya hidup sihat perlu diamalkan bagi mengawal paras gula dalam darah.

"Perubahan gaya hidup ini boleh memperlahankan penyakit kencing manis daripada menjadi teruk," katanya.

Menurutnya, selain mengamalkan gaya hidup sihat, pengambilan beberapa jenis ubat seperti 'Metformin', 'Dipeptidyl peptidase-4 inibitor (DPP-4i)', 'Sulphonyurea', 'SGLT2 inhibitor' dan 'a-glucosidase inhibitor' berupaya mengawal tahap gula yang lebih baik.

"Namun kesan ubat-ubatan ini terhadap pesakit adalah berbeza dan perlu dipertimbangkan.

"Pengambilan semua ubat ini perlu dengan pemantauan pakar klinikal bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini," katanya.

Sumber : MyMetro

 

 

Sabtu, Oktober 24, 2020

Teknologi terkini rawat sakit diabetes

 

Diabetis ataupun kencing manis bukanlah satu masalah baru yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat di negara ini.

Dianggarkan seorang daripada lima orang dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang yang berusia lebih 18 tahun di Malaysia telah disahkan menghidapi diabetes.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi, kadar kelaziman diabetes dalam kalangan orang dewasa yang berusia 18 tahun dan ke atas telah meningkat kepada 18.3 pe­ratus pada 2019 berbanding ha­nya 13.4 peratus pada 2015.

Pola peningkatan ini hakikatnya sesuatu yang membimbangkan dan antara faktor pe­nyumbang kepada peningkatan ini ialah kebanyakan orang di Malaysia mempunyai berat badan yang berlebihan ataupun obesiti.

Gaya hidup kurang sihat se­perti diet kurang baik, kurang cergas dan tidak mengambil langkah pencegahan adalah antara punca utama pesakit menghidap diabetes.

Tambahan lagi, diabetes juga boleh menimbulkan pelbagai kerumitan kritikal yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan penghidap.

Kerumitan ini antara lain termasuk strok, buta, kegagalan buah pinggang, amputasi iaitu pemotongan anggota badan dan penyakit kardiovaskular.

Pakar Runding Kardiologi Institut Jantung Negara, Datuk Seri Dr. Azahari Rosman, menjelaskan, mereka yang menghidap diabetes berkemungkinan lebih tinggi mengalami penyakit kardiovaskular awal jika tidak diuruskan dengan sewajarnya.

“Pesakit perlu mendapatkan bantuan kerana statistik mendapati bahawa penyakit kardiovaskular merupakan punca kematian mereka yang menghidap diabetes di Malaysia.

“Masalah ini kian serius kerana semakin ramai pesakit muda disahkan menghidap diabetes dan penyakit kardiovaskular juga pada usia yang lebih muda,” katanya.

Jika pesakit tidak mengurus penyakit mereka, paras gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan plak terkumpul akan menyekat dan merosakkan saluran yang membawa darah ke dan dari jantung.

Ini menyebabkan kekurangan oksigen dan nutrien, yang boleh menyebabkan serangan jantung dan kematian.

Pencegahan ialah satu aspek penting untuk mengurangkan beban penyakit dan kerumitan berkaitan diabetes ini boleh dicegah dengan pengurusan yang sewajarnya seperti pengawalan tahap glukosa, tekanan darah dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat, bersenam dengan kerap, memantau paras glukosa darah serta mengambil ubat preskripsi sekiranya perlu.

Dalam pada itu, Pakar Run­ding Endokrinologi, Dr. Chan Siew Pheng menjelaskan, pe­ngurusan diabetes telah berkembang maju pada masa ini.

“Untuk menangani beban pe­nyakit yang semakin me­ningkat dan rawatan diabetes juga te­rus bertambah baik, pesakit hanya perlu membuat rawatan sekali seminggu berbanding beberapa kali dalam sehari.

“Terdapat juga inovasi rawatan baharu yang disediakan di pasaran seperti kelas ubat suntikan GLP-1 RA yang bukan sahaja boleh mengurangkan paras glukosa darah tetapi juga membantu menguruskan kerumitan lain berkaitan diabetes seperti penyakit kardiovaskular dan ke­gemukan. Teknologi berjaya bantu pesakit diabetes,” jelasnya.

Sumber : Utusan

Recent Posts