Selasa, Mei 04, 2021

Pelantar Naga 7 tenggelam

 

Pelantar penggerudi Naga 7 berhampiran Kumang Field di Miri, Sarawak, tenggelam sepenuhnya pada 7.45 pagi hari ini.

Jurucakap ConocoPhillips Sarawak Ltd dalam satu kenyataan media hari ini mengesahkan insiden yang berlaku pada 2.45 petang semalam menyebabkan pelantar penggerudi itu perlahan-lahan tenggelam.

Menurutnya, terdapat 101 kru di atas pelantar minyak terbabit bagi menjalankan kerja-kerja menggerudi di kawasan blok Salam 3 ketika kejadian.

"Kawasan berlakunya insiden itu terletak 135 batu nautika dari pantai Miri," katanya.

Sejurus menerima makluman berhubung insiden, pasukan tindakan kecemasan ConocoPhillips bertindak pantas dengan memindahkan kesemua kru atas pelantar minyak berkenaan ke kawasan selamat.

Menurutnya, kesemua kru dibawa pulang pusat transit di Miri pada hari ini, manakala baki 16 orang lagi akan dibawa esok.

Bagaimanapun, ConocoPhillips tidak mendedahkan punca sebenar berlakunya insiden itu.

Sumber : H.Metro

Membeli-belah online guna Aplikasi PLUS

 

Orang ramai terutama pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) kini boleh membeli-belah secara dalam talian menerusi Aplikasi PLUS.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berkata, PLUS berkolaborasi dengan Lazada Malaysia untuk tujuan itu.

“Aplikasi PLUS kini menampilkan ikon Lazada di mana pelanggan boleh menikmati tawaran pelbagai jenama, produk dan potongan harga istimewa,” kata PLUS dalam satu kenyataan media hari ini.

Ketua Pegawai Komersial PLUS, Christine Liew berkata, pelanggan PLUS akan menikmati tawaran dan ganjaran menarik membeli-belah menerusi Aplikasi PLUS.

Menurut beliau, melalui kerjasama itu, pengguna Aplikasi PLUS akan menikmati baucar eksklusif daripada Lazada Malaysia.

Kata beliau, pembeli baharu berpeluang menebus baucar bernilai RM14 bermula 1 Mei sehingga 31 Mei 2021.

Tambah beliau, manakala pengguna Aplikasi PLUS dan pembeli Lazada Malaysia sedia ada boleh menebus baucar sebanyak RM10 sehingga 5 Mei 2021.

Katanya, orang ramai hanya perlu memuat turun Aplikasi PLUS melalui Google Play atau Apple Store dan mendaftar sebagai ahli PLUSMiles untuk mengakses laman web Lazada di halaman utama PLUSMiles.

SOP sambutan Aidilfitri 2021

 

 

Aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan Aidilfitri dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tempoh masa dan jumlah pengunjung berbeza di kawasan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

"Bagi kawasan PKP, ianya dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tidak melebih 15 orang pada satu masa mengikut saiz rumah dan mematuhi penjarakan fizikal.

"Bagi kawasan PKPB dan PKPP, ziarah hari raya dibenarkan iaitu pada 1 sehingga 3 Syawal. 

"Di kawasan PKPB kehadiran terhadap 20 orang bagi satu masa manakala di kawasan PKPP kehadiran tetamu tak melebihi 25 orang mengikut saiz rumah dan ada penjarakan fizikal.

"Jika rumah kecil dan tidak boleh lakukan penjarakan fizikal, jumlah 25 orang terlalu ramai maka kita tidak benarkan," katanya pada sidang media, hari ini.

Bagaimanapun, bagi kawasan PKP Diperketatkan (PKPD), Ismail Sabri berkata kerajaan tidak membenarkan pengunjung luar dan sambutan tertakluk ahli keluarga dalam rumah sahaja.

Mengenai kebenaran solat sunat Aidilfitri, Ismail Sabri berkata ia tertakluk masjid dan surau yang terletak di kawasan PKP, PKPB dan PKPP sahaja.

Beliau bagaimanapun berkata masjid dan surau di kawasan PKPD tidak dibenarkan menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Mengulas lanjut, katanya ketetapan SOP solat sunat Aidilfitri akan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

"Bagi menentukan siapa boleh hadir sama ada ada wanita atau kanak-kanak, ia terletak di bawah keputusan pihak berkuasa agama negeri akan memaklumkan kepada setiap masjid dan surau di negeri masing-masing," katanya.

Menjelaskan amalan takbir solat sunat Aidilfitri dari rumah ke rumah, Ismail Sabri berkata aktiviti itu juga tidak dibenarkan di semua kawasan PKP, PKPD, PKPB dan PKPP.

Bagi penganjuran rumah terbuka sempena Aidilfitri, jelasnya ia tidak dibenarkan di kawasan PKP, PKPD, PKPB dan PKPP.

Selain itu, Ismail Sabri berkata jamuan selepas solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau di kawasan PKP dan PKPD turut dilarang.

Bagaimanapun katanya, jamuan berkenaan dibenarkan dianjurkan di masjid dan surau membabitkan kawasan PKPB serta PKPP.

"Jamuan hari raya di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan tertakluk pada (ketetapan) pihak berkuasa agama negeri.

"Jawatankuasa masjid dan surau digalakkan walaupun pihak berkuasa agama negeri boleh tentukan tetapi kita galakkan atau nasihatkan juadah berbungkus diedarkan kepada jemaah untuk dibawa pulang," katanya.

Mengulas lanjut aktiviti ziarah kubur sempena sambutan Aidilfitri, Ismail Sabri berkata kerajaan membenarkan aktiviti itu namun hanya di kawasan PKPB dan PKPP dengan pematuhan SOP seperti ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau berkata berkata aktiviti ziarah kubur di kawasan PKP dan PKPD adalah tidak dibenarkan.

"Ziarah tanah kubur bagi kawasan PKPB dan PKPP dengan syarat. Hadnya tidak melebihi enam orang bagi satu lot atau petak kubur serta tidak melebihi 30 minit," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Isnin, Mei 03, 2021

Honda perkenal Civic generasi ke-11

 

Honda memperkenalkan reka bentuk baharu model Civic generasi ke-11 yang lebih matang dan eksklusif minggu lalu melalui video pratonton di saluran Youtube rasminya.

Model yang digelar sebagai Honda Civic 2022 itu menampilkan reka bentuk yang moden dan berteknologi tinggi selain rekaan dalaman yang berpusatkan manusia dan sistem keselamatan canggih.

Model tersebut pertama kali didedahkan kepada umum pada November lalu dalam versi prototaip dan rupa baharunya ternyata tidak banyak berbeza dengan versi tersebut.

Portal Overdrive memuji peningkatan tumpuan terhadap ciri minimalis dalam reka bentuk baharu tersebut.

Menurut portal tersebut, papan pemuka model itu dilihat kalis cap jari, mempunyai kawalan iklim fizikal baharu, set didik hibur 9 inci, paparan pemandu digital 10.2 inci, pengecasan tanpa wayar, tempat duduk baharu dan lohong pendingin udara yang tersorok di belakang jejaring di sepanjang papan pemuka.

Honda berkata, model terbaharu tersebut akan mengandungi ciri-ciri termasuk enjin bercas turbo 180-hp; sistem pemanduan tiga mod dengan mod sport; penanjak pedal; dan sistem bunyi Bose Premium.

Menambahkan keistimewaan model tersebut, ia turut mempunyai Apple CarPlay tanpa wayar; integrasi Android Auto; penggayaan potongan sport dan sistem maklumat titil buta dengan pengawasan lintas trafik.

Model itu turut dilengkapi teknologi Standard Honda Sensing yang dilengkapi Sistem Brek Cegah Langgar (CMBS) dan Sistem Cegah Keluar Lorong (RDM).

“Piawaian untuk semua sedan Civic, suit Honda Sensing bagi keselamatan dan teknologi bantuan pemandu direka untuk memberi amaran tentang perkara yang mungkin anda terleka ketika memandu.

“CMBS boleh menghentikan kenderaan anda dengan mengenakan tekanan brek secara automatik apabila sistem menentukan bahawa pelanggaran hadapan tidak dapat dielakkan.

“RDM boleh menentukan jika akan melintasi laluan yang dikenal pasti tanpa memberi isyarat, memberikan bantuan kemudi untuk mengembalikan anda ke laluan asal atau memberikan bantuan brek bagi mengelakkan anda terkeluar dari lorong sepenuhnya,” katanya.

Model tersebut dijangka berada di pasaran Malaysia pada tahun hadapan.

Pembayaran Zakat Melalui Maybank

 

Malayan Banking Bhd (Maybank) menjangkakan kira-kira 200,000 transaksi zakat dalam talian bernilai RM30 juta melalui aplikasi MAE dan laman sesawang Maybank2u pada Ramadan ini.

Menurut institusi perbankan itu, pihaknya sudah meningkatkan ciri-ciri zakat dalam talian baru-baru ini bagi dua platform digital itu untuk memberi pelanggan pengalaman lancar dan mudah ketika membayar zakat.

"Pelanggan Maybank boleh membuat pembayaran zakat kepada semua pusat zakat negeri di Malaysia.

"Buat masa ini 11 pusat zakat boleh menerima pembayaran dalam talian untuk zakat fitrah iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Melaka, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan," menurutnya dalam kenyataan.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, menerusi pembayaran zakat secara dalam talian, pelanggan dapat menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah dengan mudah dan selamat terutama dalam persekitaran semasa dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dikuatkuasakan di beberapa tempat di dalam negara.

Beliau berkata, susulan peningkatan dengan ciri baharu, nilai zakat fitrah yang perlu dijelaskan dikira secara automatik apabila pelanggan memilih pusat zakat, jenis beras yang dimakan serta jumlah ahli keluarga.

"Pelanggan tidak perlu mencari harga beras yang dikenakan setiap pusat zakat negeri kerana ia sudah tersedia melalui aplikasi ini.

"Mereka juga tidak perlu mengisi butir-butir peribadi kerana proses ini dibuat secara automatik. Akad zakat juga turut dipaparkan pada halaman pengesahan pembayaran menjadikan sistem zakat dalam talian kami yang paling lengkap di negara ini pada masa ini," katanya.

Selain bayaran zakat dalam talian, Maybank juga menawarkan perkhidmatan eDuit Raya melalui aplikasi MAE untuk membolehkan pelanggan meneruskan tradisi pemberian duit raya dan sentiasa selamat.

Hamirullah berkata, pihaknya menjangkakan transaksi eDuit Raya tahun ini meningkat 30 peratus dan mengunjurkan 1.5 juta transaksi eDuit Raya bernilai sehingga RM115 juta dihantar oleh pelanggan Maybank.

"Susulan penambahan ucapan e-Raya yang menarik dan permainan MAE-ga Raya, kami berharap dapat memberi kegembiraan kepada keluarga yang menyambut secara berjauhan dan memeriahkan lagi perayaan mereka," katanya.

Layari www.maybank2u.com.my/mae. untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai aplikasi dalam talian bayaran zakat, eDuit Raya serta kempen MAE-ga Boleh Raya.

 

 

Acryl Sani Ketua Polis Negara ke-13

 

Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, 59, secara rasminya dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-13, pada 3 Mei 2021.

Pelantikan itu dibuat dalam satu majlis serah terima tugas yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said, di Bukit Aman.

Majlis itu sepatutnya disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, namun beliau tidak dapat hadir atas urusan kerja.

Acryl Sani menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang bersara hari ini selepas dua tahun (4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021) memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara ke-12.

Sebagai rekod, Acryl Sani sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 14 Ogos tahun lalu bagi menggantikan Datuk Seri Mazlan Mansor yang bersara wajib.

Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu memiliki Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan menyertai polis pada 2 Feb 1986 sebagai Kadet Asisten Superintendan Polis (ASP).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah dan Timbalan Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah di Jabatan Pengurusan.

Acyril Sani juga pernah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Pesuruhjaya Polis Sarawak, Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman. 

Sumber : Kosmo!


Jambatan gantung terpanjang dunia dibuka di Portugal

 

Sebuah jambatan gantung yang memiliki kepanjangan 516 meter telah dibuka di Arouca, Portugal.

Jambatan diberi nama 516 Arouca itu menghubungkan Air Terjun Arouca dengan Paiva Gorge dan merupakan tarikan terbaharu Arouca Geopark yang terkenal dengan aktiviti sukan lasak.

Perjalanan merentas jambatan itu mengambil masa sekitar 4 hingga 10 minit dan pengunjung boleh melihat pemandangan air terjun yang memukau.

Jambatan itu menerapkan ciri-ciri masyarakat Tibet dengan kabel besi dan dua menara berbentuk V dengan ketinggian 516 meter.

Jambatan itu direka oleh studio Itecons di Portugal dan mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

“Jambatan ini menyasarkan untuk menarik golongan seperti pencinta kejuruteraan, pencinta alam semula jadi dan mereka yang sukakan cabaran ekstrem,” kata majlis perbandaran Arouca dalam satu kenyataan tahun lalu.

516 Arouca telah ‘mencuri’ gelaran jambatan gantung terpanjang di dunia daripada jambatan gantung Charles Kuonen di Switzerland yang memiliki panjang 494 meter. 

Sumber : Agensi

Siti Nurhaliza jawab tuduhan langgar SOP

 


Datuk Seri Siti Nurhaliza menepis dakwaan majlis tahnik sempena kelahiran anak kedua, Muhammad Afwa di kediamannya di sini, baru-baru ini, melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk larangan rentas negeri membabitkan salah seorang tetamu seperti yang tular dalam media sosial.

Siti, 42, berkata, individu terbabit yang juga seorang pendakwah bebas terkenal, bersetuju untuk hadir kerana kebetulan beliau berada di sini atas urusan kerja.

"Berhubung isu yang sedang tular, sebagai tuan rumah, saya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ingin memberi pencerahan mengenai majlis tahnik yang dianjurkan pada 26 April lalu yang didakwa tidak mengikut SOP termasuk berlakunya aktiviti rentas negeri.

"Kami ingin memaklumkan tiada aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya, individu itu bersetuju hadir kerana kebetulan beliau berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan majlis tahnik itu dianjurkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Siti berkata, atur cara majlis dan bilangan tetamu adalah mengikut syarat yang tertakluk bagi acara yang dianjurkan dalam tempoh berkenaan.

"Majlis terbahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak mengikut sunnah Rasulullah.

"Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka.

"Sebaliknya, beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain," katanya.

Sebagai rakyat Malaysia, Siti menegaskan dalam apa juga perkara yang dilakukan, beliau tidak akan sesekali membelakangkan undang-undang.

"Selain perlu peka pada situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini. Selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin," katanya.

Tambah Siti, penjelasan itu dibuat bertujuan untuk menjernihkan keadaan dan menamatkan spekulasi yang boleh menjurus kepada fitnah.

"Penjelasan ini bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberi pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu," katanya.

Enggan membiarkan kontroversi itu berlanjutan, pasangan ini turut memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak yang tersinggung dengan insiden itu.

"Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

"Kami memahami dan berlapang dada dengan setiap teguran yang diberi. Kami juga bersedia memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

"Ini adalah kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini. Saya ingin fokus berpantang selepas melahirkan Muhammad Afwa dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan serta difahami dengan baik," katanya.

Kontroversi tercetus selepas tular beberapa foto memaparkan seorang menteri dan pendakwah bebas terkenal dilihat hadir ke majlis tahnik yang dianjurkan di kediaman Siti.

Susulan daripada itu, netizen mempersoalkan bagaimana salah seorang pendakwah yang dipercayai menetap di Terengganu, dibenarkan merentas negeri untuk hadir ke majlis berkenaan.

Malah, ada netizen terkilan dengan penganjuran majlis berkenaan ketika rakyat Malaysia dilarang merentas negeri selain atas tujuan kecemasan.

Sumber : Berita Harian

 

Polis siasat majlis tahnik anak selebriti

 

Polis menyiasat majlis tahnik dianjurkan seorang penyanyi tersohor tanah air yang dikatakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima satu laporan mengenai majlis itu.

"Kita mengesan laporan disiarkan sebuah portal berita berhubung rasa tidak puas hati netizen berkaitan majlis tahnik dianjurkan seorang selebriti tanah air di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Ampang.

"Terdapat juga beberapa gambar di dalam laporan berita terbabit menunjukkan kehadiran beberapa orang kenamaan (VVIP) dan penceramah agama terkenal ke majlis itu.

"Laporan itu juga mendakwa VVIP dan penceramah jemputan hadir ke majlis tanpa kelulusan dari pihak polis untuk merentas negeri atas alasan mereka tinggal di luar Selangor," katanya dalam kenyataan.

Selain itu katanya, laporan berkenaan juga menyatakan majlis terbabit dijalankan tanpa mematuhi SOP ditetapkan.

"Sehubungan itu, kita sudah menjalankan siasatan mengikut Peraturan 19 Peraturan - Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Pihak penganjur majlis sudah dikenal pasti dan dipanggil untuk hadir memberikan keterangan lanjut kejadian," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa sensitif dan mengutamakan SOP dalam sebarang aktiviti yang dijalankan.

Dalam pada itu, pihaknya meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu kerana dalam siasatan.

Terdahulu, turut tular di media sosial beberapa gambar berkaitan gambar majlis tahnik bersama majlis akikah yang diadakan penyanyi, Datuk Seri Nurhaliza selepas melahirkan anak keduanya, Muhammad Afwa.

Antara VVIP yang dikatakan hadir pada majlis yang diadakan pada Khamis lalu itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal.

Terdapat segelintir netizen tidak berpuas hati dan mempersoalkan kehadiran menteri dan penceramah yang dikatakan merentas negeri semata-mata untuk menghadiri majlis berkenaan dan mendakwa Siti Nurhaliza tidak sensitif dengan situasi semasa.

Sumber : Berita Harian

 

Jemaah umrah wajib ada insurans COVID-19

 

 

Warga asing yang datang ke Arab Saudi dengan visa umrah, lawatan dan pelancongan diwajibkan mempunyai perlindungan insurans terhadap risiko jangkitan COVID-19.

Bank Pusat Arab Saudi dan Majlis Insurans Kesihatan Koperasi mengumumkan semalam mengenai keperluan untuk mengemas kini format polisi insurans dalam hal ini dengan menambahkan liputan untuk risiko jangkitan COVID-19.

Memetik portal berita Saudi Gazette, penambahan syarat itu bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk bukan warganegara Arab Saudi dari luar negara untuk tujuan pelancongan, lawatan dan umrah sekiranya mereka dijangkiti virus berkenaan.

Ini adalah untuk memastikan keselamatan semua pihak selain memastikan akses yang cepat dan mudah dalam mendapatkan rawatan.

Perlindungan insurans merangkumi kos rawatan orang yang dijangkiti, kos prosedur kuarantin dan pemindahan perubatan dalam keadaan kecemasan. 

Sumber : AGENSI

Kilafairy akhirnya bertudung

 

"Ya Allah hadirkan aku rasa ketakutan untuk pakai tudung. Tunjukkan kepadaku. Alhamdulillah, saya kini sudah berhijab," kata pelakon dan penyanyi Kilafairy mengenai doa yang sering dititipkannya ketika meminta petunjuk untuk berhijab tahun lalu. 

Kilafairy, 29, atau mesra disapa Kila berkata, buat masa ini dia belum bersedia untuk berkongsi detik perasaan yang menjentik hatinya untuk memakai tudung. 

"Saya belum bersedia untuk berkongsi, bagaimana saya boleh tiba-tiba nak berhijab. Saya nak simpan rahsia ini untuk diri sendiri dulu. 

"Lagipun papa pesan jangan kongsikan kepada sesiapa, sebab ini adalah hadiah yang Tuhan berikan kepada saya. 

"Cuma apa yang boleh saya kongsikan, saya dah lama nak bertudung. Tapi banyak anasir jahat dan cuba takut-takutkan saya apabila nak berhijab. Disebabkan itu, saya tangguhkan hasrat ini untuk beberapa tahun," katanya. 

Menurut Kila, dia bagaimanapun bersyukur tidak berdepan sebarang kesulitan selepas mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya tahun lalu. 

"Bila dah sampai waktu untuk berhijab, saya tidak berdepan sebarang kesukaran. Malah, rakan-rakan selebriti pun ramai yang hantar mesej peribadi kepada saya mengenai penghijrahan ini. 

"Sebenarnya ramai selebriti yang masih belum berhijab teringin nak bertudung, tapi masa mereka belum tiba. Apa yang mampu saya katakan, jangan putus berdoa jika inginkan perubahan dalam hidup," katanya.

Sumber : Harian Metro