Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 16, 2022

Berhati-hati dengan tawaran kerja di luar negara

 


Jabatan Imigresen akan berkerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi mendidik orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran penipuan pekerjaan di luar negara yang menawarkan gaji lumayan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata orang ramai perlu berhati-hati apabila ditawarkan pekerjaan melalui media sosial dengan gaji lumayan terutama di luar negara.

Katanya, mereka boleh merujuk perkara itu dengan pihak berkuasa untuk mengesahkan kesahihan tawaran bagi mengelak ditipu sindiket.

Katanya, Jabatan Imigresen tidak boleh menghalang mana-mana individu ke luar negara kecuali yang disenarai hitam.

Sekatan ke luar negara hanya boleh dibuat terhadap individu yang disenarai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), polis (PDRM) dan Kastam atau mempunyai sebab-sebab tertentu yang pernah dihalang keluar negara" katanya pada sidang media Prapelancaran Larian Imigresen 2022 di Putrajaya.

April lalu, media melaporkan 16 warga tempatan terpedaya dengan sindiket penipuan yang menawarkan gaji tinggi di Kemboja.

Kumpulan itu dilapor didera, tidak menerima gaji dan diugut dengan senjata api jika enggan berkerja.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya tidak boleh bertindak dalam kes rakyat Malaysia menjadi sindiket 'scammer' di luar negara kerana berada di luar bidang kuasa jabatan.

Sementara itu, katanya, Larian Imigresen 2022 akan berlangsung pada 4 September sempena sambutan Hari Imigresen 2022 dan Bulan Kemerdekaan.

Program kali ketiga dianjurkan sejak 2019 ini membabitkan tiga kategori iaitu terbuka lima kilometer 'Fun Run' (km), 10 km dan 15 km terbuka dan veteran.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Januari 16, 2022

Anak penggal kepala ibu hingga maut

 

Seorang wanita berusia 56 tahun maut dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, di Kuala Selangor, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata polis menerima maklumat jam 5.45 petang berhubung kejadian seorang wanita dicederakan oleh anaknya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 28 tahun dipercayai membunuh mangsa ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.

Katanya, suspek yang juga penganggur tinggal bersama mangsa dan suaminya, manakala anak mangsa yang lain pula menyewa di kawasan berhampiran.

"Kejadian disedari seorang daripada anak mangsa yang gagal menghubunginya, sebelum pergi ke rumah. Sebaik tiba, anak mangsa melihat keadaan rumah berlumuran darah dan suspek yang terkejut terus melarikan diri ke belukar di belakang rumah.

"Polis dengan bantuan penduduk berjaya menahan suspek yang bersembunyi dalam belukar itu dan siasatan lanjut sudah dijalankan oleh pasukan forensik," katanya.

Ramli berkata, polis turut merampas parang disyaki digunakan suspek untuk memenggal kepala ibunya yang ditemui dalam tandas rumah berkenaan.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

"Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sumber dari Berita Harian


 

Selasa, November 02, 2021

Kes bunuh Zulfarhan: 6 bekas penuntut kena 18 tahun penjara

 

 
 
 Enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas hukuman gantung apabila dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh terhadap Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Semua tertuduh kecuali Mohamad Shobirin juga bersama 12 lagi turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Dua belas bekas penuntut berkenaan adalah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri dan Muhammad Sufi Mohd Mustapha.
 

Selain itu, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Hukuman penjara Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Abdoul Hakeem diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun 2017. Mahkamah juga membenarkan penangguhan hukuman penjara terhadap kelima-lima tertuduh sementara menunggu rayuan.

Terdahulu, kelima-lima mereka bersama Mohamad Shobirin dihadapkan atas tuduhan membunuh serta bersubahat membunuh Zulfarhan dan didakwa mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati mereka bersalah atas tuduhan Seksyen 304(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Pada 30 September lalu, mahkamah selesai mendengar kesemua hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Sepanjang perbicaraan bermula 29 Januari 2018, seramai 31 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, termasuk rebuttal (saksi untuk menyanggah), antaranya bekas Pegawai Perubatan UPNM, Dr Harniza Kosnan dan Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad.

Pada prosiding bela diri yang bermula 2 Oktober 2019, pembelaan mengemukakan 20 saksi, iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan bersama penuntut UPNM, Muhammad Alif Farhan Aerosni serta semua 18 tertuduh.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan penuntut UPNM terbabit membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Empat tertuduh, iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin berdepan tuduhan membunuh Zulfarhan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara jam 4.45 dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Abdoul Hakeem pula berdepan pertuduhan bersubahat mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama dengan 12 lagi turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Pendakwaan bagi tuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di dalam bilik 03-05, Blok Penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 dan 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi.

Pasukan peguam terdiri daripada Amer Hamzah Arshad, Datuk Seri M Ramachelam, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim dan Datuk Hazizah Kassim.

Sumber : Berita Harian

 

 

Sindiket tipu tawaran kerja

 

Pasukan khas yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa kepada penahanan 168 individu yang disyaki terbabit sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian menerusi 19 operasi dari awal tahun ini hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata mereka membabitkan 38 wanita dan 118 lelaki tempatan, selain 11 warga China termasuk empat wanita dan seorang wanita Thailand ditahan di ibu negara, Johor, Pahang, Sabah dan Negeri Sembilan.

Pada masa sama, katanya, polis menerima 255 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM4.6 juta dari awal 2021 hingga Ogos lalu berkaitan kes sama.

"Sindiket itu menyasarkan mangsa dari negara jiran dengan gaji lumayan antara RM200 hingga RM300 sehari.

"Siasatan awal mendapati mereka menggunakan aplikasi WhatsApp dan laman sosial seperti Instagram dan Facebook bagi menawarkan kerja dengan mendakwa menjadi ejen syarikat membeli barangan di platform e-dagang.

"Mangsa diberi beberapa tugasan yang perlu diselesaikan dalam tempoh diberi dengan menghantar gambar produk dipilih kepada suspek sebelum diarah membuat pembayaran ke akaun diberikan.

"Bagi meyakinkan mangsa ia adalah pekerjaan sah, sindiket akan membayar semula harga barangan dibeli dengan tambahan komisen antara lima hingga lapan peratus," katanya pada sidang media di ibu pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, proses pembelian dan bayaran semula itu akan berulang, daripada produk murah sehingga barangan mahal.

Katanya, tugasan perlu diselesaikan mengikut masa diberi dan penalti dikenakan jika mangsa gagal manakala bayaran mereka tidak dipulangkan.

"Apabila mangsa enggan meneruskan tugasan dan menuntut wang kembali, suspek memberi alasan lain seperti dalam proses pemindahan dan memerlukan mereka membuat bayaran sebelum mereka menyedari ditipu," katanya.

Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 selain tindakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan tawaran kerja secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran yang nampak menarik tanpa memerlukan usaha keras kerana itu bukan caranya," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Sabtu, Julai 17, 2021

Kerani rugi RM31,000 gara-gara kerja sambilan

 

Seorang kerani rugi RM31,000 apabila ditipu syarikat aplikasi pembelian dalam talian, yang menawarkan kerja sambilan sebagai ejen.

Wanita berusia 23 tahun itu tertarik dengan iklan kerja sambilan berkenaan, yang diiklankan melalui sebuah akaun Facebook selepas melayari laman sosial itu pada Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa menghubungi syarikat berkenaan dan membuka akaun melalui pautan yang diberikan.

Beliau berkata, mangsa mula menjalankan tugasnya seperti yang diminta iaitu untuk menaikkan rating barangan dalam aplikasi yang disediakan. 

"Mangsa dijanjikan komisyen dengan setiap tugas yang dilakukan itu.

"Bagi mendapatkan lebih banyak tugasan yang akan memberi komisyen atau upah lebih tinggi, mangsa menambah wang ke dalam akaun aplikasi itu," katanya melalui satu kenyataan media.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat bayaran berjumlah RM31,000 melalui lapan transaksi pindahan wang ke dua akaun bank atas nama individu berbeza.

"Mangsa mengesyaki yang dia ditipu apabila wang yang dimasukkan dalam aplikasi itu tidak dapat digunakan," katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab, kelmarin.

Sementara itu, dalam kes berasingan kelmarin, seorang jururawat kerugian RM1,500 selepas ditipu individu yang menyamar sebagai kakaknya.

Mohd Wazir berkata, mangsa menerima mesej daripada suspek, yang menyamar sebagai kakaknya, menggunakan nombor telefon yang tidak dikenali untuk meminjam wang sebanyak RM1,500.

"Bagi membantu `kakaknya' itu, mangsa memasukkan wang ke akaun sebuah bank atas nama orang lain pada hari yang sama.

"Mangsa kemudian menghubungi kakaknya dan terkejut apabila kakaknya menafikan perkara itu.

