Memaparkan catatan dengan label Melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Melayu. Papar semua catatan

Rabu, Oktober 25, 2023

Manuskrip Melayu ratusan tahun ditemui di Belanda

 


Koleksi sebuah perpustakaan lama dari Selangor tersimpan jauh di bandar tua Deventer, utara Belanda sejak 1971.

Mendedahkan hal itu, Ketua Bahagian Asia Tenggara, British Library, London, Datuk Dr Annabel Teh Gallop, berkata koleksi yang mengandungi 72 manuskrip terdiri daripada 45 kitab berbentuk naskhah berjilid dan 27 pucuk surat adalah milik Tengku Panglima Besar Tun Sayid Jafar Ba' Alawi atau lebih dikenali sebagai Sayid Jafar.

"Koleksi itu kini disimpan di sebuah perpustakaan, Athenaeumbibliotheek di sebuah bangunan bersejarah. Manuskrip yang tertua dalam koleksi ini dipercayai dihasilkan pada 1603.

"Koleksi berkenaan dianggap sangat penting untuk Sayid Jafar kerana beliau sanggup membakar perpustakaan miliknya daripada jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1784," katanya ketika memberi syarahan 'Perpustakaan di Negeri Selangor Kurun Ke-18: Koleksi Buku Panglima Besar Tengku Sayid Jafar' anjuran Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), baru-baru ini.

Gallop berkata, daripada keseluruhan 72 manuskrip, berkemungkinan hanya 28 jilid besar buku berasal daripada koleksi Sayid Jafar sementara naskhah lain termasuk surat dan kertas mungkin diperoleh ketika berlakunya Perang Selangor-Belanda.

Tambahnya Perang Selangor- Belanda berlaku ketika Selangor menawan kembali Melaka yang ketika itu dikuasai Belanda. Sultan Kedua Selangor, Sultan Ibrahim menyerang Melaka dengan bantuan bapa saudaranya, Raja Haji yang membawa angkatan perang dari Riau. Dalam peperangan itu, Raja Haji terbunuh di Teluk Ketapang sementara Sultan Ibrahim berundur kembali ke Kuala Selangor.

"Armada Belanda kemudiannya mengejar ke Kuala Selangor. Namun disebabkan pantai Selangor berlumpur, usaha untuk mendarat agak sukar.

"Selepas dua minggu barulah dapat naik ke darat dan mengukuhkan kedudukan mereka sebelum dapat menakluk Kota Kuala Selangor. Sultan Ibrahim dan orang-orangnya pun berundur ke Hulu Selangor lalu masuk ke Pahang untuk mendapatkan bantuan.

"Disebabkan penaklukan itulah Belanda dapat merampas sejumlah manuskrip Melayu lama lalu dibawa ke Belanda," katanya.

Gallop berkata, keseluruhan koleksi berbentuk buku ditulis dalam bahasa Arab sementara himpunan surat dan kitab kecil dikarang menggunakan bahasa Melayu. Bagaimanapun ada beberapa manuskrip buku kecil dan catatan yang ditulis dengan bahasa dan aksara Bugis.

Gallop menyifatkan penemuan koleksi Sayid Jafar itu sangat menarik dan menimbulkan kebarangkalian terdapat juga manuskrip lain dari alam Melayu disimpan di situ.

"Ada yang berasal daripada Aceh, Indonesia kerana ia disertakan maklumat lengkap misalnya di mana ia disalin selain turut dicatatkan nama penyalin dan nama pemiliknya," katanya.

Bagaimanapun tegas Gallop, penemuan koleksi itu tidak boleh dianggap baharu kerana ia sudahpun dikatalogkan sejak 1792 walaupun ditulis dengan tangan.

Katanya, dalam katalog lama susunan koleksi dibuat mengikut bahasa, misalnya semua koleksi berbahasa Melayu akan dihimpunkan bersama.

"Koleksi perpustakaan Sayid Jafar ini memfokuskan ilmu Islam, jadi walaupun ada dalam bahasa Melayu namun majoritinya dalam bahasa Arab.

"Koleksi di Deventer itu turut menyimpan dua mushaf al-Quran. Salah satu ciri yang jelas mushaf ini dihasilkan di Aceh berdasarkan tata letak teks dan tulisan tangan.

"Sebelum ini kami sudah menemui empat mushaf al-Quran lain masing-masing di Aceh, Rotterdam di Belanda dan Vienna, Austria yang dipercayai ditulis oleh orang yang sama kerana tulisannya serupa.

"Hanya satu sahaja mushaf yang saya yakin disalin di Selangor kerana ia masih belum selesai ketika dibawa ke Belanda, ada sekitar enam hingga tujuh halaman sahaja," katanya.

Apa yang menarik katanya, dalam koleksi di Deventer itu terdapat juga buku nahu bahasa Arab, Al-Fawa'id Al Wafiya Fi Hall Mushkilat al Kafiya. Hal ini tegas Gallop menjelaskan orang Melayu satu ketika dulu banyak mengkaji bahasa Arab.

Tambah Gallop, satu-satunya manuskrip kesusasteraan yang ada dalam koleksi itu adalah karya epik berbahasa Bugis iaitu La Galigo.

Namun satu hal yang menarik, meskipun ia disimpan di Deventer, semua koleksi itu kini sudah didigitalkan dan boleh diakses umum.

Gallop berkata, Sayid Jafar datang daripada keluarga keturunan Arab Hadrami yang berasal dari Riau, Indonesia. Bapanya, Sayid Sharif Hassan manakala ibunya, Tengku Puteh adalah anak Raja Kecil di Siak. Sayid Jafar kemudiannya berkahwin dengan Tengku Embong anak Sultan Siak, Mahmud Shah.

Kata Gallop mengikut dokumentasi sejarah, Tengku Embong pernah bernikah dengan Raja Mohd Ali sebelum mengahwini Sayid Jafar.

"Hal ini menjadi sebab mengapa Siak kemudiannya berpihak kepada Belanda ketika menentang Selangor adalah kerana rasa dengki dan amarah Raja Mohd Ali terhadap Sayid Jafar yang berkahwin dengan bekas isterinya.

"Gelaran penuh Sayid Jafar hanya diketahui menerusi dua surat yang dihantar kepada Gabenor Pulau Pinang, Francis Light.

"Malah menerusi surat itu juga pengkaji mengetahui bahawa Sayid Jafar adalah seorang yang berketurunan Arab Hadrami," katanya.

Sumber : Berita Harian

Rabu, Januari 23, 2013

Kerja penulisan manuskrip Melayu

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia

SEBELUM menulis sesebuah manuskrip Melayu, beberapa persiapan perlu dilakukan bagi memastikan kerja-kerja penulisan dapat dijalankan dengan lancar dan disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Sebagai seorang penulis, terutamanya pada zaman dahulu yang menggunakan tulisan tangan, mereka perlu memastikan bahawa tulisan yang akan digunakan adalah yang terbaik, jelas dan mudah dibaca.

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Muawiyah ibnu Abi Sufyan (680 Masihi) yang merupakan salah seorang daripada sekretari baginda seperti maksud berikut: "Seseorang penulis yang menulis wahyu, mesti menjaga bekas dakwatnya, potong mata pen dengan kemas, tulis huruf ba dengan betul, tinggalkan ruang kosong untuk 'gigi' huruf sin, jangan menghitamkan bahagian dalam kepala mim dan untuk menulis nama Allah dengan baik, dengan memanjangkan perkataan al-Rahman dan menyempurnakan tulisan dengan perkataan al-Rahim." (Al-Zabidi, 1771 Masihi).

Alat tulis

Setelah semua alat tulis lengkap dan dalam keadaan yang baik, kertas yang hendak ditulis juga perlu disediakan dengan baik seperti garis untuk teks tulisan, garis tepi, garis atas dan bawah.

Garisan-garisan ini akan membantu penulis mengehadkan penulisan dalam setiap muka surat dan menjadikan setiap muka surat mempunyai pembahagian teks yang seimbang.

Seperti manuskrip Arab, kebanyakan manuskrip Melayu juga mempunyai ruang tepi, kanan dan kiri teks yang agak lebar. Ini bagi memudahkan kerja penjilidan dan juga catatan nota dilakukan oleh pembaca.

Pada muka surat pertama, terdapat manuskrip yang mempunyai ruang atas yang lebih besar berbanding dengan muka surat yang lain.

Bahagian ini selalunya ditinggalkan untuk kerja-kerja hiasan yang akan dijalankan selepas semua teks selesai ditulis.

Pembuka bicara

Perkataan Bismillah bukan sahaja digunakan untuk pembuka bicara secara lisan namun ia juga digunakan sebagai pembuka kepada penulisan.

Perkataan ini digunakan di hampir kesemua manuskrip Melayu sama ada salinan, terjemahan atau karya tempatan.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW ada menyebut tentang "Sesiapa yang menulis Bismillah dengan baik akan diampun Allah SWT dosa-dosanya."

Terdapat beberapa gaya penulisan Bismillah yang digunakan di dalam manuskrip Melayu. Antara gaya yang digunakan ialah dengan memanjangkan huruf ba atau terdapat juga gaya yang memanjangkan huruf sin sebelum mim.

Kajian tentang gaya penulisan Bismillah di dalam manuskrip Melayu telah dijalankan dan dibentangkan oleh Annabel Teh Gallop pada 2004 dalam sebuah seminar manuskrip Melayu di Kuala Lumpur.

Bagi badan teks manuskrip Melayu dua jenis warna pen yang menjadi pilihan ialah hitam dan merah. Hitam merupakan pilihan utama manakala merah akan digunakan sewaktu menulis sebuah manuskrip yang mempunyai dua bahasa iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Melayu atau Bahasa Bugis dan sebagainya.

Teknik ini biasanya digunakan di dalam manuskrip terjemahan. Bahasa Arab akan ditulis di dalam dakwat merah bagi memudahkan pembaca mengenal teks asal sebelum terjemahan dan keterangan yang diberikan oleh penulis Melayu yang ditulis dalam dakwat hitam.

Terdapat juga penulis yang menggunakan dakwat merah untuk perkataan pertama bagi menandakan ayat baru.

Perkataan terakhir

Bahagian penutup juga mempunyai gaya penulisan tersendiri di mana teks pada muka surat tersebut akan menjadi semakin tirus sehingga ke perkataan terakhir bagi manuskrip tersebut iaitu tamat.

Jika terdapat nama penulis, tempat, masa dan tarikh di bahagian ini ia dinamakan kolofon. Terdapat juga manuskrip Melayu yang tidak mempunyai kolofon.

- UTUSAN

Jumaat, Julai 16, 2010

Parti bersatu atas nama agama

Oleh Aziz Jamaludin MHD Tahir
Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

PENYATUAN antara dua buah parti yang mewakili Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas menjadi harapan besar masyarakat Malaysia yang berhasrat membangunkan kekuatan dan kestabilan negara. Telah sekian lama harapan tersebut disuarakan, namun hingga kini masih belum menjadi kenyataan kerana adanya halangan-halangan daripada pihak-pihak tertentu yang tidak ingin menyaksikan penyatuan kembali dua parti melayu Islam yang terbesar di Malaysia.

Sebelum ini, dua buah parti yang mewakili Melayu terbesar dikejutkan dengan “rundingan kerajaan perpaduan” menjadi suatu bentuk hysteria politik yang berkesudahan pintu harapan “telah ditutup.”

Islam sejak kemunculannya telah berjaya menyatukan kabilah-kabilah, kaum dan bangsa sehingga muncul sebagai sebuah kuasa yang amat besar pengaruhnya dalam peradaban manusia.

Banyak pihak mengaku bahawa kekuatan Islam adalah kerana kesatuan matlamat dan perpaduan antara penganutnya, dan kerana itulah empayar Islam mampu bertahan sehingga berjaya dilumpuhkan oleh kuasa yang baru muncul lebih 14 abad lamanya.

Begitu juga dengan Pas dan UMNO. Jika dua buah parti politik yang sama-sama berlandaskan perjuangan Melayu dan Islam boleh berbincang, bermuafakat dan bersatu, tentunya kekuatan masing-masing dapat digemblengkan sebagai satu tenaga modal pengupayaan ummah, hasilnya amat menakjubkan.

Kekuatan Pas sebagai perancang strategi dan pelaksana pembangunan spiritual dan keupayaan UMNO sebagai peneraju pembangunan fizikal akan mampu menyanggah bebanan tanggapan serong peradaban Barat tentang Islam.

Untuk tujuan ini juga sewajarnya kita hayati beberapa hadis peninggalan Baginda kepada umatnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang-orang mukmin itu dalam sayang menyanyangi,kasih mengasihi,santun menyantuni tidak ubah saperti satu anggota dari tubuh yang apabila menderita satu anggota dari tubuh itu akan menderita pula seluruh tubuh itu dengan tidak dapat tidur dan deman.”

Hadis yang lain pula bermaksud: “Orang mukmin itu mencintai saudaranya sebagai mana ia cinta kepada diri sendiri.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kerana hubungan persaudaraan inilah ia perlu diberi pertolongan segera atau menghulurkan bantuan yang di perlukan,sebabnya kesempurnaan persaudaraan itu hanya boleh menjelma secara baik dan harmonis apabila masing-masing berjalan seiring untuk menuju satu maksud dan tujuan.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan dua orang saudara adalah saperti dua tangan yang satu membersihkan yang lain.(Riwayat Ad-Dailami)

Hari ini kuasa umat Islam menjadi semakin lemah walaupun dari aspek kuantiti penganutnya menduduki tangga kedua terbesar. Jumlah penganut Islam yang semakin bertambah menjadikannya bukan sahaja dijadikan sasaran propaganda malah turut dijadikan serangan dalam bentuk kekerasan dan sekatan.

Situasi ini sebenarnya masih belum menyedarkan sepenuhnya umat Islam di Malaysia, dan kerana itulah demi politik mereka sanggup mendustai matlamat utama memperkuatkan benteng umat Islam.

Kelemahan hubungan terdahulu bukanlah merupakan sesuatu yang fatal. Kalaupun masih boleh dianggap “serik” ia bukan bermakna sampai “tidak mahu mengakui saudara sebangsa dan seagama.”

Masih ada dalam jiwa, masih tersisa dalam semangat dan masih tertanam dalam minda, penyatuan antara dua parti politik itu adalah suatu kemenangan terbesar yang pernah berlaku.

Kesilapan dan kekurangan lalu masih boleh diperbetulkan sebagai mana al-Quran sendiri mengajar agar manusia sentiasa bermuhasabah diri, mencari kekuatan baru dan menghirup udara segar yang lebih nyaman dan bersih.

Dengan mengetepikan dendam, bahasa-bahasa yang menyakitkan hati penyatuan dan perpaduan akan terbina dan diumpamakan seperti sepasang suami isteri yang kembali hidup bersama setelah melalui tempoh perpisahan yang lama, masing-masing hidup dengan bayang-bayang resah dan saling menyalahkan.

Sebagai manusia kita amat mudah terdedah dengan kesilapan dan setiap kesilapan itulah telah menenggelamkan hasrat murni. Nilai-nilai positif menjadi sesuatu yang tidak nikmati lagi kerana trauma benci atas “emosi serik” mula menusuk hati dan perasaan.

Walhal, inilah yang perlu kita hindari kerana ia mendekatkan kita kepada sikap bermusuhan dan sikap sedemikian amat dibenci oleh Allah SWT.

Jika sesama Islam saling menunjukkan persengketaan yang tidak dapat disatukan kembali, tentunya bukan Islam akan memandang “hanya manis dibibir, tetapi tidak pada tindakan”, maka amat mudah dipersenda-sendakan.

Kalau sesama Islam tidak boleh berada dalam mood dan jalur kuasa yang kuat, maka bukan Islam bukan sahaja memandang rendah kepada kita.

Maka dengan bersatunya sesama Islam, maka dilema dengan bukan Islam akan dapat dihindari. Apabila kedudukan kita semakin kuat, maka kita akan dihormati. Kekuatan Islam memberikan jaminan bahawa bukan Islam boleh hidup selesa, tetapi, dalam keadaan orang Islam lemah, orang Islam dihina dan dibelenggu dengan pelbagai sekatan.

Kita mungkin dapat memahami bagaimana tersiksa penduduk Palestin, bukan sahaja tidak mempunyai kebebasan memilih cara hidup sendiri, malah pergerakan mereka terus-menerus diawasi, malah cuba dihapuskan secara perlahan-lahan.

Atas dasar ingin melihat penyatuan antara dua buah parti yang ditunjangi oleh orang Melayu-Islam, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sanggup bertindak sebagai perantara.

Sebagai sebuah organisasi yang tidak berasaskan politik, Yadim terasa terpanggil bagi menunaikan tanggungjawab bagi menyatukan antara kedua belah pihak atas nama Islam.

Yadim bukan sahaja menghulurkan tangan untuk membuka lembaran baru persaudaraan tersebut, malah turut berdoa agar kemelut yang melanda orang Melayu-Islam ini akan berakhir suatu hari nanti.

Dasar umat Islam adalah jelas, jalan menyelamatkan kedua-dua pihak yang dilihat bersengketa masih boleh diselesaikan, sebagaimana Allah SWT mengingatkan kita: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jaulah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” Surah Al-Qasas: 56

Sekiranya umat Islam mempunyai cita-cita yang sebenar hendak mengembangkan agama Islam di negara ini, hendaklah ditumpukan kepada persaudaraan Islam ini.

Janganlah berharap bahawa Islam satu hari nanti akan dapat mencapai maksudnya dalam tanah air kita ini jika kita gagal untuk menyatukan dua parti Melayu Islam terbesar ini.

Melayu-Islam perlu kembali bersatu bagi menghadapi cabaran yang menyentuh identiti, menyentuh maruah, menyentuh martabat, menyentuh kelangsungan bangsanya.

Melayu dan Islam adalah dua ‘ramuan sakti’ yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat kerana bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai.

Melayu-Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat towering personality jauh lebih kecil. Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah.

Kita juga perlu ingat, Allah SWT pernah memberikan amaran bahawa dalam keadaan umat Islam asyik bersengketa, mereka yang lebih kecil bilangannya akan dilihat semakin kuat dan berkuasa.

Kita sudah mempunyai petanda tersebut, walaupun ada setengah daripada kita ia bukanlah suatu isyarat yang jelas. Tatkala kita mendapat isyarat dengan jelas, sebenarnya ketika itu kita sudah pun terlewat.

Sabtu, April 03, 2010

Pertahankan nilai-nilai teras negara

(Artikel ini merupakan sebahagian daripada ucapan Datuk Ibrahim Ali, Presiden Pribumi Perkasa Malaysia di Perhimpunan Kebangkitan Perpaduan Melayu sempena Mesyuarat Agung PERKASA Kali Pertama pada 27 Mac 2010)

Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) adalah pertubuhan bukan kerajaan yang wujud di atas prinsip undang-undang negara. Perjuangannya bermatlamat mempertahankan peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai teras yang menjadi paksi keselamatan negara.

Perkasa mempertahankan peruntukan strategik mengenai Islam, institusi Yang di-Pertuan Agong, Melayu, Bumiputera, Bahasa Melayu, serta hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan.

Organisasi ini juga mempertahankan nilai-nilai teras yang wajar dipelihara dan dilindungi menerusi kekukuhan konsep keselamatan negara dan penguatkuasaan undang-undang yang merujuk kepada keselamatan negara.

Perkasa memilih matlamat ini kerana perjuangan mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan dan memelihara keselamatan negara adalah memfokus kepada survival, kelangsungan, dan hidup-matinya umat Islam, Melayu dan Bumiputera di Malaysia yang majmuk. .

Aspirasi ini diperjuangkan kerana sejak dekad akhir abad ke-20, beberapa negara telah jadi huru-hara, hancur-lebur, kucar-kacir dan kacau-bilau, akibat konflik, persengketaan, atau perbalahan berpunca daripada perpecahan rakyat jelata pelbagai keturunan, agama, dan sosio-budaya.

Di Eropah, Yugoslavia berpecah-belah akibat perbalahan politik atau konflik kepentingan, serta perbalahan kaum atau konflik nilai, hingga menyebabkan peperangan, pembersihan etnik, dan pembunuhan beramai-ramai, yang membabitkan umat Islam.

Di Afrika, Rwanda dan Somalia mengalami konflik nilai dan konflik kepentingan yang menyebabkan berjuta-juta orang terkorban, dan berpuluh juta lagi menjadi manusia terpinggir, berpindah-randah, berhijrah tanpa destinasi, dan mengalami kesengsaraan hidup yang panjang.

Perkembangan ini relevan dihuraikan kerana pelbagai perkembangan sosio-politik dan ekonomi di Malaysia mutakhir ini juga boleh berakhir dengan konflik nilai atau konflik kepentingan, jika tidak ada pihak memantau tanda-tanda kedatangannya, dan jika pemerintah tidak bertindak tegas dan proaktif untuk menghalangnya menjadi realiti yang parah.

Tanda-tanda awal kemungkinan meletusnya konflik nilai atau konflik kepentingan di Malaysia mutakhir ini sedang dirasai. Ia seolah-olah mengancam dan menggugat survival Islam, kelangsungan Melayu dan hidup-matinya Bumiputera.

Perkasa prihatin terhadap perkembangan ini kerana Islam, Melayu dan Bumiputera adalah entiti strategik yang menjadi faktor utama kepada kenegaraan dan kewarganegaraan Malaysia moden.

Ketiga-tiga entiti ini merasa terancam dan tergugat kerana segolongan anasir bukan Melayu, bukan Islam, dan bukan Bumiputera, nampaknya sedang memperkukuhkan identiti mereka menerusi pendekatan di luar kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan ini membimbangkan umat Islam, Melayu, dan Bumiputera kerana ia seolah-olah merupakan satu pembaharuan semangat kepada perjuangan Malaysian Malaysia di tahun-tahun 1960-an, walaupun Malaysia sedang menyatupadukan rakyatnya menerusi konsep 1Malaysia.

Oleh itu, tidak salah untuk ditafsirkan bahawa perkembangan di Malaysia hari ini seolah-olah serupa dengan perkembangan sosio-politik dan ekonomi yang mengiringi tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.

Pada ketika itu, kerajaan gagal menangani masalah ekonomi, sosio-budaya dan politik Malaysia yang majmuk.

Menurut maklumat yang saya terima, pada ketika itu terdapat elemen-elemen anti-nasional, termasuk segelintir pemimpin utama parti-parti politik pembangkang, turut hadir di upacara membakar Jalur Gemilang dan Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan tersebut adalah biadab, kurang ajar, menghina negara, dan tidak boleh dimaafkan. Malangnya, beberapa aktor politik yang terlibat masih lagi hidup dan aktif hingga sekarang.

Mereka memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia menerusi jalan yang terang atau samar-samar. Kini mereka mengubah strategi dengan memperkenalkan dasar Middle Malaysia.

Mereka juga memutar-belitkan Konsep 1Malaysia, kononnya sebagai dasar hak sama rata bagi semua bangsa yang menyerupai konsep Malaysian Malaysia.

Mungkin ramai di antara kita tidak mengetahui sejarah dan matlamat konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh sekumpulan pemimpin politik etnik Cina di negara ini sejak tahun 1964.

Sewaktu Singapura berada dalam Malaysia, konsep ini diperjuangkan oleh Lee Kuan Yew dan PAP. Setelah Singapura terkeluar dari Malaysia, ia diperjuangkan oleh DAP.

Konsep ini mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan, dan hampir serupa dengan konsep Malayan Union yang diperkenalkan oleh penjajah British pada tahun 1946.

Konsep Malaysian Malaysia diperjuangkan oleh sekelompok wargenegara keturunan Cina di era merdeka. Konsep Malayan Union diperjuangkan oleh imperialis Inggeris di era penjajahan.

Kedua-dua konsep ini menjadikan umat Islam, orang Melayu, dan Bumiputera sebagai sasarannya. Kedua-duanya juga mempertikaikan Agama Islam, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu, dan lain-lain aspek sosio-ekonomi serta nilai dan budaya Melayu.

Konsep Malaysian bersifat provokatif kepada umat Islam, Melayu dan Bumiputera. Ia pernah menjadi satu daripada faktor yang mendorong tercetusnya konflik 13 Mei 1969.

