Memaparkan catatan dengan label jantung. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jantung. Papar semua catatan

Jumaat, November 03, 2023

Empat jenis rawatan untuk jantung sihat

 


JANTUNG umpama enjin kepada tubuh dengan sebanyak 100,000 degupan dalam sehari bagi memastikan nutrisi dan oksigen dibekalkan ke seluruh badan.

Justeru, kesihatan jantung harus dijaga dengan baik agar badan dapat berfungsi pada kadar optimum.

Namun, penyakit injap jantung atau valvular heart disease (VHD) berlaku apabila injap jantung gagal berfungsi dengan baik.

Kegagalan ini boleh berlaku akibat kesempitan injap atau kebocoran injap.

Pada peringkat awal penyakit, kebanyakan pesakit tidak mengalami apa-apa simptom kecuali bunyi jantung tidak normal, hanya dikesan ketika pemeriksaan doktor dengan menggunakan stetoskop.

Manakala Aortic Stenosis (AS) ialah keadaan di mana injap aorta terletak di antara bilik besar kiri jantung dan salur darah utama menjadi sempit lalu tidak dapat buka sepenuhnya.

Situasi itu menyebabkan kekurangan isi padu darah dipam keluar dari ventrikel kiri. Akibatnya, kurang oksigen dapat dibekalkan kepada tubuh setiap kali jantung berdegup.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Dalaman Dan Pakar Kardiologi Klinikal, UiTM Private Specialist Center (UPSC), Dr Huzairi Sani, pada peringkat awal, kebanyakan pesakit tidak mengalami apa-apa simptom dan boleh menjalankan aktiviti seharian seperti biasa.

Namun, katanya, apabila pembukaan injap menjadi lebih sempit dengan peredaran masa, pesakit mungkin akan mengalami tiga simptom utama iaitu sakit dada, sesak nafas dan pengsan.

Simptom kegagalan jantung

Beliau berkata, simptom sesak nafas berkait dengan kegagalan jantung, iaitu pesakit tidak dapat melakukan aktiviti seharian akibat rasa penat, selain simptom seperti kaki bengkak, susah bernafas ketika terlentang serta susah tidur malam.

 

"Risiko menghidapi Aortic Stenosis kebanyakannya membabitkan warga emas.

"Selain faktor usia, masalah struktur injap seperti bicuspid aortic valve, masalah buah pinggang, tekanan darah tinggi, paras kolesterol darah yang tinggi, kencing manis, sejarah jangkitan kuman pada injap serta rawatan radiasi pada bahagian dada turut menyumbang kepada Aortic Stenosis.

"Jika dibiarkan tanpa rawatan, penghidap Aortic Stenosis boleh mengalami komplikasi seperti kegagalan jantung, strok, degupan jantung tidak sekata, jangkitan kuman pada injap jantung dan kematian," katanya.

Kadar komplikasi bergantung kepada tahap keparahan simptom semasa diagnosis. Jika pesakit mengalami keparahan yang tinggi, iaitu ketiga-tiga simptom sakit dada, kegagalan jantung dan pengsan ialah positif; kadar kematian boleh mencecah 50 peratus pada tahun kedua.

Justeru, pemeriksaan susulan amat penting bagi memastikan rawatan penyakit.

 

4 jenis rawatan Aortic Stenosis

 

Justeru, Dr Huzairi berkata, ada empat jenis rawatan utama untuk Aortic Stenosis, iaitu ubat-ubatan, prosedur Transcatheter Aortic Valve Implantation (TAVI), penggantian injap secara pembedahan dan rawatan paliatif.

Ubat-ubatan

Bagaimanapun, kesan ubat-ubatan terhad kepada pengurangan simptom dan pengawalan risiko menyumbang kepada sakit itu. Jadi rawatan invasif sering diberikan kepada pesakit.

 

Keparahan Aortic Stenosis bergantung kepada tahap kesempitan injap aorta, iaitu lebih sempit injap lebih parah keadaan pesakit.

Kesempitan injap jantung boleh dinilai melalui pemeriksaan ultrasound dipanggil echocardiogram, dengan mengukur saiz pembukaan injap dan tekanan darah melalui injap itu.

Penemuan pada echocardiogram tidak semestinya berkadar terus dengan simptom dialami pesakit.

Penilaian rapi pakar jantung amat penting agar rawatan terbaik kepada pesakit.

TAVI adalah rawatan invasif tanpa pembedahan

Kaedah ini digunakan untuk mengganti injap aorta yang sempit dengan injap baharu. Ia menjadi pilihan rawatan terbaik bagi penghidap Aortic Stenosis di Malaysia sehingga kini.

Menerusi prosedur TAVI, injap prostetik dimasukkan melalui saluran darah bahagian peha dan penggantian injap dilakukan antara satu atau dua jam bawah bius setempat atau bius penuh.

Dengan saiz luka kecil, tahap kesakitan kurang dan kadar sembuh cepat, pesakit boleh pulang ke rumah sehari atau dua hari selepas prosedur.

 

Penggantian injap secara pembedahan

Ia pilihan rawatan invasif Aortic Stenosis wujud sebelum TAVI. Namun, risiko komplikasi lebih tinggi dan fasa pemulihan lebih lama.

Antara faktor lain turut diambil kira sebelum pesakit menjalani pembedahan ialah umur, berat badan, fungsi buah pinggang, status kekuatan jantung dan risiko strok.

 

Untuk mana-mana rawatan invasif sama ada TAVI atau pembedahan, perbincangan antara doktor, pesakit dan ahli keluarga amat penting untuk memastikan semua memahami antaranya risiko, kebaikan dan kekurangan prosedur, penjagaan pesakit pasca prosedur, dan keadaan dijangka berlaku semasa fasa pemulihan serta dilakukan holistik.

 

Rawatan paliatif

Fokus rawatan paliatif ialah untuk meringankan penderitaan simptom, memastikan keselesaan pesakit, mengawal tekanan emosi, sosial dan rohani pesakit serta keluarga.

Rancangan penjagaan terminal turut dibincangkan dengan mengambil kira kehendak, kebimbangan serta matlamat peribadi pesakit dan ahli keluarga.

 

Justeru, Dr Huzairi menegaskan Aortic Stenosis atau kesempitan injap aorta adalah penyakit serius yang mampu dipulihkan, selain lakukan pemeriksaan berkala agar dapat dirujuk kepada pakar jantung untuk rawatan lebih efektif bagi memastikan jantung sihat.

Sumber : Berita Harian

Sabtu, Januari 01, 2022

Kaitan diabetes dengan kegagalan jantung

 

Seorang daripada lima individu atau 3.9 juta orang berusia 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap kencing manis jenis dua (T2DM).

Prevalen ini meningkat kepada 20.8 peratus golongan dewasa berumur 30 tahun ke atas, sekali gus menjejaskan 2.8 juta individu berikutan komplikasi itu termasuk penyakit jantung namun, sering dipandang ringan.

Kajian mendapati pesakit diabetes tahap dua adalah dua hingga empat kali lebih berkemungkinan untuk mengalami kegagalan jantung berbanding seseorang tanpa diabetes.

Di Malaysia, paras glukosa darah yang meningkat menyumbang 10 hingga 11 peratus risiko kegagalan jantung.

Gula dalam darah yang tinggi meningkatkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak sembilan hingga 15 peratus untuk kegagalan jantung atau punca penyakit kardiovaskular.

Menurut jurnal Jantung Eropah, faktor glukosa darah dan kematian, kemasukan ke hospital dan risiko diabetes pada masa depan pada pesakit dengan sindrom kegagalan jantung akut. 

Pengarah Klinikal, Kegagalan Jantung dan Pemindahan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi, berkata lazimnya kegagalan jantung adalah keadaan di mana ia tidak dapat mengepam darah dengan mencukupi ke seluruh badan.

"Keletihan, sesak nafas, batuk atau berdehit (bernafas termengah-mengah) secara berterusan, edema, atau peningkatan kadar denyutan jantung adalah antara beberapa simptom kegagalan jantung.

"Bagaimanapun, terdapat pelbagai jenis kegagalan jantung antaranya, kegagalan jantung sebelah kiri. Kegagalan jantung sebelah kiri boleh dikelaskan kepada dua jenis," katanya.

Katanya, jenis yang pertama adalah jantung menjadi lemah atau (Heart Failure Reduce Ejection Fraction (HFrEF) adalah disebabkan ventrikel kiri tidak mengecut dengan berkesan di samping darah kurang dipam keluar ke badan berbanding jantung yang berfungsi normal.

"Jenis kedua, otot jantung menjadi keras atau Heart Failure with Preserve Ejection Fraction (HFpEF) terjadi apabila jantung mengecut secara normal tetapi ventrikel kiri tidak dapat mengendur dan mengisi darah dengan betul semasa pengisian ventrikel," katanya.

Punca kegagalan jantung

Menurut beliau, punca serta faktor yang membawa kepada kegagalan jantung adalah termasuk penyakit jantung iskemik, diabetes, tekanan darah tinggi serta keadaan atau penyakit jantung lain seperti aritmia, kardiomiopati, kecacatan jantung kongenital atau penyakit injap jantung.

"Selain itu, faktor lain yang boleh mencederakan otot jantung adalah penyalahgunaan alkohol atau dadah, HIV/AIDS, gangguan tiroid, terlalu banyak vitamin E dan rawatan untuk kanser seperti radiasi dan kemoterapi.

"Faktor penuaan dan berat badan berlebihan juga meningkatkan risiko penyakit jantung dan diabetes tahap dua yang boleh menyebabkan kegagalan jantung," katanya.

Jelasnya, individu dewasa berusia 65 tahun ke atas mempunyai risiko kegagalan jantung lebih tinggi disebabkan penuaan dan keadaan kesihatan lain.

"Bagaimanapun, kegagalan jantung adalah biasa pada lelaki dan wanita, walaupun lelaki sering mengalami masalah ini pada usia lebih muda daripada wanita.

"Ini kerana wanita lebih kerap menghidapi HFpEF dan lelaki lebih berkemungkinan menghidapi HFrEF," katanya.

Kaedah rawatan

Katanya, kaedah rawatannya adalah bergantung kepada jenis dan tahap keterukannya. Secara umumnya, rawatan biasanya termasuk perubahan gaya hidup yang mengutamakan kesihatan jantung, ubat-ubatan dan penjagaan berterusan.

"Ini kerana sebelum percubaan klinikal EMPEROR-Preserved, tiada rawatan farmakologi khusus ditunjukkan untuk mengurangkan kematian dan morbiditi dalam pesakit HFpEF. Namun demikian, beberapa kajian sedang dijalankan," katanya.

Dr Azmee berkata, kira-kira 6.7 peratus rakyat Malaysia hidup dengan kegagalan jantung menjadi penyebab penting kemasukan ke hospital iaitu menyumbang kira-kira enam hingga 10 peratus daripada semua kemasukan perubatan akut serta mempengaruhi kemasukan semula hospital di negara ini.

Sementara itu, penyakit jantung iskemik kekal menjadi penyebab utama iaitu 48 peratus kematian di Malaysia dalam tempoh lima tahun lalu berbanding kebanyakan kanser lain seperti kanser kolorektal (35.5 peratus), limfoma bukan Hodgkin (29.6 peratus) dan kanser payudara (10 peratus).

Info: Gejala kegagalan jantung

• Sesak nafas

• Batuk atau berdehit (termengah-mengah), terutama apabila bersenam atau berbaring

• Kepenatan

• Bengkak di kaki

• Naik berat badan

Sebab kegagalan jantung

• Serangan jantung

• Penyempitan saluran darah di jantung yang dikenali sebagai penyakit arteri koronari

• Tekanan darah tinggi

• Kencing manis

• Penyakit injap jantung

• Masalah tiroid

• Ritma jantung tidak normal

• Minuman beralkohol

 

 Sumber dari Berita Harian


Ahad, Oktober 04, 2020

Senaman ubat terbaik jaga jantung dan otak

 

Dua organ paling penting dalam badan manusia adalah jantung dan otot. Kedua-duanya mempunyai fungsi tersendiri untuk meningkatkan sistem kesihatan individu.

Bagi memastikan kedua-dua organ berkenaan sentiasa berada pada tahap yang baik, individu perlu menjaga dan mengamalkan gaya hidup sihat termasuk senaman.

Doktor Pelatih Pakar Rehabilitasi dan Pemulihan, Dr Shaiful Aizad Shafie, berkata mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),

di negara kaya individu yang tidak aktif sebanyak 26 peratus lelaki dan wanita 35 peratus.

Data WHO menunjukkan juga 81 peratus remaja berusia antara 11 hingga 17 tahun tidak menjalani kehidupan aktif.

Menurut kajian Australian Institute of Health and Welfare (AIHW) pada 2017, mendapati kehidupan tidak aktif meningkatkan risiko tujuh jenis penyakit, iaitu peningkatan 19 peratus risiko penyakit diabetes (kencing manis), 16 peratus kanser usus, 16 peratus risiko kanser rahim, 14 peratus risiko nyanyuk (dementia), 11 peratus penyakit jantung dan 10 peratus strok (angin ahmar).

Kebaikan senaman

Berdasarkan statistik itu, WHO menyarankan orang dewasa berusia 18 tahun ke atas perlu bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu dengan intensiti sederhana atau 75 minit seminggu dengan intensiti berat.

"Kadar 30 minit senaman sederhana intensiti seperti berjalan pantas atau berbasikal untuk lima hari seminggu atau senaman intensiti berat seperti berlari atau senaman interval tiga kali seminggu," katanya.

Jika ada masa bersenam dua kali seminggu untuk menguatkan otot seperti seperti tekan tubi, senaman mencangkung dan sebagainya.

Beliau berkata, senaman intensiti sederhana dan intensiti berat terbukti memberi kesan positif kepada jantung. Ia dapat melancarkan peredaran darah daripada jantung ke seluruh badan, mengurangkan tekanan darah dan menguatkan otot jantung.

Kajian mendapati, senaman mengurangkan 21 peratus risiko dapat penyakit jantung bagi lelaki dan wanita (29 peratus), selain mengurangkan kadar kematian (25 peratus).

Senaman terbukti menghasilkan pelbagai hormon baik untuk kesihatan. Antaranya, hormon endorphin dikaitkan dengan perasaan gembira.

Endorphin adalah hormon semula jadi daripada badan yang mempunyai struktur yang sama dengan ubat penahan sakit, Morphine.

Endorphin semula jadi dirembeskan oleh badan melalui senaman boleh mencegah kemurungan, selain ada beberapa kajian melaporkan ia dapat meningkatkan hormon serotonin dan dopamin, iaitu hormon mengawal perasaan gembira.

Senaman untuk kesihatan otot

Bagi kesihatan otak, kajian pada 2011 mendapati, senaman dapat mengurangkan penyakit strok, iaitu sebanyak 27 peratus, manakala pengurangan 15 peratus risiko individu yang hanya bersenam sekali atau dua kali seminggu.

Senaman dapat meningkatkan keberkesanan hormon insulin pada otot, mengurangkan diabetes jenis kedua disebabkan peningkatan resistan badan terhadap insulin.

Cadangan senaman

Dr Shaiful Aizad berkata, senaman baik adalah senaman yang dapat meningkatkan kadar degupan jantung.

Bagi individu dewasa sihat, senaman dengan intensiti sederhana diukur dengan peningkatan kadar degupan jantung ke 130 hingga 140 degupan seminit, manakala bagi senaman berintensiti tinggi dikira sekiranya kadar degupan jantung melebihi 140 degupan seminit.

Degupan jantung ini boleh dikira secara automatik menggunakan jam secara manual dengan merasai degupan nadi di pergelangan tangan.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan senaman, mungkin lari anak sahaja dapat meningkatkan degupan jantung.

Pilihan senaman

Anda boleh mulakan senaman ringan terlebih dahulu seperti berjalan atau berbasikal.

"Sekiranya keadaan badan sudah menjadi biasa dengan tahap senaman, anda boleh meningkatkan tahap intensiti senaman dengan berlari, joging, berenang dan sebagainya.

"Jadikan senaman sebagai rutin mingguan bersama rakan dan keluarga juga terbukti dapat meningkatkan motivasi untuk kekal bertahan lama," katanya.

Pada peringkat awal, mungkin rasa sedikit mencabar dan akan rasa sakit pada otot selepas senaman. Ini adalah normal. Otot manusia perlu untuk dikondisi bagi menghadapi sesuatu tekanan.

Ketika senaman, otot menggunakan oksigen dan menghasilkan laktik asid sebagai bahan kumbah. Laktik asid ini kemudiannya dikitar semula oleh sel badan.

