Selasa, April 14, 2009

Melayu perlu keluar dari lingkungan 'bercelaru'

Oleh DR. SAPORA SIPON
Pensyarah Kanan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dalam banyak aspek, kini boleh dikatakan ramai kalangan orang Melayu berada dalam keadaan 'bercelaru'. Banyak peristiwa yang menunjukkan orang Melayu tidak pernah bersikap matang. Ia terserlah walaupun ramai yang mengaku sudah cukup bijak dalam menguruskan hidup seharian.

Ketidakmatangan ini lebih ketara jika dilihat daripada sudut politik. Orang Melayu tidak pernah boleh bersatu hati.

Kita lihat setiap parti politik Melayu dengan bangga mendabik dada mengatakan partinya yang terbaik. Apabila parti-parti politik Melayu diminta bersatu untuk kemakmuran dan kebaikan kaum sendiri, terlalu banyak alasan diberikan.

Sebenarnya orang Melayu mesti bijak berpolitik seperti kaum-kaum lain. Parti berasaskan kaum lain semakin hari semakin kuat. Mereka bersatu dalam memperjuangkan usaha meningkatkan nasib kaum mereka. Perkara itu menjadi keutamaan parti bukan Melayu.

Namun politik orang Melayu tidak begitu. Bertambah malang apabila agama dijadikan senjata untuk mengatakan pihak lain tidak benar kecuali diri sendiri. Apabila agama digunakan, ramai yang terpesona dan dakwaan bahawa "orang lain tidak betul" diterima dengan mudah.

Ketika berpolitik, orang Melayu sering emosional. Ramai yang tebal sikap prejudis. Sikap defensif atau mempertahankan peganganan, tidak boleh ditembusi.

Melihat kepada kepincangan itu, penulis merasakan sudah tiba masanya untuk semua pemimpin parti politik Melayu bersatu hati. Jadikan usaha memperjuangkan nasib orang Melayu sebagai agenda bersama.

Walaupun ada perbezaan politik tetapi dalam usaha memperjuangkan nasib dan masa depan orang Melayu, semua pihak perlu bersatu.

Janganlah menganggap hanya diri kita yang terbaik dan gagal melihat orang lain juga mempunyai kekuatan.

Sekiranya kekuatan itu digabungkan, orang Melayu mampu berjaya. Politik Melayu mesti kuat untuk meningkatkan penguasaan dalam semua bidang.

Pemimpin Melayu mestilah ikhlas bekerja untuk rakyat dan bersatu hati. Jauhi diri daripada sifat-sifat negatif yang boleh merosakkan orang Melayu sendiri.

Janganlah kerana ingin berkuasa, kita tidak segan-segan untuk menyemai rasa benci di hati penyokong. Pemimpin Melayu mesti melihat kepada kelangsungan kekuatan generasi kita dalam bidang-bidang yang masih lagi ketinggalan. Orang Melayu mesti bekerja dan beramal untuk dunia dan akhirat.

Kini ramai orang Melayu, termasuk yang bijak pandai dan golongan muda melihat isu-isu yang melibatkan kebebasan seperti hak asasi sebagai perkara yang perlu diberi keutamaan. Mereka sudah mula menuntut agar semua kaum diberi hak yang sama rata.

Tetapi pada masa yang sama, mereka ini juga yang akan marah apabila hak-hak keistimewaan mereka tidak dipenuhi. Pada masa yang sama, mereka masih mengharapkan bantuan kerajaan. Mereka masih mahu diberi keistimewaan terutama dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Berapa ramaikah orang Melayu yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membiayai pendidikan anak-anak di universiti seperti kaum lain?

Berapa ramaikah Melayu yang menyumbang kepada ekuiti ekonomi orang Melayu? Berapa ramaikah yang akan berjaya tanpa Dasar Ekonomi Melayu (DEB)?

Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya tiada agensi-agensi seperti Mara, Felda dan banyak lagi untuk membantu kaum Melayu dan bumiputera.

Sudah mampukah orang Melayu untuk bersaing dengan kaum lain tanpa perlu bergantung kepada kerajaan?

Mungkin ada yang akan mengatakan, sudah menjadi kewajipan kerajaan untuk membantu. Jika itu perhitungannya, mereka juga perlu bersedia untuk berkongsi sama rata dengan kaum lain. Mereka tidak lagi boleh mengharapkan bantuan kerajaan. Jangan mengharapkan subsidi atau biasiswa.

Jika orang Melayu masih mengharapkan bantuan tetapi pada waktu yang sama memperjuangkan tentang kesamarataan dengan kaum lain, mereka sebenarnya berada dalam kelompok yang 'bercelaru'. Golongan ini akan kecewa nanti.

Walau apa yang berlaku, kita tidak mahu melihat orang Melayu sibuk berpolitik dan bermusuhan sesama sendiri.

Janganlah kita menjadi seperti Pak Kadok, "menang sorak kampung tergadai". Tiada gunanya jika kita menguasai politik tetapi ekonomi kaum Melayu terus berada di belakang dan ramai yang hidup dalam kemiskinan.

Maka, orang Melayu, berhentilah daripada terus bercakaran. Marilah kita berganding bahu dan mematangkan diri untuk menjana ekonomi bangsa.

1 ulasan:

  1. Memang sukar bercakap mengenai Melayu. Lihatlah Melayu dari buku Munsyi Abdullah, Zaaba sehinggalah kepada buku Revolusi Mental dan juga titipan Tun M bahawa Melayu Mudah Lupa. Satu perbincangan yang tidak pernah habis. Melayu memang suka berbincang tapi sukar menemui tuju arah.

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.