Memaparkan catatan dengan label sop covid19. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sop covid19. Papar semua catatan

Ahad, Januari 31, 2021

Boleh tamatkan PKP tetapi ketatkan SOP - Pakar perubatan

 

"PKP tetapi macam tak PKP." Itulah persepsi dan tanggapan rata-rata masyarakat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara, kecuali Sarawak.

Isu itu timbul apabila 'PKP 2.0' dikatakan tidak begitu berjaya melandaikan kes penularan COVID-19 yang mencecah empat angka setiap hari dengan penguatkuasaannya dilihat amat longgar, dan kerana itu ada rasa bimbang jika PKP kali ini ditamatkan, situasi jangkitan COVID-19 dalam negara akan menjadi lebih teruk.

Bagi Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, apa yang lebih penting adalah prosedur operasi standard (SOP) diketatkan agar penularan pandemik itu tidak menjadi lebih parah dan matlamat untuk menurunkan angka kes semaksimum yang mungkin akan dapat dicapai.

"Orang jadi marah sekarang ini kerana walaupun PKP, tetapi SOP tidak tentu hala, seperti tiada PKP. Sebenarnya, kalau tiada PKP tidak apa tetapi SOP dan pematuhannya adalah yang paling penting bagi melandaikan lengkung penularan," katanya kepada Bernama.

Pada 25 Januari lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata PKP yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara, susulan pelaksanaannya.

Namun keesokannya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia hanyalah bayangan yang dibuat oleh Dr Noor Hisham, dan keputusan sama ada pelaksanaan PKP lebih ketat atau kembali kepada PKP Bersyarat (PKPB), bergantung kepada keputusan mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dr Zainal Ariffin berkata, jika PKP ditamatkan dan PKPB diperkenalkan kembali, perlunya larangan menjalankan perjumpaan sosial beramai-ramai atau apa jua perhimpunan yang melibatkan ramai orang, selain larangan rentas negeri.

"Mana-mana majlis tertutup khususnya seperti makan-makan, kenduri-kendara, sambutan hari jadi yang melibatkan ramai orang tidak seharusnya dibenarkan. Buat seperti negara lain contohnya di Singapura, hanya lima orang sahaja maksimum boleh berkumpul untuk majlis sosial.

"Selain itu, jadikan pemakaian pelitup muka sebagai mandatori iaitu apabila keluar rumah sahaja automatik pakai atau dikenakan tindakan. Penjarakan fizikal juga perlu diutamakan, kalau nampak ramai berkerumun di kedai atau pejabat, ambil tindakan," katanya.

Sementara itu, Dr Zainal Ariffin berkata, kerajaan perlu bertindak lebih tegas terhadap industri perkilangan dengan menutup kilang terbabit apabila terdapat laporan bahawa pekerja mereka positif COVID-19.

"Kilang mencatatkan kes yang sangat tinggi, jadi kerajaan perlu lebih bertegas...kalau dahulu bila kes ribu-ribu baru diarahkan tutup, tetapi sekarang ini jika kilang catatkan satu atau dua kes sahaja ia perlu diarahkan tutup sampailah keadaan bertambah baik," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sepatutnya menyedia dan menunjukkan kepada rakyat segala strategi mereka untuk melawan COVID-19, sepertimana Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengeluarkan 200 muka surat strategi untuk memerangi COVID-19 pada hari pertama menjadi presiden.

Dr Zainal Ariffin berkata, kerajaan juga boleh melaksanakan PKP bersasar dengan 'menutup' negeri yang mencatatkan kes tinggi seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Beliau turut mengingatkan, meskipun PKP ditamatkan dan diganti dengan kaedah yang lain, namun angka positif diramal tidak akan menurun untuk sekurang-kurangnya 10 hingga 14 hari, berikutan tempoh pengeraman COVID-19.

Senada dengan Dr Zainal Ariffin, pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata negara lebih memerlukan PKP secara bersasar, berbanding secara menyeluruh, yang boleh dilaksanakan terhadap sektor 'panas' sudah dikenal pasti.

