Sabtu, Januari 21, 2017

Sawan lebih dua minit perlu rawatan segera

 

Adam Zakri (bukan nama sebenar), dua tahun, adalah anak sulung kepada Jamila (bukan nama sebenar), sentiasa aktif dan sihat.

Bulan lalu, Adam mengalami sakit tekak, muntah-muntah dan demam panas melebihi 39 darjah Celsius.

Ketika ibunya memberikannya minuman, badan Adam secara tiba-tiba menjadi kejang dan matanya menjuling ke atas.

'Adam Adam!' Jamila menjerit ketakutan tetapi Adam seperti tidak sedar dan tidak memberi sebarang tindak balas. 

Jamila cemas, lantas membuka baju Adam dan mengelap badannya dengan air sehingga suhu badan turun semula.

Selepas beberapa minit, Adam mula merengek dan kembali sedar seperti biasa. 

Pensyarah Perubatan (Neurologi), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Wan Aliaa Wan Sulaiman, berkata kes yang berlaku ke atas Adam ini adalah contoh serangan sawan demam (febrile fits) atau dikenali dengan sawan tarik.

"Serangan ini adalah sejenis penyakit sawan yang berpunca akibat demam panas dalam kalangan kanak-kanak yang berusia tiga bulan hingga enam tahun.

"Sawan demam bukan disebabkan masalah lain seperti jangkitan kuman otak (meningitis) atau ketidakseimbangan garam galian di dalam badan," katanya.

Suhu badan terlalu panas

Beliau berkata, sawan demam berlaku apabila suhu badan menjadi terlalu panas, aktiviti sel otak terganggu yang menyebabkan pesakit hilang kesedaran, badan, tangan dan kaki menjadi kejang, pergerakan mata hitam ke atas, air liur meleleh dan terkencing atau termuntah.

Kadangkala katanya, episod kekejangan badan akan disusuli dengan pergerakan tangan dan kaki yang berulang-ulang. Bagaimanapun, tempoh sawan selalunya singkat dan tidak melebihi lima minit.

Jika sawan berlarutan melebihi dua minit, panggil ambulans atau bawa anak segera ke unit kecemasan hospital. Dalam tempoh itu juga, jika anak anda kembali normal pemeriksaan doktor di hospital masih diperlukan untuk memastikan anak tidak mempunyai masalah lain yang lebih serius.

"Situasi begini semestinya mencemaskan untuk setiap ibu bapa tetapi anda dinasihatkan bertenang supaya dapat membantu anak dengan memastikan mereka berada di tempat selamat dan tiada sebarang bahaya di sekelilingnya.

"Kenal pasti waktu bermula sawan dan letakkan mereka dalam posisi mengiring ke sebelah kiri," katanya.

"Jangan cuba memasukkan sebarang objek seperti sudu atau jari anda ke dalam mulut walaupun anak mengancing gigi," katanya.

Longgarkan pakaian anak

Berdepan situasi itu, Dr Wan Aliaa berkata, ibu bapa digalak melonggarkan pakaian anak mereka terutama di sekitar leher dan lap badannya dengan air bersuhu bilik bagi menghilangkan haba panas badan ke udara melalui proses penyejatan.

Kanak-kanak yang hanya mengalami sawan demam saja kata beliau, lazimnya tidak ada masalah atau komplikasi dan berupaya membesar secara normal tanpa sebarang kesan negatif jangka panjang akibat sawan.

Ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang kerana penyakit ini secara umumnya tidak bahaya dan tidak akan mendatangkan kesan jangka masa panjang kronik kepada pesakit.

Tambahan lagi, kebanyakan kanak-kanak yang mengalami masalah sawan demam tidak lagi akan mengalami masalah ini selepas usia mencecah enam tahun.

Jejas sistem otak

Namun, ibu bapa perlu mengetahui langkah yang perlu dilakukan ketika serangan sawan demam sebagai langkah awal menanganinya.

Setiap kanak-kanak yang mengalami sawan demam di rumah hendaklah dibawa ke hospital dengan segera bagi pemeriksaan lanjut oleh doktor.

Bagaimanapun, bagi sesetengah kes yang lebih teruk dengan masa melebihi 15 minit, sel otak mungkin akan terganggu dan pesakit berisiko mendapat sawan epilepsi pada masa akan datang.

Sawan yang berlaku bukan susulan daripada demam adalah bukan sawan demam sebaliknya berkemungkinan akibat masalah lain.

INFO

*Setiap 100 kanak-kanak, lima akan mengalami sawan demam.

*Punca

-Demam dengan suhu mencecah 39 darjah selsius.

-Keturunan- selalunya ibu, ayah atau keluarga terdekat juga mempunyai sejarah sawan demam ketika kanak-kanak.

*Adakah sawan demam berulang?

-Terdapat kebarangkalian berulang selepas serangan pertama tetapi selepas usia enam tahun serangan tidak akan berulang.

*Suhu normal:

-Bayi : 36.1 - 37.7 darjah Celsius.

-Dewasa : 36.5 - 37.5 darjah Celsius.

Langkah tambahan menangani sawan

* Sapukan sebarang muntah atau air liur yang keluar.

* Elakkan daripada merendam anak di dalam air kerana selain daripada faktor keselamatan, ia juga kurang berkesan bagi penurunan suhu.

* Rutin pemeriksaan kanak-kanak sawan demam di hospital?

-Pemeriksaan klinikal.

-Ujian darah atau sinar x (mengenal pasti punca demam dan garam galian cukup dalam badan)

-Sekiranya demam akibat bakteria, rawatan antibiotik diperlukan.

Sekiranya jangkitan virus yang biasa selalunya tidak memerlukan antibiotik.

-Bagi gejala sawan, doktor perlu memastikan yang sawan bukan berpunca dari jangkitan otak.

Bagaimana cara penjagaan anak yang demam di rumah?

-Paracetamol boleh diberi secara berkala tetapi ia tidak akan membendung dari sawan demam.

-Pastikan anak minum air secukupnya.

- Sediakan alat penyukat suhu badan atau termometer dirumah.

-Sekiranya terlalu tinggi melebihi 39 selsius, kaedah terbaik adalah tuam atau lapkan dengan air bersuhu bilik atau suam kuku.

-Ubat punggung (suppository) boleh menurunkan suhu badan dengan cepat.

Apakah kesan jangka masa panjang sawan demam?

-Tiada sebarang kesan negatif jangka panjang akibat sawan.

-Sesetengah kes lebih teruk dengan jangkamasa melebihi 15 minit, sel otak mungkin akan terganggu dan pesakit berisiko untuk mendapat sawan epilepsi pada masa akan datang.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts