Memaparkan catatan dengan label penyanyi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penyanyi. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 05, 2024

Hamdan Senario meninggal dunia

 


Pelawak Hamdan Ramli, 54, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.

Pemergian anggota kumpulan Senario itu disahkan rakannya, Azlee Jaafar.

Azlee berkata, jenazah arwah Hamdan dijangka dibawa pulang ke Ipoh, Perak, petang ini.

"Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, jam 12.50 tengah hari tadi.

"Keadaan kesihatannya semakin merosot sejak dua hari lalu apabila jantung hanya 20 peratus berfungsi dan bantuan pernafasan tidak mampu menyokong arwah.

"Saya sudah menguruskan van jenazah untuk membawa arwah pulang ke kediamannya di Ipoh.

"Kami menjangkakan jenazah akan tiba sekitar jam 8 malam, tapi bila akan dikebumikan belum pasti.

"Itu perlu tanya keluarga arwah dahulu," katanya ketika dihubungi.

Hamdan ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu, Johor sejak Ahad lalu kerana jangkitan kuman selepas mengalami cirit birit dan sesak nafas.

Ahad lalu, Hamdan sepatutnya menjayakan persembahan Wonderful Night with Senariounion di sebuah hotel di Johor Bahru.

Acara itu adalah sempena ulang tahun ke-27 Senario. Namun, Hamdan tidak dapat menyertainya berikutan deman dan terjatuh lalu dikejarkan ke HSA.

Allahyarham Hamdan meninggalkan seorang balu, Norhamalini Ahmed, 53, dan empat cahaya mata.

Sumber : Berita Harian

Khamis, September 15, 2022

Aman Shah meninggal dunia

 


Pelakon dan penyanyi era 80-an, Aman Shah, 68, menghembuskan nafas terakhir selepas melakukan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), kira-kira jam 2.20 petang Rabu.

Berita pemergian penyanyi yang popular menerusi lagu Kepulangan Yang Dinanti itu disahkan anak saudaranya, Mohd Naufal Abdul Latiff kepada BH Online.

Mohd Naufal berkata, arwah dimasukkan ke IJN pada 9 September lalu, bagaimanapun menjalani pembedahan memasang kateter belon atau sten, semalam.

Bagaimanapun, katanya, keadaan kritikal dan tidak stabil sehinggalah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Koronari (CCU), petang ini.

"Hari ini, beberapa kali Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) terpaksa dilakukan. Namun, keadaan arwah tidak menunjukkan tindak balas yang baik.

"Pilihan terakhir, arwah terpaksa diberikan bantuan pernafasan. Bagaimanapun, tak sampai tempoh satu jam, arwah menghembuskan nafas terakhir," katanya kepada BH Online.

Katanya, arwah sudah lama menghidap penyakit kencing manis dan jantung, malah, pernah berdepan beberapa serangan jantung termasuk di rumahnya, dua minggu lalu.

"Saya memang rapat dengan arwah. Sejak beberapa bulan ini, saya menegurnya apabila melihat keadaannya kurang sihat.

"Arwah mengakui keadaannya sudah teruk apabila tidak mendapatkan rawatan di IJN, selain sepatutnya arwah perlu melakukan pembedahan memasukkan sten dengan segera.

"Kondisi kesihatan arwah agak parah selepas terkena serangan jantung di Kota Bharu, Melaka dan terbaru, di rumahnya.

"Dua minggu lalu, arwah dikejarkan dan dimasukkan ke Hospital Serdang," katanya.

Mohd Naufal berkata, dia bersama anak arwah, Hadzly Aman Shah dan beberapa ahli keluarga sejak pagi tadi apabila diberitahu kondisi arwah semakin kritikal.

"Dalam pertemuan terakhir, arwah berpesan, di mana beliau menghembuskan nafas terakhir, di situlah jenazahnya disemadikan.

"Jenazah arwah akan dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras sebelum dikebumikan hari ini.

"Bagaimanapun, kami masih menguruskan beberapa prosedur sebelum membawa jenazah ke masjid," katanya.

Terdahulu, pada era 1980 dan 1990-an, bakat nyanyian dan lakonan Aman Shah atau nama sebenarnya, Aman Shah Abu Kassim cukup disanjungi.

Lagu popular menjadi siulan ialah Adikku Pandai Menari, manakala setiap kali menjelang Syawal, Kepulangan Yang Dinanti pasti mendapat pilihan corong radio.

Memiliki personaliti menarik, tinggi lampai dan wajah tampan, menjadikan jejaka kelahiran Johor Baharu itu laris di layar lebar.

Menonton filem Darah Satria pasti membangkitkan semangat anak muda menyertai kerjaya sebagai perajurit. Selain itu, Aman Shah juga membintangi filem Cikgu Sayang, Sayang Ibu dan Bas Konduktor

Dilahirkan pada 26 April 1954, Aman Shah pernah menghilangkan diri seketika. Beliau pernah bertugas di Arab Malaysia Development Berhad mulai 1992 hingga 2007, sekali gus mengurangkan aktiviti seninya.

Beliau tidak pernah menyimpan impian akan menjadi insan popular kerana kerjayanya hanya bermula di bawah khemah orang kahwin sekitar 1965.

Ketika itu, penyanyi terkenal era 1960-an, Allahyarham Datuk A Rahman Hassan bermain gitar pada satu majlis perkahwinan di Johor Bahru.

Aman Shah yang baru belajar dalam Darjah Lima memberanikan diri bermain gitar pada waktu rehat. Minatnya bermain gitar semakin menebal, namun tidak pernah mendapatkan pendidikan formal, sebaliknya belajar daripada buku muzik.

Apabila memasuki Tingkatan Lima, Aman Shah sudah menubuhkan kumpulannya sendiri, The Rembles apabila bertindak sebagai penyanyi dan pemain gitar utama.

The Rembles pernah dinobatkan sebagai Juara Kugiran Pesta Negeri Sembilan 1971. Nama The Rembles begitu digeruni apabila sering menyapu bersih gelaran juara setiap kali diadakan pertandingan kugiran atau nyanyian sekitar Johor dan Negeri Sembilan.

Perjalanan Aman Shah ke kota besar Kuala Lumpur bermula pada 1973. Setibanya di Kuala Lumpur, Aman Shah menumpang tidur di Bilik Musafir, Masjid Negara kerana tidak cukup wang untuk menginap di hotel.

Keesokan harinya, barulah tiba ke rumah artis terkenal, Sukarni Jaafar di Klang Gate untuk tumpang berteduh.

Akhirnya, Aman Shah menyertai Booty's Boys dan menerima gaji bulan RM2,000. Pada masa itu, khususnya awal 1970- an, jumlah itu dianggap terlalu lumayan baginya.

Sejak itu, Aman Shah bersama Booty's Boys sering mendapat undangan bermain muzik sekitar hotel di Kuala Lumpur dan tidak lama kemudian, Aman Shah bertemu dengan mendiang Mike Bernie, sekali gus menawarkannya menjadi artis syarikat rakaman EMI Music pada 1979.

Menerusi album Aman Shah 5, dia tampil dengan lagu popularnya, Adikku Pandai Menari yang dirakam pada 1983.

Selain itu, Aman Shah muncul dengan Mawarku, Cinta Tak Seindah Diucap, Dunia Orang Muda, Ku Mengerti Erti Sepi dan Kisah Gadis Keriangan.

Aman Shah bukan sekadar berbakat sebagai penyanyi, malah pernah maju setapak apabila bergelar komposer. Lagu ciptaannya, Perjalanan Sepi dendangan Shara Eqnor pernah menyertai pertandingan nyanyian First Asian Song Festival di Nagoya, Jepun pada 1989.

Lagu popular lain ciptaan Aman Shah ialah Mata dendangan Noor Kumalasari. Aman Shah juga terus mencipta populariti sebagai komposer hebat apabila dianugerahkan kembar tiga platinum di atas penjualan album kumpulan Ekamatra yang mengandungi lagu popular, Pusara Di Lebuh Raya.

Beliau terus melebarkan kerjaya seninya apabila berjinak-jinak sebagai pelakon. Aman Shah mula berlakon drama RTM sekitar 1980.

Antara drama lakonannya ialah Selembut Sutra dan Ke Puncak Jaya. Tidak lama selepas itu, Aman Shah sudah mampu bergelar penerbit.

Beliau pernah menerbitkan drama bangsawan untuk TV3, namun drama swasta pertama terbitannya ialah Mawas yang dihasilkan sempena ulang tahun kedua TV3.

Aman Shah akhirnya bertemu jodoh ketika usianya mencecah 24 tahun dengan Miss Kelantan, Rohani Nik berasal dari Dungun, Terengganu. Namun, rumah tangganya bertahan dua tahun.

Ketika menyertai program hiburan, Pusparama di Singapura, Aman Shah bertindak sebagai hos dan jatuh cinta pandang pertama kepada Farah Diba Abdul Aziz yang turut membuat persembahan bersama kumpulan duo, The Queens.

Setahun berkenalan, Farah yang berasal dari Bedok, Singapura ditunangkan bersama Aman Shah pada usia 14 tahun.

Mereka bercinta selama enam tahun. Akhirnya pada 21 Disember 1986, Aman Shah dan Farah bersanding di Bedok Tampines, Singapura selepas bernikah gantung di Jelebu.

Majlis persandingan di Singapura berlangsung meriah selama tiga hari, tiga malam. Namun, perkahwinan keduanya hanya mampu bertahan kira-kira empat tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Perkahwinan ketiga Aman Shah dikurniakan dua cahaya mata, namun beliau tidak pernah mendedahkan identiti isterinya.

Sumber : Berita Harian

Rabu, Jun 01, 2022

Wany Hasrita belum ‘pudar’

 


Hampir enam tahun berkecimpung dalam dunia seni hiburan sebagai penyanyi, Wany Hasrita kini boleh dikatakan sebagai antara selebriti wanita popular tanah air yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Pernah menggondol anugerah Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH31) pada 2018, jarang sekali media memaparkan cerita kurang enak mahu pun kontroversi panas membabitkan penyanyi berusia 30 tahun itu.
Imej bersih itu menjadi antara kelebihan yang ada pada diri penyanyi berkening cantik itu. Tanpa perlu menjaja nama sendiri dengan berita-berita tidak enak, pemilik nama lengkap Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu masih belum tenggelam lagi walaupun industri dibanjiri ramai pendatang baharu untuk bergelar artis.
Wany yang ditemui Pose sewaktu majlis sidang media program Karaoke Superstar di Garden Theater, The Garden Kuala Lumpur baru-baru ini sempat berkongsi perkembangan terkini serta perancangannya dalam karier seni.
Ujar Wany dalam masa terdekat dia akan mengeluarkan sebuah lagu baharu bergandingan sekali lagi dengan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah.
“Untuk perkembangan terkini, saya tidak sabar untuk tunggu lagu baharu saya bergandingan sekali lagi dengan Datuk Jamal dilancarkan tidak lama lagi.
“Saya sangat teruja dan gembira apabila diberi peluang sekali lagi untuk menyanyi bersama-sama Jamal Abdillah. Saya rasa bertuah,” katanya.
Dalam keterujaan menunggu lagu baharunya bersama Jamal dilancarkan, Wany pada masa sama risau kerana lagu duetnya bersama Jamal sebelum ini menerusi lagu Belenggu Rindu sudah berada pada tahapnya tersendiri.
“Saya sebenarnya agak risau sebab lagu Belenggu Rindu sudah berada pada tahap terbaik selepas memenangi tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu ke-35.
“Jadi untuk keluarkan lagi lagu baharu dan berduet pula dengan orang yang sama sebenarnya agak merisaukan saya juga. Bagaimanapun, saya akan buat yang terbaik dan berharap pendengar suka dengan lagu itu nanti,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Wany juga kini sibuk mengumpul material untuk projeknya yang akan datang, juga berkaitan dengan lagu baharu.
Pemegang Sarjana Muda Sains Perubatan dari Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Shah Alam itu menjelaskan, dia kini dalam rangka untuk menghasilkan sebuah lagu baharu yang disuntik elemen lebih segar berbanding lagu-lagu terdahulu.
Ujar Wany, dia mahu menghasilkan sebuah lagu yang masih berkonsepkan balada, namun dalam ‘mood’ gembira.
“Saya mahu hasilkan lagu berlainan dengan apa yang sering saya bawakan sebelum ini. Kebanyakan lagu-lagu berentak balada saya semuanya tentang kesedihan.
“Jadi saya mahu lari daripada kebiasaan dengan menghasilkan lagu balada, namun dalam mood gembira,” katanya.
Wany turut bersyukur apabila perjalanan karier seninya untuk tahun 2022 setakat ini berjalan lancar dengan beberapa perancangan.
Biarpun timbul khabar angin mendakwa namanya kian menyepi, Wany cuma berjalan mengikut apa yang telah dirancang.
Bakal melebarkan sayapnya sebagai usahawan, Wany kini dalam proses awal untuk mengeluarkan produk sendiri berasaskan kosmetik sekali gus menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Sumber : Kosmo!

Rabu, Januari 05, 2022

Biodata Heliza Helmi


Biodata Heliza Helmi

Nama penuh: Nur Heliza binti Helmi

Tarikh lahir: 3 Februari 1986

Umur: 34 tahun

Tempat lahir: Kuala Terengganu, Terengganu

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sains, Biologi & Kimia

Pusat pendidikan: Universiti Malaysia Sabah

Pekerjaan: Penyanyi, model, pengacara TV, pakar motivasi, aktivis kemanusiaan, pelakon

Tahun aktif: 2007-kini

Saudara: Hazwani Helmi (adik)

Genre: Pop, keagamaan

Instrumen: Vokal

Media sosial: Instagram @nurhelizahelmi


Fakta Menarik


1. Anak kepada Helmi bin Haji Mohd Hasbi yang merupakan anggota polis dari Kuala Kangsar, Perak. Manakala ibunya, Latifah binti Muhammad berasal dari Terengganu.

2. Mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu, Terengganu, diikuti Teacher Methodist Girls School, Taiping, Perak sebelum ke SM Convent st. Ursula Tawau, Sabah dan Labuan Matriculation College.

3. Sewaktu di sekolah, beliau pernah menjadi peserta simpanan pertandingan pidato peringkat negeri dan kebangsaan berbekalkan kebolehannya bertutur dengan petah.

4. Meneruskan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains, Biologi Dan Kimia di Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah

5. Mula melibatkan diri dari dunia hiburan sejak tahun 2007.

6. Bakat seninya disalurkan sebagai penyanyi, model, pelakon, pengacara televisyen. Juga aktif sebagai penceramah, pakar motivasi dan aktivis kemanusiaan.

7. Bekas finalis akhir Akedemi Fantasia musim kelima.

8. Pernah membintangi filem Syurga Cinta, juga drama Doa Ibu dan Warkah Cinta. Termasuk telemovie Cinta Kun Fayakun.

9. Menghoskan rancangan televisyen Man Jadda Wajada, Sinar itu Hadir Jua, Rasa Halal Antarabangsa, SIS dan SIS Istimewa Raya.

10. Mempunyai masalah penglihatan sekiranya tidak menggunakan cermin mata atau kanta lekap.
 

 

 

Recent Posts