Ahad, April 26, 2009

Soal Jawab: Tanpa Raja, Melayu lemah


Apakah peranan serta kepentingan Raja-Raja Melayu ini, khususnya kepada orang Melayu itu sendiri?

Orang Melayu ada satu pepatah - alam beraja, luak berpenghulu, bersuku-suku anak buah, sembah kepada datuk. Pembentukan raja itu disokong oleh empat datuk iaitu bendahara, temenggong, penghulu bendahari dan laksamana. Datuk empat itu menegakkan raja. Itu maksudnya raja duduk di atas sekali, seperti pantun:

Dari darat pergi Klebang,
Anak dara pakai tudung,
Tuanku tempat payung berkembang,
Bawahnya patik tumpang berlindung.

Jika diimbas kembali, raja dan rakyat tercipta di Bukit Siguntang iaitu perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun. Pihak istana pada masa itu menyuruh supaya orang Melayu segera bangkit daripada kekalutan yang berlaku. Di sinilah asalnya raja, baik sebagai pemerintah serta menjadi sebahagian identiti dan kekuatan bangsa Melayu itu sendiri.

Peristiwa lain yang tidak kurang pentingnya ialah ketika kerajaan British mengemukakan cadangan penubuhan Malayan Union pada 1946 yang berhasrat mahu menghapuskan hak Raja-raja Melayu. Dengan Malayan Union, raja dipinggirkan. Ia menyebabkan Allahyarham Datuk Onn Jaafar sanggup keluar berkempen menentang Malayan Union. Malah, ramai orang Melayu yang keluar menyokongnya.

Perjuangan menentang Malayan Union itu juga menyaksikan kerjasama orang Melayu dan Raja-Raja apabila Onn berpakat dan memboikot istiadat penubuhan Malayan Union. Ia menunjukkan kesepakatan Raja-Raja dengan rakyat.

Begitu juga dengan penubuhan Umno, parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Penubuhannya pada 1946 dipersetujui di Kuala Lumpur, tetapi diumumkan secara rasmi di Istana Besar, Johor Bahru. Ia menunjukkan seperti bangsa Melayu yang bermaruah, Umno juga bukan pada parti politik tepi jalan. Penubuhannya diangkat pada tahap tinggi dan diisytiharkan di istana, menerusi sokongan rakyat dan Raja.

Oleh itu, bagi saya, jika ditanya apa pentingnya Raja-Raja Melayu kepada orang Melayu, jawapannya senang saja. Orang Melayu tanpa Raja, maknanya tiada pelindung atau payung. Sebab itulah dalam bahasa Melayu kita ada perkataan seperti taat setia, derhaka, sembah, hamba yang hina. Tetapi perlu diingat, orang Melayu pun ada dua jenis iaitu jenis Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Tuah setia, manakala Hang Jebat sanggup menderhaka.

Penduduk bukan Melayu memang tidak tahu hormat raja sebab kita tidak ajar dia. Kita tidak tunjuk contoh dan adab menghormati pegangan kita dan institusi diraja.

Kita sebagai orang Melayu yang ada adab dan mempertahankan keistimewaan yang ada sejak sekian lama, termasuklah Raja-Raja. Ia kekuatan kita. Kita saling memerlukan dan tanpanya, kita lemah.

Tetapi jika Tan Sri lihat, sejak akhir-akhir ini peranan dan kedudukan Raja-Raja Melayu itu dipertikaikan biarpun ia sudah termaktub dalam Perlembagaan. Mengapa boleh jadi sedemikian sehinggakan raja dan Sultan terpaksa tampil mempertahankan kedudukan mereka?

Inilah harganya demokrasi. Sebab sekarang kita amalkan demokrasi, semua orang cakap pun atas nama demokrasi. Kita lupa setiap negara itu ada Perlembagaannya, ada bendera rasmi dan paling penting, ada raja. Bukan sebarang raja, tetapi Raja Berperlembagaan. Ia sudah termaktub dalam undang-undang. Kita tidak boleh pertikaikan kedudukan raja mahu pun Sultan. Kita nak salahkan bukan Melayu pun tidak boleh sebab mereka tidak tahu dan tidak kenal raja. Mereka cuma tahu perkataan menderhaka.

Kelemahannya terletak pada kita kerana tidak tegakkan kuasa kita. Kita perlu beri pemahaman apa dimaksudkan dengan negeri yang beraja dan Malaysia yang dinaungi institusi diraja. Raja duduknya di atas. Baginda ada kuasa dan apabila masalah atau pertikaian berlaku, raja jugalah yang menjadi kuasa pemutus. Itu sudah termaktub.

Malangnya, ada orang tidak sedar sehingga sanggup bertindak liar, baring atas jalan menidakkan hakikat ini. Ini semua kerana mereka ada sikap tak tahu, tak mahu ambil peduli perkara yang sebenarnya. Seperti saya katakan tadi, sikap Hang Jebat iaitu sanggup menderhaka kerana tiada ilmu pengetahuan.

Bagi saya, baik orang biasa mahu pun pemimpin yang tidak tahu kepentingan raja dan adab masyarakat Melayu ini, tidak layak menggelar diri mereka anak Melayu. Mereka yang tidak tahu raja dan masyarakat Melayu, nama saja Melayu. Anehnya, orang seperti ini ketika nak minta bantuan, mengaku diri mereka Melayu tetapi apabila dapat kedudukan, terus laungkan demokrasi menidakkan Raja-Raja yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan Melayu. Seperti kata-kata, pak turut saja, ada yang jadi kambing ramai-ramai, ada seekor kambing melompat, yang lain pun melompat sama biarpun tak tahu apa sebabnya. Inilah masalah kita.

Apa perasaan Tan Sri sebagai orang lama yang melihat keadaan orang Melayu dulu dan sekarang, terhadap perkembangan politik ketika ini. Orang Melayu yang dulunya ke depan mempertahankan raja, tetapi kini turut menjadi pihak mempertikaikan hak dan kepentingan Raja-Raja?

Saya sendiri berasa sedih dengan perkembangan yang berlaku. Kita orang Melayu berdepan krisis jati diri yang semakin terhakis. Seperti saya katakan awal tadi, orang Melayu ini ada dua jenis iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat. Tetapi cuba tanya yang berbaring di atas jalan raya itu, tahu ke apa mereka perjuangkan? Kalau setakat hendak sertai suka-suka, memang tak masuk akal.

Kita sepatutnya bersatu padu, tetapi berpecah belah kerana perbezaan fahaman politik. Masing-masing fikir diri sendiri. Persoalannya sampai bila? Kita seagama dan sebangsa, tetapi tak sekata. Sudah pasti ada pihak yang menangguk di air keruh. Lebih kesal lagi, apabila ada pihak yang mengaku dirinya Melayu tetapi ke hulu hilir berkempen, mengaibkan bangsa sendiri.

Sebab itulah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tekankan mesra rakyat, turun bawah ke akar umbi untuk memperbetulkan keadaan supaya kita semua bersatu. Memang benar orang Melayu sekarang dan dulu jauh bezanya. Orang Melayu dulu pejuang dan sudah rasa susah senangnya sebab itu kita takut kalau keadaan jadi huru hara. Orang Melayu sekarang mungkin sebab tak pernah berasa susah, sanggup buat bertentangan dengan apa yang diperjuangkan orang dulu.

Jadi di mana silapnya kita Apakah yang menyebabkan orang Melayu itu sudah tidak lagi tebal dengan sikap Melayu dan tidak sanggup mempertahankan keistimewaan seperti kepentingan institusi diraja itu sendiri?

Silapnya kita disebabkan masing-masing fikir diri sendiri, fikir poket masing-masing dan kepentingan sendiri. Memang kita sebangsa, tetapi pemahaman kita berbeza. Kita suka berpuak-puak seperti pantun:

Anak raja memikul kayu,
Mari dibuat batang titian,
Malang nasib anak Melayu,
Pemimpin banyak berdengki-dengkian.

Ini masalahnya. Sebab berlumba-lumba mengejar kuasa dan kepentingan diri sehingga sanggup hasad dengki di atas kejayaan orang lain, sedangkan kita sepatutnya tumpang bangga dan berazam untuk berjaya. Lebih buruk lagi, apabila ada yang sanggup mengamalkan politik wang. Inilah gejala yang paling teruk apabila ada yang sanggup beli kuasa, ranapkan erti dan kepentingan harga diri.

Semangat hormat menghormati sudah terhakis. Bagi saya, ini masalahnya apabila ibu bapa bekerja dan anak terpaksa ditinggal-tinggalkan. Anak dilatih lebih mengenali televisyen dengan semua yang dipaparkan, diberi wang dan segala macam material seperti alat elektronik. Akibatnya, anak jadi materialistik dan hidupnya dikelilingi kesenangan. Sebab itulah orang Melayu sekarang sudah meninggalkan budi bahasa kerana duit menjadi segala-galanya. Memburu emas, kata orang dulu. Seperti kata Tun Sri Lanang dalam kes Bendahara melawan Sultan Mahmud, "Hai emas, Tuhan bukannya engkau, tetapi apa yang dikehendakkan berlaku oleh engkau (emas)." Ini sikap menyesuaikan sesuatu asalkan ia menepati apa yang kita kehendaki.

Pada pandangan Tan Sri, mungkinkah sikap orang Melayu itu sendiri yang tidak lagi menitikberatkan kedudukan Raja-Raja, sebaliknya memberi peluang kepada segelintir pihak mempolitikkan perkara itu bagi kepentingan mereka?

Ya, memang betul sebab ia seolah-olah menunjukkan kita menyokong mereka. Seperti sikap pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang pada masa sama sebenarnya menjadi tontonan bangsa asing. Tetapi, perlu diingat, biarpun mereka bergabung di bawah Pakatan Rakyat, tetapi hakikatnya masing masing tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain. Pada akhirnya, orang Melayu yang susah dan menjadi mangsa.

Saya sendiri sudah berulang kali bercakap mengenainya dalam beberapa Perhimpunan Agung Umno sebelum ini. Memang orang seronok dengar saya berpantun, tetapi berapa ramai yang tangkap maksud sindiran di dalam pantun itu? Pada 1980-an, saya pernah bercakap pada Perhimpunan Agung Umno. Saya katakan 'orang dulu berjuang, pertama hilang, kedua terbilang.' Itu dulu. Tetapi sekarang saya kata, 'orang Melayu berjuang, cari menang. Sudah menang cari wang. Sudah ada wang, jatuhkan orang, hidup di awang-awang, jatuh terlentang.'

Habis cakap, semua orang tepuk, suka, ketawa tetapi ia tidak meninggalkan kesan. Lebih kesal, politik wang tetap diamalkan. Jati diri kita semakin tipis. Sudah banyak perpecahan yang berlaku.

Ini tidak, kita amalkan balik apa yang diamalkan orang Inggeris iaitu pecah dan perintah. Orang Melayu sudah tiada semangat kebangsaan sebab sudah terlalu selesa dengan apa yang ada. Ini yang bahayanya. Kita takut, apabila orang Melayu terlalu leka, ada pihak lain ambil kesempatan. Kesudahannya, menang sorak, kampung tergadai.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.