Proses kitaran semula ini bergantung kepada daya ketahanan badan dan adaptasi badan kepada senaman. Semakin lama dan kerap bersenam badan akan mengadaptasi lebih baik pada pertambahan laktik asid dan efektif memproses laktik asid terhasil.

Katanya, kekerapan bersenam individu akan semakin kurang terasa sakit pada otot walaupun intensiti dan jangka masa senaman bertambah.

- Berita Harian

 

 

 

Jumaat, Mac 25, 2011

Sayangi jantung anda

 


Pada dasarnya, penyakit jantung adalah pembunuh senyap di kalangan wanita yang boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang menunggu masa untuk meletup. Menurut data yang dikeluarkan oleh Pemantauan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Malaysia 2005/2006, faktor risiko NCD yang jelas, seperti hiperkolesterolemia, kenaikan glukosa darah, obesiti (kegemukan) dan sebagainya adalah lebih tinggi di kalangan wanita berusia 25 hingga 64 tahun berbanding lelaki dalam kumpulan usia yang sama. 

Menurut Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Khoo Kah Lin, yang juga Pengarah Yayasan Jantung Malaysia (YJM), penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di kalangan wanita di Malaysia dan di seluruh dunia sejak berpuluh-puluh tahun lamanya. "Penyakit jantung sentiasa dianggap sebagai penyakit lelaki kerana kaum lelaki mendapat penyakit ini 10 tahun sebelum wanita. "Wanita dilindungi daripada penyakit jantung oleh tahap estrogen yang tinggi. 

Bagaimanapun, ini tidak bermakna wanita 'imun' atau lali kepada penyakit ini,” jelasnya. Tambah Dr. Kah Lin, tahap estrogen turun apabila wanita sudah menopaus atau putus haid. Tahap trigliserida dan LDL (kolesterol jahat) di kalangan wanita yang berumur juga naik, bukan sahaja disebabkan menopaus tetapi juga disebabkan kenaikan berat badan dan penuaan. Semua ini menaikkan risiko penyakit jantung di kalangan wanita. Jadi, sebelum putus haid, risiko wanita mendapat sakit jantung adalah lebih rendah berbanding lelaki. Namun, keadaan berubah apabila putus haid. Risiko wanita mendapat penyakit jantung kini setara dengan lelaki. 

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran umum terhadap kesihatan wanita, khususnya berkaitan kanser payu dara dan kanser serviks (pangkal rahim), telah meningkat. Kini wanita lebih menyedari tentang penyakit ini dan tahu cara untuk mengambil langkah pencegahan yang perlu untuk menjaga kesihatan mereka. Tetapi mengapa penyakit pembunuh nombor satu di kalangan wanita ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya? Inilah yang mendorong Kah Lin berusaha meningkatkan kesedaran di kalangan wanita, khususnya mereka yang berisiko tinggi. Baru-baru ini, Kah Lin sempat ditemuramah tentang usahanya meningkatkan kesedaran sakit jantung di kalangan wanita dan risiko yang dihadapi golongan ini. 

 Soalan 

 Walaupun mempunyai jadual tugas yang sibuk, Datuk tetap memainkan peranan aktif untuk menggerakkan kempen Go Red for Women di Malaysia sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac. Mengapa?

 Jawapan 

Sebagai ahli Persekutuan Jantung Dunia, YJM ingin memainkan peranan dalam usaha menonjolkan penularan penyakit jantung di kalangan wanita. Sebagai seorang pakar kardiologi, saya berpendapat bahawa kesihatan jantung di kalangan wanita patut diberi lebih perhatian. Wanita menjaga semua orang di keliling mereka, tetapi mereka sering mengabaikan diri mereka sendiri dalam proses menjaga orang lain. Kempen antarabangsa Go Red for Women bertujuan untuk mengurangkan penyakit kardiovaskular (CVD) di kalangan wanita dengan meningkatkan kesedaran global dan komitmen kepada CVD di kalangan wanita. 