"Kita sedia maklum akan kesan pelaksanaan PKP terhadap masyarakat, terutamanya dari segi sektor ekonomi dan pada masa sama juga, kita perlu menangani wabak COVID-19 dengan bilangan kes empat angka...mengimbangi kedua-dua perkara ini ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

"Pihak berkuasa sudah mengenal pasti beberapa sektor yang menjadi 'hotspot' kepada kes COVID-19, maka mungkin boleh PKP disasarkan kepada sektor-sektor ini," katanya sambil menambah, tempoh 14 hari mungkin boleh dijadikan asas untuk PKP bersasar.

Beliau berkata sama ada PKP, PKPB atau PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan atau SOP diperketatkan sekalipun, jika kesedaran masyarakat adalah rendah, ia juga tidak akan membantu menurunkan bilangan kes dan seterusnya menyekat penularan wabak COVID-19.

Katanya, PKP adalah usaha fizikal dalam menghalang usaha virus untuk mencari 'perumah' (manusia), maka sebab itu ketika PKP kerajaan mengehadkan pergerakan dan interaksi rapat 'perumah' agar jangkitan terhadap 'perumah' baharu dapat dihalang.

"Kesedaran masyarakat sangat penting dalam mematuhi SOP yang ditetapkan dan ini adalah cabaran yang sangat besar.

"Kita perlu mengambil contoh masyarakat New Zealand dalam mematuhi SOP dan kita lihat kepada kejayaan mereka. Majoriti masyarakat faham akan peri pentingnya dalam mematuhi SOP tetapi ada juga sebahagian yang tidak, mereka inilah akan mendatangkan masalah," katanya.

Dr Yahya berkata, oleh itu vaksin adalah cara untuk menghadapi masalah COVID-19 dalam masyarakat iaitu dengan mewujudkan imuniti kelompok, negara akan mempunyai peluang lebih baik dalam menyekat penularan COVID-19. 

Sumber : BERNAMA

 

 

Jumaat, November 13, 2020

Polis nafi tular kompaun kerana tidak pakai pelitup muka untuk minum air

 

Polis Kerian menafikan dakwaan tular kononnya dua remaja lelaki yang dikenakan kompaun RM1,000 adalah disebabkan tidak memakai pelitup muka untuk minum air di Taman Wawasan di Parit Buntar, Perak.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat sebaliknya berkata, kompaun itu dikeluarkan setelah mendapati dua remaja berusia 17 dan 18 tahun itu tidak memakai pelitup muka sambil berbual dengan mengadap satu sama lain.

Katanya, tindakan ke atas mereka juga hanya diambil setelah pemerhatian selama 10 minit dilakukan anggota bertugas.

“Semasa rondaan Op Cegah Jenayah/Op Covid-19 SOP PKPB Parit Buntar di jalankan di kawasan berkenaan pada pukul 12 tengah hari, pihak polis telah ternampak dua lelaki duduk di atas motosikal masing-masing sambil berbual mengadap satu sama lain.

“Kedua-dua mereka didapati tidak memakai pelitup muka walaupun selepas pemerhatian dijalankan dalam tempoh 10 minit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mazuki berkata, seorang pegawai polis kemudiannya menghampiri remaja terbabit dan memperkenalkan diri sebelum menjelaskan kesalahan yang telah dilakukan mereka.

Katanya, kedua-dua remaja itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk tindakan kompaun kerana melanggar Peraturan 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Sebelum tindakan kompaun diambil, kita telah membuat pemerhatian lebih kurang 10 minit di tempat tersebut.

“Malah, di dalam gambar dan video yang diambil juga jelas menunjukkan kedua-dua remaja itu bukan sahaja tidak memakai pelitup muka malah tidak mematuhi penjarakan sosial iaitu satu meter,” katanya.

Menerusi laporan akhbar berbahasa Cina, dua remaja itu masing-masing dikenakan kompaun kononnya atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika mahu minum air.

Laporan itu yang tular selepas dipetik beberapa portal mendapat reaksi pelbagai daripada wargamaya yang rata-rata mengecam tindakan pihak berkuasa.

Sumber : Kosmo!

Recent Posts