Memaparkan catatan dengan label penipuan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penipuan. Papar semua catatan

Khamis, November 09, 2023

TH beri amaran scammer di Facebook, TikTok


Lembaga Tabung Haji (TH) meminta orang ramai supaya berhati-hati agar tidak menjadi mangsa scammer di aplikasi Facebook dan TikTok.

TH dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat pihak yang menyamar dan menggunakan logo TH serta menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan di platform itu.

“TH menyarankan para pendeposit dan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tipu helah yang dilakukan oleh ‘scammer’.

“Terbaharu, pihak yang tidak bertanggungjawab (scammer) kini menggunakan taktik di mana mereka mengiklankan skim pelaburan di media sosial seperti Facebook dan TikTok.

“Iklan-iklan ini akan dihubungkan dengan aplikasi WhatsApp untuk terus memperdaya orang ramai dengan menjanjikan keuntungan tinggi dan pantas,” katanya.

Dalam pada itu, TH menasihati orang ramai terutamanya pendeposit TH untuk berhati-hati agar tidak mudah percaya dan terjerat dengan tawaran pelaburan menerusi skim-skim meragukan.

“TH sentiasa memberi peringatan dan nasihat berkaitan perkara ini kepada para pendeposit di platform-platform komunikasi rasmi TH.

“Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919,” pesannya. 

Sumber : KOSMO!

Rabu, September 21, 2022

63,000 kes tipu babit kerugian lebih RM1.3 bilion kurang tiga tahun

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan lebih 63,000 kes bagi lima jenis penipuan yang paling kerap dilaporkan di negara ini dalam tempoh kurang tiga tahun.

Ia membabitkan kes Macau Scam, penipuan e-dagang, pinjaman tidak wujud (PTW), penipuan pelaburan dan love scam.

Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Komputer/ Internet/ Harta Intelek/ Cakera Optik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Superintendan Madhavan Nair Unnikrishnan, berkata sebanyak 63,267 kes penipuan berkenaan direkodkan antara 2020 hingga Ogos 2022.

Katanya, semua kes dalam tempoh berkenaan membabitkan jumlah kerugian melebihi RM1.39 bilion.

"Lima jenayah berkaitan siber paling banyak menyumbang pada jumlah kes dan kehilangan wang dalam tiga tahun ini dengan jumlah tertinggi adalah Macau Scam dengan 17,870 kes membabitkan kerugian RM740 juta.

"Ia disusuli penipuan e-dagang yang meningkat ketara ketika pandemik dengan 21,871 kes dilaporkan, dengan jumlah kerugian RM204 juta.

"Kes PTW pula banyak menjadikan mereka yang terdesak dan amat perlukan wang sebagai mangsa, dengan 12,696 kes dilaporkan membabitkan RM138 juta.

"Kes pelaburan pula antaranya membabitkan tawaran pulangan sehingga 200 peratus dalam 24 jam. Ia tidak masuk akal namun tetap ada yang percaya dengan 7,241 kes dan kerugian RM155 juta, selain love scam yang mencatat 3,589 kes dengan kerugian RM155 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Konvensyen Pegawai Keselamatan ICT Malaysia (ICTSO) 2022 di sini, hari ini.

Madhavan memaklumkan masih ramai individu terperangkap dengan taktik penipuan itu meskipun sudah menyedari mengenai kewujudan jenayah berkenaan, termasuk dalam kalangan golongan profesional yang berpendidikan tinggi.

"Ada satu kes love scam membabitkan seorang doktor dengan kerugian RM1.3 juta. Ketika disiasat, beliau akui tahu bawa ada kes penipuan seumpamanya, namun tidak terfikir mengenainya ketika menjadi mangsa," katanya, memaklumkan PDRM sedang meningkatkan program kesedaran mengenai penipuan.

Madhavan meminta orang ramai untuk tidak terpedaya jika menerima panggilan mendakwa daripada PDRM, bank, pejabat pos atau mana-mana agensi yang meminta maklumat peribadi atau sejumlah wang.

"Agensi seperti polis dan lain-lain hanya akan hubungi jika mahu tetapkan janji temu. Jika anda ragu dengan panggilan bank pula, tamatkan panggilan dan hubungi semula atau pergi terus ke bank berkenaan untuk pengesahan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai isu kehilangan wang dalam akaun, Madhavan menjelaskan kebanyakan kes yang disiasat PDRM mendapati ia berpunca daripada kecuaian pengguna yang mendedahkan maklumat peribadi, sama ada secara sedar atau tidak.

"Daripada pengalaman kami apabila menyiasat mangsa, kes kehilangan wang dalam akaun berlaku kerana kecuaian mangsa yang mendedahkan maklumat peribadi ketika dihubungi penipu atau kaedah lain-lain.

"Dulu ketika ada banyak kes sebegini, PDRM adakan pertemuan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan putuskan supaya bank perkenal fungsi keselamatan yang lebih terperinci dan jumlah kes sebegini menurun.

"Namun, masih ada yang berlaku. Bila disiasat, memang kita dapati mangsa ada dedahkan maklumat peribadi," katanya.

Sumber : Berita Harian

Khamis, Februari 24, 2022

Macau Scam kini menyamar jadi LHDN

 

Sindiket Macau Scam dikesan menggunakan taktik baharu dengan menyamar sebagai wakil daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memperdaya mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, pihaknya telah menerima dua laporan polis berhubung penipuan tuntutan LHDN palsu terbabit.

“Dua mangsa lelaki berusia 29 dan 36 tahun itu dipercayai menerima panggilan kononnya daripada seorang kakitangan LHDN mendakwa mangsa mempunyai masalah cukai tertunggak yang belum dijelaskan.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada polis(suspek) yang mana mangsa dimaklumkan bahawa nama mereka terlibat dalam kegiatan jenayah dadah.

“Mangsa diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi dan mengisi maklumat akaun bank peribadi ke dalam aplikasi tersebut sebelum menyedari pengurangan duit dalam akaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kedua-dua mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM19,300 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana telah membuat capaian tanpa kuasa yang sah terhadap akaun mangsa,” ujarnya.

Sumber dari Kosmo!

Selasa, November 02, 2021

Sindiket tipu tawaran kerja

 

Pasukan khas yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa kepada penahanan 168 individu yang disyaki terbabit sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian menerusi 19 operasi dari awal tahun ini hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata mereka membabitkan 38 wanita dan 118 lelaki tempatan, selain 11 warga China termasuk empat wanita dan seorang wanita Thailand ditahan di ibu negara, Johor, Pahang, Sabah dan Negeri Sembilan.

Pada masa sama, katanya, polis menerima 255 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM4.6 juta dari awal 2021 hingga Ogos lalu berkaitan kes sama.

"Sindiket itu menyasarkan mangsa dari negara jiran dengan gaji lumayan antara RM200 hingga RM300 sehari.

"Siasatan awal mendapati mereka menggunakan aplikasi WhatsApp dan laman sosial seperti Instagram dan Facebook bagi menawarkan kerja dengan mendakwa menjadi ejen syarikat membeli barangan di platform e-dagang.

"Mangsa diberi beberapa tugasan yang perlu diselesaikan dalam tempoh diberi dengan menghantar gambar produk dipilih kepada suspek sebelum diarah membuat pembayaran ke akaun diberikan.

"Bagi meyakinkan mangsa ia adalah pekerjaan sah, sindiket akan membayar semula harga barangan dibeli dengan tambahan komisen antara lima hingga lapan peratus," katanya pada sidang media di ibu pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, proses pembelian dan bayaran semula itu akan berulang, daripada produk murah sehingga barangan mahal.

Katanya, tugasan perlu diselesaikan mengikut masa diberi dan penalti dikenakan jika mangsa gagal manakala bayaran mereka tidak dipulangkan.

"Apabila mangsa enggan meneruskan tugasan dan menuntut wang kembali, suspek memberi alasan lain seperti dalam proses pemindahan dan memerlukan mereka membuat bayaran sebelum mereka menyedari ditipu," katanya.

Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 selain tindakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan tawaran kerja secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran yang nampak menarik tanpa memerlukan usaha keras kerana itu bukan caranya," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Isnin, Julai 19, 2021

Waspada penipuan iklan jawatan kosong Pos Malaysia

 

Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan panggilan telefon, pesanan teks atau e-mel berunsur penipuan termasuk iklan jawatan kosong palsu yang menggunakan nama Pos Malaysia.

Pos Malaysia dalam kenyataan hari ini, berkata penipuan menjadi semakin tersebar dengan tujuan memperdaya orang ramai dan mendapatkan maklumat seperti butiran kad kredit, kata laluan, maklumat akaun atau data peribadi lain.

"Kami menasihati orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat berkenaan dengan tidak membalas apa-apa permintaan melalui telefon atau khidmat pesanan teks (SMS/WhatsApp), e-mel atau kaedah lain. Paling penting, jangan klik pautan yang dihantar bersama mesej penipuan itu.

"Tidak berkongsi atau memasukkan maklumat sensitif di laman web/portal yang tidak dimiliki Pos Malaysia," kata kenyataan itu. 

Pos Malaysia berkata, wujud penipuan melalui e-mel dengan menggunakan nama dan logo Pos Malaysia tanpa kebenaran dan dihantar untuk menuntut pembayaran duti atau cukai Kastam untuk pelepasan bungkusan.

Katanya, e-mel seperti itu harus diabaikan atau dipadam dengan segera.

Selain itu, ia juga meminta orang ramai berwaspada dengan iklan jawatan kosong palsu yang menawarkan kerjaya di Pos Malaysia serta disaran mengesahkan maklumat dengan sumber yang sah.

Menurutnya kekosongan jawatan hanya diiklankan di laman web pekerjaan yang bereputasi dan sah seperti JobStreet atau di platform media sosial rasmi Pos Malaysia.

"Pos Malaysia sentiasa melindungi pelanggan dan komited dalam memastikan semua maklumat peribadi dan transaksi kekal dan terjamin," kata kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai keselamatan dalam talian, jenis penipuan dan saluran pelaporan dengan melayari https://www.pos.com.my/news-info/online-security-fraud-and-scams.html

Sumber : BERNAMA

 

Khamis, Julai 25, 2019

Waspada terhadap sindiket penipuan LHDNM


Orang ramai digesa berwaspada terhadap sindiket penipuan yang bergerak secara modus operandi berbeza mengugut orang ramai dengan menggunakan nama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di negara ini.

LHDN berkata, sindiket menggunakan resit rasmi pembayaran cukai pendapatan LHDNM yang dipalsukan dengan menggunakan aplikasi WhatsApp mengugut dan mengarahkan orang ramai untuk memindahkan sejumlah wang ke akaun bukan milik agensi tersebut serta dikenakan tindakan mahkamah sekiranya tidak mematuhi arahan.

“Sindiket juga menggunakan panggilan telefon menyamar sebagai pegawai LHDN dengan menyatakan mangsa mempunyai kes jenayah dan kemudiannya panggilan tersebut disambungkan dengan talian palsu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperdaya mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, LHDN menjelaskan, pihaknya tidak menggunakan sebarang aplikasi WhatsApp sebagai medium komunikasi rasmi dengan pembayaran cukai dan juga panggilan telefon menggunakan nama agensi awam tersebut.

Katanya, sebarang urusan berkaitan pematuhan cukai hanya dilakukan menerusi kaedah panggilan telefon, surat rasmi dan e-mel rasmi daripada Hasil ‘Care Line’ di talian 1-800-88-5436, Jabatan dan Cawangan LHDN.

Dalam pada itu, LHDN menasihati orang ramai terutama pembayar cukai yang telah terpedaya dengan teknik sindiket ini segera membuat laporan polis. - UTUSAN

Rabu, Mei 04, 2016

Penipuan Pelaburan Rumah Lelong



Polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan pelaburan hartanah membabitkan lelongan rumah yang menyebabkan kerugian kira-kira RM400,000, pada Jumaat lepas dan hari ini, Isnin.  

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor ACP Mah Khye Beng berkata lelaki berumur 34 tahun itu ditahan Jumaat lepas manakala isterinya, 36, yang dibebaskan selepas ditahan pada Rabu lepas, ditahan semula pada Isnin.  

"Pasangan itu ditahan di rumah mereka di Paloh dekat Kluang. Polis kini menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan terhadap pasangan berkenaan sebelum kedua-duanya dihadapkan ke mahkamah," katanya menerusi kenyataan.

Mah berkata pihaknya telah membuka enam kertas siasatan berkaitan kes penipuan pelaburan hartanah lelongan rumah itu yang melibatkan perniagaan didaftarkan atas nama Takzim Properties yang berpejabat di bandar raya Johor Bahru.  

Beliau berkata selain pihaknya, tiga kertas siasatan turut dibuka oleh kontinjen polis lain yang melibatkan pendaftaran perniagaan yang sama. 

"Modus operandi penipuan itu adalah memperdayakan mangsa untuk mengeluarkan modal pelaburan dan dijanjikan pulangan keuntungan berserta modal dalam urusan pembelian rumah yang hendak dilelong," katanya.  

Sehubungan itu, Mah menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan keuntungan dengan kadarsegera.  

Orang ramai katanya, dinasihatkan melakukan semakan dengan teliti sebelum membuat sebarang pelaburan manakala semua mangsa yang terlibat dikehendaki tampil membuat laporan polis di balai berhampiran. 

- Bernama

Recent Posts