Memaparkan catatan dengan label macau scam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label macau scam. Papar semua catatan

Selasa, September 27, 2022

‘Pegawai Mahkamah’ curi duit peniaga


 Wang simpanan seorang peniaga berjumlah RM28,000 lebur selepas diperdaya Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai mahkamah, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, mangsa yang berusia 27 tahun dihubungi suspek yang mengaku seorang pegawai mahkamah.

Beliau berkata, suspek memperdayakan mangsa dengan mengatakan nombor kad pengenalan mangsa telah digunakan oleh seseorang bagi mendaftarkan syarikat di Melaka dan syarikat tersebut telah disenaraihitamkan.

“Mangsa menafikan ada membenarkan nombor kad pengenalannya digunakan orang lain. Suspek kemudian menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah mangsa dengan bayaran RM20,000.

“Suspek menjelaskan wang itu akan dimasukkan semula ke dalam akaun mangsa selepas urusan tersebut selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rupiah berkata, mangsa kemudian memuat naik aplikasi Bank Negara Malaysia seperti diminta suspek bagi tujuan tersebut.

Katanya, suspek turut bertanyakan jumlah akaun bank yang dimiliki mangsa serta jumlah wang yang ada dalam akaun berkenaan.

“Mangsa telah memberitahu semua maklumat mengenai akaunnya dan mengisi aplikasi tersebut. Mangsa turut memasukan maklumat dan nombor pin serta 16 digit nombor kad akaun Public Bank.

“Akibat kejadian tersebut wang dalam akaun mangsa telah berkurangan sebanyak RM28,000,” katanya.

Beliau meminta orang ramai membuat semakan nombor telefon dan akaun yang diragaui menerusi laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat aplikasi check scammers ccid bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Sumber : Kosmo!

Khamis, April 07, 2022

Macau Scam dikesan curi wang akaun Tabung Haji

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sebanyak 65 kes kehilangan wang dalam akaun Tabung Haji membabitkan nilai RM3.59 juta berlaku dalam kalangan mangsa sindiket penipuan Macau Scam, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata kebiasaannya mangsa dihubungi melalui panggilan telefon oleh ahli sindiket Macau Scam yang menyamar.

"Mereka menakutkan mangsa dengan mendakwa terbabit dalam kegiatan jenayah, mempunyai tunggakan kad kredit dan sebagainya sebelum meminta mangsa mendedahkan maklumat perbankan mereka.

"Terbaharu, sindiket Macau Scam ini dikesan berjaya membuat pengeluaran wang dari akaun Tabung Haji yang dipautkan dengan akaun bank komersial milik mangsa," katanya 

Jelas beliau, kemudahan fasiliti perbankan internet oleh Tabung Haji dan bank konvesional lain membolehkan perkara itu berlaku.

"Akibatnya, bukan sahaja wang di dalam bank komersial mereka hilang, malah wang dalam akaun Tabung Haji yang dipautkan bersama akaun bank itu turut hilang.

"Setakat ini, 65 kes sebegini dikesan membabitkan kerugian RM3.59 juta," katanya.

Katanya, walaupun orang ramai sudah terlalu kerap diingatkan agar jangan sesekali memberikan maklumat perbankan kepada individu tidak dikenali, masih ramai yang menjadi mangsa penipuan .

"Justeru, pesanan sedemikian akan terus disampaikan dalam usaha mengelakkan orang ramai terus menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

"Untuk mendapatkan sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599," katanya.

Sumber dari Berita Harian

Khamis, Februari 24, 2022

Macau Scam kini menyamar jadi LHDN

 

Sindiket Macau Scam dikesan menggunakan taktik baharu dengan menyamar sebagai wakil daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memperdaya mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, pihaknya telah menerima dua laporan polis berhubung penipuan tuntutan LHDN palsu terbabit.

“Dua mangsa lelaki berusia 29 dan 36 tahun itu dipercayai menerima panggilan kononnya daripada seorang kakitangan LHDN mendakwa mangsa mempunyai masalah cukai tertunggak yang belum dijelaskan.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada polis(suspek) yang mana mangsa dimaklumkan bahawa nama mereka terlibat dalam kegiatan jenayah dadah.

“Mangsa diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi dan mengisi maklumat akaun bank peribadi ke dalam aplikasi tersebut sebelum menyedari pengurangan duit dalam akaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kedua-dua mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM19,300 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana telah membuat capaian tanpa kuasa yang sah terhadap akaun mangsa,” ujarnya.

Sumber dari Kosmo!

Khamis, Januari 06, 2022

Taktik terbaharu Macau Scam

 

 

Dua taktik baharu dikesan digunakan sindiket penipuan Macau Scam untuk menipu termasuk kononnya mangsa mendapat bantuan kerajaan.

Membongkarkan taktik terbaharu yang pertama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, mangsa akan menerima panggilan telefon daripada individu menyamar pegawai agensi penguat kuasa.

"Mangsa akan dimaklumkan bahawa akaun bank mereka sedang disiasat dan wang dibekukan atau hilang.

"Bagi mengelakkan perkara itu, mangsa diminta membuka akaun bank baharu dan mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon diberikan sindiket.

"Selepas mengikut arahan diberikan, mangsa mendapati wang dalam akaunnya berkurangan," katanya.

Keduanya, Mohd Kamarudin berkata, sindiket turut menghubungi mangsa dengan menyatakan mereka layak menerima insentif atau bantuan daripada kerajaan sebelum diminta menyerahkan maklumat peribadi dan kata laluan perbankan dalam talian.

Menurutnya, ia konon untuk memudahkan proses pembayaran bantuan berkenaan, namun selepas memberikan maklumat diminta mangsa mendapati wang dalam akaun berkurangan.

"Sebarang maklumat perbankan seperti ID, kata laluan dan nombor telefon adalah data amat penting serta sulit yang tidak boleh dikongsi kepada orang lain terutama individu tidak dikenali.

"Polis juga tidak pernah meminta maklumat sebegitu dalam menjalankan siasatan," katanya menyeru orang ramai sentiasa berwaspada dan peka dengan modus operandi digunakan penjenayah.

Untuk rekod, sejumlah 1,585 kes Macau Scam disiasat membabitkan kerugian RM560,885,377.14 manakala 9,646 individu ditahan sepanjang tahun lalu.

Orang ramai yang mempunyai kemusykilan mahupun nasihat berkaitan jenayah komersil supaya berhubung dengan pihaknya melalui CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/599.

 

 

 

Jumaat, Oktober 09, 2020

Macau Scam hanya satu daripada banyak penipuan

 

 

Oleh Mohd Azmi Abdul Hamid

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara

Kami berpendapat kes Macau Scam yang sedang disiasat sekarang oleh pihak SPRM harus mengingatkan semua pihak ini hanya satu kes scam (penipuan) yang berleluasa di negara ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 730 akaun bank membabitkan wang berjumlah RM80 juta, serta merampas wang tunai kira-kira RM5 juta kerana disyaki terbabit dalam sindiket Macau Scam.

Terlalu banyak peringatan melalui media mengenai kes penipuan yang diulang lapor mengenai mangsa dan tangkapan serta pendakwaan pelbagai kes membabitkan pelbagai skandal.

Malangnya, kes penipuan terus berlaku yang membabitkan jutaan ringgit. Penipuan akan sering dicuba oleh pelbagai pihak yang mahu meraih keuntungan lumayan.

Penipuan yang kerap berlaku ialah apabila nombor telefon pengguna sangat mudah diperoleh dan kemudian disalahguna untuk pelbagai sindiket.

Kes mengguna nombor telefon untuk mengugut juga menyebabkan ramai menjadi mangsa.

Berdasarkan statistik 2018, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), mendedahkan jumlah kerugian akibat penipuan jenayah itu meningkat 55.5 peratus seluruh negara berbanding 2017.

Peningkatan itu membabitkan kerugian melebihi RM224.6 juta dengan 4,965 kes direkodkan berbanding tahun sebelumnya, iaitu RM99.9 juta dengan 4,178 kes akibat penipuan Macau Scam.

Penipuan Macau Scam ini menjadi 'popular' sekarang dan jenayah tanpa sempadan ini boleh berlaku di mana-mana sahaja

Penipuan yang mensasarkan pengguna itu berpunca dari orang awam masih tidak memahami pelbagai jenis dan strategi penipuan terutama dalam era perdagangan elektronik.

Pengguna perlu memahami modus operandi penjenayah yang menyamar sebagai pegawai daripada PDRM, mahkamah, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau agensi berkaitan dengan tujuan menakutkan mangsa.

Dalam masa yang sama tahap keupayaan pihak berkuasa untuk memantau dan menguatkuasakan undang-undang adalah juga faktor kenapa penipuan seperti Macau Scam kerap berlaku.

Mekanisme Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan Akta 778 yang dikuatkuasa pada Januari 2017 berkaitan mengawal selia aktiviti pengumpulan dana melalui tawaran kepentingan kepada awam perlu diperkukuhkan untuk memastikan penipuan dapat dibanteras.

Pengguna harus memaklumatkan diri untuk mengesan sama ada ada unsur pelanggaran Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 bila ada pihak yang memperkenalkan sesuatu skim.

Sikap yang kritikal terhadap sebarang tawaran pelaburan perlu diperhati dengan teliti kerana terlalu banyak kes pihak-pihak tertentu yang sentiasa mencari peluang untuk mengambil kesempatan terhadap pengguna yang kurang peka dan mudah diperdaya dengan tawaran yang lumayan atau ugutan yang mengguna maklumat palsu.

Kami berpandangan sangat perlu semua pengguna tidak mudah terperangkap dengan skandal yang kini sangat agresif mencari mangsa.

Sindiket yang mahir mencuri maklumat diri mangsa seperti nombor kad pengenalan, akaun bank dan maklumat kenderaan , memungkinkan operasi yang licik memerangkap pengguna.

Kesedaran pengguna supaya mengelakkan diri daripada terpengaruh kepada tawaran atau ugutan perlu ditingkatkan.

Kini dalam era komunikasi yang sangat pantas dan mudah mensasarkan setiap pengguna, pelbagai pihak yang mengguna strategi yang sangat halus untuk memancing mangsa kerap berlaku.

Malangnya, kebiasaannya banyak pengguna menjadi mangsa walaupun sudah ada kes penipuan dilaporkan berkali-kali.

Dengan segala undang-undang yang ada dan ratusan individu yang didakwa di mahkamah, pengguna masih tidak berhati-hati malah ada yang turut menjadi ejen kepada sindiket yang beroperasi.

Kami mengesa pihak penguat kuasa tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit jika jelas melanggar undang-undang yang sedia ada.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts