Permintaan kediaman sewa di seluruh negara telah menurun sebanyak 5.6
peratus bagi separuh pertama tahun ini ekoran penularan wabak Covid-19.
Pengurus Besar Penyelesaian Data Pengguna REA Group Asia,
iProperty.com.my, Premendran Pathmanathan berkata, bagi tempoh tersebut,
hartanah bertingkat tinggi lebih berpotensi untuk memperoleh hasil
sewa yang lebih baik berbanding rumah teres.
“Situasi tidak menentu ekoran penularan Covid-19 membuatkan ramai
pencari kediaman mempertimbangkan untuk menyewa dan bukannya membeli
rumah.
“Oleh kerana kemampuan membeli hartanah merupakan satu isu dalam
pasaran sekarang maka kediaman sewa menawarkan penyelesaian sementara
bagi keperluan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Laporan Analitik Permintaan Hartanah
(pasaran sewa) bagi separuh pertama tahun 2020 yang dikeluarkan di sini
semalam.
Kondominium merekodkan hasil sewa sebanyak 4.17 peratus dan ia
merupakan jenis hartanah yang paling popular dalam kalangan penyewa.
Hasil sewa bagi kediaman servis bertambah sebanyak 4.03 peratus,
manakala rumah teres pula mencatatkan hasil sebanyak 3.43 peratus.
Premendran menerangkan, pengguna kini berminat dengan kediaman yang menawarkan sewa antara RM1,500 ke RM2,000 sebulan.
Selain itu, menurut laporan berkenaan, permintaan tinggi tertumpu di
Taman Tun Dr Ismail diikuti oleh Wangsa Maju, Damansara Heights, Pantai,
Sentul, Setapak, Jalan Ipoh, Sungai Besi dan Bangsar.
Kadar sewa purata tertinggi adalah di Damansara Heights dengan nilai
sewaan RM6,000, Mont Kiara (RM4,500), KL Sentral, Desa Park City
(RM4,000) dan Bangsar (RM3,500).
Nilai purata sewa terendah di Kuala Lumpur ialah Jalan Kuching pada kadar RM1,300.
Kawasan tumpuan di Selangor ialah di Bangi, Klang, Sunway, Rawang, Shah
Alam, Setia Alam, Semenyih, Glenmarie, Damansara Damai dan Petaling
Jaya.
Kadar purata sewa tertinggi di Selangor ialah di Mutiara Damansara
dengan tawaran RM2,900 sebulan manakala kadar sewa terendah iaitu di
Semenyih pada harga purata RM900 sebulan.
Sumber : Kosmo!