Memaparkan catatan dengan label hasil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hasil. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 04, 2021

LHDN longgar bayaran cukai, penalti bagi pembayar terjejas

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberikan kelonggaran pembayaran cukai dan penalti kepada individu yang pendapatan mereka terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

LHDN dalam kenyataan hari ini, berkata ia bagi meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai.

Katanya, kelonggaran ditawarkan kepada pembayar cukai itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa kriteria.

"Pertama, penangguhan pembayaran penalti berkaitan dengan kewajipan cukai mereka ke tahun 2022 dengan syarat pembayar cukai terus mematuhi pembayaran amaun prinsipal cukai yang kena dibayar. 

"Penalti yang termaktub dalam tawaran ini ialah penalti dikenakan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949.

"Kedua, pertimbangan permohonan penjadualan semula bayaran cukai bagi pembayar cukai yang kehilangan punca pendapatan atau menghadapi isu menyelesaikan cukai yang tertunggak akibat pelaksanaan PKP," katanya.

Selain itu, LHDN turut mempertimbangkan penyemakan semula penalti dikenakan jika pembayar cukai mempunyai alasan kukuh.

Katanya, pembayar cukai perlu membuat rayuan ke atas penalti dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan dengan melihat setiap asas kes.

"Pembayar cukai yang berhasrat memohon kelonggaran ini disyorkan untuk menghubungi Pejabat Cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka.

"Bagaimanapun, pembayar cukai yang tidak terjejas perlu meneruskan pembayaran cukai seperti dikehendaki undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

LHDN turut menyediakan soalan lazim berkaitan urusan percukaian dalam tempoh PKP 3.0 berkaitan perkara ini, selain menyentuh isu penghantaran borang nyata cukai pendapatan dan pembayaran cukai pendapatan.

FAQ itu boleh dicapai melalui pautanhttp://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_1.pdf bagi versi bahasa Melayu, manakala untuk Bahasa Inggeris menerusi http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_2.pdf.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara) atau HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my

 

 

Ahad, Mei 16, 2021

Pendaftaran nombor cukai pendapatan melalui e-Daftar mulai 18 Mei 2021

 

Pendaftaran nombor cukai pendapatan melalui perkhidmatan e-Daftar dan penetapan serta pertukaran prefix baharu bagi pembayar cukai individu (SG dan OG) kepada prefix IG bermula 18 Mei 2021.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, pendaftaran nombor cukai pendapatan bagi pembayar cukai kategori Koperasi (CS), Pertubuhan (F), Badan Amanah (TA), Unit Amanah/Amanah Harta Tanah (TC), Amanah Perniagaan (TN) dan Amanah Pelaburan Harta Tanah/Tabung Amanah Harta (TR) boleh dilakukan secara dalam talian melalui e-Daftar yang boleh dicapai menerusi pautan https://edaftar.hasil.gov.my/.

Sebagai rekod, katanya, perkhidmatan e-Daftar ketika ini hanya terhad kepada SG dan OG, syarikat (C), perkongsian (D), majikan (E) dan perkongsian liabiliti terhad (PT).

"Mulai Selasa ini juga LHDN akan melaksanakan penetapan prefix baharu bagi pembayar cukai individu iaitu daripada prefix SG dan OG kepada prefix IG. Proses penetapan prefix ini membabitkan dua fasa iaitu bagi pertama akan dilaksanakan terhadap pembayar cukai individu yang baharu didaftarkan melalui sistem LHDN.

"Fasa kedua pula membabitkan pertukaran prefix bagi pembayar cukai individu sedia ada secara berperingkat mulai Selasa ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

LHDN berkata, pertukaran prefix ini tidak membabitkan sebarang perubahan terhadap nombor cukai pendapatan individu sedia ada dan tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata bagi individu juga kekal iaitu 30 April setiap tahun bagi individu tidak menjalankan perniagaan dan 30 Jun setiap tahun bagi individu yang menjalankan perniagaan.

Katanya, pertambahan kategori pembayar cukai yang boleh didaftarkan melalui perkhidmatan e-Daftar ini satu daripada inisiatif di bawah Transformasi Hasil (TH) sebagai usaha berterusan LHDN meningkatkan mutu perkhidmatannya kepada pembayar cukai.

Penetapan dan pertukaran prefix SG dan OG kepada IG bagi pembayar cukai individu pula dapat memudahkan pengurusan pembayar cukai serta mengelak kekeliruan dalam kalangan pembayar cukai individu.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/;

Sumber : BERNAMA

 

Recent Posts