Memaparkan catatan dengan label merentas negeri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label merentas negeri. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 10, 2021

Boleh merentas negeri mulai 11 Oktober 2021 untuk individu lengkap vaksin

 

Kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada Keluarga Malaysia yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Alhamdulillah, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

"Bagaimanapun, data terkini akan dikemas kini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini," katanya pada sidang media.

Serentak itu, katanya, Keluarga Malaysia dibenarkan untuk melakukan aktiviti pelancongan ke mana-mana negeri, selain bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang sudah lama berpisah dan sebagainya.

"Inilah sebenarnya yang ditunggu-tunggukan masyarakat seperti saya sebutkan di peringkat awal tadi, kita terpaksa tegas dari segi soal rentas negeri ini. Seperti dijanjikan, mulai esok bolehlah rakyat Malaysia melakukan pergerakan rentas negeri.

"Saya percaya ramai tunggu pengumuman ini kerana terlalu ramai yang sudah terlalu rindu untuk pulang ke kampung bertemu ibu bapa, keluarga dan sebagainya. Jadi Keluarga Malaysia sudah bebas lakukan perjalanan pulang ke kampung.

"Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas

kerjasama diberikan selama ini dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menyokong

kempen imunisasi COVID-19," katanya sidang media khas, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Keluarga Malaysia dinasihat agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran perjalanan rentas negeri yang diberikan.

"Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi dan persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.

"Jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak COVID-19 ini akan kembali meningkat. Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus COVID-19," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, remaja berusia 12 hingga 17 tahun dan kanak-kanak yang belum divaksin juga dibenarkan untuk menikmati kelonggaran rentas negeri walaupun belum menerima vaksin COVID-19.

Beliau berkata, ia selepas mengambil kira faktor kanak-kanak masih tidak boleh diberi pelalian berkenaan.

Selain itu, katanya, tiada prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dikeluarkan bagi kelonggaran berkenaan bagi negeri yang belum mencapai kadar vaksinasi 80 peratus.

"Kita lihat kepada purata keseluruhan di seluruh negara apabila capai 90 peratus. Ada negeri (kadar vaksinasi) yang lebih 100 peratus dan ada yang masih kurang.

"Bagaimanapun, tiada SOP baharu akan diperkenalkan (bagi negeri yang belum mencapai 80 peratus kadar vaksinasi).

"Bagi kanak-kanak pula, ibu bapa merekalah yang sepatutnya tidak membawa mereka ke tempat perhimpunan ramai dan mereka boleh untuk rentas negeri," katanya. 

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Rabu, Oktober 06, 2021

Pastikan virus Covid-19 tak ikut balik kampung

 

“Jalani ujian air liur, pastikan kita tidak bawa jangkitan kepada mereka di kampung”. Itu antara peringatan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah kepada rakyat Malaysia yang sudah tidak ‘sabar-sabar’ untuk merentas negeri sebaik sahaja kerajaan membenarkannya tidak lama lagi.

Pesanan itu dimuat naik menerusi ciapan Twitter beliau supaya rakyat Malaysia mengambil tindakan proaktif memastikan tidak membawa jangkitan Covid-19 kepada orang tersayang di kampung.

Sedikit masa lagi rakyat Malaysia akan dibenarkan merentas negeri untuk balik kampung dan melancong. Tetapi ingin diperingatkan agar kita ambil tindakan proaktif untuk jalani ujian air liur RTK Ag kendiri supaya kita dapat pastikan kita tidak bawa jangkitan kepada mereka di kampung,” menurut ciapan beliau.

Beliau turut membalas pertanyaan seorang individu yang menaip, “Asyik sikit masa lagi je. Berapa sikit lagi ni? Saya dah packing baju”.

Dr. Noor Hisyam berkata, rentas negeri akan dibenarkan apabila negara sudah mencapai 90 peratus populasi dewasa divaksinasi. Kita bergantung kepada maklumat data bukan tarikh. Terkini 88.4 peratus rakyat dewasa telah pun lengkap divaksinkan. Apabila kita mencapai 90 peratus rakyat dewasa lengkap divaksinkan maka merentas negeri akan dibenarkan.

Individu yang berada di kawasan berisiko tinggi terdedah jangkitan Covid-19 dinasihati menjalani ujian kendiri secara berkala sebelum bersedia balik kampung.

Ingatan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu lebih-lebih lagi apabila pergerakan rentas negeri sudah hampir dibenarkan dengan 1.6 peratus sahaja diperlukan bagi kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus.

Sumber : Kosmo!

Ahad, Julai 18, 2021

Tak terima surat MITI rentas negeri sepanjang Aidiladha

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melarang sebarang pergerakan merentas negeri menggunakan surat kebenaran dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bermula hari ini hingga Rabu ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tindakan itu dibuat bagi mengelak perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyalahguna surat kebenaran MITI untuk merentas negeri bagi tujuan pulang ke kampung menyambut Aidiladha Selasa ini.

"Ini berikutan PDRM mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini. Justeru, semua sekatan jalan raya di sempadan negeri diarah meningkatkan penguatkuasaan.

"Semua sekatan jalan raya di sempadan negeri diarahkan supaya tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh bermula hari ini hingga 21 Julai ini (Rabu) bagi pergerakan merentas negeri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Acryl berkata, larangan itu tidak terpakai untuk urusan kecemasan dengan kebenaran polis serta urusan kesihatan termasuk vaksinasi.

"Mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi.

"Masyarakat dinasihat untuk terus bersama memainkan peranan dalam melandaikan lengkuk jangkitan wabak COVID-19," katanya.

Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha.

Sumber : Berita Harian

 

Jumaat, Mei 07, 2021

70,000 pelajar IPT mula pulang secara berperingkat

 

Kira-kira 70,000 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) akan pulang ke rumah secara berperingkat sempena cuti perayaan, Hari Raya Aidilfitri bermula 8 Mei 2021.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pergerakan pelajar pulang ke rumah sempena cuti perayaan itu dibuat secara berperingkat sehingga 12 Mei depan.

“Angka ini lebih rendah daripada unjuran awal kementerian iaitu sebanyak 103,994 pelajar sebelum ini.

“Berdasarkan maklumat, jumlah keseluruhan pelajar di IPT adalah seramai 1.3 juta pelajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Noraini berkesempatan membuat lawatan ke bilik gerakan KPT bagi melihat persiapan dan persediaan IPT untuk pergerakan esok.

Sehubungan itu, beliau berharap semua yang telah diatur akan berjalan dengan lancar.

“Kami di KPT mahu pelajar bukan sahaja dapat pulang ke rumah tetapi pulang ke rumah dalam keadaan sihat dan selamat,” katanya. 

-Sumber : Kosmo!

Rabu, Mac 10, 2021

Pelancongan rentas negeri PKPP dibenarkan

 

Kerajaan mengumumkan Gelembung Pelancongan Bersasar yang membenarkan pelancong bergerak dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), merentas negeri PKPP lain.

Kebenaran pergerakan itu tertakluk kepada penggunaan perkhidmatan agensi pelancongan berdaftar, merangkumi khidmat pengangkutan dan penginapan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mesyuarat jawatankuasa teknikal meluluskan cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai Gelembung Pelancongan Bersasar, bagi membantu memulihkan kembali ekonomi pelancongan.

"Selepas mengambil kira penilaian risiko dan data daripada agensi-agensi berkaitan serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju membenarkan pergerakan pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP lain.

"Namun mereka perlu menggunakan perkhidmatan syarikat berdaftar dan pergerakan menggunakan kenderaan persendirian tidak dibenarkan," katanya dalam sidang media harian COVID-10 hari ini.

Ismail Sabri berkata, syarikat agensi pelancongan perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pergerakan rentas negeri.

"Perjalanan mestilah terus ke negeri PKPP dan tidak dibenarkan berhenti di mana-mana negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala tempat penginapan sudah ditetapkan dan aktiviti pelancongan juga perlu ditetapkan lebih awal," katanya.

Ismail Sabri berkata, Gelembung Pelancongan Bersasar juga memberikan kebenaran melancong ke Pulau Langkawi yang ditukarkan status kepada PKPP meskipun negeri Kedah masih dilaksanakan PKPB.

Katanya, pulau berkenaan dalam zon hijau, selepas kes positif COVID-19 terakhir yang dikesan pada 20 Februari lalu dengan dua kes positif.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts