Memaparkan catatan dengan label tipu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tipu. Papar semua catatan

Rabu, Jun 23, 2021

Suami isteri kaki temberang emas murah ditangkap

 

Sepasang suami isteri yang menjalankan urusan jual beli barang kemas dan memperdaya kira-kira enam mangsa di sekitar negara ini berjaya ditangkap polis di sebuah stesen minyak di Sungai Petani, 17 Jun lalu.

Kosmo! difahamkan pasangan suami isteri berkenaan telah melakukan penipuan jual beli barang kemas secara dalam talian dan bersemuka membabitkan jumlah kerugian melebihi RM200,000 dan kemudiannya menghilangkan diri.

Menurut sumber, si isteri berusia lingkungan 40an merupakan warganegara Indonesia dan menggunakan akaun suaminya yang menetap di Felda Palong 5, Gemas bagi urusan jual beli tersebut.

Susulan melakukan enam siri penipuan antaranya di Merlimau (Melaka), Salak Selatan (Kuala Lumpur) dan Segamat (Johor) sejak awal tahun ini, kedua-dua suspek yang menjadi buruan polis melarikan diri ke utara tanah air namun kecundang apabila berjaya ditangkap polis hasil kerjasama semua pihak yang terlibat dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penangkapan berkenaan telah berjaya menyelesaikan dua kes di negeri ini membabitkan kes jual beli barang kemas.

Menurutnya, kes penipuan oleh pasangan suami isteri berkenaan telah dilaporkan berlaku di Gemas pada 16 Februari lalu membabitkan kerugian sebanyak RM 25,812. 05.

“Mangsa berusia 35 tahun mengenali suspek melalui rakannya. Mangsa tertarik dengan tawaran emas murah berkenaan dan segera menghubungi talian 016-6475350.

“Semasa dalam proses urusniaga, mangsa telah melakukan 22 transaksi ke akaun yang diberikan dan suspek juga berjanji untuk memberikan barangan kemas berkenaan.

Bagaimanapun, setelah menunggu dalam tempoh yang diberikan, barangan kemas atau pulangan yang dijanjikan tidak diberikan.

“Beberapa kenalan mangsa telah pergi ke alamat rumah suami suspek, namun rumah berkenaan tidak lama berpenghuni. Mangsa segera membuat laporan polis selepas menyedari tertipu.

Manakala, Aibee berkata, kes kedua pula direkodkan di Rompin, Jempol pada 30 Mei lalu.

“Mangsa berusia 34 tahun berminat untuk membeli seutas gelang tangan emas seberat 9.38 gram dengan harga RM2,210 dan menghubungi talian 016-6475350 untuk pembelian barangan kemas berkenaan.

“Mangsa telah melakukan transaksi ke akaun yang diberikan dan selepas itu dimaklumkan barangan yang dibeli mempunyai masalah serta sedang dalam proses.

Menurutnya, mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kita nasihatkan orang ramai untuk tidak mudah tertarik untuk melakukan pembelian yang menawarkan harga murah.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat semakan terlebih dahulu di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Semak Mule CCID’ sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak ditipu. 

Sumber : Kosmo!

 

 

Rabu, Mei 04, 2016

Penipuan Pelaburan Rumah Lelong



Polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan pelaburan hartanah membabitkan lelongan rumah yang menyebabkan kerugian kira-kira RM400,000, pada Jumaat lepas dan hari ini, Isnin.  

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor ACP Mah Khye Beng berkata lelaki berumur 34 tahun itu ditahan Jumaat lepas manakala isterinya, 36, yang dibebaskan selepas ditahan pada Rabu lepas, ditahan semula pada Isnin.  

"Pasangan itu ditahan di rumah mereka di Paloh dekat Kluang. Polis kini menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan terhadap pasangan berkenaan sebelum kedua-duanya dihadapkan ke mahkamah," katanya menerusi kenyataan.

Mah berkata pihaknya telah membuka enam kertas siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan hartanah lelongan rumah itu yang melibatkan perniagaan didaftarkan atas nama Takzim Properties yang berpejabat di bandar raya Johor Bahru.  

Beliau berkata selain pihaknya, tiga kertas siasatan turut dibuka oleh kontinjen polis lain yang melibatkan pendaftaran perniagaan yang sama. 

"Modus operandi penipuan itu adalah memperdayakan mangsa untuk mengeluarkan modal pelaburan dan dijanjikan pulangan keuntungan berserta modal dalam urusan pembelian rumah yang hendak dilelong," katanya.  

Sehubungan itu, Mah menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan keuntungan dengan kadarsegera.  

Orang ramai katanya, dinasihatkan melakukan semakan dengan teliti sebelum membuat sebarang pelaburan manakala semua mangsa yang terlibat dikehendaki tampil membuat laporan polis di balai berhampiran. 

- Bernama

Sabtu, Oktober 22, 2011

Kes tipu melalui Internet dan mudah.my meningkat



Sebanyak 1,241 kertas siasatan berhubung kes penipuan pembelian barangan melalui Internet telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang sembilan bulan pertama tahun 2011, membabitkan kerugian hampir RM3 juta.

Daripada jumlah itu, penipuan membabitkan laman web mudah.my paling tinggi dilaporkan iaitu 872 kes dengan kerugian mencecah RM1,354,120.12.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf memberitahu, modus operandi sindiket penipuan itu ialah suspek akan mengiklankan barangan dalam laman web dengan menawarkan harga rendah untuk menarik minat pembeli.

Mangsa dan suspek hanya akan berurusan melalui telefon ataupun emel. Mangsa menyedari tertipu apabila tidak menerima barangan walaupun pembayaran telah dibuat.

Menurut Ramli, sejak Januari hingga September 2011, sebanyak 1,241 kertas siasatan telah dibuka bagi kes penipuan pembelian melalui Internet membabitkan kerugian RM2,969,420.34.

Beliau berkata, jumlah tersebut didapati meningkat berbanding 1,114 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu, walaupun jumlah kerugian menurun berbanding RM3,124,836.72.

Katanya, jumlah kes yang disiasat bagi tempoh dua tahun ini adalah meningkat lebih 50 peratus berbanding hanya 551 kes dengan kerugian sebanyak RM786,029.89 dicatatkan dalam tempoh sama pada 2009.

Sehubungan itu, pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar berwaspada dalam membuat transaksi ke atas pembelian barangan melalui Internet terutama bagi laman web mudah.my yang mencatatkan jumlah kes tertinggi berbanding lain-lain laman web.

Sejak Januari hingga September 2011 lalu sahaja, sebanyak 872 kertas siasatan dibuka untuk menyiasat penipuan pembelian barangan melalui mudah.my dengan kerugian berjumlah RM1,354,120.12.

Menurut Ramli, jumlah kes penipuan membabitkan mudah.my didapati meningkat setiap tahun dengan 739 kes membabitkan RM1,216,506.64 kerugian dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun lalu dan 458 kes dengan RM616,522.89 kerugian pada 2009.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan urus niaga melalui Internet kerana sifat tersebut adalah faktor utama mangsa-mangsa ditipu.

Orang ramai yang menggunakan kemudahan pembelian barangan melalui Internet perlu membaca langkah-langkah keselamatan terdapat dalam laman web tersebut, memastikan membeli daripada pengiklan berdaftar atau berjumpa dengan pengiklan bagi proses pembelian.

Sekiranya masih ragu-ragu, orang ramai boleh membuat semakan di pejabat Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di talian 03-26163972 (waktu pejabat) atau Bilik Gerakan JSJK (03-26163999) selepas waktu pejabat.

- Utusan

Recent Posts