Sabtu, Julai 17, 2021

Kerani rugi RM31,000 gara-gara kerja sambilan

 

Seorang kerani rugi RM31,000 apabila ditipu syarikat aplikasi pembelian dalam talian, yang menawarkan kerja sambilan sebagai ejen.

Wanita berusia 23 tahun itu tertarik dengan iklan kerja sambilan berkenaan, yang diiklankan melalui sebuah akaun Facebook selepas melayari laman sosial itu pada Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa menghubungi syarikat berkenaan dan membuka akaun melalui pautan yang diberikan.

Beliau berkata, mangsa mula menjalankan tugasnya seperti yang diminta iaitu untuk menaikkan rating barangan dalam aplikasi yang disediakan. 

"Mangsa dijanjikan komisyen dengan setiap tugas yang dilakukan itu.

"Bagi mendapatkan lebih banyak tugasan yang akan memberi komisyen atau upah lebih tinggi, mangsa menambah wang ke dalam akaun aplikasi itu," katanya melalui satu kenyataan media.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat bayaran berjumlah RM31,000 melalui lapan transaksi pindahan wang ke dua akaun bank atas nama individu berbeza.

"Mangsa mengesyaki yang dia ditipu apabila wang yang dimasukkan dalam aplikasi itu tidak dapat digunakan," katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab, kelmarin.

Sementara itu, dalam kes berasingan kelmarin, seorang jururawat kerugian RM1,500 selepas ditipu individu yang menyamar sebagai kakaknya.

Mohd Wazir berkata, mangsa menerima mesej daripada suspek, yang menyamar sebagai kakaknya, menggunakan nombor telefon yang tidak dikenali untuk meminjam wang sebanyak RM1,500.

"Bagi membantu `kakaknya' itu, mangsa memasukkan wang ke akaun sebuah bank atas nama orang lain pada hari yang sama.

"Mangsa kemudian menghubungi kakaknya dan terkejut apabila kakaknya menafikan perkara itu.

"Mangsa juga gagal menghubungi suspek selepas itu, malah suspek juga memadamkan semua mesej yang dihantar kepada mangsa," katanya sambil menambah mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts