Khamis, Januari 13, 2022

Mati pucuk serang lelaki muda

 

Kekurangan hormon testosteron yang penting untuk fungsi seksual kebiasaannya dikaitkan dengan lelaki yang semakin menginjak usia, tetapi turut berlaku dalam kalangan lelaki muda.

Pakar Perunding Urologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kolonel Dr Ngoo Kay Seong, berkata kekurangan testosteron kepada lelaki muda boleh berlaku sekiranya mereka menghidap penyakit genetik seperti sindrom Kallman atau Klinefelter.

Bagi lelaki yang sihat katanya, paras hormon kebiasaannya akan mula menurun apabila usia memasuki lewat 30-an sehingga 80 tahun.  

"Namun, bagi lelaki muda boleh juga berlaku sekiranya mereka menghidap penyakit genetik tertentu atau penyakit membabitkan buah zakar atau testis atau penyakit dalam otak pada peringkat awal kehidupan.

"Ramai belum mengetahui mengenai fenomena kekurangan hormon testosteron ini termasuk dalam kalangan pengamal perubatan," katanya.

Fungsi seksual

Dr Kay Seong berkata, hormon testosteron bukan saja penting untuk fungsi seksual dan penghasilan sperma, malah ia diperlukan bagi pertumbuhan dan kematangan alat kelamin pada peringkat awal kelahiran seseorang lelaki.

"Hormon testosteron di paras optimum penting kepada lelaki mengikut peringkat umur.

"Ketika akil baligh, hormon ini bertanggungjawab ke atas ciri seksual sekunder lelaki seperti pertumbuhan rambut di badan, tumbesaran kemaluan dan pertukaran suara.

"Dalam kalangan lelaki dewasa, tahap hormon testosteron yang optimum penting untuk kesejahteraan hidup dan bagi membendung mereka daripada menghidap penyakit metabolik," katanya.

Kesan kurang hormon testosteron

Beliau berkata, gejala lazim yang menandakan lelaki mengalami kekurangan testosteron termasuk kurangnya dorongan seks atau libido serta kurangnya upaya untuk zakar mengeras secara spontan pada waktu pagi.

Hormon testosteron bertanggungjawab ke atas seluruh pengalaman atau proses seksual seseorang lelaki, justeru mati pucuk juga sebahagian sindrom kekurangan hormon itu.

Bagaimanapun pada masa sama, terdapat tanda bukan seksual yang boleh menjadi 'petunjuk' lelaki mengalami kekurangan hormon testosteron termasuk cepat berasa penat, kemurungan dan kurang motivasi serta daya tumpuan.

"Ia boleh disahkan melalui ujian darah hormon testosteron, di mana tahap total testosteron mereka akan disukat," katanya.

Kesan obes dan kencing manis

Ditanya sama ada kekurangan testosteron boleh menyebabkan penyakit lain, Dr Kay Seong berkata dalam kalangan pesakit kencing manis, 42 peratus daripadanya didapati mengalami masalah kekurangan hormon itu.

"Kekurangan hormon testosteron sememangnya dikaitkan dengan penyakit metabolik yang lain.

Malah masalah obesiti juga dikaitkan dengan fenomena ini.

"Penyakit kardiovaskular dan kolesterol juga dipengaruhi paras hormon testosteron. Setakat ini, kajian saintifik membuktikan kencing manis dan obesiti adalah penyakit utama yang berkait rapat dengan sindrom kekurangan testosteron," katanya.

Perlu kekalkan BMI

Dr Kay Seong berkata, gaya hidup yang tidak sihat akan menyebabkan paras hormon merundum dengan lebih ketara justeru penting untuk sentiasa mengekalkan indeks jisim badan (BMI) pada tahap yang normal.

Meskipun mengakui tiada makanan tertentu yang boleh membendung sindrom ini tetapi, pengekalan BMI normal akan membolehkan penyakit metabolik dielakkan, sekali gus menyebabkan sindrom kekurangan hormon tidak begitu ketara.

"Sekiranya sesuai, terapi gantian hormon oleh pakar urologi boleh dilakukan tetapi rawatan susulan berkala amat penting khasnya, pada tahun pertama rawatan.