Soalan 

Bukankah penyakit jantung lebih kerap menyerang lelaki daripada wanita? Jawapan Pada umumnya, penyakit jantung memang dianggap menyerang kebanyakan lelaki, malah pakar penjagaan kesihatan profesional sendiri memberi lebih tumpuan kepada lelaki daripada wanita. Salah tanggapan inilah sebenarnya yang menyebabkan kita perlu mendidik orang ramai amnya dan wanita Malaysia khususnya, tentang serangan penyakit jantung di kalangan wanita. Seorang dalam setiap empat wanita Malaysia mati akibat penyakit jantung yang juga merupakan punca utama kematian di kalangan wanita. Kematian akibat sakit jantung adalah 2.5 kali lebih tinggi daripada kematian akibat semua penyakit kanser. Malah, dari tahun 1990 hingga 2005, penyakit jantung di kalangan wanita meningkat sehingga 135 peratus. Soalan Mengapa kadar kematian wanita yang disahkan sakit jantung begitu tinggi? 

Jawapan 

Biasanya saiz wanita adalah lebih kecil berbanding dengan lelaki. Ini menyukarkan rawatan, terutamanya apabila menggunakan kaedah angioplasti dan pembedahan bypass kerana saluran darah adalah lebih kecil. Soalan Apakah punca utama penyakit jantung di kalangan wanita? Jawapan Faktor risiko penyakit jantung adalah sama di kalangan lelaki dan wanita. Faktor yang paling tinggi menyumbang kepada penyakit jantung ini adalah Diabetes Mellitus, yang turut dikenali dengan risiko bersamaan kardiovaskular. Ini bermakna, sekiranya anda merupakan pesakit diabetes, besar kemungkinan anda mempunyai penyakit jantung. Selain itu, obesiti, kolesterol tinggi, hipertensi, pengambilan lemak secara berlebihan, kurang bersenam, dan merokok turut menjadi faktor penyumbang kepada penyakit jantung. Tambahan pula, risiko CVD di kalangan wanita menjadi lebih tinggi apabila usia mereka meningkat, disebabkan perubahan fisiologi yang dikaitkan dengan usia pertengahan dan menopaus, iaitu perlindungan semula jadi mereka daripada penyakit jantung. Estrogen berkurangan apabila putus haid. Namun, wanita lebih muda juga perlu menjaga kesihatan jantung mereka. 

Soalan 

Saya dapat tahu kesedaran terhadap gejala awal serangan jantung boleh menyelamatkan nyawa. Apakah gejala jelas yang menandakan serangan jantung di kalangan wanita? 

Jawapan 

Faktor risiko di kalangan wanita adalah sama seperti lelaki, tetapi wanita yang mengalami serangan jantung mungkin tidak menunjukkan tanda amaran seperti lelaki. Angina atau lebih dikenali sebagai sakit dada, adalah tanda amaran awal serangan jantung. Anda akan rasa himpitan dalam dada secara mendadak yang kemudian merebak ke lengan. Ini adalah kerana jantung anda tidak mendapat cukup oksigen disebabkan pengumpulan plak dalam arteri jantung. Selain daripada itu, anda akan merasa sakit di bahagian rahang, bahagian depan leher dan juga lengan, terutamanya lengan kiri, kadang-kala sakit pada kedua-dua lengan dalaman. Gejala-gejala yang lain termasuk sukar bernafas dan keletihan. 

Soalan 

Seperti yang sering dikatakan, pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Jadi, soalan penting ialah bagaimana saya, sebagai seorang wanita, boleh mencegah serangan jantung? 

 Jawapan 

Mengekalkan berat badan yang sihat adalah cara yang berkesan untuk menjaga kesihatan jantung. Amalkan gaya hidup sihat dengan bersenam secara sederhana setiap hari selama 30 minit. Makan secara sederhana dan ambil makanan yang sihat untuk jantung. Pilih makanan serat tinggi dan rendah lemak dan kurangkan pengambilan garam. Satu lagi langkah pencegahan yang mudah tetapi sangat berkesan ialah berhenti merokok, kerana merokok merosakkan jantung dan saluran darah. Kawal tekanan darah dan tahap kolesterol andadan ketahui sejarah keluarga anda sama ada terdapat anggota keluarga yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan sakit jantung dalam usia muda (bawah usia 55 tahun bagi lelaki dan bawah usia 65 tahun bagi wanita). Ini seharusnya memberi isyarat amaran awal untuk anda memberi lebih perhatian kepada kesihatan jantung anda. 

 - UTUSAN

Recent Posts