Ahad, April 19, 2009

Memahami perjuangan bangsa

Oleh ZIN MAHMUD

Filem Pendekar Bujang Lapok oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berulangkali ditayangkan di televisyen. Ia terus diminati oleh rakyat Malaysia, sama ada daripada kalangan Melayu atau bukan Melayu. Ia sudah menjadi khazanah Malaysia.

Tambahan pula, generasi baru juga mendapati filem itu menarik walaupun lawak-lawaknya tentunya sudah ketinggalan zaman. Tetapi ternyata filem Pendekar Bujang Lapok sudah menjadi klasik yang akan terus ditonton oleh generasi rakyat Malaysia bersilih ganti.

Daripada paparan filem itu, rakyat Malaysia zaman ini akan faham bagaimana orang Melayu hidup pada zaman-zaman sebelum merdeka. Tahun 50-an dan 60-an di mana orang Melayu ketinggalan jauh dari segi ekonomi, sosial, politik dan pendidikan.

Orang Melayu kebanyakannya hanya menjadi petani, peladang dan nelayan. Mereka tidak mampu untuk bersekolah. Banyak daripada mereka yang buta huruf. Lihatlah Pendekar Bujang Lapok, mereka langsung tidak tahu membaca, sama ada jawi, apatah lagi rumi.

Dengan kemunduran sebegitu rupa, apa yang boleh mereka lakukan? Ada antaranya menjadi samseng, bekerja dengan penindas seperti dipaparkan dalam filem itu.

Dalam filem-filem P. Ramlee yang terus ditayangkan itu, generasi sekarang dan akan datang dapat melihat rumah-rumah orang Melayu pada zaman itu. Rumah atap, diperbuat daripada rumbia. Orang Melayu kehilangan harga diri kerana kemiskinannya. Mereka tidak ada kuasa ekonomi atau politik. Kedua-dua kuasa itu dipegang oleh penjajah Inggeris dengan bangsa lain yang memperoleh manfaat besar daripada sistem kolonial pada zaman itu.

Raja-raja Melayu pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua juga tidak mempunyai kuasa. Mereka hanya diperalatkan oleh British supaya penjajah itu dengan mudah dapat terus mendapat manfaat ekonomi daripada bumi Tanah Melayu.

Sedar

Tetapi dalam tahun-tahun 1930-an, ada sekumpulan kecil orang Melayu yang sedar tentang kedaifan bangsanya. Di kalangan mereka adalah ulama, wartawan dan kakitangan kerajaan. Daripada merekalah, kesedaran perjuangan bangsa disemai melalui penerbitan seperti Al-Imam dan juga akhbar Utusan Melayu. Sementara mereka yang lebih berani menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Mereka bercakap mengenai kemerdekaan bagi orang Melayu daripada belenggu penjajahan Inggeris.

Adakah perjuangan mereka ini, Al-Imam, Utusan Melayu dan KMM ini bersifat perkauman? Adakah perjuangan menuntut keadilan sosial, politik dan ekonomi untuk orang Melayu merupakan tindakan perkauman? Tentu tidak. Kesemua ini adalah perjuangan kebangsaan dalam usaha membebaskan bangsa daripada perhambaan oleh penjajah.

1 ulasan:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.