"Mangsa juga gagal menghubungi suspek selepas itu, malah suspek juga memadamkan semua mesej yang dihantar kepada mangsa," katanya sambil menambah mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber : Berita Harian

 

Rabu, Jun 23, 2021

Suami isteri kaki temberang emas murah ditangkap

 

Sepasang suami isteri yang menjalankan urusan jual beli barang kemas dan memperdaya kira-kira enam mangsa di sekitar negara ini berjaya ditangkap polis di sebuah stesen minyak di Sungai Petani, 17 Jun lalu.

Kosmo! difahamkan pasangan suami isteri berkenaan telah melakukan penipuan jual beli barang kemas secara dalam talian dan bersemuka membabitkan jumlah kerugian melebihi RM200,000 dan kemudiannya menghilangkan diri.

Menurut sumber, si isteri berusia lingkungan 40an merupakan warganegara Indonesia dan menggunakan akaun suaminya yang menetap di Felda Palong 5, Gemas bagi urusan jual beli tersebut.

Susulan melakukan enam siri penipuan antaranya di Merlimau (Melaka), Salak Selatan (Kuala Lumpur) dan Segamat (Johor) sejak awal tahun ini, kedua-dua suspek yang menjadi buruan polis melarikan diri ke utara tanah air namun kecundang apabila berjaya ditangkap polis hasil kerjasama semua pihak yang terlibat dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penangkapan berkenaan telah berjaya menyelesaikan dua kes di negeri ini membabitkan kes jual beli barang kemas.

Menurutnya, kes penipuan oleh pasangan suami isteri berkenaan telah dilaporkan berlaku di Gemas pada 16 Februari lalu membabitkan kerugian sebanyak RM 25,812. 05.

“Mangsa berusia 35 tahun mengenali suspek melalui rakannya. Mangsa tertarik dengan tawaran emas murah berkenaan dan segera menghubungi talian 016-6475350.

“Semasa dalam proses urusniaga, mangsa telah melakukan 22 transaksi ke akaun yang diberikan dan suspek juga berjanji untuk memberikan barangan kemas berkenaan.

Bagaimanapun, setelah menunggu dalam tempoh yang diberikan, barangan kemas atau pulangan yang dijanjikan tidak diberikan.

“Beberapa kenalan mangsa telah pergi ke alamat rumah suami suspek, namun rumah berkenaan tidak lama berpenghuni. Mangsa segera membuat laporan polis selepas menyedari tertipu.

Manakala, Aibee berkata, kes kedua pula direkodkan di Rompin, Jempol pada 30 Mei lalu.

“Mangsa berusia 34 tahun berminat untuk membeli seutas gelang tangan emas seberat 9.38 gram dengan harga RM2,210 dan menghubungi talian 016-6475350 untuk pembelian barangan kemas berkenaan.

“Mangsa telah melakukan transaksi ke akaun yang diberikan dan selepas itu dimaklumkan barangan yang dibeli mempunyai masalah serta sedang dalam proses.

Menurutnya, mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kita nasihatkan orang ramai untuk tidak mudah tertarik untuk melakukan pembelian yang menawarkan harga murah.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat semakan terlebih dahulu di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Semak Mule CCID’ sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak ditipu. 

Sumber : Kosmo!

 

 

Khamis, Mac 25, 2021

Rekod 2 juta individu terkait jenayah sudah dikemas kini - KPN

 

Rekod lebih dua juta individu yang dikaitkan dengan pelbagai jenayah sudah dikemas kini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata, sebelum ini, rekod individu berkenaan tidak dapat dikemas kini dalam sistem data agensi itu disebabkan beberapa kekangan termasuk masalah sistem pengisian maklumat dan teknikal.

"Ia ditambah lagi dengan pegawai atau anggota bertanggungjawab mengisi maklumat itu ada yang sudah tamat berkhidmat ataupun bertukar jawatan ke tempat lain," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata, dengan siapnya pengemaskinian rekod itu 100 peratus, ia akan memudahkan urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat semakan rekod jenayah individu sama ada untuk kegunaan PDRM atau agensi kerajaan lain.

"Hikmahnya apabila diminta membuat semakan ke atas mana-mana individu yang ingin memohon pekerjaan, rekod itu boleh diberikan PDRM kerana semuanya sudah terpapar di dalam komputer," katanya.

Beliau memberi contoh, jika pihak Wisma Putra meminta PDRM membuat semakan ke atas 1,000 nama individu, kesemuanya dapat dilaksana dengan mengaplikasikan proses 'data crunching'.

"Sekiranya perlu, untuk tahu individu itu ditangkap atas kes apa semuanya boleh disemak menerusi fail yang dikemas kini. Kami juga boleh bertanya kepada pegawai penyiasat apa yang terjadi berhubung kes dikendalikannya secara lebih lanjut," katanya.

Abdul Hamid berkata, mana-mana individu yang mempunyai kesalahan jenayah tidak akan terlepas daripada namanya disenaraikan dalam rekod.

"Cuba bayangkan jika ada individu itu diambil berkerja sedangkan dia rupa-rupanya seorang tokan dadah jadi perkara itu perlu dielakkan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Januari 31, 2021

Saya terkilan kerana tidak mampu mempertahankan arwah - Ibu angkat mangsa dera

 

"Saya menyesal menyerahkan semula anak angkat kepada ibunya, tetapi apakan daya, saya memahami hak seorang ibu yang mahu anak kembali ke pangkuannya.

"Tetapi saya tidak sangka dia diperlakukan sebegitu hanya selepas empat bulan kami berpisah, sedangkan dia anak yang baik dan tidak pernah membantah kata selama menjaganya sejak bayi lagi," kata Norlida Abu Hassan, 50, ibu angkat kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang meninggal dunia dipercayai didera.

Kisah perpisahan Norlida dan anak angkatnya pernah tular di Facebook pada Oktober tahun lalu dan mendapat perhatian ramai yang turut bersedih berikutan kanak-kanak terbabit terpaksa diserahkan semula kepada ibu kandungnya.

Norlida yang tinggal di Rawang, Selangor berkata, beliau terkilan kerana tidak mampu mempertahankan arwah ketika didera sehingga menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia.

"Saya menjaganya seperti 'menatang minyak yang penuh' dan menganggapnya sebagai anak bongsu. Sejak menjaganya, dia tidak pernah menyusahkan saya, malah arwah memang tidak pernah mendesak jika mahukan sesuatu termasuk barangan permainan.

"Arwah juga berjaya menghafal surah Al-Mulk selepas belajar dengan kakak angkatnya.

"Saya memang terkejut dengan keadaan ini. Kenapa dia diperlakukan seperti itu, saya memang tak sangka," katanya ketika ditemui di rumah kenalannya di Batu Berendam di sini, hari ini.

Susulan kejadian itu, pasangan suami isteri yang disyaki mendera dan membunuh kanak-kanak berkenaan, semalam direman tujuh hari sehingga 5 Februari depan bagi membantu siasatan kes itu.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi hari ini, selepas dipohon polis mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Norlida berkata, dia sekeluarga amat terkejut selepas dihubungi jiran kepada ibu kandung mangsa dari Krubong kira-kira jam 8 malam tadi yang memaklumkan berita sedih itu selepas mengetahui video tular perpisahan mereka sebelum ini.

Katanya, beliau sekeluarga tidak menyangka kematian tragis mengakhiri hidup anak angkatnya itu, sebelum bergegas ke Melaka malam tadi.

"Sebagai ibu, saya faham apabila ibu kandung mangsa selalu mengatakan kerinduannya kepada anak, jadi saya reda melepaskannya kerana ketika ibu kandungnya meminta saya menjaga anaknya, tiada perjanjian hitam putih dibuat antara kami.

"Malah, ketika menyerahkan semula kanak-kanak itu, saya terpaksa akur kerana tidak mahu bergaduh dengan ibunya," katanya.

Norlida berkata, sepanjang menjaga kanak-kanak berkenaan sejak berusia dua bulan hingga Oktober tahun lalu, ibu kandungnya jarang berjumpa, malah langsung tidak mengambil tahu mengenai mangsa.

Katanya, selepas mereka berpisah empat bulan lalu, ibu kandung kanak-kanak itu menghalang mereka daripada terus berhubung.

"Kami mahu bercakap di telefon pun dihalang, malah mesej dihantar melalui aplikasi WhatsApp dan panggilan video juga tidak dibenarkan.

"Bapa tiri mangsa terpaksa membawanya berjumpa saya secara senyap-senyap kerana ibu kandungnya bimbang saya akan mengambilnya semula," katanya.

Berkongsi detik terakhir bertemu mangsa pada awal November tahun lalu, Norlida berkata, bapa tiri arwah yang bekerja sebagai pemandu lori membawa kanak-kanak itu berjumpanya di kedai makan di Rawang tanpa pengetahuan ibunya.

"Hampir satu jam kami menghabiskan masa, malah sempat bergambar bersama dan saya sempat bertanya arwah hendak duduk dengan siapa, namun dia mendiamkan diri.

"Dia tak bercakap tetapi saya bertanya, 'Adik rindu Umi tak?' dan dia menjawab 'Adik rindu Umi, abah, kakak dan abang, tetapi adik tak boleh sebab terpaksa ikut mama (panggilan kepada ibu kandungnya)," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Recent Posts