Jumaat, November 13, 2020

PROTON lancar laman web kereta terpakai

 

Proton Holdings Bhd (PROTON) melancarkan laman web kereta terpakainya, Proton Certified Pre-Owned (PCPO) bagi membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat mengenai stok semasa daripada 36 pengedar di seluruh negara dan tukar beli kenderaan untuk menerima tawaran hebat pembelian model baharu.

Dalam kenyataan hari ini, PROTON berkata berikutan jumlah jualan yang meningkat pada 2019, ia jelas menunjukkan bahawa kecekapan pemprosesan tukar beli kereta pelanggan adalah kunci untuk mengekalkan kadar pertumbuhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata sehubungan itu, PROTON mewujudkan bahagian Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) untuk membina rangkaian pengedar yang berkebolehan menjual kereta terpakai bersama kereta baharu.

"Semua pengedar perlu memenuhi beberapa syarat dan bersetuju mengambil langkah yang diperlukan untuk menyediakan stok tukar beli mereka sebelum dijual.

"Antara syarat lain bagi kereta PCPO ialah tidak melebihi tujuh tahun dengan jarak tempuh tidak melebihi 130,000 kilometer semasa ditukar beli dan bebas kerosakan disebabkan banjir atau kemalangan besar yang mungkin mempengaruhi kekuatan struktur kereta," katanya.

Menurut Roslan, PCPO adalah langkah PROTON yang selanjutnya untuk membina ekosistem yang menyeluruh.

"Selain terus menawarkan produk baharu dan ditambah baik, kami juga mahu menarik perhatian mereka yang ingin membeli kereta terpakai serta menawarkan kaedah yang senang dan cepat untuk pelanggan menukar beli kereta," katanya.

Beliau berkata, semua kereta PCPO diberi jaminan tambahan selama setahun untuk bahagian enjin dan kotak gear serta khidmat servis percuma yang boleh ditebus sehingga enam bulan selepas tarikh pendaftaran.

Roslan berkata, laman web itu turut menawarkan jenama kereta lain yang telah ditukar beli melalui PCPO, namun, kenderaan itu tidak akan menerima jaminan tambahan daripada syarikat.

Bagaimanapun, ia akan menerima pemeriksaan menyeluruh dan dibaik pulih sekiranya perlu sebelum dijual.

"Selain membantu meningkatkan jualan kereta baharu, bahagian UCM PROTON ditubuhkan bertujuan menstabilkan dan meningkatkan nilai kenderaan PROTON secara beransur-ansur.

"Dengan menawarkan kereta terpakai yang berkualiti tinggi, kami berharap harga kereta terpakai PROTON akan meningkat secara keseluruhan dan memudahkan pelanggan mendapat kadar pinjaman kewangan yang kompetitif dan nilai tukar beli yang tinggi apabila ingin membeli kereta baharu," kata Roslan.

Untuk maklumat lanjut, layari https://used-cars.proton.com

- BERNAMA

 

 

Usahawan kosmetik dakwa bergelar Datuk Seri ditahan kes seludup dadah

 

Polis menahan lima lelaki, termasuk seorang anggota tentera kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan dadah rentas negara.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata tangkapan dilakukan menerusi dua serbuan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, kira-kira 4.30 petang, Selasa lalu.

"Dalam serbuan pertama, polis menangkap dua beradik lelaki warga tempatan berumur 25 tahun dan 31 tahun yang menaiki sebuah kereta jenis Ford Mustang.

"Polis merampas 120 bungkusan teh Cina mengandungi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 126.85 kilogram dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM5 juta.

"Polis turut merampas sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM500,000 yang didaftarkan di atas nama isteri kepada suspek kedua," katanya dalam sidang media di Shah Alam.

Arjunaidi berkata, siasatan mendapati suspek usahawan kosmetik di Kelantan dan bergelar 'Datuk Seri', manakala adiknya anggota tentera bertugas di Kuala Lumpur.

"Pada kad perniagaan suspek pertama, menyatakan dia 'Datuk Seri' tetapi semakan mendapati namanya tiada. Kemungkinan dia menggunakan gelaran itu secara tidak sah dan polis masih lagi menyiasat.

"Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing negatif," katanya.

Susulan tangkapan itu, katanya, polis menahan tiga lagi suspek membabitkan dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia berumur lingkungan 32 hingga 43 tahun.

"Ketiga-tiga ialah orang tengah bagi urusan jual beli dadah terbabit.

"Saringan awal polis terhadap ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Meth. Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes dadah dan jenayah.

"Polis turut menyita tiga kenderaan dan wang tunai berjumlah RM3,000 dengan keseluruhan sitaan bernilai RM158,000," katanya.

Beliau berkata, sindiket dadah yang dipercayai beroperasi lebih lima bulan itu dipercayai menjadikan negara ini sebagai transit, sebelum diedarkan ke negara jiran.

"Sindiket ini dipercayai menyeludup dadah ini dari negara jiran di utara Semenanjung, seterusnya dibawa melalui Pantai Timur ke Pantai Barat.

"Semua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari mulai 11 November hingga 17 November depan.

"Kes diklafikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. 

Sumber : Berita Harian

 

Polis nafi tular kompaun kerana tidak pakai pelitup muka untuk minum air

 

Polis Kerian menafikan dakwaan tular kononnya dua remaja lelaki yang dikenakan kompaun RM1,000 adalah disebabkan tidak memakai pelitup muka untuk minum air di Taman Wawasan di Parit Buntar, Perak.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat sebaliknya berkata, kompaun itu dikeluarkan setelah mendapati dua remaja berusia 17 dan 18 tahun itu tidak memakai pelitup muka sambil berbual dengan mengadap satu sama lain.

Katanya, tindakan ke atas mereka juga hanya diambil setelah pemerhatian selama 10 minit dilakukan anggota bertugas.

“Semasa rondaan Op Cegah Jenayah/Op Covid-19 SOP PKPB Parit Buntar di jalankan di kawasan berkenaan pada pukul 12 tengah hari, pihak polis telah ternampak dua lelaki duduk di atas motosikal masing-masing sambil berbual mengadap satu sama lain.

“Kedua-dua mereka didapati tidak memakai pelitup muka walaupun selepas pemerhatian dijalankan dalam tempoh 10 minit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mazuki berkata, seorang pegawai polis kemudiannya menghampiri remaja terbabit dan memperkenalkan diri sebelum menjelaskan kesalahan yang telah dilakukan mereka.

Katanya, kedua-dua remaja itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk tindakan kompaun kerana melanggar Peraturan 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Sebelum tindakan kompaun diambil, kita telah membuat pemerhatian lebih kurang 10 minit di tempat tersebut.

“Malah, di dalam gambar dan video yang diambil juga jelas menunjukkan kedua-dua remaja itu bukan sahaja tidak memakai pelitup muka malah tidak mematuhi penjarakan sosial iaitu satu meter,” katanya.

Menerusi laporan akhbar berbahasa Cina, dua remaja itu masing-masing dikenakan kompaun kononnya atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika mahu minum air.

Laporan itu yang tular selepas dipetik beberapa portal mendapat reaksi pelbagai daripada wargamaya yang rata-rata mengecam tindakan pihak berkuasa.

Sumber : Kosmo!

Minggu Saham Digital 2020

 

Permodalan Nasional Bhd. (PNB) bakal me­nganjurkan Minggu Saham Digital (MSD), adaptasi daripada Minggu Saham Amanah Malaysia yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang perancangan kewangan dan kepentingan pelaburan secara online.

MSD yang akan bermula pada 18 November-24 November ini bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri dan Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), Tan Sri Muh­yiddin Yassin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, pelbagai program bakal disiarkan secara langsung seperti rancangan memasak, sesi bual bicara dan program hibur didik yang menarik sepanjang tujuh hari acara digital MSD.

“Bagi memeriahkan lagi jadual program yang disiarkan antara 12.30 tengahari hingga 10.30 malam melalui laman Facebook dan saluran YouTube MSD itu, ia akan mempersembahkan barisan penceramah dan personaliti ter­kenal.

“Seluruh rakyat Malaysia dijemput mengambil bahagian dalam MSD menerusi platform digital yang tersedia dan mudah dilayari dengan slogan ­#Laburbersama,” katanya.

PNB menjelaskan, antara program yang dirancang ialah konsert maya terbesar, Pass the Mic! yang bakal menampilkan Feeya Iskandar, Sissy Imann, Jiggy dan Alif Farhan sebagai hos serta artis K Clique, Akim Ahmad, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah dan Aman Ra.

Program lain yang bakal bersiaran ialah Cikgu CEO (ketua pegawai eksekutif) yang merupakan siri webinar topikal yang interaktif dan mudah diikuti selain memberi peluang kepada golongan belia berinteraksi bersama CEO.

My Cerita akan menjelaskan lebih lanjut mengenai PNB, Amanah Saham Nasional Bhd. dan UMW Holdings Bhd. serta mendapatkan penerangan mengenai fungsi, budaya, visi dan misi syarikat-syarikat tersebut.

Masak Macam Mak pula akan memberi penghormatan kepada selebriti Fizo Omar, Elfira Loy, Sherson Lian dan Datuk Fazley Yaakob bersama ibu mereka memasak bersama.

Jumpa di 118 pula menampilkan Ketua Pegawai Pelaburan, Harta Tanah PNB, Rick Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad, Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud.

Kereta Kita memberi peluang kepada penonton menyelami perbualan menarik antara pengacara Hazeman Huzir dan Fahrin Ahmad bersama tetamu mengenai kereta kegemaran mereka.

Betul Ke, Doc? dibawakan khas kepada penonton oleh ­Duopharma Biotech Bhd. yang akan merungkai mitos kesihatan yang luar biasa bersama pakar-pakar perunding perubatan.

Program lain ialah Lepak Je! dan GG Bro! serta Forum Kewa­ngan Syariah.

Selain itu, MSD juga menawarkan pelbagai hadiah menarik me­lalui peraduan yang dianjurkan dan antaranya ialah Live Trivia & Live Trivia Bonanza Penonton dan Eh Mana Kod? Iaitu penca­rian harta karun secara maya.

Semua peserta berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik seperti kerta Ford ­Ranger 2.0L XLT Plus 4WD bernilai RM130,000, Toyota Vios 1.5G (AT) bernilai RM90,000, Yamaha R25 bernilai RM21,500 dan Honda Dash 125S bernilai RM6,000

Sumber : Kosmo!

 

 

AmBank, Maxis perkenal mTap menerusi PayNet

 

AmBank dan Maxis memperkenalkan mTap menerusi Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (Paynet), penyelesaian pembayaran tanpa sentuh yang selamat dan menggunakan peranti mudah alih sebagai terminal penerimaan bagi transaksi kad debit serta kad kredit.

Penyelesaian tersebut yang lebih kos efektif itu akan membolehkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima pembayaran menggunakan kad.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, pihaknya komited untuk menyokong ekosistem PKS dengan memanfaatkan era pendigitalan yang pantas berubah.

“Kami melihat pasaran pengguna yang kini didominasi go­lo­­ngan milenial dan Gen-Y menguasai perkhidmatan kewangan yang lebih pantas, pintar serta mudah diakses.

“Ini salah satu daripada usaha kami untuk meningkatkan ini­siatif digital bagi peniaga dan pe­langgan kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut ber­kata, PKS terus memainkan peranan penting dalam ekonomi dan pihaknya telah membantu memperkasakan sektor ber­kenaan dengan menyediakan penyelesaian digital dan ketersambungan untuk operasi mereka.

“Dengan kerjasama berterusan, kami tidak sekadar berhasrat meningkatkan adaptasi digital dalam PKS, malah mengukuhkan kedudukan mereka dalam ekosistem digital,” katanya.

mTap kini boleh dimuat turun dan digunakan di seluruh negara menerusi telefon pintar Android dengan ciri NFC di Google Play.

Sumber : Kosmo!

Penduduk Malaysia cecah 32.69 juta orang

 

Populasi penduduk Malaysia pada suku tahun ketiga 2020 dianggarkan seramai 32.69 juta orang meningkat sebanyak 0.4 peratus berbanding suku sama tahun lalu iaitu pada jumlah 32.56 juta orang.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah itu merangkumi seramai 29.78 juta orang (91.1 peratus) warganegara dan 2.92 juta orang bukan warganegara (8.9 peratus).

“Pada suku tahun ketiga 2020, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing sebanyak 16.82 juta dan 15.88 juta orang. Nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

“Tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada suku tahun ketiga 2020 ialah Selangor (20 peratus) diikuti Sabah (12 peratus) dan Johor (11.6 peratus),” katanya.

Jelasnya, Wilayah Persekutuan Labuan pula mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu pada kadar 0.3 peratus sahaja. 

 

UAE kini benarkan pasangan belum berkahwin tinggal serumah

 

Pengambilan alkohol kini bukan lagi kesalahan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) selagi ia dijalankan di bawah lokasi yang dibenarkan.

Di bawah peraturan baharu ditetapkan di UAE, sesiapa yang minum atau memiliki alkohol atau menjual minuman beralkohol di kawasan yang dibenarkan tanpa lesen tidak akan dikenakan hukuman.

Portal berita UAE, The National melaporkan, di bawah peraturan baharu ini, mereka yang mahu mengambil atau memiliki minuman keras perlu berusia sekurang-kurangnya 21 tahun dan sesiapa yang didapati menjual minuman berkenaan kepada pengguna bawah umur akan dikenakan hukuman.

Namun, pengambilan minuman keras hanya boleh dilakukan di tempat tertutup atau lokasi awam berlesen.

Negara berkenaan mula menamatkan sistem lesen minuman keras untuk penduduk di UAE sejak September lalu.

Sebelum ini, pengguna perlu memiliki lesen untuk membeli atau memiliki minuman keras namun, peraturan baharu ini tidak lagi terpakai dan ia turut meliputi warga UAE.

Selain itu, buat pertama kalinya, undang-undang baharu itu turut membenarkan pasangan belum berkahwin untuk tinggal bersama.

Sebelum ini, pasangan yang tidak mempunyai ikatan sah atau rakan serumah berlainan jantina tidak dibenarkan tinggal bersama.

Beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa tidak mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang melanggar peraturan berkenaan.

Pengumuman dasar baharu itu diumumkan Sabtu lalu di mana ia dilaksanakan bagi memastikan bahawa undang-undang UAE memenuhi keperluan berbeza dari semua latar belakang, agama dan warganegara memandangkan individu dari hampir 200 negara menetap di UAE.

Pembaharuan ini mempengaruhi undang-undang berkaitan perceraian, wasiat dan pembahagian harta, alkohol, bunuh diri dan perlindungan wanita.

Sebelum ini, perbuatan bunuh diri atau cubaan bunuh diri dianggap sebagai jenayah dan boleh dikenakan hukuman.

Namun, sehingga kini, tiada individu yang didakwa atas kesalahan berkenaan.

Di bawah undang-undang baharu ini, polis dan mahkamah akan memastikan mereka yang melakukan percubaan bunuh diri mendapat sokongan kesihatan mental.

Namun, sesiapa yang didapati membantu seseorang individu untuk membunuh diri akan menghadapi hukuman penjara.

Selain itu, peraturan baharu ini juga membabitkan isu berkaitan perceraian dan pembahagian harta pusaka.

Sekiranya pasangan berkahwin di negara asalnya, tetapi bercerai di UAE, undang-undang negara asal mereka akan digunakan.

Bagi pembahagian harta pusaka, jika kematian berlaku di UAE, pembahagian boleh dilakukan mengikut negara asal mereka, kecuali jika si mati meninggalkan wasiat.

Namun, jika aset dibeli di UAE, pembahagian akan dilakukan mengikut undang-undang UAE.

The New York Times melaporkan, undang-undang baharu itu diperkenalkan sebagai usaha untuk meletakkan UAE sebagai jenama global untuk menarik pelancong asing, profesional dan pelabur.

Hampir 90 peratus daripada 10 juta penduduk di UAE adalah warga asing khususnya dari Amerika Syarikat, Eropah dan negara Arab.

Sumber : Agensi

Khamis, November 12, 2020

Piala Malaysia 2020 dibatalkan terus



Saingan Piala Malaysia 2020 menjadi mangsa terbaharu COVID-19, selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pembatalan kejohanan berprestij itu berkuatkuasa hari ini.

Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas rayuan untuk meneruskan kejohanan itu ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya harus akur dengan keputusan terbaharu MKN bahawa kerajaan tidak membenarkan Piala Malaysia berlangsung sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

"Pertama, MFL sentiasa peka dengan saranan daripada MKN. Pihak kerajaan menyarankan supaya tidak meneruskan pertandingan Piala Malaysia 2020.

"Sudah tentu dalam surat rayuan sebelum ini MFL sudah menyediakan perancangan cukup rapi selaras dengan panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kejohanan Piala Malaysia yang masih berbaki tujuh perlawanan dapat diteruskan. Tetapi, seperti saya katakan, MFL sentiasa peka dengan saranan pihak kerajaan.

"Justeru, MFL menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah terpaksa mengambil keputusan yang cukup berat untuk membatalkan saingan Piala Malaysia 2020 demi kesihatan dan keselamatan semua pihak seperti disarankan oleh pihak kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan MKN menolak rayuan MFL untuk meneruskan saingan Piala Malaysia sepanjang tempoh PKPB.

Selain itu, Ab Ghani menjelaskan keputusan membatalkan saingan Piala Malaysia terpaksa dilakukan kerana tidak boleh lagi menangguhkan kejohanan itu ke bulan lain selepas kontrak pemain secara amnya akan berakhir pada 30 November ini.

"Banyak polemik akan tercetus jika MFL mengambil pendekatan untuk melanjutkan tarikh Piala Malaysia di mana pasukan akan berdepan masalah seperti ketiadaan pemain serta terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi.

"Apapun, saya mewakili bagi pihak MFL ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang membenarkan saingan Liga Malaysia seperti Liga Super dan Liga Perdana dijalankan sebelum ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Youtube alami gangguan

 

Platform penstriman video terbesar, YouTube dilaporkan menghadapi gangguan sejak awal pagi tadi.

Gangguan itu mengakibatkan pengguna tidak boleh melayari sebarang video atau kandungan yang disediakan di dalam platform berkenaan.

Masalah itu juga merangkumi beberapa perkhidmatan di dalam platform itu antaranya YouTube TV.

Sehingga kini, pihak YouTube tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung punca gangguan berkenaan namun laporan sebuah portal menyatakan bahawa ia mungkin berkaitan dengan pelayan utama platform terbabit.

Menerusi satu ciapan di Twitter oleh YouTube Team menyatakan bahawa mereka menyedari masalah berkenaan dan pihak teknikal sedang berusaha untuk membaikinya.

Proses membaik pulih platform berkenaan dilaksanakan secara berperingkat dan jika ada pengguna yang masih menghadapi gangguan, platform berkenaan akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

Sebelum itu, masalah gangguan berkenaan dikenalpasti awal pagi tadi apabila sebilangan pengguna tidak boleh memainkan video di dalam platform berkenaan.

Pengguna akan menerima mesej gangguan untuk memainkan video dan perkara berkenaan sudah hampir diselesaikan sepenuhnya.

Sumber : MyMetro

 

Selasa, November 10, 2020

Musim tengkujuh diramal bermula 11 Nov 2020

 

Empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dijangka berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di negara ini bermula lusa sehingga Mac 2021.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, sepanjang fasa awal Monsun Timur Laut iaitu dari bulan ini hingga sehingga Disember, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Mulai Januari depan, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Fasa kedua Monsun Timur Laut iaitu mulai hujung Januari 2021 seperti biasa dijangka cuaca agak kering di negeri di utara Semenanjung (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) dan Kelantan," kata kenyataan itu.

MetMalaysia menjelaskan, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kerap banjir.

Malah, sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk.

Selain itu, tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan melalui laman web, aplikasi 'myCuaca' dan laman media sosial atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. 

Sumber : BERNAMA

 

Vaksin Covid-19 sudah ditemui?

 

Satu vaksin yang dibangunkan bersama firma farmaseutikal Pfizer dan BioNTech menunjukkan kesan keberkesanan 90 peratus dalam mencegah jangkitan Covid-19 dalam ujian Fasa Ketiga, menurut pengumuman kedua-dua syarikat itu hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika kes jangkitan koronavirus kian meningkat di seluruh dunia yang mengakibatkan berjuta-juta orang terpaksa menjalani kehidupan dalam perintah berkurung, menyebabkan banyak ekonomi terjejas.

Pengumuman itu turut menyebabkan pasaran saham Eropah dan harga minyak meningkat.

Menurut laporan awal, pesakit mendapat perlindungan selepas tujuh hari menerima dos vaksin kedua, iaitu selepas 28 hari diberikan dos pertama.

Kedua-dua syarikat menyatakan mereka dijangka membekalkan sehingga 50 juta dos vaksin ke pasaran global pada 2020 dan sehingga 1.3 bilion dos pada tahun depan.

“Set ujian pertama daripada ujian percubaan vaksin Fasa Ketiga Covid-19 memberi bukti awal berhubung kemampuan vaksin kami mencegah Covid-19.

“Kami berada pada satu langkah signifikan untuk membekalkan kepada orang ramai di seluruh dunia satu penemuan untuk membantu menamatkan krisis kesihatan global,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla dalam satu kenyataan.

Ujian klinikal Fasa Ketiga iaitu tahap akhir untuk satu vaksin baharu, BNT162b2 bermula pada lewat Julai lalu. Ia melibatkan seramai 43,538 peserta setakat ini dengan 90 peratus daripadanya sudah menerima dos kedua vaksin semalam.

Pfizer menyatakan pihaknya masih mengumpul data keselamatan dua bulan susulan dos terakhir. Ia adalah satu syarat yang ditetapkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat sebelum layak menerima Kebenaran Penggunaan Kecemasan, dijangka pada minggu ketiga bulan ini.

“Kami akan berkongsi tambahan data keselamatan dan kemujaraban yang diperoleh daripada beribu-ribu peserta dalam minggu-minggu akan datang,” kata Bourla. 

Sumber : AFP

SUKMA dan Para SUKMA 2020 di Johor dibatalkan

 

Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2020 yang dijadual berlangsung di Johor pada Mac dan April tahun depan dibatalkan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata keputusan itu dibuat atas beberapa sebab antaranya ketidaktentuan dalam penularan wabak COVID-19 yang memasuki gelombang ketiga di negara ini.

"(Selain itu) kesukaran menyediakan jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30,000 orang yang akan terlibat nanti baik atlet, jurulatih, pegawai sukarelawan, pengurusan dan sebagainya tidak mengambil kira penonton dan peminat sukan.

"Dua kali penangguhan sebelum ini menyebabkan peningkatan kos pengurusan dan ketidaktentuan tarikh SUKMA dan Para SUKMA memberi tekanan dan kekangan kepada pelaksanaan program latihan atlet negeri-negeri peserta," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA secara atas talian di pejabatnya di sini, hari ini.

SUKMA dan Para SUKMA 2020 sepatutnya berlangsung pada Julai dan Ogos lalu tetapi ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 dan dijadualkan semula bermula 8 hingga 13 Mac (Para SUKMA) dan 2 hingga 10 April (SUKMA) 2021.

Mengulas lanjut, Reezal memberitahu pada masa yang sama Johor melahirkan kesediaan mereka untuk menganjurkan SUKMA dan Para SUKMA ke-20 pada tahun 2022 nanti kerana secara amnya sudah 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal kemudahan pertandingan dan sebagainya.

"Untuk itu Jawatankuasa Tertinggi SUKMA membuat keketapan SUKMA dan Para SUKMA 2020 ditangguhkan dan penganjurannya di bawa ke tahun 2022.

"'Negeri Johor ditawarkan semula menjadi tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA pada tahun 2022.

"Jawatankuas Tertinggi SUKMA juga memutuskan tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA 2024 akan kembali ke Majis Sukan Negara yang akan menganjurkannya bersama dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Jawatankuasa Tertinggi SUKMA juga bersetuju SUKMA dan Para SUKMA 2026 akan dianjurkan oleh negeri Kelantan dan ia dipersetujui oleh wakil kerajaan negeri itu," katanya.

Beliau, berkata Jawantankuasa Tertinggi SUKMA juga bersetuju agar Jawatankuasa Teknikal meneliti dan mencadangkan semula perubahan peraturan yang terlibat membabitkan had umur dan kelayakan penyertaan bagi penganjuran SUKMA dan Para SUKMA 2022.

Sumber : Berita Harian

 

Ahad, November 08, 2020

Senarai perkara yang boleh dan tidak boleh sepanjang PKPB

 

Berikut adalah di antara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuat kuasa dalam kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

KAWALAN PERGERAKAN

# PDRM kawal kawasan tempat jangkitan dengan bantuan ATM, APMM, APM & RELA.

# Hanya dua orang dibenarkan keluar dari rumah untuk beli makanan atau keperluan lain

# Individu berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke tempat awam, terbuka dan sesak.

# Pergerakan keluar masuk rentas daerah dan negeri yang melibatkan kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan kecuali bagi;

# Kes kecemasan seperti sakit dan pengurusan jenazah di luar daerah adalah dibenarkan tetapi perlu mohon pergerakan kepada PDRM.

# Pekerja dibenarkan rentas daerah dan negeri dengan syarat ada pas pekerja yang sah atau surat kebenaran majikan. Bagi pekerja dalam daerah sama, tidak perlu kemukakan surat majikan atau pas pekerja. Kerajaan galak majikan benarkan pekerja mereka bekerja dari rumah (work from home).

# Bagi yang perlu merentas negeri untuk ke negeri lain, mereka perlu dapatkan kebenaran balai polis berhampiran sebelum perjalanan.

# Individu yang menggunakan pergerakan udara melalui KLIA, KLIA2 dan Subang, juga perlu mendapatkan kebenaran daripada PDRM.

AKTIVITI EKONOMI DALAM KAWASAN PKPB

# Semua aktiviti perniagaan, ekonomi dan industri boleh beroperasi.

# Restoran, kedai / gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera / pusat penjaja, gerai makan tepi jalan / kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi mulai 6 pagi hingga 10 malam.

# Pembelian digalakkan secara pandu lalu, penghantaran (delivery) atau take-away sahaja. Makan di premis (dine in) dibenarkan tetapi terhad 2 orang pada 1 meja dengan pematuhan 

SOP SEKTOR MAKANAN

# Pasar harian dibuka jam 6 pagi - 2 petang

# Pasar borong dibuka antara 4 pagi - 2 petang

# Pasar tani - 6 pagi - 12 tengah hari

# Pasar malam - 4 petang - 10 malam

# Operasi pasar tani dan pasar malam perlu patuhi SOP ketat dengan anggota RELA.

# Operasi Stesen Minyak di antara 6 pagi hingga 10 malam (kecuali di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam)

# Pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, LRT, teksi/ e-hailing dibenarkan beroperasi.

# Perkhidmatan teksi/ e-hailing, (maksimum 2 penumpang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

# Kenderaan bawa pekerja, boleh bawa penumpang seperti ditetapkan sebelum ini.

PERUBATAN DAN KESIHATAN

# Waktu operasi klinik, hospital Kerajaan dan swasta dibenarkan 24 jam.

# Farmasi dan kedai ubat-ubatan mulai 8 pagi - 11 malam.

SEKTOR EKONOMI DAN INDUSTRI

# Aktiviti ekonomi dan industri di kawasan PKPB berjalan seperti ditetapkan dengan SOP

# Semua kenderaan berkaitan industri, perniagaan, perkilangan yang dibenarkan boleh beroperasi seperti biasa termasuk merentas daerah dan negeri.

PERIKANAN, PERLADANGAN DAN PERTANIAN

# Sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan dibenarkan beroperasi.

PELABUHAN DAN LAPANGAN TERBANG

# Aktiviti dan perkhidmatan semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi.

AKTIVITI KEAGAMAAN

# Mesyuarat bersetuju cadangkan masjid membenarkan azan dan mendirikan solat lima waktu dengan kehadiran 6 Jemaah ditentukan jawatankuasa masjid termasuk Imam.

# Pengurusan dan petugas semua rumah ibadat bukan Islam dibenarkan seramai 6 orang sahaja.

# Cadangan ini akan dibawa kepada JAKIM dan Pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor untuk diperkenankan.

# Keputusan lanjut akan diumumkan JAKIM dan Pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor dalam masa terdekat.

AKTIVITI RIADAH, REKREASI DAN BUDAYA

# Semua aktiviti riadah, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan. Aktiviti hiburan termasuk kelab malam atau pub, pusat rekreasi, taman tema, indoor playground dan panggung wayang tidak dibenarkan.

AKTIVITI SUKAN

# Aktiviti sukan secara individu, e-sports, sukan yang tidak bersentuhan dan sukan outdoor tidak melebihi 10 orang adalah DIBENARKAN.

# Aktiviti kolam renang, bersentuhan fizikal, sukan bertempur dan penganjuran sukan/kejohanan TIDAK DIBENARKAN.

# Acara dan pertandingan sukan dengan kehadiran penonton, dan acara dan pertandingan sukan yang melibatkan peserta dari luar negeri TIDAK DIBENARKAN.

# Bagi program latihan berpusat yang sedang dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri-negeri boleh diteruskan secara Quarantine Based Approach seperti yang dilaksanakan di Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil dan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kg Pandan. 

PENDIDIKAN

# Institut Pengajian Tinggi Awam & Swasta, Institut Latihan Kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz dan pusat jagaan kanak–kanak ditutup dalam tempoh ini.

# Bagi pelajar sekolah, IPTA, IPTS yang mengambil peperiksaan dengan institusi pengajian luar negara, dibenarkan hadir menduduki peperiksaan sahaja dan bukan untuk sesi pembelajaran.

SEMINAR / BENGKEL / PERSIDANGAN

# Seminar / Bengkel / Kursus / Latihan / Persidangan / Ceramah dan aktiviti berkaitan dengan Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) tidak dibenarkan. Latihan dalam perkhidmatan yang sedang berjalan boleh dilaksanakan hanya dalam kawasan latihan sahaja.

MESYUARAT

# Mesyuarat perlu diadakan secara sidang video, manakala mesyuarat secara bersemuka tidak digalakkan.

PENGANJURAN MAJLIS KERAMAIAN

# Majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta, majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion dan lain-lain majlis sosial adalah tidak dibenarkan.

PELANCONGAN

# Semua aktiviti pelancongan ke luar kawasan PKPB dan ke dalam kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan

Sumber : Berita Harian berdasarkan PKPB di WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

 

 

 

 

 


Diabetes jenis dua

 

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendedahkan, seorang daripada lima individu atau 3.9 juta orang berusia 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap kencing manis jenis dua (T2DM).

Prevalen ini meningkat kepada 18.3 peratus berbanding 13.4 peratus pada 2015 dan separuh daripada mereka yang menghidap T2DM tidak didiagnosis.

Statistik ini mendapati, seorang dalam 20 (5.9 peratus) golongan muda berusia 18 hingga 29 tahun, seorang dalam 10 (11.7 peratus) golongan berusia 30 hingga 39 tahun dan lebih 70 peratus pesakit tidak mengetahui mereka menghidap kencing manis.

Pakar Perunding Endokrinologi SMCV Dr Lim Kim Piow berkata, kebanyakan pesakit mempunyai gejala yang ringan atau tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal penyakit.

Disebabkan itu, ramai mengabaikannya dan pesakit kencing manis tidak didiagnosis.

"Selain kencing manis, pesakit berisiko mengalami penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, 'dyslipidemia' (kadar lipid dalam aliran darah terlalu tinggi atau rendah) dan obesiti.

"Ia akan mempercepat komplikasi kencing manis seperti penyakit jantung, angin ahmar serta masalah buah pinggang.

"Senario ini agak membimbangkan kerana penyakit itu bukan sahaja agresif, malah pesakit muda berisiko mengalami komplikasi lebih teruk berbanding kencing manis jenis satu dan pesakit dewasa T2DM," katanya.

Beliau berkata, hampir separuh atau 41.9 peratus rakyat Malaysia hidup dengan paras gula tidak normal (dysglycemia).

"Ini kerana 18.3 peratus daripada mereka menghidap penyakit T2DM dan peringkat awal kencing manis (23.6 peratus).

"Sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada 14 November ini, saya menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat untuk mencegah dan menguruskan penyakit itu dengan baik," katanya.

Dr Lim berkata, pilihan makanan seimbang, melakukan aktiviti fizikal dan mengurangkan berat badan boleh membantu mencegah T2DM, meskipun ada sejarah keluarga menghidap penyakit berkenaan.

"Jika didiagnosis menghidap penyakit kencing manis, gaya hidup sihat perlu diamalkan bagi mengawal paras gula dalam darah.

"Perubahan gaya hidup ini boleh memperlahankan penyakit kencing manis daripada menjadi teruk," katanya.

Menurutnya, selain mengamalkan gaya hidup sihat, pengambilan beberapa jenis ubat seperti 'Metformin', 'Dipeptidyl peptidase-4 inibitor (DPP-4i)', 'Sulphonyurea', 'SGLT2 inhibitor' dan 'a-glucosidase inhibitor' berupaya mengawal tahap gula yang lebih baik.

"Namun kesan ubat-ubatan ini terhadap pesakit adalah berbeza dan perlu dipertimbangkan.

"Pengambilan semua ubat ini perlu dengan pemantauan pakar klinikal bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini," katanya.

Sumber : MyMetro