Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan

Sabtu, Februari 05, 2022

100 pelanggan bank desak akaun mereka dikembalikan

 

Kira-kira 100 pemegang akaun yang berdaftar dengan sebuah bank tempatan, semalam tampil mendesak supaya akaun mereka yang dibekukan bank berkenaan sejak seminggu lalu dikembalikan.

Jurucakap kumpulan itu, Mohd Aimullah Mohd Zain, 26, menyifatkan pembekuan ke atas akaun itu tidak wajar dilakukan dan menjejaskan banyak urusan kewangan harian mereka.

Beliau berkata, tindakan bank berkenaan terus membekukan akaun tanpa sebarang notis dan penjelasan munasabah juga tidak bertanggungjawab, apatah lagi mereka sendiri mengakui ia dibuat ekoran kesilapan bank itu sendiri.

"Contohnya macam kes saya, pada 25 Januari lalu, berlaku pembekuan akaun dan saya tidak dapat keluarkan walaupun RM10. Saya menghubungi pihak bank dan mereka memaklumkan ia kesalahan mereka disebabkan sistem 'duplicate' dan sebagainya. 

"Sebenarnya bank tidak boleh membekukan akaun saya tanpa notis dan lebih sedih, bank mengatakan kami yang berhutang dengan mereka," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama yang lain menghantar memorandum kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bagi meminta badan bukan kerajaan (NGO) itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap bank terbabit, memandangkan masalah ini menjejaskan ribuan pengguna. 

Kelmarin, media melaporkan, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan kesilapan dilakukan bank tempatan baru-baru ini, yang menyebabkan ratusan akaun dibekukan dan pemegangnya berhutang disebabkan oleh 'jumlah berlebihan' dikreditkan pihak bank ke dalam akaun pelanggan.

Dalam maklum balas melalui e-mel kepada portal media, bank pusat itu berkata, CIMB Bank Bhd (CIMB) kini cuba mendapatkan semula jumlah lebihan dikreditkan kepada pelanggan mereka.

Mengulas lanjut, Mohd Aimullah berkata, sejak minggu lalu juga, beliau dan rakannya sudah mengumpul lebih 3,000 aduan yang diterima terus daripada mangsa.

"Jumlah mangsa sebenarnya mungkin lebih tinggi dan setakat pengetahuan kami, ada lebih 11,000 pengguna. Ada yang kerugian ratusan ribu, malah jutaan ringgit. Bagi aduan yang saya terima, nilai tertinggi kerugian adalah RM7 juta.

"Sebab itu hari ini, kita buat sidang media supaya pengguna akaun lain yang masih dibekukan, tampil mendesak supaya akaun mereka dikembalikan semula.

"Sejak seminggu lalu, kita kumpulkan aduan menerusi 'google form' dan media sosial, saya terkejut kerana jumlah mangsa sangat ramai," katanya.

Seorang lagi pemegang akaun bank berkenaan, Muhammad Fais Abd Razak, 33, memaklumkan baki lebih RM142,000 dalam akauannya dibekukan sejak seminggu lalu.

"Hari ini bank berkenaan hubungi kami memaklumkan masalah kesilapan yang berlaku di pihak mereka. Tindakan ini tak patut dibuat secara tiba-tiba tanpa sebarang notis kepada kami.

"Saya hanya dapat SMS daripada pihak bank memaklumkan ada masalah kepada akaun saya. Kemudian saya cuba melakukan transaksi pengeluaran, tetapi gagal," katanya.

Pengguna, Hisham Abdul Hadi, 43, pula berkata, akaun syarikatnya kerugian lebih RM150,000 selepas dibekukan bank berkenaan.

"Jika dikumpulkan keseluruhan akaun yang dibekukan ini, nilainya mungkin melebihi RM220 juta. Saya minta supaya bank berkenaan menarik balik pembekuan ini," katanya.

Sementara itu, perbualan BH dengan beberapa mangsa lagi yang ditemui tidak menolak kemungkinan pembekuan oleh bank berkenaan, mungkin berkaitan skim pelaburan yang mereka sertai termasuk Kripto, Bitcoin serta Forex.

Sebuah laman Telegram juga diwujudkan kumpulan berkenaan iaitu 'CIMB - Problem Discuss' bagi mengumpulkan aduan daripada individu yang terjejas dengan pembekuan akaun ini. 

Sumber : Berita Harian

 

 

Isnin, Januari 31, 2022

Kesilapan pemprosesan jejas akaun bank pengguna - CIMB

 

CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) menjelaskan terdapat kesilapan pemprosesan telah menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.

Kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu berkata, pihaknya sedang menghubungi pelanggan terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.

"Pelanggan yang terjejas juga boleh menghubungi kami (CIMB) di talian 03 22956188 untuk penjelasan dan perbincangan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

CIMB berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media bahawa terdapat sesetengah pengguna akaun bank CIMB dikejutkan dengan pembekuan akaun mereka secara tiba-tiba.

Panik menyelubungi pemegang akaun CIMB apabila mereka menerima pemberitahuan mengenai wang yang diperuntukkan untuk debit daripada akaun mereka.

Wang kepunyaan sesetengah pemegang akaun diperuntukkan untuk didebitkan dalam bentuk pelbagai caj bank manakala beberapa pelanggan menerima kredit pendua dan transaksi yang tidak berjaya melalui akaun mereka.

Dalam laporan media yang memetik khabar angin yang berlegar di media sosial bahawa terdapat 11,000 akaun milik pelanggan CIMB telah dibekukan sejak Isnin dan mereka mendapat mesej bahawa mereka berhutang ribuan ringgit kepada bank itu.

Sumber : Berita Harian

 

Sabtu, Januari 29, 2022

Maybank sangkal dakwaan berdepan masalah kewangan

 

Malayan Banking Bhd (Maybank) menegaskan bahawa dakwaan yang ia akan menghadapi masalah kewangan besar disebabkan pendedahan kepada Genting Hong Kong adalah sesuatu yang tidak berasas.

Maybank menjelaskan, pihaknya tidak mengulas mengenai pendedahan kepada pelanggan atau pelanggan yang didakwa atas obligasi kerahsiaan.

"Kami ingin menekankan bahawa Maybank amat menitikberatkan perakaunan yang ketat berkaitan peruntukan dan susut nilai pinjaman, mengikut keperluan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) dan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS). Perakaunan ini juga tertakluk kepada semakan oleh juruaudit luaran kami dan pihak pengawal selia," menurut Maybank dalam kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu bertujuan menjawab pertanyaan Bernama mengenai laporan akhbar baru-baru ini bahawa Maybank adalah antara tiga bank Malaysia yang akan berdepan masalah kewangan besar susulan pendedahan kepada Genting Hong Kong.

Maybank menambah, pihaknya mengamalkan proses pemantauan kualiti aset yang ketat, di mana peminjam rentan dikenal pasti dan diuruskan sewajarnya daripada bermulanya sebarang potensi kelemahan kualiti aset.

"Justeru, peruntukan pinjaman akan dilaksanakan secara proaktif daripada bermulanya sebarang kelemahan kualiti aset berasaskan penarafan risiko pinjaman dengan bank.

"Oleh yang demikian, Maybank menegaskan bahawa caj kredit bersih semasa kami bagi panduan untuk peruntukan pinjaman adalah kekal tidak berubah dan kami boleh mengesahkan bahawa kedudukan kewangan kami kekal kukuh," jelasnya.

Media melaporkan keuntungan tiga bank Malaysia termasuk Maybank, dijangka terjejas berikutan masalah yang dihadapi pengendali kapal persiaran, Genting Hong Kong firma korporat Asia yang amat terkesan ekoran pandemik COVID-19.

Dua bank lain ialah CIMB dan RHB Bank Bhd.

Straits Times Singapura melaporkan, ketiga-tiga bank ini adalah antara beberapa pemuitang tidak bercagar utama bagi Genting Hong Kong, dengan gabungan pendedahan berjumlah AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Pemfailan pembubaran Genting Hong Kong dibuat seminggu selepas anak syarikatnya bagi pembuatan kapal di Jerman, MV Werften, mengalami situasi ketakmampuan bayar.

Ia satu perkembangan yang mencetuskan kemungkiran silang bagi pelbagai pengaturan pembiayaan keseluruhan syarikat itu bernilai lebih AS$2.7 bilion, lapornya.

- BERNAMA

 

Khamis, Disember 30, 2021

LHDN yakin kutipan cukai akan lebihi sasaran RM132 bilion

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkeyakinan jumlah kutipan cukai tahun ini akan melebihi RM132 bilion yang disasarkan oleh kerajaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Datuk Mohd Jaafar Embong berkeyakinan jumlah itu akan terus meningkat menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, pencapaian dicatat LHDN itu dilihat positif berikutan kutipan cukai terus meningkat walaupun negara masih dilanda pandemik COVID-19, selain beberapa negeri berdepan bencana banjir ketika ini.

"Saya tiada statistik terperinci ketika ini, namun (jumlah kutipan cukai semasa) sudah melebihi sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Memang kita ada memberi beberapa kelonggaran kepada pembayar cukai, namun Alhamdulillah, Malaysia ini negara makmur. Tidak semua industri terjejas.

"Setakat ini, sasaran yang diberi kerajaan berjaya dicapai oleh LHDN, dan pembayar cukai masih menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Perincian dari segi jumlah kutipan dan peratusan melebihi sasaran, belum ada kerana perlu tunggu selepas hujung tahun. Namun yang penting, sasaran berjaya dicapai," katanya pada sidang media Program Kasih PRIHATIN-MAIWP di Dewan Komuniti Sentul Perdana, di sini, hari ini.

Awal tahun ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan sasaran kutipan cukai tahun ini adalah RM143.9 bilion, namun ia disemak semula kepada RM132 bilion susulan situasi ekonomi yang masih terkesan dengan impak pandemik COVID-19.

Sementara itu ditanya mengenai kebimbangan pembayar cukai berhubung pindaan undang-undang yang membolehkan LHDN mengakses maklumat akaun bank mereka pula, Mohd Jaafar menegaskan perkara berkenaan tidak perlu dikhuatiri.

"Jangan bimbang kerana kita perlu mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu.

"Kita tidak sewenang-wenang boleh mengakses maklumat akaun bank pembayar cukai dengan sesuka hati. Ia mesti mendapat kebenaran mahkamah. Maknanya, jangan bimbang," katanya.

Awal bulan ini, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kewangan 2021 yang merangkumi cadangan pindaan terhadap Seksyen 106A Akta Cukai Pendapatan.

Pindaan Seksyen 106A itu memberi kuasa kepada LHDN supaya tidak lagi perlu memaklumkan kepada pembayar cukai untuk memohon butiran akaun bank mereka daripada pihak bank bagi tujuan semakan atau penyiasatan.

Terdahulu, Mohd Jaafar merasmikan Program Kasih PRIHATIN-MAIWP yang menyaksikan sejumlah 35,719 asnaf terkesan pandemik, menerima bantuan bawah pelaksanaan inisiatif itu sejak Oktober lalu.

Program itu adalah hasil kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang lain, untuk menyalurkan sumbangan berbentuk barang keperluan asas, penjagaan diri dan seumpamanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Selasa, November 02, 2021

Sindiket tipu tawaran kerja

 

Pasukan khas yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa kepada penahanan 168 individu yang disyaki terbabit sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian menerusi 19 operasi dari awal tahun ini hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata mereka membabitkan 38 wanita dan 118 lelaki tempatan, selain 11 warga China termasuk empat wanita dan seorang wanita Thailand ditahan di ibu negara, Johor, Pahang, Sabah dan Negeri Sembilan.

Pada masa sama, katanya, polis menerima 255 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM4.6 juta dari awal 2021 hingga Ogos lalu berkaitan kes sama.

"Sindiket itu menyasarkan mangsa dari negara jiran dengan gaji lumayan antara RM200 hingga RM300 sehari.

"Siasatan awal mendapati mereka menggunakan aplikasi WhatsApp dan laman sosial seperti Instagram dan Facebook bagi menawarkan kerja dengan mendakwa menjadi ejen syarikat membeli barangan di platform e-dagang.

"Mangsa diberi beberapa tugasan yang perlu diselesaikan dalam tempoh diberi dengan menghantar gambar produk dipilih kepada suspek sebelum diarah membuat pembayaran ke akaun diberikan.

"Bagi meyakinkan mangsa ia adalah pekerjaan sah, sindiket akan membayar semula harga barangan dibeli dengan tambahan komisen antara lima hingga lapan peratus," katanya pada sidang media di ibu pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, proses pembelian dan bayaran semula itu akan berulang, daripada produk murah sehingga barangan mahal.

Katanya, tugasan perlu diselesaikan mengikut masa diberi dan penalti dikenakan jika mangsa gagal manakala bayaran mereka tidak dipulangkan.

"Apabila mangsa enggan meneruskan tugasan dan menuntut wang kembali, suspek memberi alasan lain seperti dalam proses pemindahan dan memerlukan mereka membuat bayaran sebelum mereka menyedari ditipu," katanya.

Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 selain tindakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan tawaran kerja secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran yang nampak menarik tanpa memerlukan usaha keras kerana itu bukan caranya," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Jumaat, Februari 26, 2021

Keuntungan Kumpulan Public Bank susut 11.6 peratus pada 2020

 

Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM4.87 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, turun 11.6 peratus daripada RM5.51 bilion tahun sebelumnya.

Bagi tahun kewangan dilaporkan, Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM6.29 bilion, susut 11.9 peratus daripada 2019.

Pengasas dan Pengerusi Emeritus Kumpulan Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, keuntungan lebih rendah pada tahun lalu terutama disebabkan oleh pemampatan margin faedah bersih berikutan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas.

Ia turut disumbang oleh kerugian pengubahan bersih satu sekali sebanyak RM498 juta yang dialami berikutan langkah-langkah bantuan Covid-19 yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan.

Beliau yang juga Pengarah dan Penasihat Public Bank berkata, 2020 merupakan tahun penuh cabaran yang tidak berlaku susulan pandemik Covid-19 menyebabkan gangguan dan ketidaktentuan ekonomi yang ketara, ditambah dengan pengurangan beberapaka kali OPR meberi tekanan ke atas sektor perbankan.

“Walaupun begitu, Kumpulan Public Bank masih berupaya menunjukkan prestasi yang cemerlang dan mengekalkan keuntungannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keuntungan operasi sebelum peruntukan kerugian pinjaman mencatatkan pertumbuhan sebanyak RM1.6 peratus kepada RM7.40 bilion, berbanding RM7.28 bilion tahun sebelumnya.

Katanya, pada tahun lalu, Kumpulan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus dalam jumlah pinjaman yang diperkukuh oleh pembiayaan hartanah kediaman, kenderaan penumpang dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Tambah Hong Piow, pendapatan bukan faedah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 17.5 peratus daripada 2019, terutama disebabkan pertumbuhan kukuh dalam perniagaan unit amanah, pendapatan pelaburan serta pembrokeran saham Kumpulan.

“Perniagaan unit amanah Kumpulan Public Banmk yang dijalankan subsidiari milik penuhnya, Public Mutual terus menjadi penyumbang utama.

“Pada tahun lalu, Public Mutual mencatatkan peningkatan sebanyak 10.5 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM714.8 juta. Jumlah nilai aset bersih dana-dana di bawah pengurusannya meningkat sebanyak 15.8 peratus melepasi RM100 bilion untuk pertama kali kepada RM100.3 bilion,” katanya. 

Sumber : Utusan

Khamis, Januari 28, 2021

Pembantu tadbir rugi RM125,498 diperdaya ‘pegawai LHDN’, ‘polis’

 

Seorang pembantu tadbir amanah mengalami kerugian RM125,498.25 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis pada 6 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 46 tahun menerima panggilan telefon daripada ‘Noraini Daud’ yang menyamar sebagai pegawai LHDN.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,600.90 dan memaklumkan kesemua akaun bank mangsa akan dibekukan selain akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak membuat pembayaran.

“Mangsa menafikan perkara tersebut sebelum suspek menyambungkan kepada pihak lain kononnya polis bagi laporan penafian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Elias berkata, mangsa seterusnya dimaklumkan oleh individu menyamar polis itu bahawa akaun mangsa terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.28 juta.

“Wanita terbabit turut menerima beberapa panggilan berkaitan perkara sama sehingga dia berasa takut dan membuat pinjaman bank sebanyak RM120,000,” jelasnya.

Katanya, mangsa bertindak menghubungi suspek bagi bertanyakan tentang siasatan kes tersebut pada Selasa lalu, namun dia tidak berpuas hati sebelum membuat semakan di sebuah bank di Jitra dekat sini.

“Setelah membuat semakan, mangsa mendapati wang dalam akaun miliknya sebanyak RM125,498.25 telah hilang melibatkan 13 transaksi ke akaun pihak ketiga,” katanya.

Tambahnya, kerugian bagi kes berkenaan adalah yang tertinggi direkodkan di Kedah pada bulan ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber : Utusan

Isnin, Januari 25, 2021

Inisiatif pemberian komputer riba, tablet mula Februari 2021

 

Inisiatif Cerdik yang akan menyediakan akses digital meliputi komputer riba, tablet dan sambungan data untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah akan dilaksanakan bermula Februari 2021 ini.

Inisiatif itu membabitkan sumbangan berjumlah RM150 juta daripada 13 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewakili syarikat di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Petronas.

Yayasan Hasanah dalam kenyataan hari ini berkata, langkah ini dilaksanakan bagi membantu pelajar mengadaptasi norma baharu sesi persekolahan dalam talian, e-pembelajaran dan pengajaran di luar bilik darjah.

Pemilihan pelajar dan sekolah ditentukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), yang juga akan meneliti spesifikasi perkakasan dan perisian untuk memastikan pelaksanaan yang lebih mampan termasuk sokongan jaminan, kebolehgunaan, dan jangka hayat yang lebih lama untuk pembelajaran digital masa depan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung Cerdik oleh GLC dan GLIC.

Katanya, projek itu akan diselia Yayasan Hasanah adalah bagi tujuan pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah sebagai projek rintis.

Sumber : Harian Metro

Isnin, Januari 11, 2021

Kadar pengangguran November 2020 pada paras 4.8 peratus

 


Kadar pengangguran meningkat sedikit sebanyak 0.1 mata peratus kepada 4.8 peratus pada November 2020 berbanding bulan sebelumnya, yang mana jumlah penganggur setakat bulan berkenaan adalah 764,400 individu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berikutan gelombang ketiga pandemik yang berterusan pada November lalu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan secara berperingkat bagi

membendung peningkatan drastik kes COVID-19 dan seterusnya mengimbangi keperluan di antara sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi.

Katanya, pelaksanaan PKPB yang bermula di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada 14 Oktober 2020 telah diperluaskan ke seluruh negara kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan. 

"Semasa PKPB, perjalanan merentas negeri adalah tidak dibenarkan, manakala aktiviti ekonomi terus beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.

"Oleh itu, pada November 2020 menyaksikan penurunan kecil dalam bilangan guna tenaga, manakala kadar pengangguran meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya. 

"Antara lain, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu," katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, November 2020, di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata, bilangan penganggur pada November meningkat sebanyak 2.2 peratus atau bersamaan dengan 16,200 orang, merekodkan 764,400 penganggur (Oktober 2020: 748,200 orang).

Penganggur aktif yang didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, meningkat 2.3 peratus mencatatkan sejumlah 637,700 orang (Oktober 2020: 623,100 orang), katanya.

"Begitu juga penganggur tidak aktif atau kumpulan pasif yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 126,700 orang (Oktober 2020: 125,100 orang)."

"Mengenai situasi guna tenaga, pada November, bilangan penduduk bekerja turun sebanyak 11,000 orang kepada 15.2 juta orang (Oktober 2020: 15.21 juta orang) selepas merekodkan trend menaik selama lima bulan berturut-turut.

"Pada bulan berkenaan, kategori pekerja meningkat 0.2 peratus (+19.6 ribu orang) kepada 11.78 juta orang. Sebaliknya, golongan yang bekerja sendiri berkurang sebanyak 0.6 peratus merekodkan 2.41 juta orang. Kumpulan ini sebahagian besar adalah terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai-gerai; freelancers; dan pekebun kecil," katanya.

Merumuskan kedudukan keseluruhan tenaga buruh, beliau berkata, dalam bulan terakhir tahun 2020, kes baharu COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan peningkatan di mana secara purata melebihi 1,500 kes sehari.

"Namun, aktiviti ekonomi terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat. Pada bulan itu juga, didapati lebih banyak aktiviti perjalanan domestik berikutan perayaan Krismas, cuti sekolah dan cuti akhir tahun.

"Secara keseluruhannya, dengan keadaan ketidaktentuan ekonomi dan kesihatan yang berterusan di seluruh dunia dan dalam negara, dijangka permintaan buruh yang lebih perlahan berterusan pada Disember 2020. Sementara itu, penawaran buruh akan kekal kompetitif dalam situasi yang mencabar ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Rabu, Disember 09, 2020

Maybank Islamic perkenal akaun pelaburan baharu

 

Maybank Islamic Bhd melancarkan akaun pelaburan tertutup Multi-Asset Investment-i (MAIA) dengan sasaran meraih pelaburan RM250 juta menerusi produk yang julung kali seumpamanya ditawarkan bank komersial.

MAIA ditawarkan kepada pelanggan yang bermatlamat memaksimumkan pulangan dengan pelaburan dalam portfolio pelbagai aset pembiayaan bank dan pasaran sekuriti patuh Syariah.

Sebanyak 50 peratus pelaburan MAIA akan dibuat ke dalam aset pembiayaan Maybank Islamic yang menguntungkan dan stabil seperti gadai janji, sewa beli serta pembiayaan unit amanah.

MAIA memberi peluang kepada pelabur yang ingin meneroka peluang pelaburan pada jangka masa sederhana hingga panjang yang baharu dan akaun ini terbuka kepada individu serta pelabur institusi dengan pelaburan minimum sebanyak RM10,000.

Maybank Islamic Asset Management (MIAM) dilantik sebagai Pengurus Pelaburan Luar akan melaburkan baki 50 peratus dalam ekuiti patuh Syariah dan Amanah Pelaburan Hartanah (REITs).

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata bank menyasarkan potensi pulangan yang lebih tinggi sebanyak 4.25 peratus setahun untuk penempatan selama tiga tahun, menjadikan MAIA satu pelaburan yang menarik memandangkan persekitaran kadar faedah agak rendah sekarang.

"Kami percaya MAIA dapat memenuhi keperluan pelabur yang mencari pilihan pelaburan patuh Syariah yang bertujuan untuk mengekalkan modal sambil menghasilkan pulangan yang stabil dan

relatif lebih tinggi," katanya.

Mohamed Rafique berkata, pelancaran MAIA adalah tonggak bagi Maybank Islamic yang menjadi institusi perbankan Islam pertama mewujudkan produk pelaburan yang menawarkan peluang kepada pelabur untuk melabur bukan hanya pada aset pembiayaan bank yang kukuh, tetapi juga sekuriti patuh Syariah.

"Dengan ketidaktentuan ekonomi semasa akibat penyebaran COVID-19, Maybank Islamic menyasarkan untuk membantu pelanggannya untuk mengembangkan pelaburan mereka.

"Ia terutama yang mencari pulangan pendapatan berpotensi dan pertumbuhan modal dengan melabur dalam portfolio pembiayaan bank Islam terbesar di Malaysia serta dana yang terdiri daripada portfolio sekuriti patuh Syariah," katanya.

Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013, institusi kewangan Islam dibenarkan menjadi perantara pelaburan.

Maybank Islamic adalah yang pertama merealisasikannya dengan pelancaran produk Akaun Pelaburannya (IA) pada tahun 2015.

Di bawah produk IA, MAIA adalah inovasi kedua produk pelaburan untuk bank.

Sumber : Berita Harian

 

Jumaat, November 13, 2020

Minggu Saham Digital 2020

 

Permodalan Nasional Bhd. (PNB) bakal me­nganjurkan Minggu Saham Digital (MSD), adaptasi daripada Minggu Saham Amanah Malaysia yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang perancangan kewangan dan kepentingan pelaburan secara online.

MSD yang akan bermula pada 18 November-24 November ini bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri dan Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), Tan Sri Muh­yiddin Yassin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, pelbagai program bakal disiarkan secara langsung seperti rancangan memasak, sesi bual bicara dan program hibur didik yang menarik sepanjang tujuh hari acara digital MSD.

“Bagi memeriahkan lagi jadual program yang disiarkan antara 12.30 tengahari hingga 10.30 malam melalui laman Facebook dan saluran YouTube MSD itu, ia akan mempersembahkan barisan penceramah dan personaliti ter­kenal.

“Seluruh rakyat Malaysia dijemput mengambil bahagian dalam MSD menerusi platform digital yang tersedia dan mudah dilayari dengan slogan ­#Laburbersama,” katanya.

PNB menjelaskan, antara program yang dirancang ialah konsert maya terbesar, Pass the Mic! yang bakal menampilkan Feeya Iskandar, Sissy Imann, Jiggy dan Alif Farhan sebagai hos serta artis K Clique, Akim Ahmad, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah dan Aman Ra.

Program lain yang bakal bersiaran ialah Cikgu CEO (ketua pegawai eksekutif) yang merupakan siri webinar topikal yang interaktif dan mudah diikuti selain memberi peluang kepada golongan belia berinteraksi bersama CEO.

My Cerita akan menjelaskan lebih lanjut mengenai PNB, Amanah Saham Nasional Bhd. dan UMW Holdings Bhd. serta mendapatkan penerangan mengenai fungsi, budaya, visi dan misi syarikat-syarikat tersebut.

Masak Macam Mak pula akan memberi penghormatan kepada selebriti Fizo Omar, Elfira Loy, Sherson Lian dan Datuk Fazley Yaakob bersama ibu mereka memasak bersama.

Jumpa di 118 pula menampilkan Ketua Pegawai Pelaburan, Harta Tanah PNB, Rick Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad, Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud.

Kereta Kita memberi peluang kepada penonton menyelami perbualan menarik antara pengacara Hazeman Huzir dan Fahrin Ahmad bersama tetamu mengenai kereta kegemaran mereka.

Betul Ke, Doc? dibawakan khas kepada penonton oleh ­Duopharma Biotech Bhd. yang akan merungkai mitos kesihatan yang luar biasa bersama pakar-pakar perunding perubatan.

Program lain ialah Lepak Je! dan GG Bro! serta Forum Kewa­ngan Syariah.

Selain itu, MSD juga menawarkan pelbagai hadiah menarik me­lalui peraduan yang dianjurkan dan antaranya ialah Live Trivia & Live Trivia Bonanza Penonton dan Eh Mana Kod? Iaitu penca­rian harta karun secara maya.

Semua peserta berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik seperti kerta Ford ­Ranger 2.0L XLT Plus 4WD bernilai RM130,000, Toyota Vios 1.5G (AT) bernilai RM90,000, Yamaha R25 bernilai RM21,500 dan Honda Dash 125S bernilai RM6,000

Sumber : Kosmo!

 

 

Rabu, Oktober 21, 2020

Terlalu bergantung kepada kad kredit

 

Kaji selidik yang dijalankan platform celik kewangan Multiply mendapati, rakyat Malaysia paling lemah dalam merancang belanjawan dan menyimpan wang.

Kaji selidik itu mendapati, sebanyak 41 peratus daripada 3,333 responden menyatakan bahawa mereka tidak mampu hidup selesa dengan gaji bulanan dan sentiasa risau tidak cukup wang untuk kelangsungan hidup sehingga mendapat gaji seterusnya.

“Sementara itu, enam peratus lagi bergantung kepada kad kredit untuk menampung kekangan wang setiap bulan, manakala 48 peratus mengakui mereka tiada wang simpanan untuk kecemasan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kajian itu mendapati, seramai hampir 70 peratus daripada responden memerlukan soko­ngan untuk meningkatkan tahap celik kewangan masing-masing.

Sebanyak 21 peratus responden tergolong dalam ka­tegori ‘Baru Belajar’ iaitu mereka yang tidak mempunyai pengetahuan asas kewangan peribadi, manakala 48 peratus lagi dalam kategori ‘Kadet Kewangan’ iaitu masih di peringkat awal pe­nguasaan ilmu asas kewangan peribadi.

“Kaji selidik menunjukkan hanya 31 peratus boleh dianggap sebagai ‘Bos Duit’ yang menunjukkan seseorang itu memahami konsep kewangan asas dengan baik,” katanya.

Multiply berkata, 2020 sememangnya tahun mencabar daripada segi kewangan peribadi dan tidak menghairankan ramai rakyat Malaysia gusar tentang kedudukan kewangan mereka.

“Namun, kami berasa lega apabila hasil kaji selidik mendapati, tidak semuanya membimbangkan kerana seramai 53 peratus daripada responden merancang belanjawan awal, 31 peratus memiliki insurans asas sebagai perlindungan jika kenderaan terlibat dalam kemalangan dan 52 peratus mempunyai wang simpanan yang boleh digunakan sekiranya perlu,” katanya.

Hasil kaji selidik itu turut menunjukkan bahawa tahap pemahaman rakyat Malaysia tentang penggunaan pelbagai produk dan instrumen kewa­ngan masih rendah.

Menurut Multiply, seramai 32 peratus responden mengatakan mereka lebih suka menyimpan dalam akaun simpanan biasa berbanding mencari peluang pelaburan untuk menjana pulangan lebih tinggi.

“Tanpa memiliki kemahiran pengurusan kewangan, mereka yang mempunyai wang simpanan lebih suka mengambil jalan selamat dengan hanya membiarkan wang mereka dalam akaun simpanan walaupun ia kurang menguntungkan memandangkan kadar faedah amat rendah pada masa ini.

“Ternyata pengetahuan rak­yat Malaysia tentang bagaimana wang boleh bekerja untuk kita melalui dana, pelaburan serta produk kewangan lain masih berada di peringkat asas,” katanya.

Multiply telah ditubuhkan oleh firma ekuiti swasta, Creador melalui cabang bukan keuntungan, Creador Foundation dengan matlamat meningkatkan tahap celik kewangan rak­yat Malaysia.

Sumber : Utusan

 

Rabu, September 30, 2020

Public Mutual umum agihan 11 dana untuk 2020

 

Public Mutual Bhd, anak syarikat milik penuh Public Bank mengumumkan pengagihan melebihi RM119 juta bagi 11 dana untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2020.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata mendahului pengagihan kasar itu adalah Public Enterprises Bond Fund pada 4.75 sen seunit, diikuti Public Islamic Global Equity Fund (tiga sen seunit), Public e-Flexi Allocation Fund (dua sen seunit), Public Singapore Equity Fund (1.5 sen seunit) dan Public Advantage Growth Equity Fund (satu sen seunit).

Dana lain adalah Public Islamic Enterprises Equity Fund (0.75 sen seunit), Public Islamic Advantage Growth Equity Fund (0.75 sen seunit), Public US Equity Fund (0.75 sen seunit), Public Strategic Balanced Fund (0.75 sen seunit), PB Global Equity Fund (dua sen seunit) and PB SmallCap Growth Fund (satu sen seunit).

Public Mutual adalah syarikat unit amanah swasta terbesar di Malaysia, menguruskan lebih 160 dana unit amanah dan penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diluluskan, menguruskan sembilan dana di bawah skim itu.

Sehingga akhir Ogos 2020, saiz dana yang diuruskan syarikat itu bernilai RM95.6 bilion.

Sumber : Berita Harian

Jumaat, Ogos 09, 2019

Lemah urus kewangan punca peniaga Melayu gagal


 Kira-kira 80 peratus dalam kalangan peniaga Melayu yang gagal dalam perniagaan dikesan berpunca daripada kelemahan dalam pengurusan kewangan.

Presiden Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP), Datuk Zahar Hashim berkata, akibatnya golongan ini dilihat berharap kepada bantuan daripada kerajaan sebagai ‘tongkat’.

Menurut beliau, ia antara kelamahan paling ketara yang menyebabkan usahawan Melayu gagal bertahan sehingga terpaksa gulung tikar disebabkan kegagalan pengurusan.

“Sebab itu antara faktor utama yang perlu diberi penekanan ialah soal pendidikan ilmu niaga kerana ia merangkumi soal pengurusan kewangan.

“Ini juga antara matlamat penubuhan DPMP untuk membantu serta membimbing para peniaga Melayu agar memiliki ilmu yang lengkap,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Online Digital Revolusi anjuran DPMP dengan kerjasama SST Network di Hotel Seri Malaysia di sini semalam.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan di negeri ini tentang pentingnya menerokai dunia pemasaran digital online menerusi laman web Kimon.my yang dibangunkan oleh pihak SST Network.

Mengulas lanjut berhubung program tersebut, kata Zahar, ia salah satu inisiatif DPMP bagi membimbing peniaga Melayu terhadap ilmu e-Dagang yang kini menjadi trend dalam memacu perniagaan.

“Program ini berjaya menarik kira-kira 150 peserta yang terdiri dalam kalangan usahawan kecil bertujuan membantu mereka mempromosi produk masing-masing secara lebih berkesan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SST Network, Khairul Rizal Zulkafli memberitahu, menerusi laman web Kimon.my ia dapat membantu urusniaga atas talian disamping meraih pendapatan lebih baik.

Katanya, laman web ini berperanan sebagai pusat sehenti yang menawarkan kemudahan kepada usahawan untuk memasar, menyimpan dan menyemak rekod jualan secara atas talian.

- UTUSAN

Sabtu, November 04, 2017

Tony Fernandes Berkongsi Pengalaman Dalam Memoir


Selepas lebih satu dekad bertungkus-lumus melalui onak dan duri sebagai seorang usahawan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes kini mahu menghargai kehidupan dan ‘berehat’.

Menerusi wawancara bersama portal berita Channel News Asia sempena pelancaran memoir terbarunya, Flying High pada Isnin, Tony yang sering bekerja 18 jam sehari pernah beranggapan bahawa tidur itu membuang masa. Beliau berkata, dia kini mahu ‘bergerak perlahan’.

Memoir yang mengisahkan lelaki berusia 53 tahun itu, menggambarkan dirinya sebagai seorang lelaki yang telah ‘melakukan segala-galanya pada kadar maksimum.’

Bagaimanapun, beliau menyedari bahawa hidup memerlukan keseimbangan, dan adalah penting untuk seseorang mendapatkan rehat yang sewajarnya.

Beliau juga berkata: "Adalah mustahil untuk memberi 100 peratus, setiap hari."

Memoir 244 muka surat itu keseluruhannya menceritkan kehidupan usahawan Malaysia berkenaan bermula dari zaman kanak-kanak, zaman remaja sebagai pelajar sekolah menengah di United Kingdom kemudian dari menjalankan sebuah syarikat muzik kepada syarikat penerbangan.

“Apabila saya menjelajah dari satu negara ke satu negara lain, ia hanya kerana mesyuarat. Sekarang, saya mahu lebih luangkan masa untuk menikmati budaya dan tempat itu.

“Kini, saya rasa lebih efektif kerana lebih stabil,” ujarnya kepada Channel News Asia.

Menurut Tony, kestabilan ini datang dari isterinya, Chloe. Mereka menjalinkan hubungan selama dua tahun sebelum mengikat tali perkahwinan dua minggu lalu. Pasangan itu pertama kali bertemu di sebuah restoran di Paris.

Tony menggambarkan isterinya yang merupakan warga Korea Selatan itu sebagai ‘faktor kestabilan yang baik’ bagi dirinya.

Selasa, Oktober 28, 2014

Subsidi petrol mulai 2015

Golongan berpendapat­an tinggi iaitu melebihi RM10,000 sebulan tidak akan menerima subsidi petrol dan perlu membayarnya mengikut harga pasaran.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadz­lah (gambar) berkata, ini kerana nilai pemberian subsidi petrol yang akan diumumkan kerajaan adalah berdasarkan kumpulan pendapatan yang akan ditentukan nanti.

Katanya, kumpulan akan dipe­cahkan kepada tiga kelompok dengan golongan berpendapatan rendah dan menengah sahaja yang akan diberikan subsidi, manakala berpendapatan tinggi tidak me­nerima subsidi.

“Secara kasarnya individu yang berpendapatan rendah kurang di bawah RM5,000 sebulan akan diberi subsidi sepenuhnya, manakala berpendapatan menengah bermula RM5,000 hingga RM10,000 sebulan menerima subsidi pada kadar lebih rendah. Keutamaan adalah untuk membantu kumpulan sasar yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perbankan Islam Antarabangsa Bank Rakyat di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mat Noor Nawi.

Semasa pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan membangunkan satu mekanisme baharu pemberian subsidi petroleum, agar pemberiannya lebih tersasar kepada golongan yang memerlukan.

Mengikut laporan sebelum ini, rasionalisasi subsidi diesel dan petrol untuk menjaga kepentingan golongan disasar mungkin akan dilaksanakan pada Januari tahun depan bagi diesel dan Jun bagi petrol RON95.

Mekanisme pelaksanaan rasionalisasi subsidi itu akan diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang masih menunggu cadangan daripada syarikat-syarikat tempatan.

Kata Ahmad Husni, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diagihkan mengikut pendapatan isi rumah, sementara subsidi petrol adalah berdasarkan pendapatan individu.

Peruntukan subsidi telah me­ningkat 14 kali ganda daripada RM1.65 bilion pada 2002 kepada RM23.5 bilion pada 2013. Hal itu disebabkan peningkatan jumlah kenderaan daripada 13.6 juta pada 2008 kepada 23.7 juta buah pada 2013.

Najib akan mengumumkan mekanisme pemberian subsidi itu dalam masa terdekat, bagi menggantikan kaedah ketika ini yang mana subsidi dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan tinggi.

Sumber : UTUSAN

Rabu, September 03, 2014

Pemilik kenderaan mewah perlu bayar kompaun cukai - Kastam

Jabatan Kastam DiRaja Malaysia meminta pemilik kenderaan mewah, termasuk golongan penjawat awam, menjelaskan kompaun cukai tertunggak setelah kenderaan mereka dirampas atas kesalahan memiliki kenderaan yang tidak mempunyai lesen import (AP) dan tinggal lebih masa di Tanah Semenanjung.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur, Datuk Mohd Isa Endot berkata, setakat ini terdapat pemilik kenderaan terbabit masih tidak menjelaskan kompoun atas pelbagai kesalahan memiliki kereta import.

Katanya, kastam telah merampas sebanyak 120 buah kenderaan import di sekitar ibu negara sejak Disember 2013 sehingga Januari tahun ini.

"Nilai cukai keseluruhan kenderaan dirampas itu lebih kurang RM60 juta. Manakala nilai kenderaan dirampas itu hampir RM14 juta," katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya, di Petaling Jaya.

Beliau berkata daripada 120 jenis kenderaan itu termasuk Lamborghini, Ferrari, Bentley Porshem, Nissan GTR, Audi, Toyota, Nissan, Honda, Mitshubishi, Volkswagen, Mercedes Benz, Lexus, dan Motosikal BMW.

Mohd Isa berkata antara kesalahan, 33 buah pemilik kenderaan itu mempunyai nombor kenderaan berpendaftaran di Langkawi dan telah berada di Semenanjung melebihi 90 hari.

Katanya, adalah menjadi kesalahan bagi kenderaan berpendaftaran di Langkawi berada di Semenanjung lebih dari tempoh ditetapkan mengikut Butiran 13A, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2013.

Beliau berkata 28 buah lagi kenderaan import bernombor pendaftaran di Langkawi didapati tidak mempunyai lesen AP dan menjadi kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang-barang belum lulus kastam.

"Terdapat 59 kenderaan mewah terpakai diimport daripada Singapura juga tidak mempunyai lesen AP telah dirampas atas Akta Kastam yang sama," katanya.

Beliau berkata pemilik kenderaan kes tinggal melebihi had ditetapkan atau tidak memiliki AP dari Langkawi diminta membayar cukai dengan kadar segera dan kastam akan mengambil tindakan mahkamah jika pemilik kenderaan enggan membayarnya.

Daripada 120 kenderaan dirampas itu, hanya 19 buah kenderaan telah dijelaskan bayaran cukai oleh pemilik kenderaan itu bernilai lebih RM6 juta.

"Kastam menyeru pemilik kenderaan termasuk pegawai-pegawai penjawat awam yang memiliki kenderaan bagi kesalahan itu yang berasal dari Langkawi dan Singapura tampil dan menyerahkan kenderaan secara sukarela kepada pejabat kastam yang berhampiran.

"Tindakan tegas akan dikenakan jika pemilik gagal berbuat demikian dan pihak kastam mempunyai senarai lengkap serta sentiasa mengesan kedudukan kenderaan yang disembunyikan," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam urusan membeli kereta mewah dari individu, ejen, atau syarikat penjual kereta dan menyarankan agar pembelian kenderaan itu dibuat pengesahan lesen AP dan Borang Kastam 1 dengan pihaknya terlebih dahulu.

Sumber : BERNAMA


Selasa, September 02, 2014

Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia

Lanjutan daripada pengumuman YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Belanjawan 2010, Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia diperkenalkan sebagai inisiatif Kerajaan untuk memastikan golongan orang yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap mempunyai simpanan apabila mencapai umur persaraan. Skim ini berkuatkuasa mulai 3 Januari 2010.
Berikut adalah maklumat lanjut mengenai skim ini:
 
A. TUJUAN
  1. Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia adalah inisiatif Kerajaan untuk memastikan golongan orang yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap (contoh: pemandu teksi, penjaja, petani, suri rumah dan nelayan), mempunyai simpanan apabila mencapai umur persaraan.
  2. Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia adalah bertujuan menggalakkan golongan orang yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela mengikut kemampuan.
  3. Rasional pelaksanaan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia adalah bagi:
    a)  Menyediakan saluran untuk golongan orang yang bekerja sendiri dan mereka yang tiada pendapatan tetap menabung bagi tujuan persaraan.
    b)  Meningkatkan jumlah golongan orang yang bekerja sendiri menabung dengan KWSP.
    c)  Menzahirkan keprihatinan Kerajaan kepada golongan orang yang bekerja sendiri melalui pemberian insentif untuk menabung bagi persaraan mereka.
    d)  Mengurangkan jumlah warga tua yang bergantung kepada peruntukan program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
 
B. PERMOHONAN PILIHAN SKIM SIMPANAN PERSARAAN 1MALAYSIA
B1. SYARAT-SYARAT KELAYAKAN
  1. Warganegara Malaysia
  2. ‘Orang yang Bekerja Sendiri' ertinya mana-mana orang yang melakukan sesuatu pekerjaan yang mendatangkan hasil dan bukannya seorang pekerja; DAN
  3. Merupakan ahli KWSP (Jika belum menjadi ahli, perlu mendaftar di kaunter KWSP dengan menggunakan MyKad atau melalui mel dengan mengemukakan Borang KWSP 3 dan salinan kad pengenalan).
 
B2. CARA MEMOHON
  1. Menggunakan Borang Permohonan Pilihan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (KWSP 16G(1M))yang boleh diperolehi di kaunter KWSP atau dimuat turun dari laman web ini.
  2. Serahan permohonan di kaunter KWSP atau melalui mel.

C. BAYARAN CARUMAN - SKIM SIMPANAN PERSARAAN 1MALAYSIA
C1. SYARAT-SYARAT BAYARAN - SKIM SIMPANAN PERSARAAN 1MALAYSIA
  1. Telah mendaftar sebagai pencarum Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia;
  2. Amaun bayaran minimum caruman adalah RM50; DAN
  3. Had maksimum RM60,000 setahun berkuatkuasa Januari 2013.
Nota:
Had maksimum terkumpul bagi Caruman Pilihan Sendiri, Caruman Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia dan Caruman Penambah Simpanan adalah sebanyak RM60,000 setahun.

C2. CARA MEMBUAT BAYARAN SKIM SIMPANAN PERSARAAN 1MALAYSIA
  1. Menggunakan Borang Bayaran Simpanan Persaraan 1Malaysia - KWSP 6A(2) yang boleh diperolehi di kaunter KWSP atau laman web KWSP.
  2. Borang KWSP 6A(2) hendaklah diserahkan bersama tunai/cek di Kaunter KWSP/mel atau di kaunter ejen bank yang dilantik iaitu RHB, MBB, PBB dan BSN.
 
C3. SUMBANGAN KERAJAAN DAN PENGKREDITAN - SKIM SIMPANAN PERSARAAN 1MALAYSIA
  1. Di samping dividen tahunan, Simpanan Persaraan 1Malaysia juga akan menerima sumbangan Kerajaan sebanyak 10% tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM120 setahun (Kadar baru berkuatkuasa 1 Januari 2014). Sumbangan Kerajaan ini hanya untuk tempoh 4 tahun mulai tahun 2014 – 2017.
  2. Ahli yang mempunyai caruman majikan secara tetap (bekerja dan mempunyai pendapatan tetap) tidak layak untuk menerima sumbangan kerajaan.
  3. Sumbangan kerajaan hanya terhad kepada ahli yang berumur kurang 55 tahun sahaja.
  4. KWSP akan membuat tuntutan sumbangan Kerajaan sebanyak 2 kali setahun berdasarkan caruman bagi tempoh separuh tahun pertama dan separuh tahun kedua setiap tahun. Sumbangan Kerajaan akan dikreditkan ke akaun ahli sebaik sahaja ianya diterima daripada pihak Kerajaan.
D. PERTANYAAN
 Jika anda mempunyai kemusykilan atau memerlukan maklumat lanjut mengenai Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia, sila hubungi:
• Mana-mana Pejabat KWSP yang berhampiran
• Pusat Pengurusan Panggilan KWSP, Tel: 03-89226000
• Enquiry
Sila nyatakan nombor Kad Pengenalan anda atau nombor ahli KWSP apabila berurusan dengan KWSP. 
E. SOALAN LAZIM
Untuk melihat soalan-soalan lazim berkaitan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia, klik di sini.




 

Jumaat, Jun 06, 2014

Tabung Haji lancar Kad Debit Mastercard


Tabung Haji lancar Kad Debit Mastercard

Tabung Haji mencatatkan seramai 8.4 juta pendeposit setakat akhir Mei tahun ini, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, bilangan pendeposit itu membabitkan jumlah simpanan melebihi RM48 bilion.

"Tabung Haji sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pendeposit. Banyak penambahbaikan serta transformasi dari segi operasi serta perkhidmatan, simpanan dan haji telah dilaksanakan.

"Bilangan pendeposit juga telah meningkat kepada seramai 8.4 juta orang dengan jumlah simpanan melebihi RM48 bilion pada akhir Mei 2014. Ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Tabung Haji Debit-i Mastercard, Buku Coffee Table dan Pusat Perkhidmatan dan Kewangan Islamik (IFiC) di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini, Khamis.

Ia dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

Mengenai kad debit islamik yang baharu, Jamil Khir berkata, ia merupakan kerjasama dengan MasterCard Malaysia dan Bank Rakyat.

Tambahnya, ia berfungsi seperti wang tunai atau cek peribadi di mana setiap pembelian dan transaksi akan dibayar terus dari akaun simpanan Tabung Haji.

"Kad ini membolehkan pendeposit untuk akses simpanan Tabung Haji. Kad ini membolehkan pendeposit untuk mengakses ke akaun masing-masing dengan lebih mudah dan selamat.

"Kami juga percaya, kad ini nanti akan turut memberi kemudahan kepada jemaah haji dan umrah untuk berurusan semasa di Tanah Suci," katanya.

Tabung Haji Debit-i Mastercard boleh digunakan di lebih 2.5 juta mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan kemudahan membeli-belah di 38 juta premis perniagaan yang menerima MasterCard di seluruh dunia.

Permohonan untuk kad ini boleh dibuat bermula 9 Jun di semua kaunter Tabung Haji seluruh negara.

- mSTAR
 

Jumaat, Februari 28, 2014

14 juta rakyat tiada polisi insurans nyawa

Kira-kira 14 juta atau 44 peratus rakyat negara ini masih tidak memiliki polisi insurans bagi melindungi nyawa dan keluarga mereka.

Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selepas mereka menjalankan kajian berhubung perkara berkenaan sejak tahun lalu.

Presiden LIAM, Vincent Kwo, berkata kajian itu menunjukkan hanya 56 peratus rakyat yang mempunyai polisi insurans merangkumi insurans hayat dan perubatan.

Katanya, industri insurans harus bekerjasama untuk memastikan 75 peratus rakyat memiliki polisi insurans di bawah Pelan Transformasi Ekonomi pada 2020.

“Pihak industri perlu menggalakkan orang ramai membeli insurans kerana ia adalah satu keperluan dan harus mewujudkan lebih banyak kesedaran serta membuat promosi mengenai produk mereka.

“Kita juga perlu mencari jalan untuk memasarkan produk insurans ke kawasan pedalaman dan separa bandar yang tidak mempunyai akses untuk mendapatkan insurans hayat.

“Bagaimanapun, saya berpendapat industri ini akan berkembang dalam tempoh tujuh tahun sejajar peningkatan pendapatan perkapita,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Kajian Jurang Perlindungan LIAM-UKM 2012/2013.

- BERITA HARIAN



Recent Posts