Ahad, Mei 16, 2021

Jangan ambil produk Ivermectin untuk rawat Covid-19

 

Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil produk Ivermectin sebagai rawatan dan pencegahan Covid-19 bagi mengelak berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum terdapat pandangan berkenaan penggunaan produk terbabit yang masih belum diketahui keberkesanannya.

Katanya, produk itu juga tiada data klinikal bagi membuktikan keberkesanan penggunaannya dalam rawatan dan pencegahan Covid-19. 

“Sehingga kini, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan manusia.

“Pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) belum pernah meluluskan indikasi Ivermectin bagi tujuan rawatan ataupun sebagai pencegahan Covid-19. Perkara ini telah dijelaskan FDA dalam artikel yang bertajuk Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent Covid-19’ bertarikh 3 Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr. Noor Hisham berkata, Agensi Perubatan Eropah (EMA) juga mengambil pendekatan yang sama iaitu belum mencadangkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19.

Katanya, EMA berbuat demikian kerana tiada data klinikal yang mencukupi sebagaimana kandungan artikel yang bertajuk EMA Advises Against Use of Ivermectin for the Prevention or Treatment of COVID-19 Outside Randomised Clinical Trials pada 22 Mac 2021.

“Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya membenarkan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 dalam kajian dan percubaan klinikal sahaja berdasarkan penjelasan dalam artikel yang bertajuk WHO Advises That Ivermectin Only Be Used to Treat Covid-19 Within Clinical Trials pada 31 Mac 2021. 

“Bagaimanapun, memandangkan penularan wabak Covid-19 semakin meningkat di Malaysia, pihak Kementerian Kesihatan tiada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin bagi tujuan percubaan klinikal sahaja di negara ini,” katanya.

Tambahnya, pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dalam mengharungi pandemik Covid-19 dengan memberikan perhatian penuh kepada rawatan dan pencegahan yang diluluskan untuk kegunaan di negara ini.

Sumber : Utusan

Pendaftaran nombor cukai pendapatan melalui e-Daftar mulai 18 Mei 2021

 

Pendaftaran nombor cukai pendapatan melalui perkhidmatan e-Daftar dan penetapan serta pertukaran prefix baharu bagi pembayar cukai individu (SG dan OG) kepada prefix IG bermula 18 Mei 2021.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, pendaftaran nombor cukai pendapatan bagi pembayar cukai kategori Koperasi (CS), Pertubuhan (F), Badan Amanah (TA), Unit Amanah/Amanah Harta Tanah (TC), Amanah Perniagaan (TN) dan Amanah Pelaburan Harta Tanah/Tabung Amanah Harta (TR) boleh dilakukan secara dalam talian melalui e-Daftar yang boleh dicapai menerusi pautan https://edaftar.hasil.gov.my/.

Sebagai rekod, katanya, perkhidmatan e-Daftar ketika ini hanya terhad kepada SG dan OG, syarikat (C), perkongsian (D), majikan (E) dan perkongsian liabiliti terhad (PT).

"Mulai Selasa ini juga LHDN akan melaksanakan penetapan prefix baharu bagi pembayar cukai individu iaitu daripada prefix SG dan OG kepada prefix IG. Proses penetapan prefix ini membabitkan dua fasa iaitu bagi pertama akan dilaksanakan terhadap pembayar cukai individu yang baharu didaftarkan melalui sistem LHDN.

"Fasa kedua pula membabitkan pertukaran prefix bagi pembayar cukai individu sedia ada secara berperingkat mulai Selasa ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

LHDN berkata, pertukaran prefix ini tidak membabitkan sebarang perubahan terhadap nombor cukai pendapatan individu sedia ada dan tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata bagi individu juga kekal iaitu 30 April setiap tahun bagi individu tidak menjalankan perniagaan dan 30 Jun setiap tahun bagi individu yang menjalankan perniagaan.

Katanya, pertambahan kategori pembayar cukai yang boleh didaftarkan melalui perkhidmatan e-Daftar ini satu daripada inisiatif di bawah Transformasi Hasil (TH) sebagai usaha berterusan LHDN meningkatkan mutu perkhidmatannya kepada pembayar cukai.

Penetapan dan pertukaran prefix SG dan OG kepada IG bagi pembayar cukai individu pula dapat memudahkan pengurusan pembayar cukai serta mengelak kekeliruan dalam kalangan pembayar cukai individu.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/;

Sumber : BERNAMA

 

Sabtu, Mei 08, 2021

Larangan rentas negeri dan daerah 10 Mei hingga 6 Jun 2021

 

 

Semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara tidak dibenarkan, berkuat kuasa Isnin ini hingga 6 Jun 2021 ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sepanjang tempoh itu juga aktiviti berkaitan sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam, adalah tidak dibenarkan.

"Ini termasuk aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan serta swasta.

"Bagaimanapun, keputusan ini akan disemak semula selepas dua minggu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semua bazar Ramadan dan Aidilfitri dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditutup mulai Isnin ini.

Beliau berkata, bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan ditutup tiga hari berkuat kuasa serta- merta.

"Kerajaan pernah memberi amaran prosedur operasi standard (SOP) akan diperketatkan di semua kawasan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekiranya kes COVID-19 meningkat di seluruh negara.

"Ketika ini, kerajaan sentiasa meneliti SOP dan sekiranya berlaku pertambahan kes harian, kerajaan akan mendapatkan nasihat dan penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan SOP itu diperketatkan," katanya.

Beliau berkata, trend penularan COVID-19 dalam negara semakin membimbangkan ditambah dengan penemuan varian baharu virus itu.

Katanya, ia menyebabkan beberapa negeri melaksanakan PKP secara bersasar seperti Kedah, Selangor, Johor dan terbaharu Pulau Pinang serta Pahang, susulan beberapa kawasan di negeri berkenaan bertukar menjadi zon merah.

"Bagi memastikan tiada kekeliruan, segala keputusan dan pengumuman pelaksanaan PKP di mana-mana kawasan atau negeri akan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan selepas ia diputuskan dalam sidang mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Jumaat, Mei 07, 2021

Digi umum tawaran Program Jaringan Prihatin

 


Digi Telecommunications Sdn Bhd mengumumkan dua tawaran khas untuk rakyat yang layak bagi Program Jaringan Prihatin, termasuk pelanggan baharu dan sedia ada bagi memastikan mereka terus berhubung.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Digi berkata, mereka terbabit adalah penerima skim Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang boleh memilih rebat RM180 bagi pelan prabayar dan pascabayar atau subsidi peranti bernilai RM300.

Pelanggan sedia ada dan baharu Digi boleh memilih untuk menggunakan rebat bulanan RM15 tersebut dan tambahan data harian dua gigabit (GB) sehingga tempoh setahun.

Selain itu, rakyat yang berkeluarga dan layak dan memilih pelan subsidi, akan menerima subsidi RM300 bagi kelengkapan telefon pintar atau tablet 4G untuk kegunaan anak-anak mereka yang bersekolah.

"Bagi menyokong objektif kerajaan, Digi menawarkan pakej telefon pintar istimewa untuk pelanggan prabayar dan pascabayar," katanya.

Menurut Digi, pelanggan sedia ada yang layak digalakkan mendaftar bagi program ini dalam tempoh tiga bulan yang akan berakhir pada 31 Julai, 2021.

"Tawaran ini juga terbuka bagi bukan pelanggan Digi yang memilih sama ada beralih kepada Digi atau melanggan nombor telefon bimbit Digi yang baharu," katanya.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion dalam usaha kerajaan menangani cabaran jurang digital.

Menurut Muhyiddin, program itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 8.5 juta rakyat daripada kumpulan B40 untuk memiliki alat peranti telefon pintar atau menikmati bantuan pelan jalur lebar Internet.

 

 

BSN Takaful Sakinah pelan serendah RM55 setahun

 

Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) melancarkan BSN Takaful Sakinah, pelan perlindungan takaful mampu milik khas untuk golongan B40, dengan bayaran serendah dari RM55 setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail, berkata pelan perlindungan itu akan meningkatkan kadar penembusan insurans dan takaful di Malaysia.

Katanya, adalah amat penting untuk lebih ramai individu memiliki pelan perlindungan sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangka.

"BSN Takaful Sakinah diperkenalkan sebagai 'Pelan Perlindungan Pertama', yang dihasilkan khas untuk membantu komuniti mengurangkan beban kewangan terhadap orang yang tersayang jika berlaku musibah kematian terhadap peserta. 

"Dengan pelan perlindungan baharu yang dilancarkan bersama pihak BSN ini, kami berada pada landasan yang tepat dalam misi kami untuk menyediakan perlindungan kewangan yang mampu milik dengan akses mudah kepada lebih ramai rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran produk itu secara maya, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah.

BSN Takaful Sakinah adalah pelan boleh diperbaharui secara tahunan dengan perlindungan selama 12 bulan.

Ia produk patuh Syariah yang mana peserta harus mempunyai akaun simpanan BSN untuk membolehkan mereka membuat pendaftaran.

Pelan itu menawarkan perlindungan untuk musibah kematian sama ada atas sebab semula jadi atau kematian akibat kemalangan dengan manfaat khairat sehingga RM3,500.

Pelan mampu milik dengan pendaftaran mudah ini tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan, selain terbuka untuk mereka yang berumur antara 19 sehingga 50 tahun.

Terdapat tiga pilihan pelan perlindungan dengan bayaran tahunan sebanyak RM55, RM110 atau RM165 yang akan ditolak daripada akaun bank peserta.

Tuntutan perlindungan bagi kematian atas sebab semula jadi bermula daripada RM10,000 sehingga RM30,000, manakala untuk kematian yang diakibatkan oleh kemalangan, ia boleh mencecah sehingga RM60,000.

Bagi mereka yang berminat untuk melanggan pelan perlindungan ini, mereka boleh berkunjung terus ke cawangan BSN yang terdekat atau mendaftar secara layan diri melalui laman sesawang BSN, yang akan diumumkan kelak.

Sementara itu, Jay Khairil berkata, pelan perlindungan baharu itu amat bertepatan dengan visi BSN memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan.

"Adalah menjadi keutamaan kami untuk memberikan peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk menikmati kehidupan yang lebih baik melalui jaringan rangkaian yang luas dengan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.

"Pelan ini menyasarkan lebih banyak penyertaan daripada kumpulan komuniti B40 untuk membolehkan mereka mendapatkan perlindungan takaful dengan kadar sumbangan yang berpatutan," katanya. 

 

 

Pelan Yes percuma untuk keluarga B40

 

Perkhidmatan telekomunikasi Yes, milik YTL Communications mengumumkan pelan Yes Prihatin yang memberikan telefon pintar dan data percuma buat keluarga serta individu daripada kumpulan B40 menerusi inisiatif Jaringan Prihatin yang diumumkan kerajaan semalam.

Jaringan Prihatin yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan subsidi tahunan bernilai RM300 dan RM180 untuk keluarga serta individu yang didaftarkan di bawah golongan B40, bagi membantu mereka memiliki peranti dan data.

Terdapat dua pelan disediakan Yes iaitu Yes Prihatin Belajar Dari Rumah Keluarga dan Yes Prihatin Belajar Dari Rumah Individu, yang mana dengan subsidi Jaringan Prihatin, kedua-dua pelan tersebut menyediakan te­lefon, data dan akses kepada portal pembelajaran Learn-From-Home oleh Yayasan YTL selama setahun tanpa sebarang deposit, kontrak mahupun bayaran.

Perbezaan antara kedua-dua pelan ini ialah pelanggan pelan untuk keluarga menerima data 30 gigabait (GB) sebulan, manakala pelan individu me­nerima 15 GB data sebulan.

Selain itu, pelanggan turut menerima baucar Shopee bernilai RM50.

Pengarah Urusan YTL Communications Sdn. Bhd., Datuk Yeoh Seok Hong berkata, pelan Yes Prihatin membekalkan keluarga dengan telefon pintar percuma dan data percuma untuk setahun, membolehkan mereka fokus kepada pelajaran, pekerjaan dan perniagaan masing-masing.

“Namun, kami percaya itu sahaja tidak cukup, jadi kami memberi akses penuh kepada kandungan Learn-From-Home Yayasan YTL untuk anak-anak mereka, supaya tiada yang tercicir daripada arus pendidikan.

“Ini sangat penting kerana seluruh negara sekali lagi beralih ke model pengajaran dan pembelajaran atas talian mulai 17 Mei,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Sejak pelaksanaan PKP pertama pada Mac 2020, Yes telah menyokong kumpulan B40 berdepan cabaran pandemik bermula pengenalan program Learn-From-Home yang menyediakan kandungan pendidikan dan data percuma buat semua pelajar sekolah kebangsaan, selain telefon percuma buat pelajar daripada keluarga B40.

Program itu diperluaskan kepada semua mahasiswa ijazah sarjana muda pada Julai 2020 dan 230,000 guru di bawah Ke­satuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia mulai April tahun ini.
Pelan Yes Prihatin boleh didapati di www.yes.my/kasiupB40 dan aplikasi MyYes.

Jaringan Prihatin bantu B40 miliki telefon pintar, internet

 

Kerajaan melancarkan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion bagi membantu golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) memiliki alat peranti telefon pintar serta capaian internet.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program itu dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 8.5 juta rakyat daripada kumpulan B40 agar mereka tidak tersisih dan ketinggalan dalam arus digitalisasi di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan sedar, selain jurang rangkaian internet, masih terdapat juga jurang kemampuan kewangan untuk kumpulan itu memperoleh capaian internet.

Bahkan, katanya, kos telefon pintar juga menelan sebahagian besar pendapatan bulanan isi rumah yang berpendapatan rendah.

“Bagi mendepani realiti mencabar ini, kerajaan hari ini melancarkan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion yang dapat membantu mereka memiliki telefon pintar atau menikmati bantuan pelan jalur lebar internet.

“Daripada jumlah keseluruhan RM3.5 bilion ini, kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM2 bilion manakala syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan pula akan memberi sumbangan tambahan berjumlah RM1.5 bilion, terutamanya dalam bentuk data percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program itu di Kementerian Kewangan yang turut disiarkan secara maya di laman sosial Facebook Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mempercepatkan penyediaan infrastruktur 5G dengan pelaburan swasta melalui usaha Digital Nasional Berhad yang dianggar bernilai RM15 bilion.

“Insya-Allah usaha-usaha ini akan membantu mengurangkan jurang liputan dan kelajuan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya. 

Sumber : Kosmo!

Serpihan roket China ancam penduduk Bumi

 

Satu serpihan angkasa lepas bersaiz besar dengan berat mencecah sehingga beberapa tan diramal terhempas ke Bumi dalam tempoh beberapa minggu akan datang, lapor agensi berita United Press International semalam.

Serpihan itu adalah sebahagian daripada roket Long March 5B milik China yang baru-baru ini melancarkan modul pertama stesen angkasa lepasnya.

Serpihan di luar kawalan itu kini berada dalam fasa kemasukan semula dan tidak terbakar dalam atmosfera.

Berdasarkan orbit objek tersebut, titik pendaratan serpihan boleh terjadi di mana-mana sahaja di seluruh dunia.  

Insiden itu berlaku kira-kira setahun selepas sebuah roket, juga milik China terhempas ke Bumi.

Roket itu jatuh ke dalam Lautan Atlantik namun, beberapa serpihannya dilaporkan menjunam ke negara Cote D’Ivoire di rantau Afrika Barat.

Pada masa itu, pakar-pakar angkasa lepas berpendapat bahawa serpihan tersebut merupakan serpihan buatan manusia terbesar pernah jatuh ke Bumi.

Meskipun sehingga kini tiada laporan kematian atau kecederaan serius melibatkan orang awam akibat terkena serpihan angkasa lepas, itu tidak bermaksud objek itu tidak berbahaya. 

Sumber : Agensi 



70,000 pelajar IPT mula pulang secara berperingkat

 

Kira-kira 70,000 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) akan pulang ke rumah secara berperingkat sempena cuti perayaan, Hari Raya Aidilfitri bermula 8 Mei 2021.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pergerakan pelajar pulang ke rumah sempena cuti perayaan itu dibuat secara berperingkat sehingga 12 Mei depan.

“Angka ini lebih rendah daripada unjuran awal kementerian iaitu sebanyak 103,994 pelajar sebelum ini.

“Berdasarkan maklumat, jumlah keseluruhan pelajar di IPT adalah seramai 1.3 juta pelajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Noraini berkesempatan membuat lawatan ke bilik gerakan KPT bagi melihat persiapan dan persediaan IPT untuk pergerakan esok.

Sehubungan itu, beliau berharap semua yang telah diatur akan berjalan dengan lancar.

“Kami di KPT mahu pelajar bukan sahaja dapat pulang ke rumah tetapi pulang ke rumah dalam keadaan sihat dan selamat,” katanya. 

-Sumber : Kosmo!

Penerima BPR bakal terima RM180, RM300 dalam Jaringan Prihatin

 

Bantuan sebanyak RM180 dan RM300 masing-masing dalam bentuk pakej peranti dan pelan data akan diberikan kira-kira 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) menerusi menerusi Program Jaringan Prihatin.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pasangan penerima BPR yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun akan menerima bantuan sebanyak RM300 untuk pakej peranti atau RM180 pelan data untuk setahun.

Beliau berkata, pasangan yang tiada anak di bawah umur 18 tahun pula akan menerima bantuan sebanyak RM180 untuk pakej peranti atau RM180 pelan data untuk setahun.

“Penerima yang layak akan turut menikmati faedah tambahan daripada syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian dengan nilai keseluruhan RM1.5 bilion,” katanya menerusi Laporan LAKSANA yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, tempoh pendaftaran program Jaringan Prihatin dibuka dari 5 Mei hingga 31 Julai depan.

“Penerima yang layak boleh mendaftar dengan penyedia perkhidmatan pilihan mereka dan menyertai mana-mana pelan yang diiktiraf di bawah program ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Program Jaringan Prihatin yang akan memanfaatkan kira-kira 8.4 juta rakyat daripada kumpulan B40 di negara ini.

Sumber : Kosmo! 



Khamis, Mei 06, 2021

Ledakan digital: Maybank tidak bercadang kurangkan cawangan

 

 

Malayan Banking Bhd (Maybank) tidak berhasrat untuk menutup cawangan sedia ada pada masa hadapan, di sebalik ledakan teknologi yang menyaksikan kesan ketara transformasi ke arah perbankan digital.

Sebaliknya, bank terbesar dari segi aset itu berkata, ia akan memperbaiki serta meningkatkan mutu perkhidmatan cawangannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata pihaknya melihat pentingnya mempunyai cawangan bank sebagai saluran penting bagi kumpulan perbankan terbesar di Malaysia itu dari segi aset itu berhubung dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

Malah, katanya, pihaknya melihat kepentingan untuk meningkatkan cawangan pada masa depan mengikut keperluan semasa.

"Kita akan membuat banyak perubahan termasuk dari segi reka bentuk dan jenis perkhidmatan ditawarkan, tetapi akan mengambil masa beberapa tahun, bergantung kepada struktur ekonomi dan lokasi cawangan berkenaan.

"Mungkin jumlah cawangan akan ditingkatkan dan bukannya ditutup. Perkhidmatan juga akan diperbaiki dan pekerja dilatih semula bagi memenuhi keperluan semasa," katanya pada sidang media secara maya sempena Mesyuarat Agung Tahunan Maybank ke-61.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kajian yang dijalankan Roland Berger yang menjangkakan hampir 600 cawangan perbankan runcit di Malaysia akan ditutup dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menurut kajian syarikat perunding terkemuka Eropah bertajuk Branching out - The future of retail banking networks, pengecilan operasi perbankan itu selaras dengan ledakan teknologi kewangan (fintech) yang menyaksikan pelanggan beralih kepada perkhidmatan digital.

Ia menjangkakan 18 peratus atau lebih 11,000 cawangan bank ditutup di Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun akan datang dan penutupan cawangan perbankan runcit itu dijangka berlaku di enam pasaran termasuk Malaysia.

"Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina mengalami fasa pertumbuhan selama 10 tahun terakhir, namun jumlah cawangan dijangka mulai menurun atau terus mengecil di negara yang sudah menyaksikan trajektori penurunan.

"Indonesia, Thailand dan Malaysia akan memperlihatkan penggabungan cawangan yang ketara ketika ekonomi terus berkembang, selain dipacu insentif dan peraturan kerajaan yang menyokong lebih banyak aktiviti perbankan digital," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Recent Posts