Oleh itu, jelaslah bahawa konsep Malaysian Malaysia boleh mencetuskan kemarahan umat Islam, Melayu dan Bumiputera, sama seperti kemarahan mereka sewaktu menentang konsep Malayan Union pada tahun 1946.

Intipati konsep Malaysian Malaysia tidak pernah didokumenkan. Tetapi, kenyataan-kenyataan berikut menjelaskan apakah maksud dan matlamat konsep ini.

Ghazali Ismail, bekas Pegawai PAP Singapura dalam bukunya terbitan 1990 menyatakan, Malaysian Malaysia adalah konsep kesamarataan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, budaya dan agama, supaya mereka berhak memperolehi layanan yang sama, menuntut hak yang sama, dan menikmati apa jua keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu.

Tan Sri Syed Jaffar Albar, Ketua Penerangan UMNO menjelaskan dalam Utusan Melayu 2 Julai 1965, Malaysian Malaysia adalah konsep bertujuan merampas keistimewaan Melayu dan menghapuskan Raja-Raja Melayu, Agama Islam dan Bahasa Melayu.

Tun Tan Siew Sin, Presiden MCA menegaskan dalam Utusan Melayu 6 Julai 965, Malaysian Malaysia adalah konsep bertujuan menimbulkan kacau-bilau, pecah-belah dan menghancurkan Malaysia.

Ong Eng Guan, Pengerusi Parti Demokratik Bersatu Singapura dilaporkan oleh Utusan Melayu 10 Julai 1965, sebagai berkata bahawa Malaysian Malaysia adalah konsep untuk memecah-belahkan perpaduan di antara bangsa di Malaysia.

Lidah Pengarang, Utusan Melayu, 16 Julai 1965, menyatakan bahawa Malaysian Malaysia adalah konsep perjuangan menentang kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, Agama Islam sebagai Agama Rasmi, dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Majalah Dewan Masyarakat, Februari 1975, menegaskan bahawa Malaysian Malaysia adalah konsep di mana negara dan negeri tidak diidentitikan dengan keutamaan dan faedah-faedah satu komuniti atau bangsa sahaja.

Ciri-ciri konsep seperti ini mengandungi elemen-elemen risiko kepada keselamatan negara, keselamatan politik, keselamatan masyarakat, dan keselamatan identiti umat Islam, Melayu dan Bumiputera.

Konsep ini juga mengandungi elemen-elemen ancaman yang boleh mencetuskan konflik etnik. Oleh sebab itulah akhbar Utusan Melayu 10 Julai 1965, melaporkan bahawa konsep Malaysian Malaysia adalah bertujuan memecah-belahkan perpaduan di antara kaum di Malaysia.

Konsep Malaysian Malaysia yang dicetuskan oleh Lee Kuan Yew, sepatutnya sudah terkubur setelah Singapura disingkirkan daripada Malaysia pada 8 Ogos 1965.

Ironinya, konsep ini terus menjadi duri dalam daging kepada politik dan perpaduan kaum di Malaysia hingga sekarang kerana ia terus diperjuangkan oleh DAP yang diwujudkan pada 1956, untuk menegakkan konsep Malaysian Malaysia.

Oleh itu, kita perlu insaf, sensitif dan tegas dalam menentang perebakan konsep Malaysian Malaysia kerana sasaran utamanya adalah umat Islam, Melayu dan Bumiputera terutama sekali mengenai keistimewaan mereka yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, adalah menggembirakan bila tindakan DAP memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia turut disanggah oleh segolongan pemimpin bukan Melayu di negara ini.

Utusan Melayu, 8 Julai 1965, menyatakan, Tun Tan Siew Sin pernah mengingatkan etnik Cina tentang bahaya perjuangan Malaysian Malaysia terhadap keharmonian kaum di Malaysia.

Beliau juga mengingatkan etnik Cina supaya berhati-hati terhadap tindak-tanduk segolongan orang yang berpura-pura menjadi juara orang Cina dengan menyuarakan tentangannya terhadap hak-hak istimewa orang Melayu.

Berita Harian, 16 April 1965, memetik Khaw Kai Boh membidas perjuangan Malaysian Malaysia oleh DAP kerana sikap anti-Melayu itu merosakkan kepentingan seluruh etnik Cina di masa depan

Berita Harian, 15 November 1982, menegaskan, Lee San Choon mengkritik DAP kerana cuba mewujudkan perpecahan dan suasana yang tidak harmoni di antara etnik di Malaysia menerusi perisytiharan yang menentang dasar kerakyatan, kebudayaan dan bahasa Malaysia.

- UTUSAN

Isnin, Februari 01, 2010

Apakah kesudahan nasib Melayu Pulau Pinang?

Dulu, kira-kira 40 tahun lalu, waktu Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional (BN) memerintah Pulau Pinang yang diterajui Gerakan, UMNO, MCA, MIC bukannya tidak ada gerai Melayu yang diroboh. Memang ada gerai yang diroboh atas sebab-sebab tertentu. Paling popular sudah tentu tidak ada lesen atau untuk memberi laluan kepada projek lain. Dulu, bukannya tidak ada peniaga yang berniaga ikut suka sehingga mengganggu lalu lintas.

Memang ada sehingga sekarang tetapi tidak ada tindakan yang drastik diambil dan mereka terus berniaga seperti biasa. Semuanya itu berlaku di Pulau Pinang ketika kerajaan BN diketuai oleh Ketua Menteri, Dr. Lim Chong Eu dan kemudiannya Dr. Koh Tsu Koon. Kini, kerajaan negeri pakatan pembangkang DAP, PKR, Pas yang baru berusia setahun jagung dan diketuai oleh Lim Guan Eng lebih berani bertindak. Tetapi kenapa riuh rendah jadinya? Mungkin kerana ramai yang terkejut disebabkan tindakan drastik kerajaan pakatan pembangkang ini. Mulanya mereka mungkin mengharapkan pakatan dapat memberi nafas baru kepada peniaga atau penjaja kecil. Mereka tentu lega dengan slogan keadilan, kebebasan, ketelusan, kebajikan dan entah apa lagi slogan yang 'manis-manis' dan enak didengar yang dibawa oleh pakatan pembangkang semasa kempen pilihan raya. Malangnya, ibarat mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan atau panas tidak sampai ke petang. Kebahagiaan yang diharap tidak muncul. Gerai milik orang Melayu yang dulunya 'hidup bebas' di bawah naungan BN kini tinggal sejarah atau bakal menjadi catatan sejarah. Dua puluh tahun beroperasi tanpa masalah tetapi kini muncul masalah. Kalau tidak ada lesen, kenapa tidak diberi lesen? Sementara menurut dakwaan Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pajim), gerai milik bukan bumiputera yang banyak beroperasi tanpa mengikut garis panduan ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terlepas daripada sebarang tindakan. Berjalanlah di sepanjang Jalan Weld Quay, Lebuh Chulia, Lebuh Kimberley, Jalan Macalister, Jalan Burma dan Sungai Dua. Lihatlah panorama indah ini yang boleh dijadikan juga produk pelancongan. Kalaulah semua ini - gerai-gerai Melayu dirobohkan - benar, maka sungguh malang nasib Melayu Pulau Pinang.

Apakah ini sudah suratan takdir mengenai nasib kaum minoriti di Pulau Mutiara itu? Mungkinkah Melayu Pulau Pinang lebih terbela di bawah gandingan mantap dan mesra DAP, PKR, Pas?

Media arus perdana sudah tentu akan dipersalahkan kerana membangkitkan isu orang Melayu ini dan akhirnya akan dilabel sebagai rasis. Sudah lumrah, apa yang mereka lakukan salah di sisi orang lain tetapi akan dianggap betul jika mereka sendiri yang melakukannya. Tindak tanduk memijak atau melangkah kepala orang yang mereka lakukan secara spontan tidak dianggap satu tindakan provokasi yang boleh mencetuskan kemarahan. Tetapi apabila orang lain mengambil tindakan yang sama dalam keadaan marah, mereka pula tidak sabar dan membuat laporan polis. Itulah lumrah politik pihak sebelah sana yang sering melaungkan slogan yang enak didengar.

Khabarnya selain kedai makan atas pokok Do Re Mi di Tanjung Bunga, Three N Ikan Bakar di Bukit Dumbar dan gerai buah di Permatang Pauh milik orang Melayu, ramai lagi yang akan menerima nasib sama selepas ini.

Sejauh mana kebenarannya tidak pasti. Gerai-gerai ini bukannya wujud semalam atau kelmarin tetapi telah lama. Malahan sejak kerajaan BN memerintah. Apakah kerajaan BN yang silap? Atau adakah kerajaan BN lebih peka dan prihatin terhadap golongan peniaga seperti ini? Justeru, apakah tujuan sebenar di sebalik tindakan kerajaan DAP yang mengarahkan gerai-gerai ini dirobohkan?

Gerai atas pokok memang unik. Dalam filem Do Re Mi ada kisah orang duduk atas pokok. Dalam cerita 'Dewan Undangan Negeri Perak' ada kisah bersidang bawah pokok sehingga pokok tersebut dijadikan satu tempat bersejarah. Dalam filem Laksamana Do Re Mi pula, raja bersemayam di bawah pokok. Begitulah cerita pokok. Maka kenapa restoran unik atas pokok ini mahu dihapuskan?

Memang mudah untuk menumbangkan pokok. Seperti filem Do Re Mi, ugut nak gergaji pokok, maka Do Re Mi yang menjadi penghuni rumah pokok itu cabut lari.

Agaknya siapa yang lebih bertimbang rasa jika dibandingkan dengan kerajaan BN Perak yang tidak memusnahkan tempat yang menjadi pujaan pakatan pembangkang dengan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mahu 'mengusir' pengusaha restoran atas pokok.

Siapakah yang lebih prihatin masalah rakyat terutama yang berpendapatan rendah apabila sejak 20 tahun lalu berniaga tetapi tidak diganggu gugat oleh kerajaan sebaliknya yang baru pegang kuasa sudah tunjuk belang.

Jika ini berterusan - peniaga Melayu menjadi mangsa - maka ke ceruk mana lagi Melayu Pulau Pinang hendak pergi. Berapa kerat orang Melayu yang mampu berniaga di tengah-tengah Georgetown sama ada di Chowrasta, Komtar, Perangin Mall dan sekitarnya?

Malang sungguh nasib Melayu Pulau Pinang. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, macam orang Tanjong selalu buat seloka... Balik Pulau, Bayan Lepas, Sana Terpelau, Sini Terlepas.

Terbelakah Melayu Pulau Pinang?

Terserahlah kepada rakan kongsi DAP iaitu PKR dan juga Pas. Jika PKR dan Pas mahu melihat semua kaum diberi layanan sama rata, maka Melayu Pulau Pinang tidak akan ke mana. Mereka akan terus ketinggalan dalam segala segi. Melayu umpama melukut di tepi gantang.

Justeru Melayu Pulau Pinang perlu insaf dan sedar bahawa tidak ada sesiapa yang dapat membela nasib mereka kecuali diri mereka sendiri. Melayu perlu menghentikan sandiwara politik. Jika ada di antara Melayu yang ada kuasa lupa akan bangsanya, maka lambat laun, mereka juga akan terus hanyut. Janganlah kerana ketamakan kuasa, mereka akhirnya akan 'dijual' kemudian dilelong seperti yang berlaku ke atas Abdul Wahab dan Abdul Wahib dalam filem Tiga Abdul.

Selain masalah gerai Melayu ini, menarik juga untuk disentuh ialah isu melibatkan bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, Zahrain Mohd Hashim. Apakah isu Zahrain 'menyerang' Guan Eng dengan kata-kata diktator, cauvinis dan berfikiran komunis' sebagai satu lagi sandiwara sekadar ribut dalam cawan menjelang hari bicara penasihat PKR? Sama ada sandiwara atau disebabkan masalah peribadi, sekurang-kurangnya rakan pembangkang DAP sendiri tidak puas hati dengan Guan Eng. Biar apa pun alasannya, Zahrain sudah berani mendedahkan sikap Guan Eng. Dan seperti yang dijangka, kepimpinan PKR akan menolak segala dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru itu. Atas semangat kerjasama politik, yang hitam tidak boleh dihitamkan lagi tetapi perlu diputihkan. Dalam politik, biarlah kritik orang di luar parti bukannya mengkritik parti sendiri. Jika tidak buruk padahnya seperti dialami Khalid Samad, Hasan Ali dan begitu juga Zulkifli Noordin, Zaid Ibrahim dan Zahrain. Semuanya ini menarik untuk dinantikan kesudahannya. Adakah ia sekadar sandiwara politik atau masalah dalaman yang sukar dibendung.

- UTUSAN

Ahad, Januari 31, 2010

Dr. Mahathir kecewa parti Melayu tidak bantu kaum sendiri


Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiga parti utama orang Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terlalu 'asyik' mendapatkan sokongan bukan Melayu sehingga tidak mempedulikan rintihan kaum mereka sendiri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika ini apa jua tuntutan bukan Melayu, sama ada beralas undang-undang, Perlembagaan atau perjanjian lalu, akan dilayan oleh parti-parti berkenaan.

Beliau percaya tindakan itu berpunca daripada keyakinan mereka yang menyedari bahawa orang Melayu tidak mempunyai banyak pilihan ketika pilihan raya dan akan tetap menyokong mereka.

"Tidak perlu saya nyatakan apa yang menyebabkan kita berasa kecewa. Tetapi kita lihat orang yang dulu kata orang Islam jika berkawan dengan bukan Islam akan jadi kafir, sekarang peluk cium orang bukan Islam dan dihalalkan segalanya bagi mereka kerana orang Melayu tetap akan bagi sokongan.

"Ia bukan tindakan yang bijak. Orang Melayu rasa tidak boleh lagi bergantung pada parti-parti politik, sebab itu ditubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyuarakan pendapat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 2,000 hadirin pada majlis pelancaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hulu Kelang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali serta beberapa pemimpin NGO Melayu.

Dr. Mahathir menambah, terdapat beberapa NGO Melayu yang menemuinya dan menyatakan kekecewaan mereka terhadap kerajaan dan parti-parti pembangkang.

"Tetapi apa yang mereka boleh buat. Mereka kata, jika terlampau giat suarakan pendirian orang Melayu, mereka akan dituduh rasis dan mungkin juga diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

"Akhirnya, mereka datang bertemu bekas Perdana Menteri yang sudah tidak bertaring. Mereka kecewa tetapi tidak dapat suarakan kepada pemimpin Melayu sama ada kerajaan atau parti lawan," ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan orang Melayu agar melakukan protes secara tertib dan tidak melakukan kekacauan sehingga menghancurkan keamanan negara.

"Kalau mereka tidak dengar, kita ada kuasa dalam pilihan raya. Jangan gunakan cara yang boleh merosakkan keamanan.

"Tetapi saya bimbang, sekiranya keadaan ini berterusan, orang Melayu yang sekian lama memendam kekecewaan akan 'meletup'," katanya.

- MINGGUAN MALAYSIA

Isnin, Jun 08, 2009

Dilema ekonomi Melayu

Oleh IBRAHIM ALI
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia

Hari ini orang Melayu juga mengalami dilema ekonomi. Walaupun mulai 1970-an kerajaan telah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan kemudiannya Dasar Pembangunan Nasional (DPN), ekonomi orang Melayu masih tercorot dan amat ketinggalan.

Malangnya, segolongan bukan Melayu asyik mengecam dan mengkritik kerajaan, kononnya kerajaan tidak bersikap adil bila memberikan keistimewaan kepada orang Melayu dan Bumiputera. Ada segolongan bukan Melayu juga mendesak agar kuota pemilikan saham Melayu sebanyak 30 peratus dimansuhkan.

Segolongan bukan Melayu juga mendesak supaya kuota biasiswa untuk pelajar bukan Melayu mesti ditambah. Kata mereka, orang Melayu wajar berlumba-lumba dalam hal pendidikan dan ekonomi negara menerusi sistem meritokrasi, iaitu sistem siapa hebat dia yang dapat, sistem siapa yang kuat, dia dapat semuanya. Kalau sistem ini dilaksanakan, orang Melayu akan terpinggir dan akhirnya lesap daripada bumi tercinta ini.

Dalam hal ini, sekali lagi saya ulangi, suara-suara yang mengungkit-ungkit keistimewaan Melayu pada hari ini adalah suara orang yang sudah dapat betis, mahukan paha. Ini suara orang tamak dan haloba, tidak menghargai kedudukan orang Melayu dan Bumiputera yang mundur akibat penjajahan British. Kepada kelompok ini, fahamilah maksud perangkaan atau statistik di bawah.

Akibat dasar British membawa masuk orang asing ke Tanah Melayu tanpa sebarang kawalan, banci penduduk Tanah Melayu pada tahun 1931 mendapati jumlah orang asing ketika itu mengatasi pribumi di Tanah Melayu.

Pada tahun 1932-1933 ada kemelesetan ekonomi dunia. Orang asing pun ramai yang balik ke negara asal mereka. Biarpun begitu, banci penduduk Tanah Melayu pada 1947, pun masih mendapati orang asing mengatasi pribumi. Selepas Perang Dunia Kedua pada 1945, bancian penduduk Tanah Melayu, termasuk Singapura, mendapati daripada 5.7 juta penduduk ketika itu, orang Melayu dan Bumiputera hanya 2.5 juta orang, bukan Melayu seramai 3.2 juta orang (Cheah Boon Kheng 2007).

Perkembangan kependudukan seperti ini menyebabkan jumlah orang asing berbanding orang Melayu dan Bumiputera pada 1957 adalah hampir seimbang. Daripada keseluruhan rakyat Tanah Melayu ketika itu, 3.12 juta adalah orang Melayu dan Bumiputera. Orang Cina seramai 2.33 juta, India 690,000 dan 120,000 daripada lain-lain etnik (Federation of Malaya Year Book 1959).

Biarpun begitu, daripada segi ekonominya, keturunan Cina pada 1957 telah menguasai ekonomi negara secara kukuh sementara orang Melayu masih dalam kemiskinan. Contohnya, sejak 1937, pelaburan orang Cina di Tanah Melayu sudah pun menjangkau AS$200 juta berbanding pelaburan asing lainnya sejumlah AS$454.5 juta (Ling Liong Sik 1995:3).

Pada tahun 1950-an, syarikat-syarikat Eropah menguasai 65 peratus hingga 75 peratus perdagangan eksport dan 60 peratus hingga 70 peratus perdagangan import. Syarikat-syarikat milik orang Cina ketika itu menguasai 10 peratus agensi eksport. Syarikat-syarikat etnik India pula menguasai dua peratus perdagangan berkenaan. Pada ketika itu, orang Melayu langsung tidak memiliki sebarang ekuiti dalam mana-mana perdagangan. (Gomez & Jomo, 1997:14-15).

Pada tahun 2008, penduduk Malaysia adalah 25.056 juta. Melayu 13.667 juta, Bumiputera 2.963 juta, etnik Cina 6.256 juta, etnik India 1.880 juta, lain-lain etnik 290,000 dan bukan rakyat 2.826 juta (Unit Perancang Ekonomi:2008).

Bagaimanapun, pemilikan modal saham pada 2008 adalah RM100 bilion atau 18.9 peratus sahaja di tangan Bumiputera, RM215 bilion atau 40.6 peratus dikuasai oleh bukan Bumiputera, RM42.3 bilion atau 8 peratus dikuasai oleh syarikat nomini, dan RM172.3 bilion atau 32.5 peratus dipegang oleh pemodal asing.

Ekuiti Bumiputera sebanyak RM100 bilion pada tahun 2008 terbahagi kepada RM79.4 bilion atau 15 peratus milik individu, RM11.9 bilion atau 2.2 peratus milik institusi, dan RM8.7 bilion atau 1.7 peratus milik agensi amanah. Ekuiti milik bukan Bumiputera, RM207 bilion atau 39 peratus dikuasai oleh etnik Cina, RM6.4 bilion atau 1.2 peratus dalam tangan etnik India, dan RM1.9 bilion atau 0.4 peratus kepunyaan lain-lain kaum. (The Star: 27.6.2008).

Statistik di atas membuktikan jumlah penduduk Melayu dan Bumiputera berbanding lain-lain etnik yang hampir seimbang sewaktu kemerdekaan tanah air, meningkat secara prominen pada 2008. Tetapi, kenyataan mengenai kemiskinan serta lain-lain petunjuk ekonomi di era sebelum merdeka adalah manifestasi dan dampak dasar pecah dan perintah penjajah British yang memihak kepada bukan Bumiputera dan menindas orang Melayu dan Bumiputera.

Petunjuk ekonomi di era sesudah merdeka, seperti pada tahun 2008, adalah realiti dan manifestasi bahawa sehingga hari ini, orang Melayu dan Bumiputera adalah golongan rakyat Malaysia yang jauh ketinggalan berbanding bukan Bumiputera dan berbanding kedudukan pemodal asing di negara ini.

Hakikat ini jadi lebih ketara jika dikaji lain-lain petunjuk sosio-ekonomi seperti pendapatan isi rumah, kadar kemiskinan relatif dan kemiskinan tegar, jumlah profesional Melayu dan Bumiputera dan sebagainya. Dikaji ikut perspektif mana sekalipun, adalah jelas Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) terbukti belum berjaya mengatasi jurang perbezaan ekonomi dan kadar kemiskinan antara orang Melayu dan Bumiputera dengan bukan Bumiputera di Malaysia.

Oleh sebab itu, apakah asas yang menghalalkan segolongan orang bukan Melayu untuk mempersoalkan DEB, DPN, keistimewaan orang Melayu, biasiswa untuk Bumiputera dan segala-gala dasar yang disifatkan memihak kepada orang Melayu dan Bumiputera kebelakangan ini?

Apakah alasan kerajaan melayan desakan demi desakan, termasuklah dalam bidang pelajaran rendah, pelajaran menengah dan pendidikan tinggi, daripada sesetengah kelompok bukan Melayu pada hari ini?

Kepada golongan ini, ingatlah bahawa di era penjajah, hanya 10 peratus sahaja anak Melayu masuk universiti. Bakinya yang 90 peratus semuanya dibolot oleh bukan Melayu.

Dalam hal dilema ekonomi ini, saya juga merayu semoga kerajaan tidak akan berkompromi dan tidak akan tunduk kepada tuntutan keterlaluan oleh sesetengah kelompok bukan Melayu.

Saya juga menyeru segolongan pegawai Melayu yang selama ini kononnya kurang sensitif terhadap kemajuan orang Melayu dan Bumiputera dalam bidang ekonomi, supaya insaf dan ubah sikap untuk membantu Melayu dan Bumiputera dengan lebih ikhlas dan dedikasi.

Kepada seluruh pegawai dan profesional Melayu dalam bidang korporat dan syarikat milik kerajaan (GLC), saya menyeru, fikirkanlah masa depan orang Melayu dan Bumiputera dalam ekonomi dan perniagaan.

Janganlah bila sudah dapat tempat tinggi-tinggi, kelompok pegawai dan profesional Melayu ini jadi seperti kacang yang lupakan kulit. Jangan di pandang hina usahawan dan peniaga Melayu dan Bumiputera.

Ingatlah bahawa tanpa perjuangan Melayu terdahulu, para profesional Melayu dalam GLC dan mereka yang berada dalam sektor awam dan sektor korporat pada hari ini, belum pasti dapat menikmati kedudukan yang mereka nikmati sekarang.

Seluruh pegawai Melayu dalam sektor kerajaan dan GLC sewajarnya memberikan peluang perniagaan kepada orang Melayu dan Bumiputera. Jangan tergamak sesetengah pegawai menafikan peluang perniagaan yang sepatutnya diberikan kepada usahawan dan peniaga Melayu serta Bumiputera.

Badan-badan korporat dan GLC Melayu perlu turut memainkan tanggungjawab sosial kepada NGO dan pertubuhan Melayu yang mendukung perjuangan untuk memperkasakan aspirasi Melayu dan Bumiputera.

Mereka perlu mempunyai keutamaan dan fokus yang tepat dan betul mengenai perkara ini. Janganlah kalau untuk hiburan yang melekakan, mereka sanggup menderma hingga berjuta-juta ringgit jumlahnya. Janganlah pula untuk menggerak serta memperkasakan perjuangan Melayu dan Bumiputera, mereka sentiasa berdolak-dalik untuk membantu perjuangan ini.

Saya sangat berharap, semoga golongan pegawai-pegawai Melayu dan eksekutif Melayu dalam syarikat korporat dan GLC, tidak akan tergamak untuk mengkhianati aspirasi perjuangan Melayu. Jangan digadaikan masa depan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini di masa akan datang.

Demikianlah penegasan semula saya mengenai perjuangan orang Melayu dan Bumiputera pada hari ini. Penegasan semula ini saya lahirkan semata-mata kerana saya tidak rela orang Melayu dan Bumiputera terus dilanda dilema politik dan dilema ekonomi di tanah airnya sendiri.

Penegasan semula aspirasi perjuangan ini saya lakukan kerana saya tidak reda dagang lalu ditanakkan, anak di rumah mati kebuluran. Penegasan semula aspirasi perjuangan bangsa ini saya lafazkan kerana saya mahukan majoriti orang Melayu dan Bumiputera kembali memberikan sokongan serta keyakinan mereka kepada pemerintah.

Penegasan semula aspirasi perjuangan Melayu ini juga saya lahirkan supaya pihak pemerintah juga sentiasa mempertahankan seluruh hak dan keistimewaan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan yang termaktub dalam seluruh dasar afirmatif kerajaan.

Marilah sama-sama kita memohon restu dan hidayat daripada Allah SWT semoga usaha kita melakukan penegasan semula aspirasi perjuangan ini akan menghasilkan tindakan yang positif oleh semua pihak, rakyat jelata daripada semua keturunan, pemerintah, pemimpin politik, pemimpin masyarakat sivil, para pegawai kerajaan, pemimpin korporat dan para pendukung GLC di Malaysia.

Pretty Collection - Siti Murni sentiasa positif

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini, mungkin hanya segelintir yang berani untuk memulakan langkah baru dalam bidang perniagaan. Ramai yang lebih berhati-hati kerana tidak mahu tumpas di tengah jalan dan menanggung kerugian.

Bagaimanapun masih ada yang sanggup mencuba dengan berpegang kepada niat murni untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan serta mereka yang diberhentikan kerja akibat kegawatan.

Bermula dengan Biodex yang kini dikenali ramai di seluruh negara, pengarah dan pengasasnya, Siti Murni Yusof mengorak selangkah lagi dengan memulakan perniagaan pemasaran pelbagai peringkat yang dinamakannya Pretty Collection Sdn. Bhd.

''Saya sentiasa berfikiran positif walaupun dalam keadaan ekonomi yang sedang gawat sekarang ini. Inilah masanya setiap orang harus merebut peluang bagi meningkatkan pendapatan.

''Dengan keadaan ekonomi kini, semua orang sudah tentu akan berusaha bersungguh-sungguh, lebih komited dan melipat ganda usaha. Mungkin semasa ekonomi stabil, mereka lalai, lebih bersenang-lenang dan tidak bersungguh-sungguh.

''Visi sebenar saya adalah untuk meningkatkan jumlah wanita yang berkerjaya terutama bagi golongan ibu tunggal agar dapat meningkatkan pendapatan. Dengan cara ini juga saya berharap akan dapat mempertingkatkan pendapatan umat Islam dan membina usahawan Islam yang cemerlang dan berwibawa.

"Selain ibu tunggal, Pretty Collection boleh disertai oleh suri rumah dan golongan pelajar,'' kata Siti Murni semasa ditemui di pejabatnya di Sentul Raya Boulevard, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, kesibukan menguruskan produk Biodex mungkin 'memisahkan' beliau dengan golongan-golongan tertentu.

Bagaimanapun dengan adanya Pretty Collection, beliau berasa gembira kerana dapat turut sama membantu golongan yang selama ini tidak dapat didekati.

Bercerita mengenai Pretty Collection, ibu kepada empat orang anak berumur 21 tahun, 18 tahun, 16 tahun dan empat tahun ini berkata, syarikat tersebut memasarkan produk makanan kesihatan, kecantikan, pelangsingan dan keharmonian rumah tangga.

''Sebenarnya nama tersebut telah didaftarkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri pada tahun 2007. Bagaimanapun oleh kerana pasaran pada waktu itu telah diserang oleh program pelaburan melalui Internet, ia diberhentikan buat sementara waktu bagi mencari masa yang sesuai.

''Kini apabila masalah tersebut telah reda, saya rasa ini adalah peluang terbaik untuk saya memulakan Pretty Collection yang sesuai dengan kehendak pengguna terutamanya wanita,'' ujar wanita yang berumur 42 tahun ini.

Beliau menjelaskan, dengan hanya bermodalkan RM300 serta yuran keahlian seumur hidup sebanyak RM50, seseorang yang berumur 18 tahun ke atas sudah boleh memulakan perniagaan dengan pendapatan harian yang akan dibayar secara mingguan.

Pretty Collection mengandungi dua pakej, iaitu pakej pelangsingan dan pakej harmoni.

Menurutnya, dalam pakej pelangsingan, terdapat produk yang berasaskan soya, serat larut bercampur klorofil, spirulina dan vitamin yang diperlukan oleh badan.

''Dalam pakej pelangsingan ini juga terdapat pek mini, iaitu set percubaan yang terdiri daripada tampalan kaki Yaseru untuk kegunaan selama tiga hari. Produk tampalan penyahtoksin untuk kaki ini adalah hasil campuran daripada intipati cuka buluh yang diambil secara semula jadi.

Sementara itu, kata Siti Murni, dalam pakej Harmoni terdapat produk untuk keharmonian rumah tangga bagi menambah tenaga kaum lelaki dan menguatkan rahim serta mengatasi keputihan bagi wanita.

Beliau berkata, setiap orang harus merebut peluang untuk menjadi perintis dengan menyertai Pretty Collection kerana syarikat ini baru ditubuhkan dan terdapat banyak peluang untuk berjaya.

Jelasnya, dalam tempoh terdekat, Pretty Collection akan ke Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Dalam pada itu katanya, Pretty Collection akan mengadakan Peraduan Cabaran Langsing bermula 1 Jun hingga 31 Disember ini yang terbuka kepada semua pengguna Pretty Collection di mana hadiah utama adalah sebuah kereta Proton Saga serta hadiah sampingan lain.

Borang boleh diperoleh melalui akhbar, majalah, stokis bergerak atau melalui laman web prettylink4u.com

Khamis, Mei 07, 2009

Jiwa 'kehambaan' Melayu menghalang pembaharuan

Oleh DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
www.drmaza.com

Dalam semangat sesetengah pihak untuk menegakkan ‘kedaulatan melayu’ maka berbagai-bagai slogan kemelayuan dikeluarkan.

Ada yang kata kita berbangga menjadi melayu sebab kitalah kaum asal di Nusantara ini. Ada yang kata kita berbangga menjadi melayu kerana sejarah kesultanan dan kepahlawanan melayu.

Apatah lagi ketika dunia hanya tinggal beberapa belas raja, sembilan daripadanya dimiliki oleh orang melayu. Ada yang kata orang melayu itu istimewa disebabkan adat dan budaya.

Berbagai-bagai lagi yang disebutkan dalam menuntut kemuliaan dan ketinggian kaum. Namun bagi saya, kemuliaan orang melayu yang sebenar dan kekal adalah kerana mereka menganut Islam.

Mereka tidak kekal mulia dengan adat atau kesultanan atau budaya atau apa saja, mereka akan kekal mulia kerana akidah Islam dan jika mereka berpegang kuat dengan Islam. Hari ini budaya dan bahasa melayu sudah banyak yang dilupa, sejarah kesultanan atau kepahlawanan Melayu pun banyak perkara yang wajar dinilai semula. Adapun Islam, ia agama Allah yang sejagat, bukan hanya khusus di alam melayu atau hanya untuk orang melayu.

Keberkatan dan kemuliaan akan dikurniakan kepada sesiapa yang berpegang dengannya sekalipun tanpa sejarah bangsa dan raja. Firman Allah: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan sesuatu menimpa mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (mereka itu) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

Untuk mereka kegembiraan dalam kehidupan dunia dan akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada kalimat-kalimat Allah (janji-janjiNya), yang demikian itulah kejayaan yang besar. Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) didukacitakan oleh kata-kata mereka (yang menentang); kerana sesungguhnya segala kemuliaan bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha mengetahui. (Surah Yunus: 62-65).

Jikalah kepahlawanan melayu hendak dijadikan teladan, saya fikir banyak perkara yang perlu ditapis. Hang Tuah yang kononnya hidup pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka tentu tidak relevan lagi di zaman kita untuk dianggap wira dan teladan.

Wataknya itu mungkin sesuai untuk masyarakat yang berpegang kepada feudalisme yang taat patuh kepada golongan bangsawan secara membuta tuli. Hal yang sama berlaku juga dalam sejarah bangsa-bangsa feudalistik yang lain.

Cerita tindakan Hang Tuah membawa lari Tun Teja dari Pahang untuk memenuhi ‘selera’ Sultan Melaka ketika itu, bukanlah tindakan yang terpuji. Ia salah dari segi nilai kesopanan, apatah lagi jika dinilai di sudut ajaran Islam.

Namun, masyarakat melayu ketika itu barangkali dapat menerimanya disebabkan kehendak ‘sultan’ atau ‘raja’ dalam masyarakat melayu itu mengatasi segala-galanya. Bahkan sultan atau raja bagi mereka mengatasi undang-undang dan peraturan.

Dalam sejarah, bahasa dan adat yang digunakan oleh orang melayu di hadapan sultan atau raja menggambarkan sikap berlebih-lebihan dalam memuja raja serta menghina atau ‘menghambakan’ rakyat.

Ia sudah pasti tidak serasi dengan ruh ajaran Islam yang membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia atau makhluk, kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah.

Dalam sejarah atau ‘lagenda’ kesultanan melayu juga, bukan sedikit tindakan sultan atau raja melayu yang amat menyanggahi keadilan, tidak masuk akal, sekaligus bercanggah dengan Islam.

Orang melayu dalam banyak keadaan mendiamkan diri dan berkata: “Kita rakyat, baginda raja”. Falsafah raja adalah ‘jelmaan tuhan’ yang dianuti oleh sesetengah agama, walaupun tidak disebut dalam masyarakat melayu, namun ia menjelma dalam penghayatan.

Sehingga perkataan ‘daulat raja’ difahami sesetengah masyarakat bahawa tuhan menurunkan bencana kepada sesiapa yang tidak menghormati raja. Bahkan adat-istiadat istana itu sendiri seperti cara ‘mengadap atau menyembah duli’ bukan berasal dari ajaran Islam.

Walaupun Islam masuk ke dalam istana dan masyarakat melayu, tetapi berhubung dengan adat keistanaan, banyak yang belum berjya diislamisasikan.

Tidak dinafikan golongan agama, ada yang berjaya mempengaruhi dan menasihati sesetengah raja melayu. Terdapat juga sultan-sultan melayu yang berpegang dengan Islam dan disanjungi kebaikan dan keadilan mereka.

Namun, dalam banyak keadaan jiwa feudalistik melayu menghalang atau melambatkan proses mengislamisasikan pemikiran melayu berhubung dengan raja.

Anasir itu ada yang berlarutan sehinggalah ke zaman moden ini. Tokoh-tokoh politik berbangsa melayu samada pro-islam atau apa saja, bagaimana ‘sakan’ pun mereka mengkritik kerajaan; dari segi belanjawan, pembaziran, tindak-tanduk, pembahagian projek, kepatuhan kepada undang-undang dan agama dan berbagai hal yang lain, apakah mereka sanggup bertanya hal yang sama jika dikaitkan dengan ‘istana’.

Jawapan sudah pasti tidak atau amat sedikit, walaupun memang banyak bisikan dalam senyap. Sehingga saya berjumpa sesetengah orang yang mengharamkan ‘yoga’ atas alasan kerana ada unsur agama lain antaranya merapatkan kedua belah tangan seperti ‘menyembah berhala’.

Saya bertanya: “tidakkah perbuatan yang sama dilakukan dalam istiadat melayu mengadap raja?”. Dia menjawab: “oh itu lain, saya tidak mahu masuk campur”.

Tulisan ini bukan menghina sejarah istana atau raja. Apa yang hendak saya tegaskan adalah kemuliaan kita apabila kita berpegang dengan Islam. Tiada masalah dengan istana atau kesultanan melayu. Saya hanya menyebut latar masyarakat kita.

Institusi ini boleh dikekalkan seperti mana United Kingdom masih mengenalkan Queen mereka. Namun, proses pembaharuan minda berkaitan istana masih diperlukan. Apatah lagi istana dianggap memayungi Islam.

Banyak institusi-institusi Islam di bawah istana. Tiada penguasa yang tidak boleh dinilai dan ditegur untuk kebaikan diri mereka dan rakyat jelata. Sepertimana kerajaan ditegur dan dikritik, demikian juga raja dan sultan. Jika ia hal peribadi, ditegur secara tertutup dan peribadi.

Jika ia hak atau isu awam, orang awam dan rakyat berhak menuntutnya. Saya menyebut hal demi kebaikan institusi kesultanan itu sendiri, agar berkesinambungannya secara mulia dan dihormati rakyat. Dalam rekod melayu moden, orang melayu telah banyak mempertahankan institusi kesultanan mereka, walaupun tidak banyak keadaan yang menunjukkan sebaliknya.

Adapun saya, tidaklah bersetuju dengan kata-kata Hang Jebat: “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Saya tidak bersetuju dengan perkataan ‘sembah’ yang disebut oleh Hang Jebat, sebab saya tidak menyembah raja.

Saya kata: “raja adil raja ditaati, raja zalim raja dibantahi atau dinasihati”. Tiada beza antara rakyat dan raja atau menteri atau bangsawan mana sekalipun di hadapan keadilan dan hak. Islam tidak pernah mengajar jiwa feudalistik yang meletakkan bagi bangsawan hukuman yang berbeza dengan rakyat.

Rasulullah s.a.w menyebut: “Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saya seorang muslim, saya juga seorang melayu. Saya tidak nafikan orang melayu dan kesultanan kita ada keistimewaan yang tersendiri. Namun, saya percaya jika kita berbicara soal sejarah bangsa, setiap bangsa ada sejarah mereka. Jika soal budaya dan adat, setiap bangsa memilikinya. Jika soal bahasa dan sastera, setiap bangsa ada latar mereka.

Namun jika kita berbicara rahmat Allah yang menunjukkan Islam kepada orang melayu, ia adalah sesuatu yang istimewa. Ia membolehkan melayu itu bergabung dengan sejarah hidayah dan alam yang merentasi segala rupa bangsa dan budaya.

Ia menjadikan kita bersaudara dengan berbagai bangsa di dunia atas kalimah Allah dan menjadikan kita merasai sejarah kegemilangan Islam sebahagian dari sejarah kita bersama. Cuma yang tinggal, sejauh manakah kita berjaya melayari bahtera keagungan Islam pada zaman yang mencabar ini?

Zaman sudah berubah. Minda dan cara fikir generasi baru juga sudah berbeza. Sejarah juga akan berubah. Sesiapa yang enggan berubah, mungkin dia diubah.

Ahad, April 26, 2009

Soal Jawab: Tanpa Raja, Melayu lemah


Apakah peranan serta kepentingan Raja-Raja Melayu ini, khususnya kepada orang Melayu itu sendiri?

Orang Melayu ada satu pepatah - alam beraja, luak berpenghulu, bersuku-suku anak buah, sembah kepada datuk. Pembentukan raja itu disokong oleh empat datuk iaitu bendahara, temenggong, penghulu bendahari dan laksamana. Datuk empat itu menegakkan raja. Itu maksudnya raja duduk di atas sekali, seperti pantun:

Dari darat pergi Klebang,
Anak dara pakai tudung,
Tuanku tempat payung berkembang,
Bawahnya patik tumpang berlindung.

Jika diimbas kembali, raja dan rakyat tercipta di Bukit Siguntang iaitu perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun. Pihak istana pada masa itu menyuruh supaya orang Melayu segera bangkit daripada kekalutan yang berlaku. Di sinilah asalnya raja, baik sebagai pemerintah serta menjadi sebahagian identiti dan kekuatan bangsa Melayu itu sendiri.

Peristiwa lain yang tidak kurang pentingnya ialah ketika kerajaan British mengemukakan cadangan penubuhan Malayan Union pada 1946 yang berhasrat mahu menghapuskan hak Raja-raja Melayu. Dengan Malayan Union, raja dipinggirkan. Ia menyebabkan Allahyarham Datuk Onn Jaafar sanggup keluar berkempen menentang Malayan Union. Malah, ramai orang Melayu yang keluar menyokongnya.

Perjuangan menentang Malayan Union itu juga menyaksikan kerjasama orang Melayu dan Raja-Raja apabila Onn berpakat dan memboikot istiadat penubuhan Malayan Union. Ia menunjukkan kesepakatan Raja-Raja dengan rakyat.

Begitu juga dengan penubuhan Umno, parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Penubuhannya pada 1946 dipersetujui di Kuala Lumpur, tetapi diumumkan secara rasmi di Istana Besar, Johor Bahru. Ia menunjukkan seperti bangsa Melayu yang bermaruah, Umno juga bukan pada parti politik tepi jalan. Penubuhannya diangkat pada tahap tinggi dan diisytiharkan di istana, menerusi sokongan rakyat dan Raja.

Oleh itu, bagi saya, jika ditanya apa pentingnya Raja-Raja Melayu kepada orang Melayu, jawapannya senang saja. Orang Melayu tanpa Raja, maknanya tiada pelindung atau payung. Sebab itulah dalam bahasa Melayu kita ada perkataan seperti taat setia, derhaka, sembah, hamba yang hina. Tetapi perlu diingat, orang Melayu pun ada dua jenis iaitu jenis Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Tuah setia, manakala Hang Jebat sanggup menderhaka.

Penduduk bukan Melayu memang tidak tahu hormat raja sebab kita tidak ajar dia. Kita tidak tunjuk contoh dan adab menghormati pegangan kita dan institusi diraja.

Kita sebagai orang Melayu yang ada adab dan mempertahankan keistimewaan yang ada sejak sekian lama, termasuklah Raja-Raja. Ia kekuatan kita. Kita saling memerlukan dan tanpanya, kita lemah.

Tetapi jika Tan Sri lihat, sejak akhir-akhir ini peranan dan kedudukan Raja-Raja Melayu itu dipertikaikan biarpun ia sudah termaktub dalam Perlembagaan. Mengapa boleh jadi sedemikian sehinggakan raja dan Sultan terpaksa tampil mempertahankan kedudukan mereka?

Inilah harganya demokrasi. Sebab sekarang kita amalkan demokrasi, semua orang cakap pun atas nama demokrasi. Kita lupa setiap negara itu ada Perlembagaannya, ada bendera rasmi dan paling penting, ada raja. Bukan sebarang raja, tetapi Raja Berperlembagaan. Ia sudah termaktub dalam undang-undang. Kita tidak boleh pertikaikan kedudukan raja mahu pun Sultan. Kita nak salahkan bukan Melayu pun tidak boleh sebab mereka tidak tahu dan tidak kenal raja. Mereka cuma tahu perkataan menderhaka.

Kelemahannya terletak pada kita kerana tidak tegakkan kuasa kita. Kita perlu beri pemahaman apa dimaksudkan dengan negeri yang beraja dan Malaysia yang dinaungi institusi diraja. Raja duduknya di atas. Baginda ada kuasa dan apabila masalah atau pertikaian berlaku, raja jugalah yang menjadi kuasa pemutus. Itu sudah termaktub.

Malangnya, ada orang tidak sedar sehingga sanggup bertindak liar, baring atas jalan menidakkan hakikat ini. Ini semua kerana mereka ada sikap tak tahu, tak mahu ambil peduli perkara yang sebenarnya. Seperti saya katakan tadi, sikap Hang Jebat iaitu sanggup menderhaka kerana tiada ilmu pengetahuan.

Bagi saya, baik orang biasa mahu pun pemimpin yang tidak tahu kepentingan raja dan adab masyarakat Melayu ini, tidak layak menggelar diri mereka anak Melayu. Mereka yang tidak tahu raja dan masyarakat Melayu, nama saja Melayu. Anehnya, orang seperti ini ketika nak minta bantuan, mengaku diri mereka Melayu tetapi apabila dapat kedudukan, terus laungkan demokrasi menidakkan Raja-Raja yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan Melayu. Seperti kata-kata, pak turut saja, ada yang jadi kambing ramai-ramai, ada seekor kambing melompat, yang lain pun melompat sama biarpun tak tahu apa sebabnya. Inilah masalah kita.

Apa perasaan Tan Sri sebagai orang lama yang melihat keadaan orang Melayu dulu dan sekarang, terhadap perkembangan politik ketika ini. Orang Melayu yang dulunya ke depan mempertahankan raja, tetapi kini turut menjadi pihak mempertikaikan hak dan kepentingan Raja-Raja?

Saya sendiri berasa sedih dengan perkembangan yang berlaku. Kita orang Melayu berdepan krisis jati diri yang semakin terhakis. Seperti saya katakan awal tadi, orang Melayu ini ada dua jenis iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat. Tetapi cuba tanya yang berbaring di atas jalan raya itu, tahu ke apa mereka perjuangkan? Kalau setakat hendak sertai suka-suka, memang tak masuk akal.

Kita sepatutnya bersatu padu, tetapi berpecah belah kerana perbezaan fahaman politik. Masing-masing fikir diri sendiri. Persoalannya sampai bila? Kita seagama dan sebangsa, tetapi tak sekata. Sudah pasti ada pihak yang menangguk di air keruh. Lebih kesal lagi, apabila ada pihak yang mengaku dirinya Melayu tetapi ke hulu hilir berkempen, mengaibkan bangsa sendiri.

Sebab itulah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tekankan mesra rakyat, turun bawah ke akar umbi untuk memperbetulkan keadaan supaya kita semua bersatu. Memang benar orang Melayu sekarang dan dulu jauh bezanya. Orang Melayu dulu pejuang dan sudah rasa susah senangnya sebab itu kita takut kalau keadaan jadi huru hara. Orang Melayu sekarang mungkin sebab tak pernah berasa susah, sanggup buat bertentangan dengan apa yang diperjuangkan orang dulu.

Jadi di mana silapnya kita Apakah yang menyebabkan orang Melayu itu sudah tidak lagi tebal dengan sikap Melayu dan tidak sanggup mempertahankan keistimewaan seperti kepentingan institusi diraja itu sendiri?

Silapnya kita disebabkan masing-masing fikir diri sendiri, fikir poket masing-masing dan kepentingan sendiri. Memang kita sebangsa, tetapi pemahaman kita berbeza. Kita suka berpuak-puak seperti pantun:

Anak raja memikul kayu,
Mari dibuat batang titian,
Malang nasib anak Melayu,
Pemimpin banyak berdengki-dengkian.

Ini masalahnya. Sebab berlumba-lumba mengejar kuasa dan kepentingan diri sehingga sanggup hasad dengki di atas kejayaan orang lain, sedangkan kita sepatutnya tumpang bangga dan berazam untuk berjaya. Lebih buruk lagi, apabila ada yang sanggup mengamalkan politik wang. Inilah gejala yang paling teruk apabila ada yang sanggup beli kuasa, ranapkan erti dan kepentingan harga diri.

Semangat hormat menghormati sudah terhakis. Bagi saya, ini masalahnya apabila ibu bapa bekerja dan anak terpaksa ditinggal-tinggalkan. Anak dilatih lebih mengenali televisyen dengan semua yang dipaparkan, diberi wang dan segala macam material seperti alat elektronik. Akibatnya, anak jadi materialistik dan hidupnya dikelilingi kesenangan. Sebab itulah orang Melayu sekarang sudah meninggalkan budi bahasa kerana duit menjadi segala-galanya. Memburu emas, kata orang dulu. Seperti kata Tun Sri Lanang dalam kes Bendahara melawan Sultan Mahmud, "Hai emas, Tuhan bukannya engkau, tetapi apa yang dikehendakkan berlaku oleh engkau (emas)." Ini sikap menyesuaikan sesuatu asalkan ia menepati apa yang kita kehendaki.

Pada pandangan Tan Sri, mungkinkah sikap orang Melayu itu sendiri yang tidak lagi menitikberatkan kedudukan Raja-Raja, sebaliknya memberi peluang kepada segelintir pihak mempolitikkan perkara itu bagi kepentingan mereka?

Ya, memang betul sebab ia seolah-olah menunjukkan kita menyokong mereka. Seperti sikap pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang pada masa sama sebenarnya menjadi tontonan bangsa asing. Tetapi, perlu diingat, biarpun mereka bergabung di bawah Pakatan Rakyat, tetapi hakikatnya masing masing tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain. Pada akhirnya, orang Melayu yang susah dan menjadi mangsa.

Saya sendiri sudah berulang kali bercakap mengenainya dalam beberapa Perhimpunan Agung Umno sebelum ini. Memang orang seronok dengar saya berpantun, tetapi berapa ramai yang tangkap maksud sindiran di dalam pantun itu? Pada 1980-an, saya pernah bercakap pada Perhimpunan Agung Umno. Saya katakan 'orang dulu berjuang, pertama hilang, kedua terbilang.' Itu dulu. Tetapi sekarang saya kata, 'orang Melayu berjuang, cari menang. Sudah menang cari wang. Sudah ada wang, jatuhkan orang, hidup di awang-awang, jatuh terlentang.'

Habis cakap, semua orang tepuk, suka, ketawa tetapi ia tidak meninggalkan kesan. Lebih kesal, politik wang tetap diamalkan. Jati diri kita semakin tipis. Sudah banyak perpecahan yang berlaku.

Ini tidak, kita amalkan balik apa yang diamalkan orang Inggeris iaitu pecah dan perintah. Orang Melayu sudah tiada semangat kebangsaan sebab sudah terlalu selesa dengan apa yang ada. Ini yang bahayanya. Kita takut, apabila orang Melayu terlalu leka, ada pihak lain ambil kesempatan. Kesudahannya, menang sorak, kampung tergadai.

- BERITA HARIAN

Ahad, April 19, 2009

Sekeping tanah Melayu di Kuala Lumpur

Setiap kali menyelusuri bahagian tengah Kuala Lumpur pastinya kita tidak dapat mengelak dari melalui kawasan penempatan orang Melayu yang sangat signifikan bagi warga kota iaitu Kampung Baru.

Bagi warga kota, terutamanya orang Melayu, Kampung Baru sangat dekat di hati mereka. Ini kerana sukar bagi kita untuk melihat suasana dan pemandangan kehidupan "orang kampung" di tengah- tengah hiruk pikuk kehidupan bandar.

Di bandar-bandar lain negara ini kehidupan kampung dengan pengekalan identiti dan budaya yang biasa diamalkan merupakan satu pemandangan biasa.

Namun berbeza dengan Kampung Baru yang dihimpit dengan rentak kemajuan dan arus pemodenan serta pelbagai bangunan pencakar langit dan mercu tanda moden seperti KLCC dan sebagainya. Suasana sebeginilah yang menambahkan lagi keunikannya sebagai sebuah kampung yang tebal dengan budaya dan tradisi Melayu di ibu kota.

Sedikit sebanyak arus pemodenan tidak mampu diketepikan oleh penduduk di Kampung Baru. Namun dengan binaan dan kedudukan rumah yang biasa kita lihat di kampung, apatah lagi masih terdapat rumah-rumah yang tetap utuh dengan ciri-ciri tradisional sememangnya sebagai orang Melayu kita patut berbangga dengan semua tradisi yang masih dipertahankan sehingga kini.

Jika kita menyelongkar tentang kehidupan seharian penduduk di kampung ini sememangnya jalinan perhubungan dan semangat kerjasama masih menebal seperti yang biasa kita lihat di kampung-kampung.

Soal-soal kemasyarakatan dan perhubungan penduduk setempat seperti kenduri kendara, kematian, hal-ehwal kejiranan dari yang paling remeh sehingga membabitkan soal-soal yang rumit seperti soal tanah dan sebagainya masih lagi menuntut permuafakatan yang jitu antara penduduk.

Keperluan bagi penduduknya untuk terus mengikuti aktiviti dan program keagamaan yang berlangsung di masjid dan surau di sini masih tetap menjadi keutamaan penduduknya.

Lebih membanggakan setelah tiga atau empat generasi anak Kampung Baru menetap di sini semua mereka masih tetap mengambil berat antara satu sama lain serta sangat sepakat dalam soal-soal membabitkan kampung kesayangan mereka ini.

Kampung Baru sebuah perkampungan rizab Melayu tunggal di tengah-tengah metropolitan Kuala Lumpur adalah seluas 225.89 ekar dan dibentuk oleh tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Pindah, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B. Terdapat tiga kategori tanah milik Melayu wujud di Kampung Baru iaitu Tanah Simpanan Melayu, Tanah Simpanan Pertanian Melayu dan Tanah Melayu Diberi Milik.

Kampung Baru mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian. Sebuah lembaga pentadbir khusus untuk Kampung Baru ditubuhkan serentak dengan pembukaannya sebagai Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS) serta bertanggungjawab kepada Residen British ketika itu dalam menguruskan perkara mengenai pentadbiran kampung.

Kampung ini pada awalnya terbentuk apabila sekumpulan orang Melayu yang tinggal di kawasan Sungai Gombak dan Sungai Kelang terpaksa berpindah untuk memberi ruang kepada pembangunan Kuala Lumpur.

Bandar ini ketika itu sedang pesat membangun apabila beberapa projek yang kini menjadi ikon sejarah dan seni bina seperti Kelab Diraja Selangor, Bangunan Pejabat Pos Utama, Victoria Institution dan Bangunan Sultan Abdul Samad sedang dalam pembinaan.

Berpindah

Oleh itu Sultan Selangor ketika itu, Sultan Sulaiman atau Sultan Alauddin Sulaiman Syah bin Raja Muda Musa telah memperuntuk sebuah kawasan di tepi Sungai Kelang untuk orang Melayu berpindah dan MAS diwartakan pada 1 Jan 1900.

Menurut Setiausaha Kehormat Lembaga MAS, Shamsuri Suradi, MAS diwujudkan untuk memindahkan orang Melayu yang menghuni pinggir Sungai Gombak dan Sungai Kelang walaupun ketika itu mereka aktif dalam kegiatan perniagaan dan perlombongan.

Ini kerana British berpendapat orang Melayu wajar bergiat dalam sektor pertanian dan dengan menempatkan orang Melayu di sebuah kampung khas akan memudahkan anak-anak Melayu menerima pendidikan dan mengambil bahagian dalam pentadbiran.

Ini sekali gus memberi peluang kepada penduduk Melayu untuk menikmati sebahagian daripada kemakmuran Kuala Lumpur ketika itu yang kaya dengan bijih timah.

MAS telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir kampung ini dengan kuasa yang luas antaranya melulus dan menetapkan perjanjian pemberian lot rumah dan pelan bangunan, menyimpan butiran pertukaran serta mengawalselia keselamatan dan kegiatan penduduk.

Selain itu MAS turut mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran hanya kepada orang Melayu untuk tinggal di sini dengan luas kawasan kediaman tidak melebihi setengah ekar seorang.

MAS turut berkuasa mengusir penduduk yang tidak patuh dengan peraturan serta mereka yang mampu memberi ancaman dan dianggap berbahaya kepada penduduk.

Menurut Shamsuri, anggota lembaga MAS pada peringkat awal terdiri dari kalangan pegawai tinggi penjajah dan kerabat diraja (Raja Muda Selangor pada asalnya menjadi Yang Dipertua) sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua.

Di bawah pemerintahan Jepun barulah beberapa orang penduduk Kampung Baru dilantik menganggotai lembaga itu.

Pada masa sekarang, tujuh orang wakil yang dipanggil ahli jemaah dari tujuh buah kampung di sini telah dilantik untuk menganggotai lembaga MAS. Ahli jemaah ini boleh dianggap sebagai penghulu di setiap kampung berkenaan.

Beberapa buah kampung kecil seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru turut digabungkan ke dalam Kampung Baru selain beberapa kampung setinggan, iaitu Kampung Limau, Kampung Cendana dan Kampung Paya Baru.

Namun disebabkan semua urusan pentadbiran tanah adalah hak lembaga tadbir MAS, ia tidak dapat memenuhi harapan tuan tanah yang berhasrat membangunkan kawasan ini kerana mereka tidak memegang apa-apa surat hak milik yang boleh diurusniagakan hinggalah pada tahun 1960-an.

Bagaimanapun Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris yang menjadi pengerusi MAS telah berjaya mengusahakan geran hak milik tanah bagi penduduk kampung ini.

Sejarah Kampung Baru ini jika ingin dihuraikan mungkin terlalu panjang apatah lagi pelbagai peristiwa dan cacatan yang amat bersejarah telah berlaku sejak dari awal penubuhannya.

Pada peringkat awal kebanyakan jalan-jalan yang terdapat di sini dinamakan dengan nama Inggeris dan pastinya ia dianggap sebagai pelik pada ketika itu apatah lagi Kampung Baru sendiri merupakan penempatan terbesar orang Melayu.

Sebagai contoh Jalan Raja Alang yang sangat terkenal dengan Bazar Ramadan sebelum ini dikenali sebagai Perkins Road. Hale Road yang dinamakan sempena seorang pentadbir British di zaman penjajah kini bernama Jalan Raja Abdullah, Jalan Raja Muda Abdul Aziz di tengah-tengah Kampung Baru dikenali sebagai Princess Road manakala Jalan Dewan Sultan Sulaiman pula pernah dikenali sebagai Stony Road.

Kelab Sultan Sulaiman yang terletak di Kampung Baru merupakan kelab orang Melayu tertua di Malaysia dan semenjak penubuhannya pada 1909, ia telah menyaksikan pelbagai catatan dan peristiwa penting negara. Pada peringkat awalnya penduduk Kampung Baru sering mengadakan perjumpaan di sebuah pondok di sini yang dibina secara gotong-royong.

Bersejarah

Bangunan baru yang dinamakan Dewan Sultan Sulaiman kemudian didirikan dengan kerja sama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor. Ia dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada 30 April 1969.

Bangunan ini telah menyaksikan pelbagai rakaman dan peristiwa bersejarah yang penting untuk orang antaranya Kongres Melayu Pertama pada 1 hingga 4 Mac 1946 yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang akhirnya telah mencetuskan gerakan menuntut kemerdekaan.

Walaupun sesak dengan pelbagai kepesatan dan bangunan pencakar langit serta lebih dikenali sebagai syurga pusat makanan berbanding keunikannya sebagai sebuah perkampungan Melayu, namun ini tidak menghalang penduduk Kampung Baru dari terus ditenggelami pembangunan.

Secara umumnya penduduk Kampung Baru tidak menolak pembangunan kerana mereka menyedari pembanguan itu adalah sesuatu yang perlu pada era moden sekarang.

Namun apa yang dikesali mereka dalam keghairahan mengejar pemodenan, mereka terasa dipinggirkan dan teraniaya dengan tindakan beberapa pihak yang dilihat tamak dalam mengusai kekayaan di sini.

Apatah lagi dengan beberapa insiden penipuan yang pernah berlaku sehingga menganiaya kehidupan mereka telah mengakibatkan mereka berasa serik dengan semua ini. Memang benar terdapat banyak jalan dan kaedah penyelesaian dalam menguruskan tanah yang bernilai lebih RM4 bilion ini namun yang ditakuti mereka ialah adakah semua kaedah ikhlas dan benar-benar menguntungkan mereka?

Atau apakah ia akhirnya akan menjadi seperti kampung-kampung Melayu lain di Kuala Lumpur yang akhirnya tergadai hanya atas nama pembangunan.

Apa yang perlu ialah kesungguhan dan keikhlasan dalam membantu penduduk Kampung Baru ini sebagai pemilik asal tanah di tengah kota metropolitan.

Jika tidak mungkin lebih baik ia dikekalkan sahaja seperti sekarang sekurang-kurangnya sebagai satu penanda sejarah bahawa satu ketika dahulu nenek moyang kita merupakan pemilik asal semua tanah di ibu kota ini.

- UTUSAN

Memahami perjuangan bangsa

Oleh ZIN MAHMUD

Filem Pendekar Bujang Lapok oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berulangkali ditayangkan di televisyen. Ia terus diminati oleh rakyat Malaysia, sama ada daripada kalangan Melayu atau bukan Melayu. Ia sudah menjadi khazanah Malaysia.

Tambahan pula, generasi baru juga mendapati filem itu menarik walaupun lawak-lawaknya tentunya sudah ketinggalan zaman. Tetapi ternyata filem Pendekar Bujang Lapok sudah menjadi klasik yang akan terus ditonton oleh generasi rakyat Malaysia bersilih ganti.

Daripada paparan filem itu, rakyat Malaysia zaman ini akan faham bagaimana orang Melayu hidup pada zaman-zaman sebelum merdeka. Tahun 50-an dan 60-an di mana orang Melayu ketinggalan jauh dari segi ekonomi, sosial, politik dan pendidikan.

Orang Melayu kebanyakannya hanya menjadi petani, peladang dan nelayan. Mereka tidak mampu untuk bersekolah. Banyak daripada mereka yang buta huruf. Lihatlah Pendekar Bujang Lapok, mereka langsung tidak tahu membaca, sama ada jawi, apatah lagi rumi.

Dengan kemunduran sebegitu rupa, apa yang boleh mereka lakukan? Ada antaranya menjadi samseng, bekerja dengan penindas seperti dipaparkan dalam filem itu.

Dalam filem-filem P. Ramlee yang terus ditayangkan itu, generasi sekarang dan akan datang dapat melihat rumah-rumah orang Melayu pada zaman itu. Rumah atap, diperbuat daripada rumbia. Orang Melayu kehilangan harga diri kerana kemiskinannya. Mereka tidak ada kuasa ekonomi atau politik. Kedua-dua kuasa itu dipegang oleh penjajah Inggeris dengan bangsa lain yang memperoleh manfaat besar daripada sistem kolonial pada zaman itu.

Raja-raja Melayu pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua juga tidak mempunyai kuasa. Mereka hanya diperalatkan oleh British supaya penjajah itu dengan mudah dapat terus mendapat manfaat ekonomi daripada bumi Tanah Melayu.

Sedar

Tetapi dalam tahun-tahun 1930-an, ada sekumpulan kecil orang Melayu yang sedar tentang kedaifan bangsanya. Di kalangan mereka adalah ulama, wartawan dan kakitangan kerajaan. Daripada merekalah, kesedaran perjuangan bangsa disemai melalui penerbitan seperti Al-Imam dan juga akhbar Utusan Melayu. Sementara mereka yang lebih berani menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Mereka bercakap mengenai kemerdekaan bagi orang Melayu daripada belenggu penjajahan Inggeris.

Adakah perjuangan mereka ini, Al-Imam, Utusan Melayu dan KMM ini bersifat perkauman? Adakah perjuangan menuntut keadilan sosial, politik dan ekonomi untuk orang Melayu merupakan tindakan perkauman? Tentu tidak. Kesemua ini adalah perjuangan kebangsaan dalam usaha membebaskan bangsa daripada perhambaan oleh penjajah.

Rabu, April 15, 2009

Bangkitlah Melayu

Orang Melayu perlu bangkit dan bersatu dalam berhadapan dengan tuntutan kaum lain yang kini dilihat semakin keterlaluan.

Mereka juga perlu sedar dan insaf dengan situasi politik semasa yang menyaksikan pelbagai tuntutan hingga boleh menjejaskan kekuatan politik orang Melayu.

Sehubungan itu, orang Melayu diminta tidak tunduk kepada tuntutan keterlaluan tersebut sebalik bangkit bersatu bagi mempertahankan hak dan kepentingan mereka.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, pemimpin bukan Melayu dalam hal ini perlu sedar yang sesebuah kerajaan itu boleh sahaja untuk tidak ‘melayan’ tuntutan mereka.

Katanya, jumlah kerusi terbanyak di Parlimen adalah milik Melayu dan ia cukup untuk membentuk sebuah kerajaan berasaskan wakil rakyat Melayu semata-mata di negara ini.

Katanya, justeru, dari segi politiknya kerajaan itu sepatutnya memenuhi apa sahaja yang menjadi kehendak Melayu kerana mereka adalah majoriti dan bukan asyik bertolak ansur dengan bukan Melayu.

‘‘Parti Melayu akan kuat bila Melayu dijaga. Jadi UMNO kena fokus orang Melayu. Jadi UMNO tak perlu takut kerana saya lihat bila UMNO itu kuat orang bukan Melayu automatik akan sokong juga Barisan Nasional (BN) macam dulu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pandangan mengenai situasi politik semasa yang menyaksikan kedudukan politik Melayu seakan terancam dengan tuntutan bukan Melayu pada masa kini.

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berkata, parti pemerintah ketika ini tidak boleh merasa bimbang untuk membuat apa sahaja keputusan yang dilihat perlu untuk membantu orang Melayu.

“UMNO kalau kita tengok Fasal 3 perlembagaannya ialah memperjuangkan hak Melayu.

“Pada masa sama orang Melayu pun kenalah sedar, asyik bercakaran sesama sendiri, tak untung Melayu sedangkan kita main politik untuk apa kalau tidak untuk membela Melayu.

“Jadi UMNO dan Pas kena duduk, tak kan dalam berbeza tak ada persamaan. Atas persamaan ini kita duduklah semeja dulu,” jelasnya.

Pemimpin UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, dalam soal wakil Kabinet misalnya, semua pihak harus menerima pilihan Perdana Menteri kerana ia bidang kuasa beliau.

“Saya fikir kalau dilayan, Najib tak akan ada kerja lain.

“Apa pun ini akan mengajar UMNO supaya terus kuat. Bila kuat, orang segan, kalau lemah orang kucar kacirkan,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, hak orang Melayu tidak harus dilepaskan dalam usaha kerajaan memenuhi kehendak masyarakat pelbagai kaum.

“Biar wujud situasi menang-menang. Kita tidak boleh biar sebelah pihak sahaja menang. Kalau kita nak penuhi apa yang mereka nak, jangan pula kita lepaskan apa yang jadi hak kita,’’ katanya.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, walaupun kerajaan mahu menekankan konsep Satu Malaysia yang menyatukan rakyat pelbagai kaum, langkah juga perlu dilakukan bagi mengembalikan keharmonian di kalangan orang Melayu sendiri.

“Dalam keadaan sekarang ini, orang Melayu berhadapan banyak cabaran semasa dan kita perlu mencari cara untuk memastikan kaum itu tidak berpecah-belah,” katanya.

Katanya, UMNO dan Pas tidak boleh melengah-lengahkan masa lagi untuk bekerjasama dalam memajukan orang Melayu.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar yang sependapat dengan GPMS berkata, cadangan yang baik seperti itu perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya, kerjasama antara dua parti politik itu bukan sahaja akan memberi faedah kepada orang Melayu sahaja tetapi juga kaum lain.

Tambahnya, penyatuan UMNO dan Pas perlu menjadi batu loncatan untuk mengeratkan semua rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Sememangnya usaha ke arah itu akan mengambil masa tetapi sekurang-kurangnya kita tidak hanya bercakap atau mencadangkan sahaja,’’ tambahnya.

- UTUSAN

Selasa, April 14, 2009

Melayu perlu keluar dari lingkungan 'bercelaru'

Oleh DR. SAPORA SIPON
Pensyarah Kanan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dalam banyak aspek, kini boleh dikatakan ramai kalangan orang Melayu berada dalam keadaan 'bercelaru'. Banyak peristiwa yang menunjukkan orang Melayu tidak pernah bersikap matang. Ia terserlah walaupun ramai yang mengaku sudah cukup bijak dalam menguruskan hidup seharian.

Ketidakmatangan ini lebih ketara jika dilihat daripada sudut politik. Orang Melayu tidak pernah boleh bersatu hati.

Kita lihat setiap parti politik Melayu dengan bangga mendabik dada mengatakan partinya yang terbaik. Apabila parti-parti politik Melayu diminta bersatu untuk kemakmuran dan kebaikan kaum sendiri, terlalu banyak alasan diberikan.

Sebenarnya orang Melayu mesti bijak berpolitik seperti kaum-kaum lain. Parti berasaskan kaum lain semakin hari semakin kuat. Mereka bersatu dalam memperjuangkan usaha meningkatkan nasib kaum mereka. Perkara itu menjadi keutamaan parti bukan Melayu.

Namun politik orang Melayu tidak begitu. Bertambah malang apabila agama dijadikan senjata untuk mengatakan pihak lain tidak benar kecuali diri sendiri. Apabila agama digunakan, ramai yang terpesona dan dakwaan bahawa "orang lain tidak betul" diterima dengan mudah.

Ketika berpolitik, orang Melayu sering emosional. Ramai yang tebal sikap prejudis. Sikap defensif atau mempertahankan peganganan, tidak boleh ditembusi.

Melihat kepada kepincangan itu, penulis merasakan sudah tiba masanya untuk semua pemimpin parti politik Melayu bersatu hati. Jadikan usaha memperjuangkan nasib orang Melayu sebagai agenda bersama.

Walaupun ada perbezaan politik tetapi dalam usaha memperjuangkan nasib dan masa depan orang Melayu, semua pihak perlu bersatu.

Janganlah menganggap hanya diri kita yang terbaik dan gagal melihat orang lain juga mempunyai kekuatan.

Sekiranya kekuatan itu digabungkan, orang Melayu mampu berjaya. Politik Melayu mesti kuat untuk meningkatkan penguasaan dalam semua bidang.

Pemimpin Melayu mestilah ikhlas bekerja untuk rakyat dan bersatu hati. Jauhi diri daripada sifat-sifat negatif yang boleh merosakkan orang Melayu sendiri.

Janganlah kerana ingin berkuasa, kita tidak segan-segan untuk menyemai rasa benci di hati penyokong. Pemimpin Melayu mesti melihat kepada kelangsungan kekuatan generasi kita dalam bidang-bidang yang masih lagi ketinggalan. Orang Melayu mesti bekerja dan beramal untuk dunia dan akhirat.

Kini ramai orang Melayu, termasuk yang bijak pandai dan golongan muda melihat isu-isu yang melibatkan kebebasan seperti hak asasi sebagai perkara yang perlu diberi keutamaan. Mereka sudah mula menuntut agar semua kaum diberi hak yang sama rata.

Tetapi pada masa yang sama, mereka ini juga yang akan marah apabila hak-hak keistimewaan mereka tidak dipenuhi. Pada masa yang sama, mereka masih mengharapkan bantuan kerajaan. Mereka masih mahu diberi keistimewaan terutama dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Berapa ramaikah orang Melayu yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membiayai pendidikan anak-anak di universiti seperti kaum lain?

Berapa ramaikah Melayu yang menyumbang kepada ekuiti ekonomi orang Melayu? Berapa ramaikah yang akan berjaya tanpa Dasar Ekonomi Melayu (DEB)?

Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya tiada agensi-agensi seperti Mara, Felda dan banyak lagi untuk membantu kaum Melayu dan bumiputera.

Sudah mampukah orang Melayu untuk bersaing dengan kaum lain tanpa perlu bergantung kepada kerajaan?

Mungkin ada yang akan mengatakan, sudah menjadi kewajipan kerajaan untuk membantu. Jika itu perhitungannya, mereka juga perlu bersedia untuk berkongsi sama rata dengan kaum lain. Mereka tidak lagi boleh mengharapkan bantuan kerajaan. Jangan mengharapkan subsidi atau biasiswa.

Jika orang Melayu masih mengharapkan bantuan tetapi pada waktu yang sama memperjuangkan tentang kesamarataan dengan kaum lain, mereka sebenarnya berada dalam kelompok yang 'bercelaru'. Golongan ini akan kecewa nanti.

Walau apa yang berlaku, kita tidak mahu melihat orang Melayu sibuk berpolitik dan bermusuhan sesama sendiri.

Janganlah kita menjadi seperti Pak Kadok, "menang sorak kampung tergadai". Tiada gunanya jika kita menguasai politik tetapi ekonomi kaum Melayu terus berada di belakang dan ramai yang hidup dalam kemiskinan.

Maka, orang Melayu, berhentilah daripada terus bercakaran. Marilah kita berganding bahu dan mematangkan diri untuk menjana ekonomi bangsa.

Recent Posts