Rabu, Jun 23, 2021

Suami isteri kaki temberang emas murah ditangkap

 

Sepasang suami isteri yang menjalankan urusan jual beli barang kemas dan memperdaya kira-kira enam mangsa di sekitar negara ini berjaya ditangkap polis di sebuah stesen minyak di Sungai Petani, 17 Jun lalu.

Kosmo! difahamkan pasangan suami isteri berkenaan telah melakukan penipuan jual beli barang kemas secara dalam talian dan bersemuka membabitkan jumlah kerugian melebihi RM200,000 dan kemudiannya menghilangkan diri.

Menurut sumber, si isteri berusia lingkungan 40an merupakan warganegara Indonesia dan menggunakan akaun suaminya yang menetap di Felda Palong 5, Gemas bagi urusan jual beli tersebut.

Susulan melakukan enam siri penipuan antaranya di Merlimau (Melaka), Salak Selatan (Kuala Lumpur) dan Segamat (Johor) sejak awal tahun ini, kedua-dua suspek yang menjadi buruan polis melarikan diri ke utara tanah air namun kecundang apabila berjaya ditangkap polis hasil kerjasama semua pihak yang terlibat dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penangkapan berkenaan telah berjaya menyelesaikan dua kes di negeri ini membabitkan kes jual beli barang kemas.

Menurutnya, kes penipuan oleh pasangan suami isteri berkenaan telah dilaporkan berlaku di Gemas pada 16 Februari lalu membabitkan kerugian sebanyak RM 25,812. 05.

“Mangsa berusia 35 tahun mengenali suspek melalui rakannya. Mangsa tertarik dengan tawaran emas murah berkenaan dan segera menghubungi talian 016-6475350.

“Semasa dalam proses urusniaga, mangsa telah melakukan 22 transaksi ke akaun yang diberikan dan suspek juga berjanji untuk memberikan barangan kemas berkenaan.

Bagaimanapun, setelah menunggu dalam tempoh yang diberikan, barangan kemas atau pulangan yang dijanjikan tidak diberikan.

“Beberapa kenalan mangsa telah pergi ke alamat rumah suami suspek, namun rumah berkenaan tidak lama berpenghuni. Mangsa segera membuat laporan polis selepas menyedari tertipu.

Manakala, Aibee berkata, kes kedua pula direkodkan di Rompin, Jempol pada 30 Mei lalu.

“Mangsa berusia 34 tahun berminat untuk membeli seutas gelang tangan emas seberat 9.38 gram dengan harga RM2,210 dan menghubungi talian 016-6475350 untuk pembelian barangan kemas berkenaan.

“Mangsa telah melakukan transaksi ke akaun yang diberikan dan selepas itu dimaklumkan barangan yang dibeli mempunyai masalah serta sedang dalam proses.

Menurutnya, mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kita nasihatkan orang ramai untuk tidak mudah tertarik untuk melakukan pembelian yang menawarkan harga murah.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat semakan terlebih dahulu di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Semak Mule CCID’ sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak ditipu. 

Sumber : Kosmo!

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.