Memaparkan catatan dengan label hfmd. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hfmd. Papar semua catatan

Isnin, Mei 23, 2022

HFMD serang otak dan paru-paru

 


Jika anak mempunyai simptom demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah, jangan ambil mudah.

Mereka perlu dikuarantin antara tujuh sehingga 10 hari atau sehingga pulih sepenuhnya bagi mengelak menghidapi penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD), selain mengekang penularan bertambah parah.

Walaupun HFMD adalah penyakit yang dikategorikan sebagai tidak serius, tetapi ia berisiko jangkitan menyebabkan jangkitan pada otak, jantung dan paru-paru, namun peratusannya amat rendah.

Pakar Perunding Intensif Pediatrik, UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Prof Madya Dr Anis Siham Zainal Abidin, virus boleh menyerang masuk ke dalam selaput otak, jantung dan paru paru melalui darah.

Katanya, kurang lima peratus pesakit berisiko mendapat serangan hingga ke organ lain dan boleh membawa maut, namun kira-kira 95 peratus adalah pada tahap ringan.

"Oleh itu, jika ibu bapa mendapati ada simptom HFMD pada anak mereka terutama yang dihantar di Taska, Tadika atau pusat asuhan, perlu mula pantau seterusnya mendapatkan rawatan.

"Ketika ini, kes HFMD berada pada tahap membimbangkan terutama di Kuala Lumpur dan Selangor, iaitu kebanyakan kes dipercayai berpunca dari Taska, Tadika dan pusat asuhan.

"HFMD adalah penyakit berjangkit yang melanda kanak-kanak berusia 10 tahun dan ke bawah yang berkait rapat dengan amalan kebersihan serta persekitaran yang berpunca berpunca daripada Coxsakie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

"Dalam keadaan yang hampir normal berbanding ketika pandemik COVID-19, kebanyakan ibu bapa sudah masuk ke pejabat dan tiada pilihan mereka ada yang terpaksa menghantar anak ke pusat berkenaan," katanya.

Katanya, simptom penyakit itu bermula dengan demam sehari atau dua hari kemudian diikuti oleh kemunculan ruam dan lepuh (blister) di tapak tangan dan kaki serta ulser.

"Keadaan itu akan menyebabkan kanak-kanak menjadi tidak lalu makan dan minum kerana ulser di dalam mulut, lemah serta tidak aktif seperti biasa disebabkan tiada tenaga di dalam badan," katanya.

Dr Anis Siham berkata, keadaan lepuh yang naik pula adalah seakan-akan sakit akibat deman campak, namun lebih kecil dan tidak menyeluruh di seluruh badan.

Katanya, air yang terdapat di dalam lepuh itu adalah berbisa dan ia yang akan menyebabkan penyakit itu lebih mudah merebak.

"Apabila lepuh sama ada di bahagian tapak tangan atau tapak kaki pecah dan mengeluarkan air serta terkena pada objek atau sesuatu permukaan yang kemudiannya dipegang oleh kanak-kanak lain, ia menjadi penyebab penyakit itu merebak.

"Kanak-kanak yang pernah dijangkiti HFMD sebelum ini juga masih berisiko mendapat penyakit itu namun simptom yang ditunjukkan tidak seteruk kali pertama dialami mereka berikutan sudah ada antibodi di dalam badan.

"Begitu juga golongan dewasa, mereka masih boleh dijangkiti HFMD dan pada masa sama menyebarkan kepada kanak-kanak lain jika tidak menjaga kebersihan," katanya.

Tingkatkan amalan kebersihan

Mengulas lanjut, beliau berkata virus berkenaan yang sentiasa berada di kawasan persekitaran, juga boleh berada di dalam usus apabila ia masuk ke dalam tubuh seseorang.

Katanya, bagi kanak-kanak yang masih memakai lampin atau lampin pakai buang dan membuang air besar, mereka boleh menyebarkan virus itu menerusi najis.

"Virus itu boleh merebak apabila ada orang dewasa yang menukar lampin kanak-kanak berkenaan kemudiannya tidak membasuh tangan dengan betul dan terus memegang objek atau persekitaran lain tanpa sedar tangan mereka sudah terkena virus.

"Justeru, mereka yang menukar lampin kanak-kanak perlu mengamalkan kebersihan dengan terus mencuci tangan dengan sabun bagi mencegah penyebaran penyakit," katanya.

Berkenaan rawatan, Dr Anis Siham berkata, jika keadaan kanak-kanak itu demam biasa diikuti ulser, ruam dan lepuh, mereka boleh makan ubat deman dan kuarantin di rumah sehingga pulih sepenuhnya.

Jika kanak-kanak berkenaan tidak mahu minum dan menyebabkan kurang membuang air kecil, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik.

"Ibu bapa yang mendapati anak mula demam dan merengek atau menangis diikuti air liur mula meleleh, perlu membuat pemeriksaan segera pada mulut anak mereka kerana mungkin disebabkan oleh ulser di dalam mulut.

"Jika keadaan ulser teruk, mereka perlu mendapatkan segera rawatan ubat penyembur bagi mengurangkan kesakitan seterusnya memberikan air menggunakan straw bagi mengelak terus dehidrasi," katanya.

Jelasnya, bagi demam yang berterusan sehingga tiga hari berturut-turut walaupun sudah makan ubat demam, diikuti nafas laju, dada berombak, penat keterlaluan, sawan dan nadi laju, ibu bapa perlu segera membawa anak ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Kekang penularan HFDM

Justeru, Dr Anis Siham berkata, ibu bapa perlu memastikan jika anak mereka mempunyai simptom HFMD, mereka perlu dikuarantin sehingga penyakit pulih sepenuhnya.

Katanya, dengan berbuat demikian, ia dapat mengekang penularan penyakit terutama terhadap kanak-kanak lain.

"Jika anak bergejala jangan bawa mereka keluar langsung terutama ke pusat beli-belah, restoran atau menghantar ke pusat jagaan terbabit.

"Ajar anak-anak untuk menjaga kesihatan, iaitu dengan kerap mencuci tangan dengan sabun, tidak berkongsi pinggan, cawan, sudu, garpu atau tuala dengan sesiapa," katanya.

Akuinya, peningkatan kes ketika ini juga dipercayai kerana masih ramai ibu bapa yang belum peka dengan penyakit berkenaan dan mungkin beranggapan ia tidak serius.

Justeru katanya, mereka perlu terus diberi kesedaran termasuk juga terhadap pihak pengurusan Taska, Tadika atau pusat asuhan.

"Pihak pengurusan perlu tingkatkan lagi tahap kebersihan termasuk kerap membuat pembersihan bagi mengurangkan penularan penyakit HFMD," katanya.

Info:

Mengenai Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD)

* Berlaku kepada kanak-kanak berumur bawah 10 tahun

* Merebak dengan cepat iaitu hampir 100 %

* Jangkitan melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis mereka yang berpenyakit.

* Tempoh inkubasi antara 3 - 5 hari.

Tanda-tanda dan gejala

* Demam yang ringan

* Rasa tidak sihat (letih dan lesu)

* Sakit tekak

Sumber : Berita Harian