Memaparkan catatan dengan label sukma. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sukma. Papar semua catatan

Sabtu, September 24, 2022

'Ibu segala pingat' SUKMA 2022 milik Terengganu

 


'Ibu segala pingat' menjadi milik Terengganu selepas pasukan dari Pantai Timur itu menewaskan Pulau Pinang (PP) 2-0 pada aksi final acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Badrul Afzan Razali menamatkan penantian 12 tahun untuk kembali merangkul pingat emas bola sepak SUKMA selepas kali terakhir memenanginya pada 2010.

Pencapaian itu turut membolehkan Terengganu mengikut jejak Pahang dan Perak yang berjaya memenangi empat pingat emas dalam acara terbabit pada temasya SUKMA.

Pada aksi itu, 10 minit pertama dikuasai Terengganu yang menyaksikan sepakan sudut Muhamad Muslihuddin 'Atiq Mat Zaid melencong sehingga memaksa Muhammad Azam Ramli menepis bola terbabit dan percubaan susulan daripada Muhammad Safwan Mazlan melambung tinggi.

'Baton' serangan bertukar kepada PP selepas 10 minit dan giliran PP pula menguji gawang Terengganu dengan beberapa percubaan namun diselamatkan Nor Hakeem Hamidun ataupun meliar.

Tiba giliran Terengganu 'mengambil' semula penguasaan, peluang dimanfaatkan sebaiknya mereka selepas sepakan percuma disudahkan menerusi tandukan Safwan yang menewaskan Azam untuk gol pertama Terengganu pada minit ke-24.

Sisa perjuangan PP terkubur pada minit ke-86 apabila percubaan Azam yang menepis percubaan Aqil Idham Bahari melantun terkena pertahanan PP dan bola memasuki jaring untuk gol kedua Terengganu.

Sementara itu, pingat gangsa dimenangi Selangor selepas menundukkan Wilayah Persekutuan (WP) 3-1 pada aksi sebelah petang di Stadium UKM.

Selangor mendahului menerusi sepakan penalti Khairul Md Zain pada minit ke-11 sebelum jaringan Suhaimi Abu memastikan kedua dua pasukan terikat 1-1 pada babak pertama.

Bagaimanapun, Selangor meledak dua gol pada babak kedua hasil jaringan Harry Danish Haizon (minit ke-55) dan Fakhrul Iman Naszari (minit ke-78) sekali gus memastikan pingat gangsa menjadi milik Selangor.

Sumber : Berita Harian

Ahad, September 18, 2022

Sukma MSN 2022 dibuka secara rasmi

 


Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 membuka tirai secara rasminya hari ini dengan majlis upacara perasmian diadakan secara sederhana namun tetap meriah dengan kehadiran atlet dan pegawai pasukan.

Upacara perasmian yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, diceriakan dengan perarakan masuk maskot setiap kontinjen termasuklah ‘ikon’ Sukma edisi 2020 yang dikenali sebagai ‘Oyen’.

Walaupun upacara berkenaan berlangsung di dalam dewan namun ‘tradisi’ perarakan masuk setiap kontinjen tetap berlangsung dengan Terengganu menjadi antara pertama diperkenalkan kepada umum.

Lebih 2,000 terdiri daripada atlet, pegawai sukan dan sukarelawan hadir bagi memeriahkan majlis yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bendera Sukma 2022 kemudian dibawa masuk oleh empat atlet kebangsaan iaitu Choong Javen (ping pong), Ng Joe Ee (gimrama), R Shamendran (karate) dan Muhammad Aznil Bidin (angkat berat).

Obor Sukma 2020 pula dinyalakan oleh bekas ratu boling negara, Shalin Zulkifli manakala ikrar temasya dibaca atlet angkat berat negara, Mohd Aniq Kasdan.

Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Wilayah Datuk Seri Dr Shahidan Kassim,

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jana Santhiran Muniayan dan wakil kerajaan setiap negeri yang bertanding.

Sukma ke-20 dianjurkan semula dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah selepas temasya dwitahunan itu tidak dapat diadakan pada 2020 di Johor berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Pada temasya kali ini, 426 acara membabitkan 223 acara lelaki,184 wanita dan 19 campuran daripada 31 jenis sukan dipertandingkan dengan penyertaan 6,625 atlet dan 2,709 pegawai membabitkan 15 kontinjen negeri termasuk Brunei.

Sumber : Harian Metro

Selasa, November 10, 2020

SUKMA dan Para SUKMA 2020 di Johor dibatalkan

 

Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2020 yang dijadual berlangsung di Johor pada Mac dan April tahun depan dibatalkan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata keputusan itu dibuat atas beberapa sebab antaranya ketidaktentuan dalam penularan wabak COVID-19 yang memasuki gelombang ketiga di negara ini.

"(Selain itu) kesukaran menyediakan jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30,000 orang yang akan terlibat nanti baik atlet, jurulatih, pegawai sukarelawan, pengurusan dan sebagainya tidak mengambil kira penonton dan peminat sukan.

"Dua kali penangguhan sebelum ini menyebabkan peningkatan kos pengurusan dan ketidaktentuan tarikh SUKMA dan Para SUKMA memberi tekanan dan kekangan kepada pelaksanaan program latihan atlet negeri-negeri peserta," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA secara atas talian di pejabatnya di sini, hari ini.

SUKMA dan Para SUKMA 2020 sepatutnya berlangsung pada Julai dan Ogos lalu tetapi ditangguhkan akibat pandemik COVID-19 dan dijadualkan semula bermula 8 hingga 13 Mac (Para SUKMA) dan 2 hingga 10 April (SUKMA) 2021.

Mengulas lanjut, Reezal memberitahu pada masa yang sama Johor melahirkan kesediaan mereka untuk menganjurkan SUKMA dan Para SUKMA ke-20 pada tahun 2022 nanti kerana secara amnya sudah 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal kemudahan pertandingan dan sebagainya.

"Untuk itu Jawatankuasa Tertinggi SUKMA membuat keketapan SUKMA dan Para SUKMA 2020 ditangguhkan dan penganjurannya di bawa ke tahun 2022.

"'Negeri Johor ditawarkan semula menjadi tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA pada tahun 2022.

"Jawatankuas Tertinggi SUKMA juga memutuskan tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA 2024 akan kembali ke Majis Sukan Negara yang akan menganjurkannya bersama dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Jawatankuasa Tertinggi SUKMA juga bersetuju SUKMA dan Para SUKMA 2026 akan dianjurkan oleh negeri Kelantan dan ia dipersetujui oleh wakil kerajaan negeri itu," katanya.

Beliau, berkata Jawantankuasa Tertinggi SUKMA juga bersetuju agar Jawatankuasa Teknikal meneliti dan mencadangkan semula perubahan peraturan yang terlibat membabitkan had umur dan kelayakan penyertaan bagi penganjuran SUKMA dan Para SUKMA 2022.

Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts