Taktik terbaharu Macau Scam

 

 

Dua taktik baharu dikesan digunakan sindiket penipuan Macau Scam untuk menipu termasuk kononnya mangsa mendapat bantuan kerajaan.

Membongkarkan taktik terbaharu yang pertama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, mangsa akan menerima panggilan telefon daripada individu menyamar pegawai agensi penguat kuasa.

"Mangsa akan dimaklumkan bahawa akaun bank mereka sedang disiasat dan wang dibekukan atau hilang.

"Bagi mengelakkan perkara itu, mangsa diminta membuka akaun bank baharu dan mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon diberikan sindiket.

"Selepas mengikut arahan diberikan, mangsa mendapati wang dalam akaunnya berkurangan," katanya.

Keduanya, Mohd Kamarudin berkata, sindiket turut menghubungi mangsa dengan menyatakan mereka layak menerima insentif atau bantuan daripada kerajaan sebelum diminta menyerahkan maklumat peribadi dan kata laluan perbankan dalam talian.

Menurutnya, ia konon untuk memudahkan proses pembayaran bantuan berkenaan, namun selepas memberikan maklumat diminta mangsa mendapati wang dalam akaun berkurangan.

"Sebarang maklumat perbankan seperti ID, kata laluan dan nombor telefon adalah data amat penting serta sulit yang tidak boleh dikongsi kepada orang lain terutama individu tidak dikenali.

"Polis juga tidak pernah meminta maklumat sebegitu dalam menjalankan siasatan," katanya menyeru orang ramai sentiasa berwaspada dan peka dengan modus operandi digunakan penjenayah.

Untuk rekod, sejumlah 1,585 kes Macau Scam disiasat membabitkan kerugian RM560,885,377.14 manakala 9,646 individu ditahan sepanjang tahun lalu.

Orang ramai yang mempunyai kemusykilan mahupun nasihat berkaitan jenayah komersil supaya berhubung dengan pihaknya melalui CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/599.

 

 

 

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.