"Rawatan itu sudah lama wujud dan lebih penting lagi ia boleh membantu seseorang lelaki kembali ke arah fungsi seksual dan kesejahteraan hidup yang normal terutamanya dalam kalangan mereka berusia 40 sehingga 60 tahun," katanya.

Rawatan terapi hormon

Terapi hormon juga membolehkan kawalan gula kencing manis bertambah baik di samping mengurangkan jisim lemak dalam badan.

"Selain itu, rawatan hormon ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang sudah mengalami masalah kencing manis dan penyakit metabolik lain untuk kembali ke tahap kawalan penyakit yang lebih teratur.

"Sekiranya diabaikan terlalu lama, penyakit kencing manis dan metabolik yang lain mungkin akan lebih buruk," katanya.

Info

• Testosteron hormon dihasilkan lelaki pada bahagian testis

• Merangsang penghasilan sperma, dorongan seksual lelaki

• Berperanan menghasilkan otot dan tulang

• 2 daripada 10 lelaki 60 tahun ke atas, kadar testosteron rendah

• 3 daripada 10 lelaki usia 70 ke atas, kadar testosteran rendah

• Bacaan normal testosteron, 300 - 1,000 nanogram per desiliter (ng/dl)

• Testosteron rendah dikesan ketika bacaan menurun di bawah 300 ng/dl.

Sumber : Berita Harian

Isnin, Januari 10, 2022

Penyewa boleh tukar nama akaun elektrik - TNB

 

Pemilik yang menyewakan premis kediaman dan komersial mereka mempunyai pilihan untuk membuat Pertukaran Nama Akaun (COT) ke atas nama penyewa dalam tempoh penyewaan bagi memastikan pengurusan akaun yang lebih teratur selain menjaga kepentingan pemilik premis.

Ketua Pegawai Retail Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata dengan penukaran nama pemilik akaun kepada penyewa, semua tanggungjawab penggunaan dan pembayaran bil elektrik adalah di bawah tanggungjawab penyewa.

"Pemilik premis masih boleh memantau penggunaan dan pembayaran bulanan penyewa dari semasa ke semasa melalui portal dan aplikasi myTNB.

"TNB memberi kemudahan untuk membuat COT melalui portal myTNB di www.mytnb.com.my atau dengan mengunjungi Kedai Tenaga yang berdekatan," katanya dalam kenyataan.

Mengenai aduan pemilik premis selaku pengguna berdaftar yang dibebani bil elektrik berikutan penemuan kesan pengusikan meter atau pepasangan TNB oleh penyewa pengusaha Bitcoin, Megat berkata cadangan langkah itu boleh mengurangkan risiko pemilik premis terpaksa menanggung hutang bil elektrik penyewa.

"Pada masa sama, kami sentiasa membuka ruang kepada pengguna untuk berjumpa bagi mendapatkan penerangan dan perbincangan lanjut," katanya.

Sumber :Berita Harian

Khamis, Januari 06, 2022

SPRM tarik balik video 'MC Boleh Menjadi Rasuah'

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan menarik balik video 'MC (Sijil Cuti Sakit) Boleh Menjadi Rasuah' yang menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sejak ia dimuat naik kelmarin.

SPRM melalui satu kenyataan hari ini, berkata bersandarkan kepada nilai kebertanggungjawaban dan kesepaduan pihaknya mengambil keputusan untuk menarik balik video berkenaan demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak.

Menurutnya, video yang diterbitkan itu bertujuan mendidik masyarakat serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah.

Katanya, dalam konteks video berkenaan, ia merujuk kepada isu pemberian MC palsu dan contoh itu berdasarkan situasi benar yang pernah disiasat oleh SPRM menerusi aduan diterima daripada pihak majikan serta orang awam kepada suruhanjaya ini.

"SPRM tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan dalam isu berkenaan.

"Suruhanjaya amat menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan daripada setiap pengamal perubatan di negara ini, khususnya ketika negara berdepan dengan penularan pandemik COVID -19," katanya.

Kenyataan SPRM itu merujuk kepada video pengumuman perkhidmatan awam (PSA) yang dimuat naik bertajuk 'MC Boleh Menjadi Rasuah' pada Selasa lalu.

Katanya, SPRM mengambil maklum mengenai respons yang diterima termasuk daripada pihak MMA.

MMA dalam kenyataannya semalam menyelar tindakan SPRM berikutan video itu sambil menggesa agensi penguatkuasaan itu menjaga reputasi sendiri dan membuat permohonan maaf terbuka.

MMA turut mendesak SPRM menurunkan segera klip video yang dianggap mencemarkan imej profesion perubatan.

 

 

 

Taktik terbaharu Macau Scam

 

 

Dua taktik baharu dikesan digunakan sindiket penipuan Macau Scam untuk menipu termasuk kononnya mangsa mendapat bantuan kerajaan.

Membongkarkan taktik terbaharu yang pertama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, mangsa akan menerima panggilan telefon daripada individu menyamar pegawai agensi penguat kuasa.

"Mangsa akan dimaklumkan bahawa akaun bank mereka sedang disiasat dan wang dibekukan atau hilang.

"Bagi mengelakkan perkara itu, mangsa diminta membuka akaun bank baharu dan mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon diberikan sindiket.

"Selepas mengikut arahan diberikan, mangsa mendapati wang dalam akaunnya berkurangan," katanya.

Keduanya, Mohd Kamarudin berkata, sindiket turut menghubungi mangsa dengan menyatakan mereka layak menerima insentif atau bantuan daripada kerajaan sebelum diminta menyerahkan maklumat peribadi dan kata laluan perbankan dalam talian.

Menurutnya, ia konon untuk memudahkan proses pembayaran bantuan berkenaan, namun selepas memberikan maklumat diminta mangsa mendapati wang dalam akaun berkurangan.

"Sebarang maklumat perbankan seperti ID, kata laluan dan nombor telefon adalah data amat penting serta sulit yang tidak boleh dikongsi kepada orang lain terutama individu tidak dikenali.

"Polis juga tidak pernah meminta maklumat sebegitu dalam menjalankan siasatan," katanya menyeru orang ramai sentiasa berwaspada dan peka dengan modus operandi digunakan penjenayah.

Untuk rekod, sejumlah 1,585 kes Macau Scam disiasat membabitkan kerugian RM560,885,377.14 manakala 9,646 individu ditahan sepanjang tahun lalu.

Orang ramai yang mempunyai kemusykilan mahupun nasihat berkaitan jenayah komersil supaya berhubung dengan pihaknya melalui CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/599.

 

 

 

Dua vaksin Comirnaty pelalian kanak-kanak, remaja

 

Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi dua produk vaksin Comirnaty untuk pelalian terhadap kanak-kanak dan remaja terhadap COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kelulusan pendaftaran bersyarat itu adalah untuk Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection dan Comirnaty(Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection.

Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection adalah vaksin Comirnaty yang diluluskan untuk imunisasi COVID-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Vaksin berkenaan mempunyai kekuatan yang lebih rendah berbanding vaksin Comirnaty yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas. 

"Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection pula vaksin Comirnty dengan formulasi baharu yang tidak memerlukan pencairan sebelum disuntik dan mempunyai tempoh jangka hayat yang lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding formulasi sedia ada (sebulan) apabila disimpan pada suhu 2 ºC hingga 8 ºC selepas dinyahbeku.

"Indikasi Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection ini adalah untuk imunisasi COVID-19 kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas," katanya

Dr Noor Hisham berkata, pemegang pendaftaran bagi kedua-dua vaksin Comirnaty itu adalah Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd dan dikilangkan oleh BioNTech Manufacturing GmbH, Jerman.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, PBKD juga memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin Convidecia® Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) Solution for Injection sebagai dos penggalak kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas dengan sela masa tiga hingga enam bulan selepas menerima dos pertama daripada vaksin yang sama.

Beliau berkata, pemegang pendaftaran bagi vaksin itu ialah Solution Biologics Sdn Bhd dan ia dikilangkan oleh CanSino Biologics Inc, China.

"Kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin itu dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin-vaksin itu kekal positif," katanya.

Sumber dari Berita Harian

 

 

Rabu, Januari 05, 2022

IHU varian terbaharu COVID-19

 

Saintis di Perancis mengenal pasti varian baharu COVID-19 yang dikatakan mempunyai 46 mutasi, ketika dunia sedang bergelut melawan varian, Omicron.

Portal Independent melaporkan, varian baharu itu dinamakan IHU, iaitu B.1.640.2 setakat ini menjangkiti 12 orang di tenggara Perancis.

Kes pertama dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai sejarah perjalanan ke Cameroon, Afrika Barat, kata penyelidik dalam kertas yang diterbitkan di medRxiv.

Bagaimanapun, pakar segera mengumumkan hanya kerana varian baharu ditemukan, itu tidak bermakna IHU akan terbukti menular seperti strain lain, termasuk Omicron.

Dalam analisis, penulis laporan itu menemui 46 mutasi yang tidak dikesan di negara lain, atau melabelkan varian yang sedang disiasat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Genom diperoleh dengan penjujukan generasi akan datang.

Penulis laporan mendakwa orang yang dikenal pasti dengan varian IHU sudah divaksin sepenuhnya.

Individu terbabit diuji positif untuk COVID-19 selepas pulang dari perjalanan tiga hari, di Cameroon.

Penulis kertas penyelidikan itu berkata "pengesanan seterusnya... tiga mutasi dalam gen spike (pepaku) untuk menyaring varian... tidak sepadan dengan corak varian Delta yang terbabit dalam hampir semua jangkitan SARS-CoV-2 pada masa itu," katanya.

Dengan alasan kemunculan varian baharu itu menekankan kepentingan 'pengawasan genomik', pengarang berkata, pemerhatian mereka sekali lagi menunjukkan 'tidak dapat diramalkan kemunculan varian baharu SARS-CoV-2'.

Dalam rangkaian Twitter yang panjang, ahli epidemiologi dan rakan di Persekutuan Saintis Amerika, Eric Feigl-Ding berkata, varian baharu itu sedang dipantau untuk menilai sejauh mana ia boleh berjangkit atau berbahaya.

"Terdapat banyak varian baharu ditemui sepanjang masa, tetapi ia tidak semestinya menjadi lebih berbahaya.

"Apa yang menjadikan varian lebih terkenal dan berbahaya ialah keupayaannya untuk membiak kerana bilangan mutasi yang dimilikinya berhubung dengan virus asal," katanya.

Sumber dari AGENSI

 

 

Biodata Heliza Helmi


Biodata Heliza Helmi

Nama penuh: Nur Heliza binti Helmi

Tarikh lahir: 3 Februari 1986

Umur: 34 tahun

Tempat lahir: Kuala Terengganu, Terengganu

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains, Biologi & Kimia

Pusat pendidikan: Universiti Malaysia Sabah

Pekerjaan: Penyanyi, model, pengacara TV, pakar motivasi, aktivis kemanusiaan, pelakon

Tahun aktif: 2007-kini

Saudara: Hazwani Helmi (adik)

Genre: Pop, keagamaan

Instrumen: Vokal

Media sosial: Instagram @nurhelizahelmi


Fakta Menarik


1. Anak kepada Helmi bin Haji Mohd Hasbi yang merupakan anggota polis dari Kuala Kangsar, Perak. Manakala ibunya, Latifah binti Muhammad berasal dari Terengganu.

2. Mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu, Terengganu, diikuti Teacher Methodist Girls School, Taiping, Perak sebelum ke SM Convent st. Ursula Tawau, Sabah dan Labuan Matriculation College.

3. Sewaktu di sekolah, beliau pernah menjadi peserta simpanan pertandingan pidato peringkat negeri dan kebangsaan berbekalkan kebolehannya bertutur dengan petah.

4. Meneruskan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains, Biologi Dan Kimia di Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah

5. Mula melibatkan diri dari dunia hiburan sejak tahun 2007.

6. Bakat seninya disalurkan sebagai penyanyi, model, pelakon, pengacara televisyen. Juga aktif sebagai penceramah, pakar motivasi dan aktivis kemanusiaan.

7. Bekas finalis akhir Akedemi Fantasia musim kelima.

8. Pernah membintangi filem Syurga Cinta, juga drama Doa Ibu dan Warkah Cinta. Termasuk telemovie Cinta Kun Fayakun.

9. Menghoskan rancangan televisyen Man Jadda Wajada, Sinar itu Hadir Jua, Rasa Halal Antarabangsa, SIS dan SIS Istimewa Raya.

10. Mempunyai masalah penglihatan sekiranya tidak menggunakan cermin mata atau kanta lekap.
 

 

 

Sabtu, Januari 01, 2022

Pendaftaran baharu dan kemas kini BKM dari 1 hingga 31 Januari 2022

 

Tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dibuka mulai hari ini hingga 31 Januari, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata ia bertujuan memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing-masing dan penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat juga berpeluang membuat pengemaskinian.

"BKM pada 2022 akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata data penerima BPR 2021, penerima Bantuan Khas COVID (BKC) B40 2021 dan pemohon BPR 2021 yang tidak lulus atas alasan menerima Geran Khas Prihatin akan dibawa secara automatik ke dalam sistem BKM untuk disemak silang kelayakan mengikut syarat yang ditetapkan.

Selain itu, data agensi kerajaan lain merangkumi data e-Kasih, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penghuni Perumahan Awam atau Projek Perumahan Rakyat di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan turut dibawa ke dalam sistem BKM.

Turut akan disemak, kelayakan data Orang Asli Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), gelandangan berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan DBKL, ibu tunggal berdaftar dengan KPWKM, penerima Skim Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan penerima zakat atau Baitulmal di Lembah Klang.

Pemohon BKM boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik dalam portal rasmi BKM https://bkm.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.  



 

Kaitan diabetes dengan kegagalan jantung

 

Seorang daripada lima individu atau 3.9 juta orang berusia 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap kencing manis jenis dua (T2DM).

Prevalen ini meningkat kepada 20.8 peratus golongan dewasa berumur 30 tahun ke atas, sekali gus menjejaskan 2.8 juta individu berikutan komplikasi itu termasuk penyakit jantung namun, sering dipandang ringan.

Kajian mendapati pesakit diabetes tahap dua adalah dua hingga empat kali lebih berkemungkinan untuk mengalami kegagalan jantung berbanding seseorang tanpa diabetes.

Di Malaysia, paras glukosa darah yang meningkat menyumbang 10 hingga 11 peratus risiko kegagalan jantung.

Gula dalam darah yang tinggi meningkatkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak sembilan hingga 15 peratus untuk kegagalan jantung atau punca penyakit kardiovaskular.

Menurut jurnal Jantung Eropah, faktor glukosa darah dan kematian, kemasukan ke hospital dan risiko diabetes pada masa depan pada pesakit dengan sindrom kegagalan jantung akut. 

Pengarah Klinikal, Kegagalan Jantung dan Pemindahan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi, berkata lazimnya kegagalan jantung adalah keadaan di mana ia tidak dapat mengepam darah dengan mencukupi ke seluruh badan.

"Keletihan, sesak nafas, batuk atau berdehit (bernafas termengah-mengah) secara berterusan, edema, atau peningkatan kadar denyutan jantung adalah antara beberapa simptom kegagalan jantung.

"Bagaimanapun, terdapat pelbagai jenis kegagalan jantung antaranya, kegagalan jantung sebelah kiri. Kegagalan jantung sebelah kiri boleh dikelaskan kepada dua jenis," katanya.

Katanya, jenis yang pertama adalah jantung menjadi lemah atau (Heart Failure Reduce Ejection Fraction (HFrEF) adalah disebabkan ventrikel kiri tidak mengecut dengan berkesan di samping darah kurang dipam keluar ke badan berbanding jantung yang berfungsi normal.

"Jenis kedua, otot jantung menjadi keras atau Heart Failure with Preserve Ejection Fraction (HFpEF) terjadi apabila jantung mengecut secara normal tetapi ventrikel kiri tidak dapat mengendur dan mengisi darah dengan betul semasa pengisian ventrikel," katanya.

Punca kegagalan jantung

Menurut beliau, punca serta faktor yang membawa kepada kegagalan jantung adalah termasuk penyakit jantung iskemik, diabetes, tekanan darah tinggi serta keadaan atau penyakit jantung lain seperti aritmia, kardiomiopati, kecacatan jantung kongenital atau penyakit injap jantung.

"Selain itu, faktor lain yang boleh mencederakan otot jantung adalah penyalahgunaan alkohol atau dadah, HIV/AIDS, gangguan tiroid, terlalu banyak vitamin E dan rawatan untuk kanser seperti radiasi dan kemoterapi.

"Faktor penuaan dan berat badan berlebihan juga meningkatkan risiko penyakit jantung dan diabetes tahap dua yang boleh menyebabkan kegagalan jantung," katanya.

Jelasnya, individu dewasa berusia 65 tahun ke atas mempunyai risiko kegagalan jantung lebih tinggi disebabkan penuaan dan keadaan kesihatan lain.

"Bagaimanapun, kegagalan jantung adalah biasa pada lelaki dan wanita, walaupun lelaki sering mengalami masalah ini pada usia lebih muda daripada wanita.

"Ini kerana wanita lebih kerap menghidapi HFpEF dan lelaki lebih berkemungkinan menghidapi HFrEF," katanya.

Kaedah rawatan

Katanya, kaedah rawatannya adalah bergantung kepada jenis dan tahap keterukannya. Secara umumnya, rawatan biasanya termasuk perubahan gaya hidup yang mengutamakan kesihatan jantung, ubat-ubatan dan penjagaan berterusan.

"Ini kerana sebelum percubaan klinikal EMPEROR-Preserved, tiada rawatan farmakologi khusus ditunjukkan untuk mengurangkan kematian dan morbiditi dalam pesakit HFpEF. Namun demikian, beberapa kajian sedang dijalankan," katanya.

Dr Azmee berkata, kira-kira 6.7 peratus rakyat Malaysia hidup dengan kegagalan jantung menjadi penyebab penting kemasukan ke hospital iaitu menyumbang kira-kira enam hingga 10 peratus daripada semua kemasukan perubatan akut serta mempengaruhi kemasukan semula hospital di negara ini.

Sementara itu, penyakit jantung iskemik kekal menjadi penyebab utama iaitu 48 peratus kematian di Malaysia dalam tempoh lima tahun lalu berbanding kebanyakan kanser lain seperti kanser kolorektal (35.5 peratus), limfoma bukan Hodgkin (29.6 peratus) dan kanser payudara (10 peratus).

Info: Gejala kegagalan jantung

• Sesak nafas

• Batuk atau berdehit (termengah-mengah), terutama apabila bersenam atau berbaring

• Kepenatan

• Bengkak di kaki

• Naik berat badan

Sebab kegagalan jantung

• Serangan jantung

• Penyempitan saluran darah di jantung yang dikenali sebagai penyakit arteri koronari

• Tekanan darah tinggi

• Kencing manis

• Penyakit injap jantung

• Masalah tiroid

• Ritma jantung tidak normal

• Minuman beralkohol

 

 Sumber dari Berita Harian


Umrah ditangguhkan sementara berkuat kuasa 8 Januari

 

Kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini berikutan penularan jangkitan Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan keputusan itu berkata larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Katanya, tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa, hari ini.

"Jemaah umrah pula perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel tertentu seperti dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bermula 3 Januari (Isnin ini).

"Bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci hari ini hingga 7 Januari depan, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, namun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel seperti dikenal pasti oleh NADMA apabila tiba di Malaysia.

"Hasil mesyuarat sudah mendapat persetujuan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri). Penilaian risiko situasi COVID-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

"Penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19," katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Susulan keputusan penangguhan umrah, Khairy berharap ia berupaya memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah, sebelum ibadat berkenaan dibenarkan semula.

Bagi jemaah yang bakal pulang ke tanah air, beliau berkata beberapa perkara perlu dipatuhi, merangkumi arahan ujian saringan sebelum pelepasan dan ketika ketibaan di Malaysia.

"Jemaah perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dua hari sebelum tarikh berlepas dan ujian RT-PCR pada hari ketibaan.

"Menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian selama tujuh hari di stesen kuarantin dan sekiranya bergejala, perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen kendiri.

"Mereka kemudian dikehendaki melakukan ujian RT-PCR pada hari kelima dan jemaah umrah hanya akan diberi pelepasan perintah pengawasan dan pemantauan pada hari kelapan, sekiranya tiada pelanjutan kuarantin serta keputusan ujian RT-PCR pada hari kelima adalah negatif COVID-19," katanya.

Menyentuh perincian mengenai kos kuarantin, Khairy berkata jemaah umrah akan diberikan pilihan sama ada ingin ditempatkan di hotel sekiranya bersedia untuk menanggung bayaran sepenuhnya atau memilih kemudahan kerajaan untuk yang kurang berkemampuan.

Jelasnya, NADMA akan mengenal pasti stesen kuarantin yang selesa untuk menempatkan jemaah umrah dalam tempoh dua hari ini.

"Kita sedang berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) mengenai bagaimana untuk uruskan mereka yang terkesan ini (dengan arahan penangguhan umrah).

"Antara pertimbangan yang diutarakan adalah menjadualkan semula penerbangan mereka atau memulangkan wang jemaah, dan ini sedang dilakukan dalam kalangan agensi pelancongan berkaitan.

"Justeru, saya minta sangat kepada mereka yang ingin mengerjakan umrah untuk tangguhkan buat sementara waktu kerana mudarat lebih besar terhadap aspek kesihatan awam," katanya. 

Sumber dari Berita Harian

 

 

 

 

Heliza Helmi nikah Datuk Seri

 

Penyanyi yang juga aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi selamat mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan dan jutawan bergelar Datuk Seri.

Berita mengenai perkahwinan tersebut didedahkan seorang pendakwah terkenal, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim dalam laman Instagramnya sebentar tadi bersama sekeping foto mempelai.

“Tahniah kedua adinda saya Mahadi dan Heliza Helmi kerana hari ini kalian telah disatukan dengan izin Allah.

“Syukur kepada Allah setelah sekian lama saya menyimpan rahsia kalian. Maaf tak dapat hadir hari ini kerana berada di luar kawasan. Esok kita jumpa ya,” tulis Mohd. Izhar pada ruangan kapsyen.

Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut dan netizen mendoakan kebahagiaan pasangan tersebut dan tidak kurang juga yang seakan-akan tidak percaya.

“Betul ke ni. Tak sangka. Apapun alhamdulillah dah bertemu jodoh. Moga kekal bahagia hingga ke jannah.

“Alhamdulilah, tahniah Datuk Seri Mahadi dan Datin Seri Heliza. Moga kekal hingga ke syurga,” tulis netizen.

Sementara itu, Fizz dari BenSignatures Event Wedding Planner yang bertindak sebagai perunding perkahwinan Heliza turut mengesahkan perkara tersebut.

Katanya, pasangan sama cantik sama padan itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada pukul 11.11 pagi tadi yang dilangsungkan di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya.

Dalam majlis tertutup tersebut, Heliza menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin dan senaskhah al-Quran daripada suaminya bernama Mahadi Badrul Zaman.

“Butiran selanjutnya juga belum berjaya diperolehi kerana mereka masih diraikan di atas pelamin. Heliza ada maklumkan butiran lain dan akan diberitahu kemudian,” katanya.

Tambah Fizz, usai nikah, pasangan itu diraikan bersama ahli keluarga dan kenalan terdekat di Lanai Asmara juga di Putrajaya dan malam esok pasangan itu akan diraikan di sebuah hotel terkemuka.

Dalam pada itu, pelakon yang juga rakan baik Heliza iaitu Yatt Hamzah turut berkongsi khabar gembira mengenai pernikahan sahabat baiknya itu menerusi satu hantaran video dalam Instagram.

“Satu lagi pembuka tirai 2022. Masya-Allah Ija (Heliza). Tahniah sahabatku sayang. Alhamdulillah kami tumpang bahagia,” tulisnya.

Usaha Kosmo Online! untuk mendapatkan pengesahan daripada mulut Heliza sendiri mengenai pernikahannya bagaimanapun masih belum berhasil. 

Sumber dari Kosmo!

Recent Posts