Memaparkan catatan dengan label kerja tipu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kerja tipu. Papar semua catatan

Selasa, November 02, 2021

Sindiket tipu tawaran kerja

 

Pasukan khas yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa kepada penahanan 168 individu yang disyaki terbabit sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian menerusi 19 operasi dari awal tahun ini hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata mereka membabitkan 38 wanita dan 118 lelaki tempatan, selain 11 warga China termasuk empat wanita dan seorang wanita Thailand ditahan di ibu negara, Johor, Pahang, Sabah dan Negeri Sembilan.

Pada masa sama, katanya, polis menerima 255 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM4.6 juta dari awal 2021 hingga Ogos lalu berkaitan kes sama.

"Sindiket itu menyasarkan mangsa dari negara jiran dengan gaji lumayan antara RM200 hingga RM300 sehari.

"Siasatan awal mendapati mereka menggunakan aplikasi WhatsApp dan laman sosial seperti Instagram dan Facebook bagi menawarkan kerja dengan mendakwa menjadi ejen syarikat membeli barangan di platform e-dagang.

"Mangsa diberi beberapa tugasan yang perlu diselesaikan dalam tempoh diberi dengan menghantar gambar produk dipilih kepada suspek sebelum diarah membuat pembayaran ke akaun diberikan.

"Bagi meyakinkan mangsa ia adalah pekerjaan sah, sindiket akan membayar semula harga barangan dibeli dengan tambahan komisen antara lima hingga lapan peratus," katanya pada sidang media di ibu pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, proses pembelian dan bayaran semula itu akan berulang, daripada produk murah sehingga barangan mahal.

Katanya, tugasan perlu diselesaikan mengikut masa diberi dan penalti dikenakan jika mangsa gagal manakala bayaran mereka tidak dipulangkan.

"Apabila mangsa enggan meneruskan tugasan dan menuntut wang kembali, suspek memberi alasan lain seperti dalam proses pemindahan dan memerlukan mereka membuat bayaran sebelum mereka menyedari ditipu," katanya.

Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 selain tindakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan tawaran kerja secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran yang nampak menarik tanpa memerlukan usaha keras kerana itu bukan caranya," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Recent Posts